Wednesday 30 December 2015

Selamat Tinggal 2015

Selamat tinggal 2015. Setahun lagi sudah berlalu. Seperti baru semalam menghamparkan pelbagai harapan, keinginan, impian, cita-cita, keazaman dan berbagai lagi yang tidak terucap dan tersirat.

Selamat tinggal Mak. Rupa-rupanya tahun 2015 menjadi sempadan masa antara seorang anak dan ibunya.

Semoga tahun 2016 membawa sinar yang lebih cerah.

Thursday 17 December 2015

Menjadi Minimalis

Apa itu minimalis?  Kerap benar terdengar perkataan itu sejak kebelakangan ini. Pada sesetengah kelompok, minimalis digunakan dalam karya dan rekabentuk. Tidak kira rekabentuk apa - poster? Rumah? Bilik? Iklan? Kebun? Kasut? Baju? Ada kalanya rasa sangat tertarik dengan rekabentuk itu. Ringkas tapi cantik.

Lalu, saya mencari apakah yang dikatakan minimalis itu. Asasnya konsep minimalis ini telah lama diutarakan iaitu sekitar tahun 1960an.  Ia sudah lebih separuh abad. Minimalis bolehlah digambarkan sebagai satu konsep yang memberi tumpuan kepada yang perlu sahaja dan membuang unsur-unsur yang tidak perlu diberi perhatian. Ia berasaskan objektif dan bagaimana untuk mencapai objektif itu secara minima. Jika rumah berserabut dengan segala perhiasan di sana sini, aplikasi konsep minimalis akan menjadikan rumah itu hanya diletakkan perabut keperluan sahaja. Hiasanpun mengambil ruang yang minima. Sekali pandang, hati tenang. Agaknya itulah konsep yang dipakai di bilik-bilik hotel. Ringkas, kemas dan tenang.

Namun, minimalis membawa saya menganalisa kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW kita. Bukankah beliau seorang yang minimalis? Berapa pasang jubah yang dimilikinya? Apakah yang ada di rumahnya? Dari ceramah-ceramah perihal kehidupan baginda, bukankah nabi kita yang terakhir itu seorang manusia yang memperkenalkan dan mengamalkan konsep minimalis? Malah, sahabat-sahabatnya yang kaya raya telah mensedekahkan sebahagian besar harta dan hidup dengan harta yang sangat minima. Begitulah. Ketika kita kagum dengan konsep moden, konsep kontemporari... rupa-rupanya Islam sudah telah memperkenalkan dengan contoh terbaik sejak lebih daripada 1400 tahun dahulu!

Tetapi, kenapa kita tidak tertarik? Saya kira ia bergantung kepada bagaimana kita mempraktikkan. Kita merujuk minimalis kepada zuhud. Seringkali cara zuhud dilaksanakan tidak meletak ke tahap profesional, glamor dan elegan. Seringkali yang mengaku mengamalkan zuhud berbaju comot, lusuh dan serebeh. Berkenderaan buruk. Rambut / misai / tudung berserabai. Konsepnya bagus, tapi perlaksanaannya menggambarkan kehidupan zuhud itu perlu miskin dan compang-camping. Kasta hidup rendah.

Tidak bolehkah kita jadikan konsep zuhud itu seindah konsep minimalis? Kita boleh memiliki hanya 2 pasang baju, tetapi 2 pasang baju yang kita miliki dan pakai setiap hari itu kemas dan elegan? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki kenderaan dengan hanya memiliki 1 sahaja bilangannya, tetapi kenderaan itu adalah yang terbaik yang kita mampu miliki? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki hanya sebuah rumah, tetapi sebuah rumah terbaik yang kita mampu miliki? Maka, saya kira jika kita meletakkan zuhud pada tahap yang terbaik, ia bukan lagi satu kaedah hidup dalam Islam yang kurang diminati. Ia sepatutnya melebihi elegan konsep minimalis itu dan yang pasti mendapat Rahmat dan Keredhaan Ilahi. Dapat pahala ikut sunah lagi!

Mampukah saya menjadi minimalis? Sedang berkira-kira. Tetapi ia perlukan satu kekuatan yang luar biasa!


Tuesday 15 December 2015

PT3 oh PT3: Penyupun boleh Terus Menangis!

Sudah tersurat, tahun ini saya juga mempunyai seorang anak yang perlu berdepan dengan kecelaruan PT3. Seperti tahun lepas. Ia bercelaru. Tahun ini celarunya lebih teruk. Jika penyu perlu mengambil PT3, maka sudah pasti ia akan terus menangis seperti menangis kehilangan telur-telurnya.

Tahun ini saya menyaksikan Sekolah Seksyen 7 tidak mendapat seorangpun pelajar yang mendapat 'straight As' daripada bilangan pelajar 442 orang. Khabarnya sekolah elit Seksyen 9 pun hanya mampu menghasilkan hanya seorang 'straight As'. Sudah tentu ia melemahkan harapan ibu bapa. Kerana bilangan A juga yang akan dipandang untuk meneruskan ke sekolah berasrama penuh.

Semalam, Gem 6 sibuk mengisi borang untuk ke asrama penuh. Amat terkejut kerana pilihan sekolah yang tertera hanya 6 sahaja daripada 69 buah yang ada! Berkali-kali mouse disorong untuk pilihan yang lebih. Ia tidak bergerak. Hanya itulah pilihan. Lalu, ketika hari larut malam, saya terus menalipon rakan sekolah yang hampir. Meminta pandangan. Beliaupun terkejut dengan keadaan itu, lalu menalipon seseorang yang lain. Lalu, seseorang itu memberitahu bahawa para pengetua sekolah berasrama penuh sudah membuat keputusan untuk tidak mengambil pelajar untuk ke tingkatan 4 kerana tidak percaya kepada keputusan PT3. Lalu, keluar pula cerita-cerita bahawa ada sekolah-sekolah yang 2 bulan lebih awal telah meneliti dan memberi peluang pelajar mencuba-cuba menjawab soalan PT3. Ia mungkin cerita. Tapi di negaraku yang tercinta ini, cerita-cerita dongeng itulah yang selalu menjadi nyata.

Ada pula yang berkata, penutupan ambilan itu kerana kita sudah kehabisan wang untuk mentadbir. Lalu, hati kecil saya bertanya dan bertanya ... ketika hasil negara melimpah ruah - minyak, balak, getah, timah dan air juga dijual, duitnya hilang di mana? Siapa yang menjaga? Siapa yang berkata menjaga segala ketuanan kita, tapi akhirnya hilang satu per satu di depan mata? Seperti anak bangsa kita hilang duit biasiswa, diganti dengan sistem pinjaman pelajaran yang menekan kehidupan anak-anak muda. Kali ini, anak bangsa kita juga yang tidak dapat berpeluang ke sekolah asrama, kerana caca merba yang ada. Lalu, tuan manakah yang dijaga? Hati saya bertanya dan terus bertanya... 

Saat ini hati saya terus menangis.. bukan sekadar kecelaruan PT3... tapi pada nasib kita yang seterusnya. Ya Allah bantulah kami. Berilah kami jalan untuk kebuntuan yang dicipta oleh manusia-manusia ini. Pasrah.

Tuesday 8 December 2015

Kita yang Merancang

Setiap hari kita akan merancang sesuatu. Kadang kala ia dinyatakan dengan kata-kata, kadang kala ia dinyatakan secara bertulis dan kadang-kadang ia hanya disebut di hati. Kerap kali juga rancangan sering berbaur dengan angan-angan. Rancangan perlu ada perlaksanaan, sedangkan rancangan akan segera bertukar menjadi angan-angan jika ia kekal tanpa sebarang usaha.

Seperti Gem 6 teringin sangat untuk memiliki threadmill. Katanya, berat badan beliau akan berkurangan jika ada alatan itu nanti. Namun, untuk menyampaikan hajat beliau, selalu tergendala. Atau sangat berkira-kira. Hendak dibeli versi elektronik, bukan setakat harganya yang mahal tetapi saiznya besar. Sehingga tidak tahu di mana hendak diletakkan. Jika ingin membeli yang manual sahaja, tidak pula dijual di kedai-kedai peralatan sukan. Yang ada pilihan, cuma belian secara online. Tetapi gusar pula, takut-takut bila barang sampai, tidak kena dengan kehendak. Di mana pula hendak dibuang. Persoalan-persoalan itu berlegar-legar di kepala. Sehinggakan Gem 6 sudah bosan menunggu. Sedangkan saya pula sudah mula ingin marah. Tidak tahu pada siapa. Tetapi yang pasti kepada kelewatan untuk membeli satu sahaja barang. Bukannya beribu-ribu barang.

Dua hari lepas, saya ke rumah anak saudara yang berdekatan. Kakak ipar memerlukan sedikit urutan kerana kesakitan untuk mengangkat tangan. Bagi saya inilah peluang keemasan untuk mempraktikkan satu kemahiran baru yang diperolehi. Lucu ya dalam hidup ini. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki kemahiran baru yang satu ini. Tetapi sudah tersurat! Ketika berbual-bual, tetiba terkeluar isu untuk memiliki threadmill. Rupa-rupanya anak saudara memiliki alatan itu dan ingin pula melupuskannya atas alasan mereka akan berpindah ke rumah yang lebih kecil. Akhirnya, alatan yang berbulan disebut-sebut itu dibawa pulang dengan senang dan secara percuma. Sedangkan niat untuk membelinya sudah tertanam berbulan-bulan seperti ada halangan untuk berbuat demikian. Sebelum pulang ke rumah pada malam itu, terpacul kata-kata dari anak saudara, "Ya.. kita tidak tahu perancangan Tuhan... kita merancang.. tapi DIA juga merancang untuk kita". Sungguh... Allah MAHA Mendengar... biarpun hanya sekecil-kecil permintaan! Dan DIA mengatur aturan yang MAHA Sempurna.

Sunday 6 December 2015

Langkah Pertama

Kerana ingin mencari kekuatan, maka langkah pertama dimulakan. Memang sedikit huru-hara. Tapi selepas ini sudah nampak sedikit jalan untuk memperbaiki persembahan. Bukan senang untuk orang yang tidak mahir dan tidak berkebolehan untuk mencuba sesuatu yang baru. Namun, hambatan keinginan masih  kuat, maka kegilaan baru ini perlu diteruskan!


