Tuesday, 16 December 2008

Aidil Adha dan Korban

Aidil Adha telah berlalu, tapi sekarang baru sempat 'update' entri. Banyak acara telahpun dijalankan.

Acara Pertama: Melawat keluarga Ayu (anak angkat di Nottingham)

Pada petang Sabtu sebelum bercuti Aidil Adha, kami berkesempatan untuk melawat keluarga Ayu dan berkesempatan berjumpa dan berkenalan dengan ibu bapa Ayu iaitu Kak Milah dan Abang Abdul Rahman. Tujuan asalnya kami hendak mengambil baju raya (yang dipesan semasa raya Aidil Fitri... konon-kononnya nak minta Ayu bawa ke Nottingham untuk kami beraya di sana!). Tapi kami ditakdirkan beraya di Malaysia.. jadi baju-baju tersebut tersadai lah di rumah Ayu (Bangi). Namun, paling utama, kami sekeluarga dapat berkenalan dengan keluarga Ayu. Kami dijamu dengan juadah-juadah asli, hasil tanaman keluarga Ayu.. mm... sedap sungguh! Kami sungguh terharu kerana dapat menyambung silaturrahim ... rasa bertambah lagi ahli keluarga. Sepanjang tempoh kami berada di rumah kak Milah, jelas terbayang sikap ramah dan prihatin beliau. Lalu, hati sayapun berkata-kata "patutlah anak kak Milah disayangi, kerana beliau menyayangi!". Allah Maha Melihat dan Mendengar - buatlah baik, pasti Allah membalasnya dengan kebaikan, kalau bukan ke atas kita, ke atas anak-anak dan keturunan kita. Dan perlulah ada perasaan gentar untuk berbuat jahat, dengki dan aniaya; kerana Allah pasti akan membalasnya, kalau tidak ke atas kita, ke atas anak-anak dan keturunan kita.

Untuk raya Aidil Adha kali ni kami semua (girls only!) dapatlah memakai baju raya tersebut:

Beraya di rumah Tok



Kelima-lima Gem di pagi raya... Terima kasih kak Ayu di atas usaha memilih baju-baju kami (except the boys!)

Hari Lahir Gem 1


Pada 7/12/2008, Gem 1 menyambut hari jadinya yang ke..... Mak Cik Zah telah menghadiah kek 'surprise'. Selepas makan malam, kami makan kek hari jadi pula. Meriah sungguh rumah Tok.
Korban

Untuk Aidil Adha kali ini, kami sekeluarga telah menyempurnakan tuntutan Korban. Memandangkan bilangan kami sekeluarga cukup tujuh orang, maka dapatlah kami menumbangkan seekor lembu pada hari raya pertama.




Urusan akad jual beli lembu

Lembu yang dibeli sedia menanti untuk dikorbankan

Lembu ditidurkan


Bersedia untuk menyembelih korban

Sebelum menyembelih, ustaz melaungkan 'Allah hu Akbar.. Allah hu Akbar dengan alunan yang mendayu-dayu sambil disambut oleh kami yang menyaksikan.. sayu sungguh sehingga ada yang bergenangan air mata.

Lembu siap dikorbankan..

Menunggu proses seterusnya.. aktiviti melapah..

Anak-anak menyaksikan penyembelihan korban, moga-moga Allah tanamkan semangat korban di jiwa mereka



Malamnya, kami sibuk membahagikan dan memasak daging korban. Kebetulan Pak Ya dan Fauziah (Nottingham) juga pulang beraya ke kampung. Mereka sekeluarga datang ke rumah Tok dan turut serta 'barbeque' daging korban.

Thursday, 4 December 2008

Rahmat di Sebalik Tersesat

Pada hari Isnin yang lepas, ketika jarum jam telah menunjukkan pukul 6 petang, kami mengambil keputusan untuk ke Jugra, melawat cucu saudara yang baru selesai berkhatan. Perjalanan kami sepatutnya hanya mengambil masa sejam lebih, tetapi setelah sudah hampir dua jam kami masih lagi berpusing-pusing, tersesat. Akhirnya, Gem 1 memberhentikan kereta di sebuah masjid di daerah Banting. Sebaik kereta berhenti, saya melangut ke langit.. MasyaAllah, saya ternampak 'smiley face' yang tertera di langit. Semua anak-anak berteriak gembira .. "Look ! There's a smiley face". Maha Suci Tuhan yang melakarkan alam. Di ketika terdapat berjuta-juta bintang di langit, Allah hanya memilih dua bintang sahaja yang kelihatan dan berkerlipan di tengah-tengah kegelapan malam.

