Wednesday 21 May 2014

Eyeless - Kucing Jalanan

Di sekitar kawasan rumah, banyak kucing-kucing tidak bertuan berkeliaran. Kerap kali mereka datang meminta makanan. Gem 7 dan Gem 5 rajin melayan. Bekalan makanan kucing selalu ada di luar rumah walaupun tidak membela kucing. Ada satu ketika, seekor kucing hitam akan selalu berlari-lari menyambut Gem 5 yang baru pulang sekolah atau surau untuk  meminta makanan.

Tidak berapa lama dulu, kami juga didatangi oleh seekor kucing putih, bermata biru dan berbulu gebu. Gem 7 gemar menyantuni si putih yang agak kotor itu. Kucing itu manja dan agak mengada-ngada. Namun, si putih itu ada perangai buruk. Suka kencing merata-rata. Paling pantang ditengoknya ialah bungkusan plastik. Pantang ia nampak, akan selamba kencing di atasnya. Langsir dan katil pun jadi mangsa. Pernah juga ia membuang najis di atas longgokan kain yang hendak dibasuh. Aduh! Terbakar perasaan dibuatnya. Lalu, diam-diam saya berdoa dengan doa "Ya Allah.. jika kucing itu buruk untuk kami, jauhkanlah". Rupa-rupanya, doa ringkas itu dimakbulkan serta merta. Kelibat kucing putih itu tidak lagi kelihatan di perkarangan rumah. Gem 7 pernah terserempak dan cuba untuk berbaik-baik dengannya. Si Putih itu terus berdengus dan lari .. seolah-olah tidak pernah mengenali dan bermanja. Allah..Allah..Allah... Sungguh! Kita tidak tahu saat manakah doa kita akan dikabulkan. Jika saya tahu, sudah tentu doanya panjang luar biasa!

Hilang si Putih, timbul pula kucing jalanan bermata satu. Cacat. Bulunya agak panjang. Agaknya, jika disolek, cantiklah ia. Namun, ia tidak bertuan. Bila lapar, datanglah menunggu di depan pintu. Selagi tidak kenyang, ia akan meminta-minta. Pun begitu, kucing ini lebih bersopan. Tidak masuk ke dalam rumah dan membuat onar.

Dua minggu yang lalu, nampak kakinya berdarah. Beberapa hari kemudian, kelihatan kukunya hampir tercabut. Kemudian kukunya tercabut dan lukanya membesar. Kemudian pula, ada ulat-ulat. Sehinggalah, pada hari Jumaat lepas, ia datang mengiau kuat. Makanpun tidak. Minta dengan berhemah untuk masuk rumah dan tidur di atas sofa dan katil! Sehingga lewat petang, badannya menggigil dan makin lemah. Ketika lewat petang, kami bertekad membawanya ke klinik. Klinik pertama, tiada doktor. Pusing pula mencari klinik kedua. Si Kucing yang lemah tadi mengiau-ngiau kuat. Takut agaknya berada di dalam kenderaan ataupun sudah sakit benar. Akhirnya, kami bertemu klinik kedua. Alhamdullillah.. ada doktor. Rupanya, kena mendaftar seperti mendaftar anak sakit. Bila ditanya siapa nama kucing ini, lalu saya berkata.. hah.. perlu ada nama kah? Ini kucing jalanan.. bukan kami punya. Lalu, saya teringat Gem 7 pernah memanggilnya Eyeless. Sempena dengan rupanya yang bermata satu. Ahh... Gem 7 sering berangan hendak memiliki naga yang benama Toothless seperti dalam filem How to Train a Dragon. Lalu, sayapun meletakkan namanya sebagai Eyeless. Kemudian, doktor panggil saya pulak ke dalam bilik untuk bersama-sama melihat pemeriksaan yang akan dilakukan. Aduh... kata saya, "Perlukah?" Ia seperti ke klinik membawa anak yang sakit! Lalu, saya menolak Gem 5 ke dalam. Saya mengikuti dari belakang. Rupa-rupanya, kucing itu sangat kesakitan. Demamnya mencecah sehingga hampir 41 Celcius!

Kini, Eyeless masih di wad. Kakinya telah dijahit. Demamnya telah sembuh. Kami tidak membawanya pulang walaupun doktor sudah memanggil kami untuk membawanya pulang. Mulanya, kami ke sana untuk bawa Eyeless balik. Tapi, doktor beri 3 uncang ubat untuk diberi secara berkala. Aduhai... tidak sanggup rasanya. Kata saya, "antibiotik anakpun selalu saya lupa, inikan pula untuk kucing!". Alternatifnya, kami memilih untuk biarkan ia terus diwad dengan bayaran tertentu. Rawatan sekeluarga ada insuran, rawatan kucing???