Monday 16 November 2015

Mencari Kekuatan

Pada 15 November 2015, saya hadir juga  ke The Straight Path Convention. Tapi kehadiran saya hanyalah sebagai peserta. Sepatutnya, jika saya ada keberanian, inilah konvensyen pertama yang membuka peluang kepada saya  untuk memberi ceramah pada khalayak ramai tentang buku yang ditulis. Ia konvensyen besar. Kata penganjur, 2000 tiket habis terjual. Ketika saya dan Gem 3 sampai, orang sedang berpusu-pusu menuju ke kaunter pendaftaran. Melihat gaya khalayak yang hadir, sempat saya membisikkan ke telinga Gem 3, jika saya hadir hari ini sebagai penceramah... mungkin saya akan pengsan berkali-kali. Saya boleh bayangkan kegemuruhan darah yang akan saya alami. Lalu, ketika saya mendapat tempat duduk di majlis itu, saya terus mengambil gambar pentas itu sebagai kenangan-kenangan. Melihat kedudukan pentas dan susunan khalayak penonton yang berbentuk separa bulat sudah membuatkan hati saya tidak putus bergetaran! Fuh!... saya bersyukur kerana tidak menerima pelawaan itu. Saya tidak menyangka hadirin yang penuh dari beraneka usia dan latar belakang.


Majlis dimulakan dengan ucapan dari Mufti Menk - salah seorang penceramah yang diminati. Selama ini saya hanya berpeluang mengikuti dari YouTube sahaja. Dua slot untuk beliau seperti tidak cukup. Penerangannya jelas dan logik. Tidak melalut dan tampak benar bersedia. Beliau ke pentas dengan menggunakan handphone sahaja. Ringkas dan mudah.

Penceramah kedua seorang lawyer. Saya kira beliau hadir ke pentas tanpa perlu gusar tentang apa-apa. Seorang lawyer pasti berani dan hebat berkata-kata. Pun begitu, ketika menjejak kaki ke pentas dan berhadapan dengan khalayak, suara beliaupun bergetar sambil berkata I'm trembling.. I'm trembling.. Beliau yang gagahpun mengambil masa beberapa minit di pentas untuk bertenang.

Datang pula penceramah seterusnya, seorang muallaf berbangsa Inggeris. Saya kira, penceramah kali ini tidak perlu gusar tentang apa-apa juga. Beliau sudah tentu fasih berkata-kata di dalam bahasa ibundanya! Pun begitu... suaranya bergetar juga. Dalam getaran itu beliau berkata berkali-kali I'm shaking.... I'm shaking.. I need chair to sit.. 

Maka, setelah selesai konvensyen itu pada waktu hampir Maghrib, saya keluar dari dewan itu dengan harapan baru.. Ya.. tidak mengapa untuk berasa gemuruh.. ia semulajadi tanpa mengira kekuatan seseorang.. Bolehkah pentas itu saya takluki satu hari nanti? Sedang mencari kekuatan diri...


Tuesday 10 November 2015

Sekarang!

Empat hari yang lepas saya dikejutkan dengan kematian rakan sekerja yang hampir. Seperti tidak percaya. Berkali-kali saya membuka dan menutup semula whatapps. Seperti mencari-cari tentang kesahihan berita. Saya kira si arwah masih muda dan bertenaga. Beliau tidak kelihatan sakit. Kematiannya seperti satu penampar keras yang hinggap di pipi saya. Peringatan dari Allah agar tidak terleka.

Kerap benar kita berkata.. bila pencen nanti kita akan buat itu dan ini. Bila pencen nanti .. kita akan menjadi Muslim yang lebih baik. Lepas pencen nanti.. kita akan buat seribu kebaikan. Bila kita pencen... Namun, kita tidak tahu, apakah nikmat pencen itu adakah akan jadi milik kita? Hidup sangat singkat. Sedangkan esok belum tentu kita yang punya. 

Ketika terbayang-bayang rupa si arwah, lalu saya berpesan pada diri sendiri... jangan tunggu esok atau lusa untuk menyempurnakan tugasan hidup yang ditentukan Tuhan. Segalanya perlu dikatakan - "Lakukan SEKARANG!" ya "SEKARANG!" kerana sesungguhnya kita tidak tahu panjang manakah umur kita yang masih bersisa.

Thursday 5 November 2015

Mencari Makna Bahagia

Dua hari lepas saya ditunjukkan oleh rakan sekerja satu video pendek temuramah seseorang dengan seseorang yang lain ala 'Oprah Winfrey Show'. Tidak tahu siapakah yang menemuramah dan siapakah yang ditemuramah. Tidak penting untuk diketahui. Yang penting isinya. 

Kata lelaki yang ditemuramah itu, untuk mencari bahagia perlu ada beberapa perkara. 

Perkara pertama, jaga hubungan baik dengan Tuhan. Hubungan yang baik ini akan menjadikan kita lebih rasa selamat. Jika ada apa-apa masalah, kita ada tempat mengadu. Lelaki ini bukan penganut Islam. Dia boleh berkata begitu. Apatah lagi kita sebagai seorang Muslim yang mengaku bahawa Allah Tuhan kita yang memiliki segalanya. Kita akan rasa selamat InsyaAllah dengan bertawakal hanya pada Allah. Menyandarkan segala kesulitan dan kesedihan.

Perkara kedua, jangan sandarkan kebahagian kita dengan siapa atau apa. Contohnya, kita hanya akan bahagia jika kita ada ibu bapa yang baik. Atau kita akan rasa bahagia jika kita berkahwin. Atau kita akan rasa bahagia jika kita mempunyai rumah besar. Jika kita begitu, kita tidak akan bahagia. Lalu, saya merenung pada diri sendiri. Sepanjang hidup ini, saya sering sandarkan kebahagiaan kepada sesuatu. Contohnya, saya akan bahagia jika saya mendapat PhD. Selepas mendapat PhD, saya sandarkan harapan kepada sesuatu yang lain pula. Akhirnya, kebahagian seperti fatamorgana (mirage), di tengah-tengah panas, dari jauh ia kelihatan seperti kelopak air yang mengiurkan, bila sampai, kelopak air langsung tiada. Ia hanya bayangan. Jadi, kata lelaki itu, jadikan kita sendiri sebagai pemilik kebahagian itu. Jika kita ingin rasa bahagia, kitalah yang patut meraihnya, tidak perlu kepada sesiapa atau sebarang peristiwa - "We own our happiness".

Perkara ketiga, jadikan kebahagiaan ada di sepanjang peristiwa hidup kita, bukannya di akhiran. Contohnya, kita sering berkata, kita akan bahagia selepas kita memiliki sesuatu. Sepatutnya, kita perlu berbahagia ketika kita sedang mengejar sesuatu, bukan sesudah itu. Seperti, suatu masa yang lama dulu, saya kira saya akan bahagia jika saya mempunyai anak-anak yang sudah dewasa. Mereka sudah berdikari dan tidak merengek meminta itu dan ini. Tetapi, kini, ketika kebanyakan daripada mereka sudah dewasa, barulah saya sedari bahawa kerenah mereka ketika kecil itu sebenarnya membahagiakan. Jika masa boleh diputarkan semula, saya ingin sekali menikmati hidup yang masa lalu itu.

Keempat, saya sudah lupa apakah istilah yang digunakan oleh lelaki itu. Tetapi, dari penceritaannya bolehlah saya simpulkan bahawa yang dimaksudkan beliau itu ialah 'redha'. Jika kita redha dengan suratan Allah, maka sesungguhnya dalam apa jua keadaan yang ditimpakan, kita akan merasa bahagia.

Manisnya kata-kata lelaki ini yang sesuai untuk diambil pengajaran!

Saturday 31 October 2015

Rindukan Awan

Pernahkah anda merindukan awan? Tidak ada peribahasa orang tua-tua tentang rindu seperti itu. Yang ada cuma "seperti pungguk rindukan bulan". Bulan ialah satu objek tunggal.  Ia istimewa kerana padanya ada sinar, dan sinarnya mencantikkan malam. Bulan ialah satu objek statik sebab bentuknya tetap bulat walaupun ia boleh kelihatan di mata seperti berubah-ubah... ada anak bulan, bulan sabit, bulan separuh dan bulan mengambang. Sebaliknya, bentuk awan tidak tetap. Berubah-ubah bentuk dan kedudukan. Jarang manusia berkata rindukan awan kerana rupa bentuk dan parasnya.

Tetapi, sesiapa yang merasa sesak nafas untuk ke sekian masa yang panjang, bergelumang dalam jerebu, tiba-tiba terasa sangat rindukan awan. Nampak awan  di langit bererti tiada jerebu yang menyekat pemandangan. Dada terasa lapang. Beberapa hari lepas, ketika kali pertama nampak langit biru dan awan-awan berterbangan.. kedengaran diri sendiri dan rakan-rakan berkata ... uhhh Alhamdullillah dah nampak awan. Ya.. ketika waktu terhimpit dengan alam berjerebu.. ketika itu kita akur bahawa awan adalah rahmat Allah yang besar untuk seluruh manusia. Awan lambang rahmat hujan. Banyak kali di dalam Al-Quran Allah menyuruh manusia melihat kekuasaanNya dari kejadian awan dan hujan. Kadang-kadang kita terlepas pandang kerana kebiasaannya awan sentiasa ada di atas kepala. Bila awan hilang seketika... rupa-rupanya kita rindu padanya! Kita jadi rindu pada rahmat Allah yang satu itu. 

Tuesday 20 October 2015

Hanya Satu Talian Hayat

Kita hidup di dunia hanya sekali. Itulah yang wajib dipercaya sebagai seorang Muslim. Susah, senang, sedih atau gembira akan bercampur baur semasa kita merentasi satu-satunya garis masa yang kita ada. 

Pernahkah kita ingin mendakap masa supaya ia tidak terlepas kerana pada ketika itu kita sangat bahagia? Tapi detik itu akan pergi jua. Terasa amat pantas. 

