Saturday 30 July 2011

Salji di I-City

Beberapa tahun dulu, saya ada menulis entri "Dari Nottingham ke Lake District - Memburu Salji yang Hilang" kerana beberapa kali mengharungi musim sejuk tanpa salji. Suka benar dengan salji - suka tentang sejuknya, tentang putihnya, tentang suasananya ..... ahhhh... salji tetap akan menjadi satu perkara sentimental - kerana ia pernah menjadi satu simbol doa sekeluarga.

Semalam, kami menghampiri I-City lagi. Lama tidak berkunjung ke situ kecuali jika ada tetamu. Jika tidak mahu tenggelam dalam lautan manusia, usah menghampiri I-City selepas pukul 6 petang. Ketika kami singgah di situ untuk mengintai Snow Walk, rupanya ada promosi - pukul 10 pagi - 6 petang, dewasa cuma RM15 dan kanak-kanak, RM10. Kami datang semula sekitar pukul 3.30 petang. Terus mengambil tiket untuk masuk. Selepas membeli tiket, perlu ambil jaket. Alahai... bosan juga dengan layanan di situ. Disambut dengan muka yang muncung. Menjeling tajam bila minta ditukarkan jaket yang tidak berfungsi... seolah-olah mereka saja yang tuan dan kita cuma peminta-minta. Kalau disebut, mungkin kata rasis... tapi jika diberi pilihan, saya lebih suka dilayan oleh pekedai berbangsa Cina.. mesti layanannya mesra! Layanan... itu yang 'kurengggggggggg......', selebihnya kami menikmati suasana sejuk yang diimpikan. Untungnya, jika terlalu sejuk, boleh pulak bersantai di luar untuk merasa panas semula. Anak-anak nampaknya sungguh gembira. Gem 7 tidak habis-habis berkata -"It feels like England!". Entahlah.. tidak pasti dia masih ingat atau tidak, kenangan itu ketika dia berusia 3 1/2 tahun!




Friday 29 July 2011

Kecil tapi Besar

Hari ini merupakan hari kedua saya memandu sendiri pergi dan pulang dari tempat kerja. Ia bukan perkara biasa kerana saya tidak pernah memandu walaupun sudah hampir 3 tahun bermastautin di bandaraya ini. Jika ditilik pada lesen memandu, ia sudah berusia 22 tahun, lesen yang berasal dari New Yok State, USA. Pernah memandu di Binghamton, Boston (lebuh raya 6 lorong) dan Florida. Juga, pernah memandu sekadar berkisar di bumi Arau – rumah Mak Som, UiTM, Sekolah Tunku Budriah dan Tadika Huda. Kemudian, sejak tahun 2003, istilah memandu sudah luput. Memandu bukan tentang urusan tahu atau tidak, tapi tentang takut dan gentar. Apatah kini perlu memandu di kawasan yang dipenuhi 40000 pelajar, tidak termasuk pekerja dan pelawat. Kawasan sekitar tampak sempit dan mendebarkan.


Namun, teruja dengan cuti yang panjang, ruang yang lengang, maka bercita-cita semula untuk memandu semula. Sepatutnya Gem 1 yang akan mengasah kemahiran di stadium Seksyen 13. Malangnya, dari sehari ke sehari, ia ditunda. Lalu, Gem 1 mendaftarkan (he.. he... secara paksa) di Metro Driving, seksyen 7. Maka, 3 hari lepas, saya diajar oleh Encik Nizam, guru memandu berasal dari Kelantan.

Tanya Encik Nizam,”Kakak tidak tahu memandu langsungkah?”. Kata saya sambil ketawa,”Bukan soal tahu, tapi soal takut! Encik tolong ajarkan saya doa berani”. Lalu, Encik Nizam memulakan ceramahnya yang saya rasakan sangat menarik untuk dikongsi. Kata beliau,”Renunglah doa naik kenderaan kak. Memang kita sebagai manusia lemah dan tiada kuasa. Sebab itu setiap kali kita menaiki kenderaan, kita digalakkan berdoa naik kenderaan. Ia menunjukkan kita lemah tetapi dengan rahmat Allah, Allah memberi kita kekuasaan untuk mengendalikan kenderaan”. Sambungnya lagi dalam nada jenaka,”Memandu kereta automatik ni senang kak. Sekurang-kurangnya ia mengikut saja arahan kita. Memandu kuda lagi susah, sebab kuda akan ikut seleranya sendiri! Saya yakin dengan izin Allah, esok kakak akan memandu semula ke tempat kerja”.