Selepas ini, di mana Eyeless akan tinggal? Kami tidak bersedia untuk membelanya secara formal. Entahlah... belum difikirkan.

Pun begitu, saya bersyukur... biarlah kami diuji untuk menyantuni kucing jalanan asalkan kami sekeluarga sihat selalu. Alhamdullillah.

Monday 19 May 2014

Peristiwa Kilometer 306.5 di Lebuhraya Utara Selatan

Pada lewat petang Ahad yang lepas, kami memulakan perjalanan ke Tronoh, Perak. Terpaksa bertolak agak lewat selepas perlu bekerja pada hari Ahad. Itupun, terpaksa meninggalkan kerja lebih awal kerana memikirkan perjalanan pergi dan pulang akan mengambil masa sekitar 8 jam. Pergi 3 jam. Sampai, berhenti makan dan sembahyang ... sekitar 2 jam dan balik semula sekitar 3 jam. Kami bertolak ketika jam menunjukkan lebih dari pukul 5. Hujan renyai-renyai. Trafik agak lancar menghala ke Utara walaupun kenderaan tidak putus-putus menuju ke Selatan. Seperti panorama cuti sekolah. 

Tiba di Kilometer 306.5, kenderaan kami mengeluarkan sedikit bunyi. Tidakpun sempat selesai bertanya kenapa kenderaan mengeluarkan bunyi berdecit-decit, Gem 1 mengarahkan kenderaan berhenti di lorong kecemasan. Lebuhraya gelap, hari hampir Maghrib, kenderaan yang melintasi semua laju-laju dan hujan renyai-renyai. Kali pertama keluar kenderaan, berdiri di lebuhraya sambil menunggu kereta Peronda lebuhraya untuk sampai. Untung Gem 3 ada Internet. Boleh Google Plus untuk membuat laporan. Kalau tidak, mesti terkial-kial. Nombor kecemasan tidak ada dalam simpanan. Tunggu kereta Peronda agak lama. Katanya sekitar 20 minit. Yang datang awal, tonto! Nasib baik sabar tunggu Plus. Bila kereta peronda datang, mereka cakap janganlah hendaknya kena tunda. Kereta tunda merekapun masuk workshop! Keretapun, bila dicuba hidupkan semula, dapat berjalan seperti biasa. Tapi, kami minta juga kereta Peronda mengiringi sehingga ke Tol keluar, takut kalau-kalau kereta berhenti semula. Alhamdullillah, ia tidak apa-apa lagi.

Pengalaman tersadai di lebuhraya ketika Maghrib, gelap, sejuk dan hujan renyai-renyai... huh! Bila pulang... Google... mendiang Karpal kemalangan di Kilometer 301! Sila berhati-hati ketika di lebuhraya.. apapun boleh terjadi pada bila-bila masa.

Thursday 15 May 2014

Awan pun Mengerti

Sukakah melihat awan? Dulu-dulu, ketika masih kecil, suka sangat melihat awan. Tidak tahu kenapa. Barangkali, awan berbentuk dinamik. Sering berarak sambil berubah bentuk. Kadang-kadang, ia sangat melekakan. Pernah juga berlumba-lumba mencari bentuk-bentuk di awan. Ada berupa penyu, ada berupa ikan, ada berupa rasaksa yang menakutkan. Tapi, ada satu bentuk awan yang masih saya kenang sehingga ke hari ini. Teringin juga untuk melihat semula. Sudah tentu ia seperti tidak mungkin berulang. Awan itu terbentuk ketika kami dalam perjalanan ke arah selatan. Tiba-tiba terperasan bahawa awan-awan di langit membentuk satu pemandangan persekitaran pantai yang pernah di lihat di alam nyata. Cantiknya. Takjubnya. Sehingga kini masih terkenang-kenang.

Ketika seorang sahabat menunaikan haji beberapa tahun lalu, beliau berkesempatan melihat gumpalan awan yang membentuk Allah dan Muhammad ketika berwukuf. Beliau sangat terkesima menyaksikan. Apabila beliau bercerita... ahh... teringin nya hati untuk melihat sama. Sudah tentu Allah memilih antara hamba-hambanya untuk menyaksikan. 

Beberapa hari lalu, saya menerima gambar ini dari seorang ustazah. Katanya, gambar ini diambil oleh adiknya sendiri yang berada di Brunei ketika Sultannya sedang mengisytiharkan untuk melaksanakan hukum hudud. Subhanaallah! Awan pun mengerti untuk turut bergembira. Antara kita? Masih ada yang suka dan tak suka. Kepada yang tidak suka.... apakah langit dan bumi ini anda yang punya? 