Pernahkah kita ingin menendang masa supaya ia cepat berlalu kerana pada ketika itu kita dirundung sedih dan kesukaran? Tapi detik itu tidak dapat diputar laju. Terasa amat perlahan.

Semalam, genap 9 bulan pemergian Mak ke Rahmatullah. Lalu, saya merenung kembali masa-masa yang telah berlalu bersamanya. Terasa benar, jika ada keupayaan ingin memutar kembali masa. Agar dapat menjadi seorang anak yang lebih baik. Dapat menyantuni Mak di saat-saat dia sangat memerlukan sebagaimana dia telah menyantuni saya yang melebihi jiwa raganya. Ketika akur bahawa kita tidak ada upaya untuk memutar kembali masa, maka kesedaran paling dalam pun timbul... sesungguhnya kita hanya ada satu kitaran masa yang hanya akan bergerak pantas menuju jalan penamat.  Beruntunglah sesiapa yang sentiasa memesan diri bahawa hidup kita dan hidup semua insan di sekitar hanya ada sekali. Mudah-mudahan kita sentiasa ingin jadi terbaik untuk setiap detik yang terlintas. Kita hanya ada satu talian hayat untuk disempurnakan. 

Wednesday 7 October 2015

Untuk Cemerlang - Jaga Ibadah

Semalam, ketika dalam perjalanan ke pejabat, sempat terdengar ngomelan ringkas Dr. Fadzillah Kamsah, Pakar Motivasi, di radio Sinar, siaran retro. Dalam ramai-ramai pakar motivasi, saya kira Dr Fadzillah adalah antara golongan kecil pakar motivasi yang masih relevan walaupun telah lama di bidang ini. Ada segolongannya yang sudah pupus di tengah jalan. Apa kata Dr. Fadzillah?

Kata Dr Fadzillah, beliau pernah ditanya bagaimana untuk mendapat anak yang cemerlang? Kata pakar ini, jawapannya mudah. Ibu bapa perlu menjaga ibadah. Hubungan dengan Allah perlu sentiasa dijaga kerana Dia lah Pemilik semua jenis kecemerlangan yang ada. 

Saya bukan pakar motivasi. Tapi saya pernah ditanya soalan ini oleh anak-anak saudara. Barangkali, kerana sayalah satu-satunya ibu saudara yang masih punya anak-anak sedang bersekolah di dunia moden ini. Sudah tentu anak-anak saya bukanlah yang tergolong di kalangan yang muncul di dada akhbar kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. Pencapaian mereka biasa-biasa saja di mata masyarakat. Mungkin cuma di mata saya mereka istimewa. Misalnya, Gem 3 yang hanya kurang 9 bulan bertungkus-lumus menghadapi PMR ketika baru pulang dari Nottingham dulu. Beliau tidakpun mendapat 8A. Cuma 6A 2B. Pun begitu, keputusan itu saya anggap sangat cemerlang. Dengan serba kepayahan persekitaran, kehendak dan bahasa, beliau mampu memperolehi sebanyak itu. Atau seperti Gem 6, mendapat 5A di dalam UPSR sehingga mengejutkan guru-guru. Ya... kerap kali kecemerlangan itu seperti mimpi. Pada ketika kita hampir tidak mengharap, Allah memberi.

Bila Allah akan beri? Apabila hubungan kita denganNya dijaga. Bagaimana untuk menjaga? Lihat dan perhatikan ibadah asas kita - solat. Jika umur sudah melepasi sekolah menengah, solat tidak cukup 5 waktu sehari, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika, solat Subuh jarang terjaga, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Dengan segala kemudahan canggih yang ada, tidak boleh solat Subuh atau berpura-pura tidak tahu.. maka Rahmat Allah yang mana akan datang? Jika sedang bersantai-santai ke sana ke mari, luput waktu solat tanpa diperduli, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika anak tidak solat, dan  tidak berkata apa-apa, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? 

Pelik benar kerenah manusia ini. Jika dengan manusia, seringkali kita berlumba-lumba untuk mengambil kesempatan dengan adanya kroni. Untuk perniagaan, mahu ada kroni. Untuk projek, mahu ada kroni. Kadang kala untuk urusan hajipun, mahu ada kroni. Kenapa? Kerana dengan adanya kroni, kadang-kala kita diberi keistimewaan yang luar biasa. Sepatutnya, kita gagal, tiba-tiba kita berjaya kerana ada yang mengenali. Tapi, dengan Tuhan, tidak pula begitu. Bayangkan jika hubungan kita dengan Allah dijaga... apakah kita tidak istimewa di sisiNya? Jika kita istimewa, seluruh alam ini boleh jadi milik kita kerana Allah jualah PemilikNya. Dia boleh memberi kita apa saja dengan hanya "Kun Fa Ya Kun" - Jadilah, maka jadilah!

Maka benarlah kata pakar motivasi itu. Untuk anak cemerlang, untuk kita cemerlang, untuk hidup dan mati yang cemerlang, jawapannya hanya satu - JAGA IBADAH.
 

Monday 5 October 2015

Fesyen: Jadilah Kamu - Kun Anta - Be Yourself

Perkataan fesyen banyak menyiksa hidup saya sejak dulu. Ia topik yang menakutkan bagi golongan yang tidak terdaya untuk mengikut peredaran semasa. Kerana fesyen, kita boleh merasa lebih yakin atau merasa sangat tertekan. Contohnya, jika kita menggayakan semua serba fesyen baru - kasut, baju, tudung, beg tangan... dan dipuji-puji, maka kita selalunya kita akan rasa teruja. Keyakinan diri meningkat tinggi. Jika sebaliknya, disindir kerana menggayakan fesyen lama, keyakinan diri akan menurun dan melibatkan sentuhan emosi. Percayalah... kerana fesyen, hidup kita sentiasa akan ditekan. Fesyen bertukar ganti sangat pantas, kerap kali kita tidak akan terkejar.

Dulu-dulu Mak dan Ayah tidak mampu menyediakan segalanya atas dasar mengikut peredaran fesyen. Maka, jika dianalisa dari sudut fesyen, saya akan sentiasa kalah. Kekalahan itu meresap dan meracun keyakinan diri. Bayangkan, Mak hanya membekalkan dua pasang baju kurung ketika mula-mula masuk ke asrama tingkatan satu. Warna dan corak usah dicerita.. tidak langsung mengikut apa-apa peredaran fesyen. Yang satu berjalur-jalur. Yang satu warnanya jingga menyinga. Itulah pasang baju yang diulang-ulang sepanjang tahun. Ketika rakan-rakan sibuk menggayakan dari satu gaya ke satu gaya, saya hanya terpinggir sebagai golongan minimalis. Meskipun ia sekadar fesyen, tetapi itu jugalah yang memisahkan antara dua darjat, antara yang ada dengan yang tiada.  Fesyen.. Ia lambang keberadaan.

Barangkali kedewasaan dan pengalamanlah yang mengajar dan menyedarkan bahawa kita akan sentiasa penat dan kalah kerana hendak mengikut fesyen. Apatah lagi jika kita perlu bekerja di khalayak ramai. Kadangkala, kita akan pakai apa yang sama dengan yang dipakai oleh khalayak di majlis yang sama. Kadangkala, kita membeli dengan harga yang mahal, di butik eksklusif ketika baru fesyen itu bermula. Tetapi, baru dua tiga bulan, fesyen itu sudah dijual di pasar malam. Ia perlumbaan yang tidak tidak ke mana. Maka, pada tahun 2010 dulu saya bertekad saya hanya akan memakai baju yang direka sendiri. Saya tidak perlu mengikut apa-apa fesyen terkini, tetapi memakai apa yang saya ingin memakai mengikut cita rasa sendiri. Akhirnya, ketika ini saya baru terasa rupa-rupanya saya sudah bebas dari perlumbaan fesyen itu. Dari setiap komen yang diterima, saya membuat analisa sendiri. Sebenarnya, nilai ringgit tidak ada kena mengena dengan cantik. Kerapkali ditegur, "Cantiknya baju.. bla..bla..", saya tersenyum sendiri, benarlah.. cantik tidak berkadar terus dengan mahal. Ia perlu kena dengan corak dan warna. Ia perlu kena pada rupabentuk sendiri - tinggi atau rendah, gemuk atau kurus. Itu sahaja. Ia bukan tentang fesyen terkini dengan harga yang mahal dan ekskusif. Rupa-rupanya kemurungan zaman remaja kerana tidak mampu untuk mengikut perkembangan semasa adalah sesuatu yang sia-sia.

Percayalah... kerap benar fesyen terkini yang cantik dan mahal itu, tidak sesuai untuk kita. Contohnya, jubah sang puteri yang bentuknya kembang meleret, tidak sesuai untuk si rendang dan rendah. Tetapi, dek kerana mengikut fesyen.. kita memakai juga. Apabila, kita mampu menganalisa diri sendiri... kita mungkin akan ketawa.. betapa lucunya perwatakan dan rupa  kita. Akhirnya, benarlah kata penyanyi itu... Kun Anta... Be Yourself.. jadilah kita sendiri tanpa mengikut sesiapa.. percayalah kita akan rasa teramat lega. Sesungguhnya, kita sudah terlepas untuk perlu berlumba dengan sesiapa sahaja. Satu perlumbaan yang kita tidak mungkin akan menang.






Sunday 27 September 2015

Nostalgia 3 Ringgit Malaysia

Sepanjang 23 tahun perkahwinan, saya tidak pernah bersua dengan ibu mertua. Arwah ibu mertua dikhabarkan pulang ke Rahmatullah pada tahun 1990, bersamaan dengan Tragedi Muassim pada musim haji tahun tersebut. Beliau pergi mengerjakan haji tahun itu tanpa ayah mertua. Gesaan keinginan untuk mengerjakan haji kali kedua itu begitu kuat sehingga beliau tidak kisah jika pergi bersendirian.

