Thursday 20 June 2013

Wednesday 19 June 2013

Doa

Beberapa hari lepas Gem 1 bertanya apakah yang saya doakan untuk anak-anak. Sudah tentu banyak. Kadangkala disebut satu persatu. Kerapkali pula berdoa semoga Allah mengabulkan keinginan mereka. Apa-apa yang mereka hajati. Saya tidak tahu. Dulupun, ibu bapa saya tidak tahu apa yang saya inginkan satu persatu. Saya percaya mereka mendoakan semoga Allah mengabulkan apa yang diinginkan anak-anak mereka.

Tapi kata Gem 1, dalam ceramah ustaz di surau, ustaz menggalakkan kita berdoa semoga anak-anak dan keturunan kita menjadi orang yang bertaqwa. Insan yang bertaqwa takut pada Allah. Takut pada Allah bererti patuh pada perintah dan laranganNya. Tidak bermakna jika anak-anak hebat tapi tidak takut melakukan dosa. Dilihat atau tidak dilihat. Taqwa menjadi sempadan antara yang membawa dosa dan pahala. Di sisi Allah, insan yang berjaya ialah yang bertaqwa.

Ragam hidup manusia pelik. Manusia kerap kali takut dan malu pada manusia. Tetapi, tidak pula takut dan malu pada Allah, Tuhan yang Mencipta. Mudah-mudahan anak-anakku tidak menjadi pelik begitu.


Saturday 15 June 2013

Masa

Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik... semester sudah hampir berlalu. Rasa seperti baru saja bermula. Hambatan kerja semakin bertambah. Hilang sudah keamanan masa lalu. Tapi, ada cara pengurusan stress terbaru! Kalau dulu, hari cutipun melihat-lihat e-mail. Sekarang, melihat-lihat e-mail di waktu cuti tidak dilaksanakan. Biarlah waktu kerja sahaja, kedatangan e-mail disemak. Hari cuti, hari beristirehat. Betul ke? Tidak juga. Ada pula jemputan kenduri!