Sunday 11 May 2014

Patuh Syariah

Sejak kebelakangan ini isu patuh syariah tidak lagi janggal untuk disebut-sebut. Apa itu patuh syariah? Patuh syariah bererti kita menjalankan sesuatu perkara berlandas hukum Allah. Jika beberapa dekad dulu, kebanyakan kita yang beragama Islam memikirkan untuk menjadi Muslim hanya perlu lakukan sembahyang, puasa dan zakat. Itupun belum sempurna. ada yang tidak sembahyang tetapi puasa berhabis-habisan. Ada yang sembahyang dan puasa, zakat pula diabaikan. Kemudian, kita menjadi prihatin dan patuh syariah di dalam bab aurat pula. Kita akur bahawa cara berpakaian juga boleh mengumpulkan dosa dan pahala. Bertutup tapi ketat dan sendat tidak dikira. Jarangpun, berdosa juga! 

Lama-lama, kita melangkah lebih jauh iaitu membincangkan tentang urusan duit ringgit pula yang perlu patuh syariah. Maka muncullah perbankan Islam. Kini, berurus niaga secara Islam tidak lagi janggal. Jika dulu perlu pergi ke Bank Islam sahaja. Hari ini, boleh pergi pada kebanyakan bank kerana bank lain juga menawarkan perkhidmatan perbankan yang patuh syariah.

Orang kita rajin juga bergolok gadai ketika kesempitan wang. Maka,  ada pihak yang terlibat mengkaji bagaimana untuk melaksanakannya secara patuh syariah. Lalu, lahirkan perkataan ar-Rahnu.. pajak gadai secara Islam. Kemudian, pihak yang terlibat pula memikirkan bagaimana untuk membuat pelaburan menurut landasan Islam. Maka akhirnya kita boleh melihat papan tanda iklan yang mengiklankan pelaburan secara patuh syariah. Kenapa perlu sangat patuh syariah? Kerana ia melibatkan isu wang. Takut terjebak dengan riba. Dosa riba adalah dosa besar yang berjangkit dan berantai. Semua yang terlibat dalam urusan itu terpalit sama dosanya. Yang meminjam, yang menaip borang pinjaman, yang mengurus pinjaman, yang menandatangai sebagai saksi, yang menghantar borang dari satu jabatan ke satu jabatan... semua terlibat sama. Tidak kira pangkat dan gaji. Berapa ramai yang tidak mendapatpun wang pinjaman itu, tapi perlu menanggung dosa yang besar kerana alasan kerja.

Maka umat Islam di negara kita melangkah tapak demi tapak untuk menyempurnakan Islam sebagai satu kepercayaan dan cara hidup yang menyeluruh. Ke arah Islam 100%. Kerana di sisi Allah, hanya Islam 100% sahaja yang diterima. Memiliki Islam 99.999999 % pun belum menjadi Islam yang sempurna. Malah memungkinkan keislaman kita runtuh semuanya. Sekali memeluk Islam, wajib Islam selamanya. Runtuh bererti sudah terpisah dari agama. Azab neraka akan menantinya.

Hari ini, masyarakat kita sibuk pula berbincang tentang undang-undang Islam. Undang-undang tentang nikah kahwin sudah lama terpakai. Undang-undang jenayah yang tidak digunapakai lagi iaitu disebut hudud. Ramai yang menyokong untuk melaksanakannya. Ramai juga yang membantah. Ketika Karpal masih hidup, dia dijadikan sasaran sebagai pembangkang tegar untuk melaksanakan hukum Hudud. Hari ini DAP dan MCA pula yang sangat rancak membantah. Salahkah mereka membantah? Tidak salah. Jika mereka benar-benar faham tentang hudud, mungkin mereka akan tersipu-sipu malu. Sibuk-sibuk membantah sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan urusan hidup dan agama mereka. Yang salahnya ialah jika seorang Muslim yang membantah! Seorang Muslim yang membantah bererti dia tidak patuh kepada undang-undang Allah. Lalu Muslimkah kita lagi kerana bantahan itu? Mohon disimpangkan Allah dari bala tidak mengakui undang-undang Allah. Kenapa perlu takut kepada hudud? Hudud hanya menghukum orang-orang yang bersalah. Tidak nampakkah jenayah yang ada di depan mata? Sangat banyak dan menakutkan! Jika tidak bersalah kenapa perlu takut? Takut atau tidak bukan soalnya. Soalnya, hukum Allah perlu tertegak. Jika tidak, kita hamba siapa?