Ketika kaum keluarga rasa syukur teramat kerana arwah ibu mertua terselamat daripada tragedi runtuhan terowong Muassim, tiba-tiba mereka menerima perkhabaran pula bahawa beliau meninggal di sana. Ia cuma demam-demam biasa. Namun, pemergian ibu mertua ke Rahmatullah sangat istimewa. Beliau meninggal di tempat yang istimewa selepas selesai mengerjakan ibadat yang istimewa, disembahyangkan oleh ratusan ribu manusia, jika tidakpun berjuta, dikuburkan pula di perkuburan Ma'ala - tempat persemadian ramai insan mulia.

Sudah tentu hati saya tertanya-tanya. Apakah amalan beliau yang istimewa di sisi Allah? Ada yang berkata, beliau sangat pengasih. Ada yang berkata beliau sangat rajin. Ada yang berkata beliau tidak meninggalkan sembahyang sunat Rawatib. Hakikatnya, tidak ada siapa yang benar-benar mengkaji kerana tiada siapa yang menyangka beliau akan mengakhirkan kehidupan dengan cara yang teristimewa.

Pada hari kedua Raya Aidil Adha yang lepas, seperti biasa kami akan berkampung di rumah pusaka mertua. Selepas pesta memasak dan memakan daging Qurban, kami semua bersantai-santai sebelum masing-masing pulang ke destinasi sendiri. Kali ini suasana meriah juga walaupun tidak dihadiri oleh Pak Dak dan Mak Dak (yang sedang mengerjakan haji) dan Mak Long (yang menjaga ibu tua). Ketika hari hampir senja, kami didatangi oleh seorang perempuan yang tidak dikenali. Katanya, beliau ingin berjumpa dengan Mak Cik empunya rumah ini. Sambungnya lagi, beliau selalu melintasi rumah ini, tapi tiada berpenghuni. Ditanya kenapa beliau sangat berhajat. Katanya, 34 tahun yang lalu, ketika beliau baru berkahwin dan singgah di rumah ini untuk menumpang tandas, beliau telah dihadiahkan RM3.00 oleh Mak Cik empunya rumah ini. Pemberian itu sangat berharga bagi beliau sehingga beliau bertekad akan membalas semula pada Mak Cik empunya rumah ini. 3 Ringgit Malaysia itu bukan hutang yang perlu dibayar. Ia hadiah.

34 tahun lalu apakah nilai 3 Ringgit Malaysia ketika itu? Apakah hajat yang telah dapat disempurnakan dengan hanya memiliki 3 Ringgit Malaysia  itu? Tidak tahu. Hanya Mak Cik si pemerima itu sahaja yang tahu. Ketika dikhabarkan kepada beliau bahawa Mak Cik empunya rumah ini sudah meninggal 25 tahun yang lalu, beliau menangis teresak-esak. Sedih kerana tidak sempat membalas jasa dan penghargaan.

Berpuluh tahun wanita ini dihambat rasa ingin membalas jasa. Pencariannya tamat ketika tahun Jubli Perak ibu mertua pulang ke Rahmatullah. Ia kelihatan seperti peristiwa kebetulan. Apakah ini jawapan pertanyaan yang sering bermain di minda saya bertahun-tahun? Apakah inilah amalan arwah mertua yang tampak sikit tapi sangat signifikan disisi Tuhan? Hanya Allah yang tahu. Nostalgia 3 Ringgit Malaysia .... sungguh istimewa. Ia seakan memberitahu insan-insan yang hadir ketika itu bahawa kita tidak tahu apakah sumbangan kita yang sangat menyentuh perasaan insan lain. Barangkali ia penyebab untuk mendapat kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Siapa tahu?

Sunday 23 August 2015

Segalanya Mungkin

Segalanya mungkin terjadi dengan Kun Fa Ya Kun Allah. Banyak perkara yang telah berlaku di dalam hidup kita di luar jangkaan. Kadang-kala kita sangat berharap untuk mendapatkan sesuatu pada saat-saat yang tertentu. Namun, harapan itu kerap kali hampa. Lain yang diharap, lain yang menjadi nyata. Suatu ketika dulu saya termasuk di antara manusia yang akan merasa kecewa kerana harapan-harapan yang musnah itu. Namun, pengalaman hidup banyak mengajar bahawa ubahan takdir itu terselindung seribu Rahmat Allah. Sungguh.. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Dialah Maha Perancang.

Akhir-akhir ini banyak perkara yang mengajar saya menjadi redha dengan ketentuan Allah yang berbeza dengan kehendak kita. Kita tidak tahu bahawa apa yang kita mahu sebenarnya akan memudarat kita di masa hadapan. Contohnya, Gem 5 amat berharap untuk ke sekolah asrama X. Sekolah berprestig dan mendapat tempat yang tinggi dalam carta kecemerlangan. Atau ke sekolah Y, yang juga mempunyai kedudukan yang tinggi di antara sekolah cemerlang. Tetapi, ditakdirkan Allah, Gem 5 hanya layak ke sekolah Z. Beberapa bulan kemudian, rakannya yang ke sekolah X telah menarik diri. Kata rakannya, hanya pembelajaran sahaja yang sangat dititikberatkan. Kebanyakan pelajar mengalami tekanan perasaan. Dua minggu lepas pula, sempat bersembang-sembang dengan ibu yang anaknya ke sekolah Y. Kata ibu tersebut anaknya juga mengalami tekanan kerana kemasukan pelajar yang ramai dan perlu berlumba-lumba untuk mendapat tempat di sesuatu kelab / pertandingan dan sebagainya. Sedangkan, Gem 5 hidup ceria di sekolah Z. Peluang terbuka untuk menceburi apa saja yang dikehendaki. Sekolah Z menitik beratkan pembelajaran. Tapi pada masa yang sama ia juga membimbing kemahiran lain.

Dua minggu lepas, Gem 6 pula perlu menghadapi ujian 'oral' untuk PT3. Setelah mendapat jadual dan nama guru yang akan terlibat, beliau susah hati tentang perkara itu. Guru yang diberi itu katanya garang dan kurang mesra. Lalu, kata saya marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah memudahkan.Selepas sessi 'oral', Gem 6 pulang ke rumah dengan wajah ceria. Katanya jadual 'oral' nya bertukar di saat akhir dan dia mendapat guru yang mengenali dan menyukainya. Allahuakbar... bukankah kita selalu mendengar... berdoalah.. kerana doa boleh menukar suratan takdir. Ia contoh yang ada di depan mata! Yakinlah.

Begitulah hidup ini... apa-apapun mungkin berlaku. Semoga yang segalanya mungkin itu bertukar menjadi Rahmat dari Allah untuk kita semua.

Sunday 16 August 2015

Keupayaan... Antara Angan-Angan dan Realiti

Keupayaan sendiri, tiada siapa dapat menentukan dengan sah melainkan kita sendiri. Apa yang kita terdaya usahakan? Apa yang kita ingin lakukan? Kadang-kadang ianya bercampur-baur. Kadang kala kita sendiri tidak tahu yang mana satu.

Pertanyaan itu membuatkan saya menyusuri kehidupan lampau. Ketika bersekolah dulu, soalan yang paling acap ditanya oleh guru, ibu bapa dan orang dewasa ialah "Kamu nak jadi apa nanti"... "Apa cita-cita kamu"... dan soalan-soalan yang seumpamanya. Sehinggakan kitapun jadi gusar dan TERPAKSA mencari-cari jawapannya yang kita sendiripun tidak tahu apa maksudnya. Seingat saya pernah dulu saya menjawab... nak jadi cikgu.... nak jadi doktor... nak jadi angkasawan ... nak jadi saintis. Selepas berbolak-balik dari satu cita-cita ke satu cita-cita yang lain, akhirnya ia bertukar secara tiba-tiba ketika melihat satu iklan di atas meja di sebuah kedai yang memaparkan seorang wanita dan sebuah komputer. Di saat itu sayapun berkata... ya ... saya nak kerja serupa ini. Lintasan hati ketika itu terpahat menjadi cita-cita sejati yang diburu. Alhamdullillah. Allah telah makbulkan sejak hampir 22 tahun yang lalu.

Sewaktu kecil dulu tidakpun saya terfikir bahawa saya perlu membina cita-cita semula. Fikir saya setelah tercapai cita-cita yang diburu bertahun-tahun itu ia akan menjadi seperti cerita 'Cinderella'... iaitu "Happily Ever After"... kegembiraan selamanya. Rupa-rupanya ia tidak begitu. Ketika usia mengensot tua, kita akan sentiasa berhajat dengan pelbagai keinginan yang tidak berkesudahan. Contohnya seperti keinginan saya untuk menjadi seorang penulis. Dan keinginan itu tidak mati di situ. Jauh di sudut hati terpasang pula cita-cita baru... ingin pula menjadi penceramah berkaitan dengan buku yang ditulis! Begitulah manusia... mempunyai keinginan yang tidak bertepi. Lalu, keinginan itu datang dalam kilasan hati ketika berdoa. Siapa sangka waktu dan ketika bila doa dimakbulkan. Dalam banyak-banyak doa yang dipanjat, kilasan hati yang sebentar itu yang dimakbulkan Tuhan serta-merta.

Minggu lepas, kali pertama seumur hidup saya dilamar untuk menjadi penceramah untuk satu konvensyen besar. Katanya ianya melibatkan lebih kurang 1000 peserta! Alllahuakbar... Ketika mendapat berita itu.. saya bertafakur menghitung keupayaan sendiri. Ada waktunya kita bercita sangat-sangat tinggi dan melupakan realiti bahawa jika keinginan tersirat itu dimakbulkan Tuhan serta-merta, kita tidak ada upaya untuk mampu melaksanakannya. Harus mantapkan keupayaan... 'fighting'... 'fighting'...... 'fighting'! Sebenarnya... tentang keupayaan sendiri.. kita sendiripun tidak pasti.

Tuesday 11 August 2015

Syawal dan Hujung Minggu

Syawal semakin hampir menghilang. Hujung minggu di dalam bulan Syawal penuh dengan jemputan; jemputan jamuan raya dan ada juga jemputan kahwin. Rekod hujung minggu kali ini ialah keluar rumah pukul 11.00 pagi dan pulang ke rumah semula pada dini hari pagi berikutnya. Sangat letih. Terasa perut kenyang dengan segala makanan yang caca merba.

