Tuesday 18 May 2010

Pernah di dalam Mimpi-mimpi (2)

Pada 10/4 yang lepas, kami dijemput ke sekolah Menengah Seksyen 7 untuk bersama-sama meraikan Gem 3 dan Gem 4 di majlis Anugerah Kemerlangan 2010. Seperti biasa, majlis didahului dengan ucapan-ucapan. sesekali, masing-masing amat berharap, agar ucapan-ucapan diringkaskan seadanya kerana mentari semakin terik dan perut sudah meronta-ronta! Akhir sekali, tibalah giliran ucapan dari tetamu yang dijemput khas untuk merasmikan majlis tersebut, iaitu Dato Husamuddin, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf.

Kata Dato Husamuddin, "Inilah kali pertama saya dijemput hadir untuk merasmikan majlis sebegini. Saya bukan orang politik atau besar-besar. Tapi saya disediakan dengan teks ucapan. Oleh kerana saya tidak biasa membaca teks ucapan.. biarlah saya berucap dari hati..".

Kata Dato Husamuddin lagi.."Apa yang saya bimbangkan ialah apabila pihak sekolah meletakkan sasaran kejayaan yang diukur dengan banyaknya bilangan 'A' yang perlu dicapai oleh pelajar-pelajar sebagai satu ukuran sesuatu kejayaan. Sehingga terlepas pandang ada faktor lain yang penting iaitu sekolah adalah satu medan untuk membina karektor individu (character building)!"

Ujar beliau, "Pak Cik berjaya kerana Pak Cik bercita-cita tinggi sejak dari kecil. Sejak kecil, Pak Cik memasang angan-angan untuk menjadi seorang yang kaya raya, memiliki isteri yang cantik dan berkereta besar. Cita-cita tinggi adalah pendorong utama untuk seseorang untuk membina masa hadapan yang lebih baik. Amat malang apabila ada di antara anak-anak yang mempunyai keputusan peperiksaan yang bagus tetapi tidak mempunyai cita-cita dan seterusnya hilang arah tuju".

Sambung beliau, "Pak Cik berterima kasih kepada kedua ibu bapa serta guru-guru yang telah terlibat secara langsung membina karektor Pak Cik semenjak Pak Cik kecil sehingga Pak Cik berjaya pada hari ini. Pak Cik memiliki perniagaan yang mempunyai urusniaga ratusan juta. Bahkan, juga mempunyai tanah milik perniagaan di lokasi yang strategik bernilai juga ratusan juta!".

Sambil berseloroh beliau berkata,"Dulu-dulu Pak Cik berasa ingin marah pada ibu dan bapa serta guru-guru. Pak Cik berasal dari keluarga miskin dan mempunyai lapan orang adik beradik. Pak Cik bertubuh rendah.. oleh itu sering menjadi mangsa buli. Anak-anak bayangkan.. sekarang tinggi Pak Cik 5 kaki 2 inci.. semasa Pak Cik bersekolah.. apalah ketinggian Pak Cik ketika itu! Ibu Pak Cik pula selalu menyuruh Pak Cik membeli sayur-sayuran dan ikan di pasar untuk keperluan keluarga. Kadang kala.. Pak Cik terasa ingin memberontak.. kenapalah di antara adik beradik yang ada, Pak Cik sahaja yang selalu disuruh?"

"Di sekolah pula, Pak Cik dibuli. Kawan-kawan buli... dan kadang kala Pak Cik rasa guru-guru pun seperti membuli kerana sering menyuruh membuat pelbagai jenis kerja.. contohnya pergi-balik ambil buku atau barang, pacak khemah, menguruskan majlis... Pak Cik sungguh tidak puas hati!! Bila Pak Cik Dewasa, barulah Pak Cik menghargai sikap ibu dan bapa serta guru-guru. Pertama, oleh kerana ibu bapa sering menyuruh Pak Cik ke pasar, sejak kecil Pak Cik sudah mahir dua perkara: tawar-menawar semasa membeli barang dan pilih-memilih barangan terbaik. Secara tidak langsung, Pak Cik sudah tahu menilai yang mana satu bahan yang murah, segar atau baik. Kedua, suruhan guru-guru untuk melakukan atau menguruskan pelbagai perkara, telah memberi Pak Cik beberapa kelebihan:
  1. Tahu melakukan pelbagai perkara.
  2. Tahu mengurus dan mentadbir sesuatu aktiviti.
  3. Mempunyai ramai kenalan yang ditemui ketika melakukan pelbagai urusan dan aktiviti.
  4. Secara tidak langsung, Pak Cik mempunyai pengaruh dan sokongan yang besar.
  5. Mempunyai kemahiran sosial yang tinggi.

"Perkara-perkara tersebut telah membantu Pak Cik menjadikan mimpi-mimpi Pak Cik menjadi kenyataan biarpun Pak Cik mempunyai kelemahan yang nyata - miskin dan pendek. Tanggungjawab yang diserahkan pada Pak Cik ketika kecil telah menjadikan Pak Cik seorang yang yang tidak lembik, 'brutal' seperti 'mafia' TAPI 'brutal' Pak Cik adalah 'brutal' yang berteraskan iman dan taqwa!"

Pesan beliau,"Oleh itu, untuk ibu bapa dan guru-guru, ajarlah anak-anak atau pelajar untuk menjadi insan yang bertanggungjawab. Amanahkan kerja-kerja rumah (seadanya) untuk diselesaikan. Biar anak-anak menjadi cerdik akal dan badan. Salah satu perkara yang boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan akal dan badan ini ialah dengan adanya pembantu rumah. Kehadiran pembantu rumah akan menjadikan anak-anak 'lembik' dan tidak tahu mengurus diri sendiri.. apatah lagi untuk mengurus orang lain"

Beliau juga berulang-ulang kali memesan pada semua..bacalah apa-apa bahan yang boleh menambah ilmu dan pengalaman kerana membaca boleh mengubah cara minda seseorang befikir dan bekerja.

BEGITULAH... SATU LAGI SKETSA MIMPI-MIMPI LAMPAU TELAH MENJADI REALITI DAN MEWARNAI KEHIDUPAN SESEORANG PADA HARI INI....

2 comments:

kak cahaya said...

sangat setuju!!!

SevenDrops said...

Salam Kak Cahaya,

Apa khabar....?

Dah start camping ke?