Sunday 27 September 2015

Nostalgia 3 Ringgit Malaysia

Sepanjang 23 tahun perkahwinan, saya tidak pernah bersua dengan ibu mertua. Arwah ibu mertua dikhabarkan pulang ke Rahmatullah pada tahun 1990, bersamaan dengan Tragedi Muassim pada musim haji tahun tersebut. Beliau pergi mengerjakan haji tahun itu tanpa ayah mertua. Gesaan keinginan untuk mengerjakan haji kali kedua itu begitu kuat sehingga beliau tidak kisah jika pergi bersendirian.

Ketika kaum keluarga rasa syukur teramat kerana arwah ibu mertua terselamat daripada tragedi runtuhan terowong Muassim, tiba-tiba mereka menerima perkhabaran pula bahawa beliau meninggal di sana. Ia cuma demam-demam biasa. Namun, pemergian ibu mertua ke Rahmatullah sangat istimewa. Beliau meninggal di tempat yang istimewa selepas selesai mengerjakan ibadat yang istimewa, disembahyangkan oleh ratusan ribu manusia, jika tidakpun berjuta, dikuburkan pula di perkuburan Ma'ala - tempat persemadian ramai insan mulia.

Sudah tentu hati saya tertanya-tanya. Apakah amalan beliau yang istimewa di sisi Allah? Ada yang berkata, beliau sangat pengasih. Ada yang berkata beliau sangat rajin. Ada yang berkata beliau tidak meninggalkan sembahyang sunat Rawatib. Hakikatnya, tidak ada siapa yang benar-benar mengkaji kerana tiada siapa yang menyangka beliau akan mengakhirkan kehidupan dengan cara yang teristimewa.

Pada hari kedua Raya Aidil Adha yang lepas, seperti biasa kami akan berkampung di rumah pusaka mertua. Selepas pesta memasak dan memakan daging Qurban, kami semua bersantai-santai sebelum masing-masing pulang ke destinasi sendiri. Kali ini suasana meriah juga walaupun tidak dihadiri oleh Pak Dak dan Mak Dak (yang sedang mengerjakan haji) dan Mak Long (yang menjaga ibu tua). Ketika hari hampir senja, kami didatangi oleh seorang perempuan yang tidak dikenali. Katanya, beliau ingin berjumpa dengan Mak Cik empunya rumah ini. Sambungnya lagi, beliau selalu melintasi rumah ini, tapi tiada berpenghuni. Ditanya kenapa beliau sangat berhajat. Katanya, 34 tahun yang lalu, ketika beliau baru berkahwin dan singgah di rumah ini untuk menumpang tandas, beliau telah dihadiahkan RM3.00 oleh Mak Cik empunya rumah ini. Pemberian itu sangat berharga bagi beliau sehingga beliau bertekad akan membalas semula pada Mak Cik empunya rumah ini. 3 Ringgit Malaysia itu bukan hutang yang perlu dibayar. Ia hadiah.

34 tahun lalu apakah nilai 3 Ringgit Malaysia ketika itu? Apakah hajat yang telah dapat disempurnakan dengan hanya memiliki 3 Ringgit Malaysia  itu? Tidak tahu. Hanya Mak Cik si pemerima itu sahaja yang tahu. Ketika dikhabarkan kepada beliau bahawa Mak Cik empunya rumah ini sudah meninggal 25 tahun yang lalu, beliau menangis teresak-esak. Sedih kerana tidak sempat membalas jasa dan penghargaan.

Berpuluh tahun wanita ini dihambat rasa ingin membalas jasa. Pencariannya tamat ketika tahun Jubli Perak ibu mertua pulang ke Rahmatullah. Ia kelihatan seperti peristiwa kebetulan. Apakah ini jawapan pertanyaan yang sering bermain di minda saya bertahun-tahun? Apakah inilah amalan arwah mertua yang tampak sikit tapi sangat signifikan disisi Tuhan? Hanya Allah yang tahu. Nostalgia 3 Ringgit Malaysia .... sungguh istimewa. Ia seakan memberitahu insan-insan yang hadir ketika itu bahawa kita tidak tahu apakah sumbangan kita yang sangat menyentuh perasaan insan lain. Barangkali ia penyebab untuk mendapat kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Siapa tahu?