Tuesday 31 December 2013

Saat-saat Terakhir Tahun 2013

Tahun 2013 sangat cepat berlalu. Acap kali tidak sempat meraikan. Seperti tidak sempat mencatat pada tarikh-tarikh comel umpamanya 11.12.13! Tidak mengapalah.. ia cuma satu tarikh.. sama saja seperti tarikh-tarikh lain. Itu ayat memujuk hati. Yang pasti masa yang berlalu tidak muncul lagi sampai bila-bila.

Gem 4 telahpun selamat menghadapi SPM dan selamat pula di tempatkan untuk destinasi seterusnya. Alhamdullillah. 15 Januari akan mendaftar di tempat baru yang agak hampir. Tak perlu tempat tiket flight lagi!

Kesihatan Mak juga bertambah baik. Setelah hampir dua bulan Mak berada di dalam kesusahan.. akhirnya Allah beri kesembuhan.

Buku ke dua selamat dihantar ke Greenbird Books. Akan mulakan buku ketiga perlahan-lahan. Sasaran satu tahun satu buku. Semoga diRahmati dengan ilham dari Allah, Tuhan yang Memiliki Segalanya untuk dipinta... Ameen. 

Tidak sangka 2013 telah membuka ruang meneliti impian-impian pada masa hadapan. Semoga jalan yang dipilih ialah jalan yang diRedhai dan diBerkati Tuhan. Jalan-jalan kejayaan. Dulu saya kira apabila saya sudah memiliki cita-cita zaman remaja, maka tamatlah sudah bab cita-cita. Ia tidak begitu. Malah, cita-cita yang lagi dikejar serampangnya seribu!

Ya Allah... Rahmatilah hidup kami di dunia dan di Akhirat. Semoga hajat kami yang nyata dan rahsia dimakbulkan. Hindarkan kami dari bala, wabak dan kesulitan hidup. Ampunilah dosa-dosa kami yang berterabur di sepanjang jalan...

Saturday 28 December 2013

Selamat Dihantar

Akhirnya, pada tarikh 26 Dis 2013, jam 2.30 pagi, manuskrip kedua telah selamat dihantar ke Greenbird Books. Harap-harap ia masih boleh termasuk kuota untuk diterbitkan pada tahun 2014. Sepatutnya, ia dirancang untuk diterbitkan dalam tahun 2013 dalam bahasa Malaysia. Ia tidak menjadi. Demikianlah, kita hanya mampu merancang, Allah Maha Mengetahui jalan yang terbaik.

Buku kali ini akan mengajak pembaca untuk melihat tanda-tanda Kebesaran Allah dari sudut dunia digital. Betapa kita sangat beruntung, namun keberuntungan itu sering berlalu, tidak perasan.

Sebagai contoh, tanda-tanda Kebesaran Allah dapat dilihat pada perkataan 'baca'. Bayangkan, arahan membaca diwahyukan Allah kepada seorang Nabi dan Rasul yang tidak tahu membaca. Malah, lebih 1400 tahun dahulu, buku pun tidak dapat digambarkan oleh orang kebanyakan. Tetapi, arahan baca dari Tuhan, ditaati oleh orang-orang beriman yang terdahulu walaupun ianya berbunyi sangat ganjil dan di luar jangkauan akal.

Sedangkan kita di zaman digital ini, aktiviti baca menjadi tersangat penting. Bukan sekadar untuk tujuan pembelajaran dan pekerjaan, Malah, untuk makan (baca menu), berjalan (baca peta), ke tandas (baca simbol)... semuanya perlu pada baca.

Sungguh, arahan baca dari Allah SWT tersangat futuristik. Baca menjadi ibu kepada kehidupan di dunia dan di akhirat untuk sepanjang zaman. Pada perkataan baca, ada tanda-tanda Kebesaran Allah.

Thursday 12 December 2013

Lihatlah Tanda-Tanda!

Lihatlah Tanda-Tanda! Satu tajuk buku yang tidak menjadi kenyataan. Ia ditolak oleh beberapa penerbit dengan alasan tiada 'genre'. Kata mereka, kami tidak menerbitkan buku seperti ini. Lalu, manuskrip yang telah siap itu menemui jalan buntu. Tapi yang menariknya, peristiwa tidak diterima berkali-kali itu tidak melukakan hati. Malah, ia seolah-olah memaksa otak lebih berfikir jalan-jalan pilihan. Barangkali, manuskrip yang tidak laku itu perlu kembali ke landasan asal - dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di London lagi. Ia memerlukan kos. 

Tapi sms seorang pembeli yang tidak dikenali benar-benar menaikkan semangat. Katanya, "Saya mempunyai dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun yang HANYA MEMBACA BUKU BAHASA INGGERIS SAHAJA. Buku ini mampu memberi input berbeza dari cerita-cerita biasa. Kata si Ibu, "Terima kasih kepada penulis. Keep up the great work!" Allahuakbar... Allahuakbar...  ia sangat memberi kekuatan bahawa insan biasa seperti kita mampu berpesan-pesan dengan kebenaran. Berpesan dengan cara yang tersendiri. Di usia yang makin berinjak.. dan ketika semakin buku ini menemui kelompok pembacanya yang tersendiri.. semakin ia memberi makna melebihi daripada membilang 'berapa citation dan index di Google Scholar'!

Tuesday 10 December 2013

Nikmati Masa Senggang

Sudah lama tidak merasa masa senggang. Asyik sibuk memanjang dengan hambatan tugasan rasmi. Hari ini akhirnya telah berjaya menyiapkan tugasan menyemak tutorial. 136 pelajar dengan 11 tugasan setiap seorang = 136 x 11 = 1496! Ditambah pula dengan kertas ujian sebanyak 275 keping + thesis pelajar PhD yang akan tamat +  laporan Projek tahun akhir + laporan Cadangan Projek + Menyiapkan dokumen OBE untuk semakan kurikulum + Menyiapkan dokumen Audit. Allahuakbar... rasa tidak cukup kaki tangan. Di celah-celah itu, pulang ke kampung melawat Mak yang masih sakit sebulan 2 x. Perlu pula mengambil Gem 4 dari MRSM Pengkalan Chepa. Tidak terasa masa sangat cepat berlalu.

Hari ini ketika Gem 1 menyatakan, "Esok cutikan". Kata saya,"Hah??? Cuti???". Rupanya esok cuti ya. Cuti di pertengahan minggu. Satu nikmat yang tidak terucap. Azam ingin menamatkan penulisan yang terbantut. Ayuh... tulis.. tulis.. tulis...

Monday 2 December 2013

Melihat Tanda-Tanda: Titik-titik Hujan

Untuk mengenali betapa Allah Maha Berkuasa ialah melalui melihat tanda-tanda. Tanda-tanda KekuasaanNya, ada di mana-mana. Lihatlah dengan mata hati yang terbuka.

Lihatlah titik-titik hujan. Berderai dari awan yang terapung-apung. Bergumpal-gumpal awan yang kelabu atau gelap pekat, bertukar menjadi butiran jernih, lembut dan mendamaikan. Mampukah kita menciptanya... mencipta setitis air?

Hujan oh hujan... salah satu tanda-tanda Kekuasaan Allah, iaitu Tuhanku dan TuhanMu.