Allahuakbar. Ketika negara kita dirundung malang yang tidak nampak jalan penghujung, masih ramai yang mampu berbelanja. Pun begitu, ketika sesekali membaca blog rakan MRSM Kulim, Encik Monier:  

sangat menginsafkan.. di kala ini, masih ramai yang amat payah untuk membeli sekilo beras buat santapan ahli keluarga. Raya bagi mereka sudah lama hilang. Di depan mata, adalah realiti kehidupan yang menggusarkan.
 

Wednesday 29 July 2015

Meniti Hari Hari Gelap

Saat ini kita semua sedang mengharungi zaman gelap. Bukan kita tidak pernah melalui. Dulu pun kita lemah ekonomi sehingga hampir-hampir meminjam wang ceti antarabangsa. Tapi, ketika itu semua negara dilanda bencana. Hari ini negara kita saja menjadi miskin. Hutang berbilion-billion. Salah siapa. Khazanah bumi melimpah ruah. Balak, minyak, emas, sawit ..... hasilnya lesap entah ke mana. Seperti yang sering saya katakan... tanyalah tangan yang memangkah dan memilih pemimpin.. di situ ada yang terpalit sama. Tanyalah tangan-tangan anda....

Friday 24 July 2015

Seperti Bulan dan Matahari

Tanpa kita sedari, kehidupan kita seperti bulan dan matahari. Biar bulan cemburu pada cahaya mentari yang mampu menyuluh bumi terang benderang. Atau mentari cemburu pada bulan yang dirindu pungguk. Tidak mungkin matahari akan menjadi bulan. Tidak mungkin bulan akan jadi matahari. Masing-masing punya orbit kitaran yang berbeza. Bulan beredar di atas landasannya. Matahari beredar di atas landasannya. Begitulah kita dan kehidupan. Masing-masing ada jalan dan takdir yang tersendiri.

Salah satu tazkirah Ramadhan yang lepas mengingatkan para jemaah tentang hakikat ini. Kita punya landasan hidup yang berbeza. Tidak wajar membanding-bandingkan diri dengan sesiapa. Perbandingan itu akan hanya mewujudkan tekanan perasaan semata-mata. Ia tidak ke mana. Pun begitu, itulah yang kita sering lakukan. Terutama ketika kita sedang diuji, kita akan memandang orang sekeliling dan mula membanding-banding. Selalunya, kita hanya membanding kepada yang lebih sahaja. Dari mula membanding-banding ini, kita akan mengajukan perbagai persoalan. Kalau terus dilayan, mungkin juga kita akan mempersoalkan takdir Tuhan. Yang miskin akan bertanya-tanya, kenapa si polan A itu kaya-raya. Kenapa aku asyik miskin saja? Atau yang sakit akan bertanya-tanya, kenapa si polan B sihat-sihat saja. Kenapa aku asyik sakit saja? Atau yang tiada zuriat akan bertanya-tanya, kenapa si polan C ada anak yang bilanganya sepasukan bola? Kenapa aku satupun tiada? Akhirnya, hati akan menjadi sakit dan longlai. Putus harap. Maka kerana itu, kita perlu memujuk hati bahawa masing-masing kita punya landasan hidup tersendiri. Seperti bulan dan matahari. Tidak mungkin, kita akan bertukar menjadi si polan A. Atau esok bertukar menjadi si polan B. Atau lusa, kita bertukar menjadi si polan C. Tidak mungkin itu terjadi. Ingatlah, kita ada landasan hidup kita yang tersendiri. Pahit, manis, sedih, gembira .... kita berjalan di atas hanya satu laluan yang unik. Mohonlah pada Allah banyak-banyak, semoga di landasan yang kita lalui ini ada RahmatNya di hadapan sebagaimana yang Dia telah anugerahkan pada si polan - si polan yang kita cemburui. Hidup lebih tenang begitu. Iman masih teguh jika kita mampu memujuk hati dengan itu.....

Wednesday 22 July 2015

Ramadhan Telah Pergi

Ramadhan kali ini cepat benar berlalu. Tidak pernah merasa secepat seperti ini. Tidak sempat terasa penat, ia sudah pergi. Apakah jarum jam bergerak laju? Atau bumi berpusing lebih ligat? Hari ini.. ketika ramai masih cuti beraya, otak sedang menganalisa. Terasa sedikit pelik untuk Ramadhan kali ini. Pelik untuk seisi keluarga. 

Ramadhan kali ini ... kami tidak berkira-kira sangat dengan kedatangan Aidil Fitri. Tidak seperti tahun-tahun lalu. 

Ramadhan kali ini tidak langsung bersantai pada waktu berbuka di mana-mana majlis berbuka buffet di hotel-hotel.

Ramadhan kali ini tidak langsung bersantai di majlis berbuka sahabat handai atau kaum kerabat.

Tidak pernah rasanya melalui Ramadhan dengan ketakutan menerima mana-mana jemputan. Takut jika kalau-kalau dengan jemputan itu menghalang menghadirkan diri ke masjid untuk berterawih dan bertazkirah. Takut pada masa berbuka yang sangat singkat.. tidak berbaloi untuk berleka-leka dan membiarkan Ramadhan berlalu tanpa disantuni.

Tidak pernah rasanya melalui Ramadhan tanpa hiburan lagu-lagu raya. Tapi kali ini ia berlaku. Tidak sempat bersendu dengan lagu-lagu retro Dendang Perantau..atau Sepasang Kurung Biru. Tidak langsung terdengar lirik "minta mak kueh sepotong ....".

Ramadhan kali ini... biarlah ia berulang lagi untuk kesekian kali di tahun-tahun hadapan. Ya Allah .. temuikanlah kami pada Ramadhan yang akan datang. Aamiinn.

p/s: Aidil Fitri kali ini tanpa Mak di sisi. Satu keadaan yang tidak boleh dibayangkan sebelum ini. Balik kampung berhari raya tanpa ibu dan ayah untuk disantuni? Pun begitu, Aidil Fitri disambut jua secara tradisi. Berbaur di antara nostalgia kenangan lama. Aidil Fitri kali ini ... kali pertama melawat pusara Mak. Damailah Mak di sana, InsyaAllah.

Wednesday 24 June 2015

Tunjuklah Kami Jalan yang Lurus

Dua hari lepas ada tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Sheikh Nuruddin Al Banjari. Selalu melihat beliau di kaca tv sahaja. Kali ini berpeluang untuk mendengar secara 'life'. MasyaAllah, beliau sangat bersemangat menyampaikan tazkirah sehinggakan nada suaranya sentiasa tinggi dari mula hingga akhir. Sedar-sedar, tazkirah sudahpun tamat. Sangat cepat masa berlalu. Ada dua perkara penting menjadi intipati tazkirah ini. Pertama, tentang umur yang singkat. Kedua, tentang "tunjukkanlah kami jalan yang lurus".

Perjalanan hidup kita sangat singkat jika dibandingkan dengan alam kubur, padang masyar dan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Kebahagian pada ketiga-tiga alam yang bakal kita hadapi, sangat-sangat bergantung pada kehidupan di dunia yang kita sedang lalui. Lalu, apakah strategi untuk mengumpul pahala-pahala ini? Kita ada pilihan. Kita boleh selalu ke Madinah dan Mekah untuk mengerjakan haji atau umrah. Di Masjid Nabawi, pahala digandakan dengan 1000. Di Mekah pula, pahala digandakan 100,000. Pun begitu, tidak semua antara kita mampu berbuat seperti itu.

Untuk ke Mekah atau ke Madinah, kita perlu ada 5 perkara:
1. Wang. Tanpa wang kita tidak sampia ke sana.
2. Sihat. Jika sakit, kita tidak mampu mengerjakan amalan di sana.
3. Masa. Tanpa masa yang sesuai, kita juga tidak mampu ke sana.
4. Kenderaan. Tanpa kenderaan yang sesuai, kita tersadai di sini.
5. Hidup. Jika mati, amalan kita sudah terputus. Tidak dikira lagi.
Maka, untuk menghadirkan diri ke Madinah dan Mekah, bukan milik semua orang atau sebarang makhluk Tuhan.

Tetapi, apabila Ramadhan datang, ia rahmat Allah untuk semua. Si sakit, si sihat, si miskin, si kaya, si cacat, si pendek, si panjang... semuanya dapat merasa. Ia hadiah Allah untuk semua dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayangnya. Termasuklah makhluk yang di langit, di bumi dan apa sahaja yang ada di antaranya. Peluang besar setahun sekali untuk menggandakan pahala bagi amalan yang sedikit kita ada. Bayangkan, pahala perbuatan sunat diberi seperti pahala amalan wajib. Amalan wajib pula, pahalanya digandakan 70 kali. Ada pula Malam Lailatul Qadar yang bernilai seperti 1000 bulan. SubhanAllah, ia peluang terbuka untuk semua. Rebutlah. Hidup kita singkat. Amal kita sedikit. Gandakanlah apabila Ramadhan datang bertandang. Ia datang kepada kita semua. Diundangpun datang, tidak diundangpun ia datang. Biar kita sakit dan berduka. Biar kita miskin dan hina. Ia tetap datang menyapa! 

Kerana hidup kita singkat, kita perlukan petunjuk untuk jalan yang lurus untuk menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Maka Allah mewajibkan kita meminta pertolonganNya 17 kali sehari di dalam bacaan Al-Fatihah untuk setiap rakaat sembahyang. 

 Ya Allah
Tunjukkan hati kami jalan yang lurus..
Tunjukkan fikiran kami jalan yang lurus..
Tunjukkan mata dan telinga kami jalan yang lurus..
Tunjukkan kaki dan tangan kami jalan yang lurus..
Tunjukkan mulut kami jalan yang lurus..
Tunjukkan darah, daging, tulang dan kulit  kami jalan yang lurus..
Tunjukkan ibu bapa kami jalan yang lurus..
Tunjukkan anak, cucu dan semua keturunan kami jalan yang lurus..
Tunjukkan sahabat dan jiran kami jalan yang lurus..
Tunjukkan pemimpin kami jalan yang lurus..
Tunjukkan sultan kami jalan yang lurus..
Tunjukkan guru kami jalan yang lurus..
Tunjukkan hakim dan peguam kami jalan yang lurus..
Tunjukkan polis dan tentera kami jalan yang lurus..
Tunjukkan peniaga dan ahli korporat kami jalan yang lurus..
......