Barangkali kita perlu menghitung semula keislaman kita. Apakah ertinya saya menganut Islam? Bacalah bukunya oleh saudara Fathi Yakan.  Hukum Allah jangan dibuat main-main. Allah hanya menerima Islam yang 100%. Bukan Islam yang ikut suka hati. Mudahan-mudahan kita memiliki Islam 100% dan hidup dan mati dalam keadaan patuh syariah. Amin.

Tuesday 6 May 2014

Kita Diuji

Kita sentiasa akan diuji dengan susah payah dan kesenangan hidup. Itu janji Allah untuk makhlukNya yang berkategori sebagai manusia. Kenapa Allah menguji? Kerana Allah akan memilih siapakah hambanya yang berkualiti. Hadiah bagi manusia yang terpilih ialah syurga yang datang bersama nikmat dan kesenangan untuk selama-lamanya. Jika tidak terpilih? Balasannya ialah neraka. Penuh azab dan sengsara.

Maka setiap saat kita sedang diuji. Tiada ramalan soalan untuk dicuba-cuba. Tiada cubaan kali kedua. Ia seperti redah dan lalu.

Semalam kita diuji. Hari ini kita sedang diuji. Esok juga begitu. Ia datang bertalu-talu. Tepis pun datang. Elak pun, ia datang juga. Berlaripun akan dikejar.

Ujian datang dari pelbagai sudut. Jenisnya beraneka. Ada kala ujiannya berantai-rantai. Lalu, terkenang kepada Mak yang sedang diuji. Mak seorang yang berdikari. Tua dan separa buta tidak menganjakkan tekad beliau untuk hidup sendiri di rumahnya. Kini, sudah lebih 7 bulan Mak tidak mampu berdiri apatah lagi untuk berjalan-jalan. Ia bukan hanya ujian untuk Mak. Ia dugaan untuk semua anak,cucu dan cicitnya. Mampukah kita meredah bersamanya dan redha.

Ujian boleh datang sekecil-kecilnya seperti digigit oleh seekor semut. Ujian juga boleh berbentuk dengan wang ringgit yang berbakul. Ujian mungkin datang dengan kesempitan hidup. Ujian pula mungkin berbentuk rasa ... rasa marah.. geram ... gembira....

Ya.. kita diuji. Untuk dulu, kini sehingga hayat masih ada. Dan Allah sedang memilih yang manakah antara hambanya yang berkualiti. Bagaimana untuk menjadi hamba yang berkualiti. Tanyalah Ustaz!

Sunday 4 May 2014

Entah Mimpi Apa

Selepas selesai pengajian, hanya sekali saya menghubungi Penyelia PhD (Penyelia kedua) untuk mengucapkan terima kasih di atas segala pertolongan beliau di saat saya susah. Saya hanya mendengar cerita tentang beliau dari jauh. Dia sudah tua.. saya kira dia sudah bersara.  Lagipun, kedudukannya yang berprestij menjadikan saya rasa sangat kerdil untuk berurusan dengannya.

Hari ini, ketika terpandang e-mail beliau, hati saya terus bertanya, atas mimpi apakah dia menghubungi saya. Dia.. Colin Harrison. Dia merupakan bekas presiden "Reading Literacy" untuk UK dan masih menjadi jawatan kuasa International Reading Association (IRA) yang bertanggungjawab mengkaji tentang isu baca. Mereka merentas jalan untuk menerokai keajaiban perilaku 'baca'. Ketika dia mencadangkan saya bersamanya mengkaji tentang baca, beliau sudahpun merentas teori tentang itu sekitar 10 tahun sebelumnya. Dia dan rakan-rakannya banyak mengkaji tentang isu baca. Satu bidang yang tidak pernah terlintas untuk saya mendalaminya biarpun perkataan 'baca' sepatutnya membawa impak yang tinggi untuk seorang Muslim. Bukankah arahan pertama untuk umat Nabi Muhammad SAW ialah Iqra', bacalah!

Kehadiran e-mailnya seperti membuka sketsa silam. Ketika saya berlinangan air mata memikirkan keputusan viva. Beliau pun berlinang air mata juga dan berkali-kali memohon maaf kepada saya kerana mengheret saya bersama dengan kegilaannya mengkaji tentang baca. Ketika menyapu airmata sayapun berkata dengan nada tersekat-sekat.. saya tidak pernah menyesal untuk berkecimpung dalam bidang baca. Kata saya, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk sama-sama menyelidik dan mencari hikmah di sebalik perkataan baca. Satu perkataan agung dari Allah. Kata saya padanya, perkataan baca pada seorang Muslim sangat berharga. Ia arahan pertama dari Allah.

Jauh di sudut hati, saya masih berharap dapat berdamping dengan mereka lagi untuk menerokai bidang baca. Mudah-mudahan e-mail nya kali ini akan membawa saya ke impian itu.