Ketika memandu sendiri (dipaksa oleh Encik Nizam) untuk pulang dari stadium seksyen 13, saya masih berfikir-fikir, benarlah.. sungguh benar... keupayaan memandu adalah rahmat Allah. Nikmat Allah yang sering dilupakan kerana ia menjadi rutin. Syukur padamu Tuhan, kerana dengan kekerdilan ini, ia menyedarkan hambamu ini satu nikmatmu yang mungkin didustakan. Isu memandu nampak kecil dalam dunia moden, tapi ia isu besar jika dilihat antara  hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Dan Allah memberi peluang untuk saya benar-benar merasai rahmat Tuhan yang satu ini.

Wednesday 27 July 2011

Sehari di Praque, Republic Czech - Siri 2

Selesai menjengok ke kiri dan kanan, ke depan dan belakang factory outlet barangan kristal, kamipun mengambil keputusan mencari kedai-kedai yang lain. Nampaknya apa yang ada di depan mata kurang menarik perhatian. Kesian Kimi, anak rakan sekerja yang dari tadi mengheret beg kosong berkapasiti lebih 30 kilogram.. Kimi sediakan beg kosong untuk kami mengisi barang-barang yang ingin dibeli!

Kami menuju ke deretan kedai menghala ke satu 'square'. Kata Kimi, hampir setiap bandar kecil di Prague mempunyai 'square' masing-masing. Entahlah apa maksud sebenar 'square' itu. Yang pasti, ia satu padang yang luas berbentuk segi empat. Di sana ada taman bunga dan air pancuran. Pohon-pohon tinggi merimbun.. amat mendamaikan. Ada bangku-bangku yang disediakan untuk bersantai. Bunga-bunga melata dan berkembang. Kelihatan berkelompok manusia bersantai dan bersidaian.

Sambil berjalan-jalan, terjumpa sebuah kedai ais krim. Dalam panas terik, tentulah ais krim itu amat mengiurkan. Kamipun berbaris melihat-lihat ais krim sambil bertanya sesama sendiri, halalkah ia? Kata Kim, ia halal. Maka, kamipun sibuk memilih - satu cedok = 12 krona. Masing-masing mengambil 2 cedok = 24 krona. Nilai 24 Krona terasa besar bagi yang tidak fasih tukar menukar mata wang.  Kami menikmati ais krim di depan kedai tersebut. Ais krim yang dijilat terasa sungguh sedap dan asli. Di samping kami, ada beberapa meja dipenuhi orang-orang Czech. Aneh ya... mereka duduk berhadap-hadapan, tanpa senyum atau bersembang!

Kami menyusuri lagi jalan di sepanjang 'square' tersebut. Sambil memerhati keadaan sekeliling, saya mendapati keadaan di situ amat pelik. Anak-anak berlari-lari atau bermain atau berbasikal tanpa suara. Tidak kedengaran mereka bersembang-sembang atau ketawa mengilai. Dunia sekeliling sungguh sepi!

Akhirnya, kami menuju ke kedai kristal lagi. Malangnya, kedai itu bertutup dan bernota. kami mengagak kedai ditutup kerana pekerja makan tengahari. Kami masih menuggu dengan penuh harapan yang kedai itu akan dibuka sebentar lagi. Lutut semakin lenguh.. lalu saya katakan kepada Kimi,"Baca sekejap nota tu, apa katanya". Lalu, Kimipun membaca.. katanya,"Rasa-rasa ayat tu berbunyi 'sakit'? Lalu, kami ketawa beramai-ramai dan seperti dalam cerita P.Ramlee yang ada watak buta huruf, kami masing-masing membuat andaian sendiri - barangkali tuan punya kedai sakit. Aduhai.. penatnya menunggu, tunggu yang sia-sia. Lalu, kami berjalan lagi menuju ke tengah bandar kecil itu.

Sambil menunggu van mengambil kami di tangah bandar kecil itu, kami memandang-mandang alam sekeliling. Biarpun nama Praque terkenal seantero dunia, kehidupannya seperti masih di belakang. Kedai-kedai nampak muram dan tidak bermaya. Kedai baju lesu. Apabila van sampai, kami berpatah balik ke Praque. Pemandu van amat terkejut kami pulang dengan tangan kosong. Beliau hairan kerana  kami telah membayar sewa van yang mahal (Euro160 = RM720!), tanpa membeli apa-apa. Bagi kami, kami membeli penerokaan dan pengalaman.