Ia permintaan yang tidak bertepi
Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan Allah
Barulah keseluruhan hidup kita akan sejahtera di bawah Rahmat Ilahi.





Monday 8 June 2015

Penulisan Buku: Satu Perjalanan yang Berliku

Menulis buku sekadar suka-suka akhirnya menjadi satu perkara serius yang sering difikirkan. Barangkali, suatu ketika dulu melihat bagaimana masyarakat setempat Nottingham beratur semalaman mengejar buku Harry Potter yang dilancarkan, kelihatan amat mengujakan. Menanti terbit buku seperti meraikan pesta besar-besaran. Wahh.. bagusnya JK Rowling. Atau semenjak di bangku sekolah menggilai buku-buku Enid Blyton. Atau pernah juga menggilai Rold Dahl. Semuanya ada tarikan tersendiri. Hebatnya melihat pembaca sambutan buku-buku itu menjadikan keinginan menulis dengan cemerlang ada tercatit di dalam mimpi-mimpi.

Pun, begitu.. hakikat menulis dan menerbitkan buku adalah perjalanan yang berliku. Untuk menulis, ia seperti air pasang surut. Semangat dan idea, kadang-kadang datang tidak selari. Ketika kerja-kerja harian menjadi sangat sibuk untuk memenuhi hambatan 'dateline', ketika itu juga seperti ada idea yang mencurah. Ketika ada masa senggang, semuanya hilang. Apabila penulisan tamat, timbul pula satu persoalan, di mana untuk diterbitkan? Maka proses mencari penerbit bermula. Buku pertama, merayau-rayau mencari jalan. Dari Telaga Biru, Galeri Ilmu, PTS sehingga ke Karangkraf. Ia ditolak atas beberapa alasan. Umumnya, kesemuanya berpendapat tiada 'genre' yang sesuai untuk diterbitkan. Lalu, semangat yang menjulang, hampir mati di situ.

Namun, pencarian diteruskan. Kali ini, buku itu ditulis semula dalam bahasa Inggeris. Ia satu kerjasama dengan hampir kesemua anak-anak. Masing-masing, ada sumbangan yang tersendiri. Ada yang melihatkan dari segi bahasa. Ada yang dipertanggungjawabkan memeriksa kandungan. Ada yang kata, dia tolong secara tidak langsung seperti membasuh pinggan dan membersihkan rumah. Ia satu pengalaman yang bermakna untuk seisi rumah. Setelah buku siap, siapa yang akan terbitkan? Ia satu isu besar. Pencarian yang berulang akhirnya menemukan dengan penerbit Greenbird Book. Setelah berkomunikasi, mereka terus bersetuju dan mengatakan idea penulisan adalah bernas. Ia seperti semburan semangat yang ditunggu. Ia tidak dipandang di sini. Di tempat lain pula, ia dipandang tinggi. Lalu, buku pertama diterbitkan pada tahun 2012 dan buku kedua diterbitkan pada tahun 2014. Namun, penerbitan itu menimbulkan isu lain, bagaimana untuk dipasarkan di pasaran tempatan? Terbit dan pasarkan adalah dua kerja yang berbeza di dalam kes ini. Maka, kerana tiada pilihan, pasaran dilakukan sendiri. Ia berdepan dengan pelbagai lagi isu. Isu yang timbul dikaji lagi. Dalam perjalanan ini juga, Allah temukan dengan pelbagai individu. Ada yang sekadar ingin membeli. Ada yang ingin mengikut jejak langkah untuk menerbitkan buku yang telah ditulis. Salah seorang penulis baru itu telah pun menyertai sesi bersama penulis di Pesta Buku di PWTC baru-baru ini. Lalu, saya pula bertanya kepada beliau, bagaimana dia telah lakukan langkah itu. Rupa-rupanya beliau sudahpun mengikat kontrak dengan syarikat penerbitan di Malaysia. Beliau mencadangkan saya menghubungi syarikat berkenaan.

Dua minggu lepas, saya telah menghubungi syarikat berkenaan dan mereka mahukan sampel untuk dinilai oleh barisan panel penilai. Selang 3 hari kemudian, syarikat berkenaan membuat panggilan untuk satu sesi pertemuan. Di dalam pertemuan tersebut pihak syarikat menyatakan mereka sudah lama mencari penulis seperti ini untuk pasaran antarabangsa mereka. Dulu syarikat ini beribu pejabat di Mekah. Sekarang, ibu pejabat ini dipindahkan ke Malaysia. Kata pengarahnya, "I'm impressed with your books! We've been searching for along time for these kinds of books from Malaysian authors. Isn't nice to see your books will be sold in Mekah and 16 other countries?" Allahuakhbar! Ia seperti mimpi yang dinyatakan. Perjalanan yang berliku tidak sangka akan sampai ke sini. Semoga kedua-dua buku sekarang dapat diterbitkan semula pada 2016  di bawah syarikat ini. Itu janji mereka. InsyaAllah. Kini, semangat yang pudar kembali segar. Sudah tentu saya sedang berkira-kira untuk memulakan penulisan 2 buku seterusnya. Tulis di mana? Aktivitinya berlaku di mana-mana.

Tuesday 26 May 2015

'Midnight'

'Midnight' tidak ada kena mengena dengan kisah larut malam. Ia cuma satu nama yang Gem 7 berikan pada seekor anak kucing yang daif.

Pada 4/5/2015 yang lalu, ketika sudah mahu pulang dari pasar, saya ternampak seekor anak kucing hitam yang seperti kehilangan ibu. Rasa simpati timbul lalu terus membawa ke kereta. Sesampai di kereta, rasa berbelah bagi. Mampukah membela seekor anak kucing di taman perumahan? Sewaktu kecil dulu, saya memiliki 12 ekor kucing. Satu keturunan. Ada ibu, bapa, abang dan adik kucing. Membela kucing di kampung tidak susah. Hanya perlu beri makan nasi berlauk. Pada waktu malam, mereka akan berkeliaran. Bebas membuang najis di mana-mana. Kini, setelah hampir 35 tahun tidak membela kucing, mampukah? Saya berkira-kira untuk meletakkan semula. Tapi, ia asyik mengekori saya semula. Lalu, kata Gem 1, ambillah. Kesian sekali jika dilihat keadaan fizikalnya. Ia tidak comel. Kurus. Warnanya hitam pekat. Jika diletak di atas plastik sampah hitam, warna anak kucing itu lebih hitam!

Lalu, bermulalah pengembaraan membela kucing yang sakit dan comot. Beberapa kali ada terlintas untuk membawanya semula ke pasar. Malas untuk melayan kerenahnya. Cuma, apabila dipandang... matanya sayu.. tubuhnya yang selalu menggigil... batuk.. sakit mata... ada kurap... alahai... tidak sampai hati. 

Ini lah 'Midnight'. Ahli terbaru yang menghuni teratak kami.

Tuesday 19 May 2015

Etika dan Protokol

Dunia tanpa sempadan dan semua orang boleh menerbitkan apa yang dirasa. Maka, setiap hari kita akan menerima berita-berita 'viral'. Macam-macam cerita. Baru-baru ini berita 'viral' ialah tentang etika di dalam upacara rasmi. Ramai yang mengutuk. Ramai yang memberi komen. Ada yang berkata ianya biadap.

Lalu, saya termenung panjang. Di situasi yang sama kenapa tidak ada yang membicarakan adab dan etika di sisi Allah? Tidak biadapkah kita pada Tuhan yang disembah apabila etika dan prosedur di sisiNya tidak dikira? Tangan-tangan yang berjabat tanpa kisah jantina dikhalayak ramai. Kenapa tidak diambil peduli?

Iman... tanyalah dada sendiri ... ia ada di mana.

Monday 4 May 2015

Lihatlah Tanda-Tanda: Tragedi Kemalangan di Lebuhraya DUKE

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan satu tragedi kemalangan di lebuhraya DUKE. Bukan tidak pernah ada kemalangan sebelum ini. Malah setiap hari, ada saja kemalangan yang mengerikan berlaku. Malaysia sudah lama terkenal sebagai negara yang kadar kemalangannya tinggi di seantero dunia. Ia fakta yang diceritakan.

Pun begitu, kemalangan di Lebuhraya DUKE itu menjadi kecoh dan disebut-sebut:
  • Pertama, kerana ia dikatakan berlaku kerana geselan kereta yang merempit. Ramai pengguna lebuh raya sudah lama berang dengan keselamatan lebuhraya kita yang seperti tidak berjaga. Saban minggu berulang alik menziarah arwah Mak yang sakit dulu menyaksikan pelbagai peristiwa yang menaikkan darah. Bayangkan, bas dan lori besar berlumba-lumba di sebelah lorong kanan. Tanpa peduli kenderaan-kenderaan kecil lain. Keadaan kalut itu disertakan pula oleh puak-puak kelab kereta. Membontoti kereta demi kereta dengan kelajuan yang tinggi dan memotong sesuka hati. Ditambah lagi dengan kenderaan-kenderaan yang tanpa segan silu dan otak yang berfikir, lalu menggunakan lorong kecemasan seenaknya. Sungguh.. berada di lebuhraya kerap menyesakkan dada. Ia seperti tidak sepadan dengan duit tol demi tol yang dibayar. Maka, kemalangan ngeri itu seperti bom jangka yang memecahkan rasa tidak puas hati pengguna lain yang terpendam.
  • Kedua, dengan sekelip mata, dua anak-anak kecil yang comel menjadi yatim piatu. Yang melanggar, diam membisu. Yang dilanggar, mengutip satu-persatu sisa-sisa duka yang ditinggalkan dan menanggung beban yang berat dipandang.
Betapapun sedih dan gundah meratapi nasib kedua anak kecil itu, tiba-tiba peristiwa itu membuka mata tentang hukum Hudud Allah yang menjadi endah tak endah di bumi ini. Ia ditentang oleh sebahagian bukan penganut Islam. Satu hukum yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Tidak mengapalah... mereka tidak mengerti. Hukum hudud juga ditentang oleh penganut Islam sendiri! Tidak tahulah sebabnya kenapa. Tetapi tentangan itu bisa menggugat akidah Islam yang ada! Sombongnya makhluk yang bernama manusia. Menentang hukum dari TuhanNya. Bagaimana peristiwa kemalangan ini dapat membuka mata umat Islam yang terlena? Bandingkan balasan dari mahkamal sivil. Pihak yang bersalah hanya didenda beberapa ribu sahaja. Apabila denda yang sedikit itu dibayar, hidup menjadi senang lenang semula. Esok boleh langgar orang lagi. Ada duit, semua boleh jadi. Lihat pula dari perspektif hukum Hudud. Saya tidak arif tentang hukum-hukum ini. Sekadar mendengar ceramah-ceramah sahaja. Dari sudut perundangan Islam, jika menyebabkan kematian di kalangan orang Islam, hutang nyawa dibayar nyawa! Jika kesalahan dimaafkan oleh ahli keluarga barulah nyawa terselamat. Si pesalah tidak boleh bersenang lenang. Perlu membayar denda sebanyak 400 ekor unta. Berapa harga seekor unta? Berapa kos bayaran untuk semua? Lebih sejuta! Dengan wang itu, pasti terjaga nasib si yatim piatu yang ditinggalkan secara tiba-tiba. Pasti terkesan hidup si penyebab kematian. Ia satu dosa besar. Azab denda perlu dibayar selagi hidup. Azab selepas mati tidak tahu lagi.