Inilah 'Smiley Face' yang tertera di keratan akhbar Utusan Malaysia, Selasa, 2 Disember, 2008

Rupa-rupanya, itulah satu FENOMENA CAKERAWALA, "bulan sabit yang kelihatan tersenyum berada dengan kedudukan bintang Musytari dan Zuhrah di atasnya. Gambaran init turut disaksikan di Kathmandu, Nepal dan beberapa negara lain" (Utusan Malaysia).

Perasaan tidak senang ketika sesat perjalanan diganti dengan rasa penuh kesyukuran. Maha Suci Allah yang memiliki seluruh kerajaan langit bumi.

Yang pasti, anak-anak masih rasa bertuah kerana dapat menyaksikan fenomena tersebut yang berlaku diluar sangkaan.


Tetamu Malam: Hani, John dan anak-anak

Sebaik saja balik dari kerja, Gem 1 pun bagitau, Hani dan John sekeluarga akan berkunjung ke rumah malam nanti. Memandangkan rumah kami tidak mempunyai kemudahan dapur, berpinar-pinar otak mencari tempat mana nak mendapatkan sedikit juadah untuk tetamu. Tunggu punya tunggu, akhirnya mereka sekeluarga pun sampai. Rupanya mereka baru selesai membeli baju sekolah untuk 'seorang anak yang akan menduduki darjah satu'.. itu pun dah RM500 habis! Kami terkedu sebentar..sebabnya tak beli lagi baju sekolah untuk empat orang anak!!! Waduh... berapa ya yang perlu dibayar nanti???! Saat ni.. terasa nak balik Nottingham...sebab tak payah beli baju sekolah...
Hani dan John sekeluarga duduk-duduk bersembang lama juga. Banyak topik sempat 'cover'.. Rasa macam dulu-dulu pulak... Apa pun terima kasih kerana sudi menjadi tetamu kami... datanglah lagi...

Monday, 1 December 2008

Kelahiran dan Kedewasaan

Hari minggu yang lepas kami sekeluarga berkesempatan berkunjung ke hospital bersalin UMRA, Shah Alam, untuk melawat 'cucu saudara' - Adra Husna. Jelas terbayang kegembiraan di wajah pasangan Filah dan Ed menyambut kelahiran anak pertama... wajah-wajah kudus ibu dan ayah menerima amanah Tuhan.


Adra Husna

Sambil-sambil bercerita, tiba-tiba fikiran saya jauh melayang mengenang saat-saat setiap kelahiran anak-anak sendiri. Rasa 'kasih dan cinta darjah teratas' buat sesama insan. Hati saya pun terdetik "Patut lah Allah menyarankan hambanya berdoa supaya Dia mengasihi ibu dan bapa kita sebagaimana mereka mengasihi ketika kita masih kecil... kerana pada ketika itulah itulah lahirnya rasa kasih tahap paling tinggi buat seorang insan"... Maha Suci Allah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.


Firman Allah s. w. t. dalam surah Al-Israk ayat 23-24: Maksudnya : “Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil dahulu”.


Bermula dengan tapak kaki sebesar dua jari dan lemah, anak dibelai menuju kedewasaan. Namun, acap benar kedewasaan membutakan hati-hati kita. Mungkin Saya, mungkin anda. Kudus kasih ibu dan ayah tidak ditatang dengan sewajarnya.


Tika badan rasa gagah, ibu dan ayah disergah.

Tika diberi sedikit kuasa, ibu dan ayah dilupa.

Tika dianugerah anak/isteri/suami, ibu dan ayah tersisih ke tepi.

Kudus kasih ibu dan ayah bertahan selamanya, kudus kasih anak entah di mana.


WAHAI YANG BERGELAR ANAK...

BIAR LANGIT TINGGI YANG SEDANG KAU JULANG

SYURGAMU MASIH DI TELAPAK KAKI IBU .....................................