Di Praque, perut terasa amat lapar. Kami mencari kedai Arab dan menikmati nasi di situ. Sepinggan nasi sekitar Euro20 = RM80 lebih. Selepas perut kenyang, Kimi membawa kami di masjid yang berdekatan. Alhamdullillah, berpeluang juga bersembahyang di bandar itu.

Selebih masa yang ada, kami merayau-rayau mencari Kristal yang dihajati dan menikmati kecantikan bandar ini.






Sekitar 2 jam lebih, kami berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke London semula. Pengalaman menaiki Ryanair malam itu mengerikan kerana Prague dilanda ribut kuat. Sesekali, rombongan budak-budak sekolah menjerit-jerit kapalterbang menjadi seperti 'roller coaster'. Ketika itu, lutut sudah terasa menggigil, kaki dan tanganpun sejuk kerana ketakutan. Mulut terkumat-kamit membaca apa sahaja yang diingati. Alhamdullilah, Allahlah yang menyelamatkan kami pada malam itu.

Ahh... sehari di Praque, rasa bagai mimpi. Sekejap di London (beza masa 7 jam dari Malaysia), sekejap di Praque (beza 5 jam dari Malaysia), sekejap ke London semula. Masa? Bercelaru! Jam di talipon masih waktu Malaysia.

Friday 15 July 2011

Sehari di Praque - Republic Czech - Siri 1

Berkunjung ke Kota Praque, Republic Czech pada 13/07/2011 bukanlah dirancang pada pada mulanya. Ia cuma pilihan selepas mencari pelbagai pilihan transit lain yang tidak menjadi. Rancangan asalnya ialah untuk ke Corfu, Greece, kami bercadang transit di Istanbul. Malangnya, untuk ke Corfu, penerbangan dari Istanbul tidak lancar. Terpaksa transit lagi. Ia bukan sahaja melibatkan masa, tapi melibatkan juga kos. Rupanya, dari hasil carian, dapatlah disimpulkan, untuk ke mana-mana negara Eropah, eloklah transit di London. Jumlah penerbangan bukan sahaja banyak, tetapi harganya lebih murah.

Lalu, disebabkan tarikh penerbangan antara KL-London dan London-Corfu memberi ruang 4 hari, kamipun mereka-reka dan merenung... negara manakah yang akan dilawati. Dalam kalut, kamipun terus booking penerbangan ke Praque, tiket pergi-balik London-Praque pada hari yang sama! Uh..uh... rasa macam lawak pulak! Tapi, itulah antara mimpi ke Praque yang tersirat tahun lepas yang dimakbulkan Tuhan pada tahun ini. Cuma, Allah memakbulkan dalam keadaan dan masa yang berbeza dari yang diangankan.

Banyak cerita lucu ketika sehari di Praque. Bermula dengan waktu pagi. Penerbangan ke sana dijadualkan pukul 6.15 pagi waktu tempatan London. Rumah yang ditumpang pula agak jauh dari Stanted Airport. Jadi, selepas balik dari berjalan-jalan di Oxford Street, makan, sembahyang, bersembang.. jam sudah menunjukkan pukul hampir 1 pagi. Sempat tidur sejam, kemudian bangun dan terus ke Gatwick Airport dan sampai di sana selepas hampir 2 jam lebih dalam teksi. Sesampai di sana, kami terus mencari pintu berlepas. Bila tiba, pintu berlepas masih ditutup, tiada satu manusiapun di sana. Semasa berpatah balik, 'ketua rombongan' tersilap tengok jam, ketika itu dia menjerit,"Cepat.. kita ada berapa minit lagi sebelum berlepas", kami yang mengikutnya berlari bagai tidak berpijak di bumi! Lintang pukang. Kalaulah boleh divideokan! Tapi.. dalam berlari masih ada hati untuk singgah di kedai Harrods...., kaki berlari, mata menerawang ke dalam kedai.  

Sesampai di kaunter pertanyaan, salah seorang ahli rombongan cuba bertanya jam pada waktu itu. Sebab pelik benar rasanya, jika sekarang pukul 6 pagi, kapal terbang bertolak pukul 6.15, tapi pintu berlepas masih tidak dipapar. Dijawab oleh pelayan kaunter,"Do I have a watch?". Hui... sombong betul.. sedangkan ada jam kelihatan di kawasan kaunter itu!

Setelah bertenang, kami mengira-ngira jam semula. Mana mungkin kami lewat, sedangkan semuanya mengikut waktu yang dijadualkan. Rupa-rupanya, si ketua tersilap tengok jam! Aiyoooo.... di pagi-pagi yang mulia dan sejukkkkk, kami sudah berpeluh dan termengah-mengah. Langsung dilucutkan jawatan ketua kumpulan itu!