Lihatlah! Betapa hukum yang Allah tetapkan sangat terkehadapan (futuristik). Kenapa hukum Islam disandarkan dengan hasil ternakan? Kenapa tidak dengan wang sahaja? Dulu, soalan itu saya tertanya-tanya. Apa nilai duit sejuta 20 tahun dahulu? Boleh membeli berpuluh-puluh rumah mewah. Apa nilai duit sejuta sekarang? Nak beli sebuah rumah corner-lot pun tidak terbeli! Nilai wang akan susut. Nilai binatang ternakan tidak begitu. Harga binatang ternakan tidak pernah turun. Ia sentiasa naik mengikut peredaran masa. Lihatlah! Lihatlah tanda-tanda Kebesaran TuhanMu. Dia Mencipta undang-undang sesuai untuk semua zaman. Dia Mencipta hukum seadilnya. Yang dizalimi pasti terbela dengan jayanya... Hukum yang sesuai untuk zaman lebih 1400 tahun yang lalu.. hukum itulah yang sesuai untuk zaman ini dan zaman yang mendatang. 

Untuk si kecil yang yatim piatu ... semoga Allah merahmati hidupmu selalu. Allah tidak menguji kecuali hanya sekadar yang tertanggung oleh hamba-hambaNya. Ia janji Allah. Dan setiap janji Allah adalah pasti.


Tuesday 21 April 2015

Tidak Terlambat

Biar masa beredar
Sekali kali tidak terlambat
Untuk membina impian baru
Allah Maha Mendengar

Biar masa beredar
Sekali kali tidak terlambat
Melangkah satu persatu
Menuju istana yang terhampar

Tahukah kamu?
Bahawa Allah telah menyediakan dua darjat Syurga
Syurga yang teristimewa adalah untuk kekasih-kekasihnya
Syurga  kedua untuk golongan kanan - yang beramal dan bertakwa untuk Tuhan yang Satu

Tidak terlambat
Sekali-kali tidak terlambat
Untuk ingin bertamu di laman syurga itu untuk selamanya

Tidak terlambat
Sekali kali tidak terlambat
Melangkah satu persatu
Ke arah itu ....

Monday 6 April 2015

Ia Tidak Bersisa

Umur anugerah Allah yang paling istimewa. Berapa lama kita akan hidup? Tidak tahu? Kisah helikopter terhempas seperti bertubi-tubi mengingatkan cukupkah bekalan? Bayangkan.. gambar-gambar terakhir disiarkan. Muka yang ceria ... makan-makan dan minum-minum. Ambil gambar. Tidak ada siapa yang menyangka itulah makanan dan minuman yang terakhir. Itulah gambar yang terakhir. Umur... ia tidak bersisa.

Ya Allah.. Ya Rahman.. panjangkanlah umur kami dalam iman.

Wednesday 1 April 2015

Lihatlah Tanda-Tanda: Surah Al-Waqiah

Usia menghampiri setengah abad. Bertahun mendengar komen bahawa cantiknya bahasa al-Quran, namun kecantikan itu tidak dapat dirasa. Buta bahasa. Tidak pandai. Mengarang adalah satu proses yang menyiksakan. Dulu selalu dimarah guru. Beberapa kali mengoyak buku tulis, karangan tidak jua dapat disiapkan. Kadangkala buku tulis hampir terkoyak rabak kerana kekerapan memadam. Sukar rupanya untuk menulis karangan. Kesukaran itu sangat terasa apabila perlu menulis thesis PhD. Tulis berkali-kali. Tidak menepati intipati. Hujah yang lemah. Susunan yang caca merba.

Kini, setelah berjaya menulis thesis dan menghasilkan dua buah buku ("A Priceless Princess" dan "Seek the Signs of Allah"), tiba-tiba rasa cinta dan teruja untuk menghalusi keajaiban al-Quran dari sudut penulisan. MasyaAllah... hebatnya susunan struktur ayatnya. Hebatnya susunan isinya... Sungguh... aku menyaksikan bahawa ia bukan tulisan manusia. Ia dari Yang Maha Esa.. Tuhan yang Satu Pencipta kita. 

Minggu lepas berkesempatan mendengar penjelasan tentang Surah Al-Waqiah dari Imam Zia, Imam Masjid Irving, Texas. Kenapa dari beliau? Kerana cara penyampaiannya yang jitu. Beliau ada mengupas dari sudut hujahan dan susunan ayat. Ia sangat menguja. Ia membuka mata hati saya untuk jatuh cinta kali pertama pada Al-Quran dari sudut penggunaan bahasa dan strukturnya ayatnya. Tafsiran beliau jelas dari satu ayat sehingga ke ayat ke seterusnya. Tidak melencong ke sana-sini.

Apa intipati surah Al-Waqiah:
- Ia menceritakan tentang Hari Kiamat yang pasti terjadi dan tidak dapat disangkal lagi pada hari kejadianNya.

- Pada hari itu manusia akan dibahagikan kepada 3 golongan:
Golongan pertama: Golongan yang hampir dengan Allah - golongan ini paling beruntung. Disediakan nikmat-nikmat tersendiri untuk mereka.

Golongan Kedua: Golongan kanan - juga golongan yang beruntung. Disediakan nikmat-nikmat tersendiri untuk mereka.

Golongan ketiga: Golongan kiri - golongan yang rugi. Disediakan azab dan sengsara yang pelbagai.

- Pada akhir surah ini, diulang semula secara ringkas tentang ketiga-tiga golongan ini.

...... cantiknya susunan karangan surah ini.  Cubalah menulis beberapa karangan. Keperitan mendapatkan ilham, menyusun dan mencantikkan akan dirasai. Dan rasai bagaimana struktur karangan surah ini sangat jitu, kemas dan menarik. Ia menakjubkan.

Dalam surah ini Allah mengajak kita melihat KehebatanNya:

1. Pada kejadian bayi dalam rahim. Bagaimana ia terbentuk. Kitakah yang menentukan bentuk akhir bayi itu atau Allahkah yang membentuknya. Kitakah yang menentukan hitam putihnya, tinggi pendeknya, kurus gemuknya... fikirkanlah.. Sepanjang kehamilan, manusia hanya menjadi pemerhati dari sudut ultrasound. Tidak ada upaya untuk mengubah sebarang bentuk dan saiz. Kitakah yang menghidupkan atau Allah yang Menghidupkan - Mengadakan daripada yang tiada kepada ada?

2. Pada apa yang ditanam. Kitakah yang menumbuhkan atau Allah yang menumbuhkan? Kita hanya mampu berharap dan berserah agar apa yang ditanam menjadi. Tidak ada upaya sekalipun untuk menumbuhkan walau sekadar satu akar yang halus.

3. Pada air yang diminum. Kitakah yang menurunkan dari langit atau Allah Menurunkannya? 

4. Pada api yang dihasilkan dari gesekan kayu. Kitakah yang menumbuhkan kayu itu atau Allah lah yang Menumbuhkan?


Jika tidak mampu melaksanakan satupun di atas ... apakah kita boleh mendabik dada atas nama kuasa? Sembahlah Allah. Hanya Dia Tuhan yang satu.

 

Tuesday 31 March 2015

Hari Pertama GST

Hari-hari yang lepas, Gem 6 dan Gem 7 sangat banyak bertanya tentang GST. Tanya Gem 7, "Baikkah GST?". Saya jawab ... "tidak, untuk pengguna". Banyak barang akan naik harga dengan   dengan penambahan kos GST. "Even the food at the canteen?", tanyanya lagi. "Yes", jawab saya pendek. Agaknya setelah sekian lama GST disebut-sebut.. ia satu hari yang ditunggu. Apa akan terjadi. Ia isu yang menggusarkan banyak pihak.. termasuk si kecil ini yang berfikir secara logik. 

GST.. cukai untuk semua. Kaya atau miskin ia tidak mengenalinya lagi. Saya sudah bosan mendengar iklan GST yang memujuk bahawa harga barangan tidak naik. GST baik untuk semua... bla.. bla...  Hakikatnya banyak harga barang dan perkhidmatan akan naik. Di pagi-pagi yang mulia ini.. apabila ke satu kedai untuk sarapan, ianya disambut dengan "Dear Customer... our new price will include 6% GST....".

Di sisi Tuhan.. apa hukum GST? Satu kezaliman untuk golongan miskin yang untuk mengisi perutpun  sangat berkira-kira. Jika tidak pernah melihat insan miskin dalam seumur hidup (kerana hidup dianugerah Tuhan kaya raya..) sila baca blog rakan sekolah saya ini.. lihatlah dalam sendu hakikat sebenar kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia .... warga negara pengeluar minyak dunia - moniermatdin.blogspot.com

Mood - "feeling hopeless".

 

Sunday 1 March 2015

Gem 5 ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah

Pada 25hb. Februari 2015, akhirnya hajat kami untuk menghantar Gem 5 ketika di dalam Tingkatan 4 ke asrama penuh telah dimakbulkan Allah. Sudah tentu ia tidak mudah. Kegetiran PT3 seperti menggambarkan tidak ada peluang bagi Gem 5 untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh. Ketika keputusan PT3 merudum, syarat untuk kemasukan ke MRSM dan SBP tidak berubah. Kononnya ia diambilkira. Tetapi realitinya ia tidak begitu.

Perasaan cemas ketika keputusan GAGAL untuk ke MRSM diterima.. tidaklah dapat digambarkan. Apatah lagi apabila menalipon ke pihak MARA, si penjawab talipon berkata.. kalau begitu anak anda juga gagal untuk ke sekolah asrama yang lain kerana syaratnya mesti mendapat A di dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Pemberitahuan itu seakan meruntuhkan kesemua harapan. Tetapi, jauh di sudut hati hanya percaya kepada kuasa Kun-Fa-Kun Allah. Biar apapun apa halangan yang datang, jika ditakdirkan Allah, ia tetap milik kita.

Akhirnya, pada 30hb Januari, dapatlah keputusan Gem 5 diterima ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah. Ia tidak ada di dalam senarai pilihan. Saya cuba mencari-cari maklumat tentangnya. Terjumpa satu blog bekas pelajar menceritakan kehidupannya di sana. Ah... Allah Maha Berkuasa. Dia memakbulkan doa-doa hambaNya. Dia memberi lebih dari apa yang yang diminta.

Slogan sekolahnya yang akan mendidik anak lelaki untuk menjadi wali keluarga yang berguna, amat menarik perhatian. Wajib sembahyang fardu di surau 5 x sehari. Wajib sembahyang Dhuha ... wow! Ia tidak mampu dilakukan oleh Gem 5 di rumah. Ruang sekitar banyak godaan dan hasutan. Maka, dengan itu kami amat berbesar hati dan bersyukur tidak terhingga kerana Allah memberi Rahmat yang tidak diduga. Benarlah.. apabila kita berdoa, kita hanya meminta semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita. Jika kita menyatakan sangat jelas itu dan ini.. mungkin yang kita sangat-sangat minta itu tidak terbaik untuk kita!

Pun begitu... ketika selesai hari pendaftaran... air mata seakan bergenang. Kerana berita gembira ini tidak dapat dikongsi lagi dengan ibu tercinta. Selalunya .. apa-apa sahaja yang berlaku akan dilaporkan pada Mak. Mak akan tersenyum gembira. Mak akan memberi nasihat itu dan ini. Al Fatihah untuk Mak. Berehatlah di sana.. di alam yang kekal abadi. Semoga anak cucu Mak mampu menitip hadiah saban masa untuk Mak bergembira di sana.

Sunday 25 January 2015

Mak Dalam Kenangan

Pada pukul 2.40 petang, tanggal 20hb Januari 2015, Mak kembali ke alam barzah. Sudah setahun lebih Mak tidak dapat berjalan akibat patah pada pangkal tulang pehanya ketika bangun untuk ke bilik air. Walaupun, tulang sudah bercantum, Mak tetap kesakitan tidak boleh bangun . Sekitar sebulan kemudian, barulah diketahui sendi tulang peha Mak terkeluar. Pun begitu, kerana sebulan menahan sakit dengan membengkokkan kaki, maka kakinya terbengkok terus sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.


Mak tidak mengidap penyakit berat. Tetapi akhir-akhir hayatnya, beliau sering diserang demam dan sangat tidak berselera untuk makan. Maka, selama mak sakit, kami berusaha pulang ke kampung. Kadang-kadang apabila keadaan mengizinkan, kami pulang hampir setiap minggu. Mak selalu berkata.. mak tak sakit apa.. jangan pulang selalu. Tetapi, kami pulang juga. Apabila pulang, Mak akan lebih ceria.

Dua minggu lepas, kesihatan Mak makin merosot. Setiap hari akan demam dan kakinya lenguh dan kejang. Mak sudah tidak mampu untuk bangun dan dibersihkan untuk setiap waktu sembahyang. Sembahyangnya pun sambil tidur sahaja. Alhamdullillah.. Mak istiqamah. Dalam tangisan sakit dan lenguh kaki, Mak teruskan jua solatnya. Patuh menunggu waktu seterusnya. Jika kuat, Mak akan mengqadak sembahyangnya yang lampau. Kerana kesukaran Mak untuk ke bilik air dan tidak mahu menyusahkan anak-anak, Mak menahan wuduknya dari Zohor sehingga ke Isyak. Dia inginkan begitu. Begitulah yang diturut.

Seminggu lepas, kakak ada beritahu .. Mak makin tidak keruan. Rutinnya tidak boleh diatur lagi. Kadang Mak ingin berwuduk tetapi hanya membasuh tangan sahaja. Apabila bercakap di talipon, Mak cuba mengerang kesakitan lenguh kakinya. Tidak mahu berbicara lagi. Lalu, saya berkira-kira, apabila tugas hakiki selesai, saya ingin bercuti panjang untuk berada di sisinya. 

Tanggal 20hb Januari itu sangat sibuk. Ada kertas kerja yang hendak dihantar, ada laporan pelajar yang hendak dibaca, ada 2 kertas kerja perlu disemak dan ada 4 projek yang perlu diperiksa. Semuanya perlukan keputusan yang segera. Tetapi, sebelum bertolak ke tempat kerja, Gem 1 mengingatkan ... "Dah talipon Mak?" Selalu saya akan menalipon Mak pada sebelah petang. Tapi, pada hari itu saya terus menalipon kakak. Kakak memberitahu Mak sedang tidur. "Nak dengar Mak berdengkur?", tanya kakak. Tidak pernah saya menalipon Mak untuk mendengar dengkuran tidur Mak. Namun pada pagi itu saya dengan cepat menjawab, "Nak". Lalu, corong talipon kakak hadapkan ke Mak. Terdengarlah dengkuran halusnya. "Alhamdullillah", Kata saya. Apabila Mak berdengkur, bererti Mak boleh tidur dengan selesa dan akan hilang lenguh kakinya untuk sementara. "Oklah... hari Jumaat ni kami balik lagi", kata saya sambil mematikan talipon.

Sesampai di pejabat, saya seperti tidak boleh berfikir. Wajah Mak sentiasa ada di mata. Sudah dua tiga hari hati saya seakan tidak putus menyatakan doa yang serupa, "Ya Allah.. aku bermohon semoga Engkau tidak mengambil nyawa ibuku sehingga beliau layak  untuk ke syurgaMu". Entah kenapa .. doa itu seperti tidak mahu pergi. Ketika rakan sekerja ajak berbincang, saya tidak banyak bercakap. Dia terpaksa mengulang-ulang isu yang sama. Selepas itu, dia mengajak saya melihat projek pelajarnya. Sayapun mengikut. Sesampai di sana, barulah saya perasan saya perlu memeriksa 3 lagi projek pada hari yang sama! Alahai...

Selesai melihat projek, saya sempat berbincang dengan semua penyelia terbabit. Kemudian, terus semula ke bilik untuk menyelesaikan laporan. Ketika asyik bekerja, tiba-tiba ada panggilan talipon dari anak buah, Ajun. "Mak su dok buat apa?", tanyanya berbasa-basi. "Dah ada orang talipon Mak Su?". "Nak bagi tau .. Tok dah tak dak!". Allahuakbar... saya terus mendail Gem 1. Talipon Gem 3 yang sedang praktikal di Damansara. Talipon Gem 4 yang berada di Beranang. Proses mengutip anak-anak menjadikan kami tiba di kampong sekitar pukul 12.30 malam. Rumah terang benderang. Mak diletakkan di atas katil bercadar putih. Apabila diselak kain penutup muka Mak ... wajah Mak nampak seperti tersenyum. Seakan menggambarkan "Ahhh leganya...". Legalah Mak dari kesakitan dunia. Semoga Mak berada di singgahsana di alam sana. Rahmatilah ibuku Ya Allah.

Kata kakak, Mak meninggal dengan cara yang sangat mudah (bertahun-tahun kakak bekerja di unit ICU hospital, maka kakak menyaksikan pelbagai cara kematian). Mak seperti ingin tidur lena. Kata rakan sekolah yang mengetuai mandian Mak... Mak bersih dan sangat lembut. Kain kafan Mak berlebih-lebih. Alhamdullillah. Alhamdullillah.

Janggalnya rasa tidak beribu. Hilanglah satu punca rahmat dan keberkatan.

Pesan untuk diri sendiri ..... mudah-mudahan tidak lupa sehingga ke akhir hayat.. untuk menitipkan hadiah untuk Mak dan Ayah di alam sana. Semoga kita berjumpa semula di Syurga Firdaus. InsyaAllah.

Sunday 18 January 2015

Koni dalam Kenangan

Semalam dapat berita... rakan sekerja di Arau dulu telah kembali ke rahmatullah. Kali terakhir berjumpa (mungkin tahun lepas), nampak mukanya tiada gundah gulana. Tidak tahu rupanya beliau menderita penyakit berat. Koni masih muda. Terbayang-bayang wajahnya yang ceria.

Akhir-akhir ini banyak berita kematian yang diterima. Rata-rata diakibatkan oleh penyakit cancer. Allahuakbar. Ia menyerang siapa saja .. tidak kira tua atau muda.

Kematian. Menyebutnya pun takut kerana sedar diri kurang beramal. Pun begitu, ia pasti datang.. bila? Di mana? Kenapa? Hanya Tuhan yang tahu.

Al-Fatihah Koni. Semoga kita dipertemukan di Syurga Firdaus.

Wednesday 14 January 2015

15/01/15

Tarikh cantik. Ia tidak akan berulang. Meskipun blog sudah bersawang... digagahkan jua untuk melakar tarikh itu di sudut ini.