Penerbangan di pagi itu amat baik. Di atas awan, hanya ada dua warna. Di atas, langit membiru. Di bawah, awan putih terbentang, terapung  melayang dalam paras yang sama. Kuasa Tuhan yang mengapungkan awan, ada di depan mata... terasa benar Allah amat beruasa, Dia hampir dan ada di mana-mana.

Ketika hampir mendarat, kelihatan bentuk muka bumi dan penempatan Republik Czech. Kelihatan banyak ladang-ladang luas terbentang seperti di UK. Cuma tompok-tompok rumahnya kelihatan jauh-jauh dan bilangan rumahnya juga kecil. Benarlah kata seseorang...Checz banyak pekan-pekan kecil.

Apabila mendarat, tidak tahu apa nak dikata. Mulalah acara bahasa isyarat. Nasihat kenalan, jika berada di negara-negara begini, kita lebih baik cakap bahasa melayu, kerana di sini mereka kurang suka Inggeris.

Tidak berapa lama, anak salah seorang ahli rombongan yang sedang belajar di sini, datang dengan van yang disewa. Tujuan van disewa untuk melawat kilang kristal Bohemia. Apabila melihat van nya, alahai... van angkut barang! Ada 6 tempat duduk. Cukuplah menampung kami berlima dan pemandunya. Perjalanannya agak jauh. Hampir 2 jam merentas ladang-ladang: gandum dan bunga matahari. Cantiknya ladang bunga matahari yang sedang mekar berkembang.... Sesekali, di kiri dan kanan, ada penempatan kecil. Kebanyakannya rumah flat lama. Tiada 'country house' seperti di UK. Dikhabarkan, hanya penduduk yang terlampau kaya sahaja, yang mampu memiliki rumah bangalow atau sesebuah. Sepanjang perjalanan, keadaan bandar-bandarnya nampak suram dan ketinggalan.

Setiba di pekan kecil itu, kami terus menuju ke factory outlet Kristal Bohemia. Tahulah saya pada hari itu bahawa Bohemia itu adalah salah satu daripada 3 daerah di Czech. Kristal Bohemia yang mahal harganya itu dibuat di situ. Apabila melangkah masuk, tiadalah barang yang dihajati. Cuma terpandang, kristal-kristal yang dibeli di carboot dulu rupanya amat mahal di sini!

Di depan factory outlet Bohemia Kristal, Daerah Bohemia, Republic Czech

Akan disambung siri ke 2. Sambungan Internet di Hotel Corfu Palace,Greece lambat dan di lobi ini suhunya panas!

P/S: Hello Gem1, Gem3, Gem4, Gem5, Gem6 and Gem7 ....... I LOVE AND MISS ALL OF YOU!!!!!!!
Greetings from Greece,
Mummy. 

Monday 11 July 2011

KL--LONDON

Sekarang jam menunjukkan pukul 12.28 waktu Malaysia. Baru sejam mendarat di London-Stanted. Jangkawaktu perjalanan hampir 14 jam. Walaubagaimanapun, perjalanan berlangsung dengan lancar. Juruterbang Air Asia hari ini bertugas begitu cemerlang. Masing-masing memberi markah 'A'.   Barangkali, kerana ada CEO nya bersama-sama dengan penerbangan itu.

Ketika hampir sampai, semua peserta rombongan Cik Kiah kali ini berdebar-debar. Risau tentang visa dan barangan yang caca merba. Gulai tempoyak pun ada! Macam-macam doa dibaca. Kami diberi visa tanpa banyak soal. Kemudian ke tempat bagasi, beg sudah berpusing-pusing menunggu. Alhamdullilah.

Rupa-rupanya rumah yang hendak dituju berada di tengah kota London. Tiket bas dibeli ketika 5 minit lagi bas akan bertolak. Apa lagi... marathon!

Akhirnya, dapatlah berada di dalam bas dengan aman. Tiba-tiba ternampak simbol wi-fi di dalam bas. Alhamdullillah.... negara maju.. bas yag sejam perjalanan inipun disediakan wi-fi yang laju.

Diluar, nostalgia padang-padang rumput, lembu dan kuda ada di depan mata.

Yes... it's nice to be back here! 

Wednesday 6 July 2011

Ha.. Ha.. Ha..

Ha.. Ha... Ha... Aku ketawa lagi untuk semalam dan hari ini dalam bosan dan malas.

Pintu Gol berubah lagi!!!!!

Dan aku bosan dan malas untuk bermain bola lagi .....