Saturday 31 December 2011

01.01.2012 - Pada Hajat yang Sejuta

Dulu-dulu bukan tidak pernah melalui tarikh 1 Januari. Ia tarikh wajib untuk saban tahun yang lepas, kini dan akan datang. Dalam sejarah hidupku, ia dilalui dengan sedikit azam yang berkobar dan kobarnya mati di tengah jalan. Hasilnya, tidak pernah ditanya semula, apakah menjadi atau hanya mimpi.  Dan ketika itu aku tidak banyak membilang cita-cita. Kenapa? Kerana aku rasa cita-cita itu mimpi. Tidak mungkin akan bertukar menjadi realiti. Kenapa? Kerana cita-cita dan keinginan ketika itu tidak juga menjadi kenyataan. Akhirnya, aku masih aku juga yang serba ketinggalan.

Ketika usia meningkat tua, aku toleh ke kiri dan kanan, depan dan belakang, maka aku tersingkap, rupa-rupanya banyak mimpi-mimpi semalam yang sudahpun menjadi kenyataan. Kadang kala ia dikabulkan Tuhan sangat segera, jika tidak, dalam kiraan hari, jika tidak, ia berbulan, dan jika tidak, ia bertahun. Lambat laun, ia menjadi juga. Tahun 2011 yang lepas begitu menjadi sejarah kerana Allah makbulkan impianku yang yang segera, yang berbulan, yang bertahun dan berpuluh tahun itu!

Maka, hari ini, pada tarikh yang comel, aku tidak lagi tersipu dan gusar untuk meminta-minta pada Tuhan, kerana dari sudut hati yang terdalam, aku menjadi sangat yakin bahawa Allah itu ADA, padaNya  aku nyatakan segala rahsia. Dia tempat MEMINTA. MilikNya segala yang ada. Aku menjadi sangat yakin dengan Kudrat KUN FA YA KUN Tuhanku.


Untuk kesekian kalinya, padaMu Tuhan, aku menghadapkan hajat yang sejuta,
Jika dengan kudrat dan usaha sahaja..
maka sungguh sukar untuk kami menggapai sebutir bintang,
Maka.. Ya Allah.. pada KudratMu yang Maha kuasa,
kami akan terus minta-minta..
Moga-moga bintang-bintang dan bulan jatuh ke riba...
Di tangan kami telah Engkau kurnia,
dua benda ajaib: doa dan air dari syurga
Bersamanya kami akan pohon padaMu,
keajaiban demi keajaiban.
Ya Allah.. pada hari-hari yang mendatang,
iringilah kami dengan keajaiban.
Amin.

Monday 26 December 2011

Cuti yang Bagus

Ini kali ketiga dapat bercuti 3 hari berturut-turut. Ia satu nikmat bagi yang 'diharamkan' bercuti  pada waktu-waktu anak-anak  bercuti sekolah ketika ini.

3 minggu lepas, bercuti di Felda Hotspring Sungai Klah sambil makan buah-buahan di dusun berdekatan. Apabila diingat semula, ianya satu doa yang dimakbulkan. Kerana suatu masa dulu, ketika berada di sana untuk urusan kerja, bukan musim buah-buahan. Lalu, terlintas di dalam hati, alangkah enaknya jika dapat datang ke sini pada musim buah-buahan. Lalu, Allah makbulkan. Bukan sekali, dua kali! Puas menikmati buah durian, rambutan, pulasan, langsat dan manggis. Alhamdullillah.

2 minggu lepas, balik kampung. Setiap hari, menziarah kaum kerabat yang ditimpa sakit. Tapi sempat juga kami ke Tree Top di Sidim.

Minggu lepas, ke Felda Hotspring lagi. Kali ini menginap di homestay bersama 4 keluarga lain dari kejiranan kami. Di belakang rumah tersebut ada segala macam pokok buah-buahan. Boleh ambil seperti 'dusun itu ana yang punya'!  Tapi, kata Gem 4,"Never ask me to this kind of place again!". Hu..hu... beliau seorang saja yang tidak suka makan buah-buahan! Kali pertama dapat bermesra dengan jiran secara dekat. Alhamdullillah, ia mengeratkan silaturrahim.

Kali ini, apabila berbincang untuk bercuti ke mana, anak-anak dan emaknya memilih untuk bercuti di satu tempat yang paling bagussss..... iaitu di rumah. Gem 2 bebas melakukan aktiviti lasaknya bersama kejiranan. Kami? Enaknya bermalas-malasan.... Satu nikmat yang sudah lama tidak dapat dinikmati apabila saban hari hari dihambat waktu. Ahhhh..... enaknya!


Wednesday 21 December 2011

Tahniah Gem 4

Hari ini keputusan PMR diumumkan. Pagi-pagi lagi sudah berkata pada diri sendiri... relax.. relax. Dan masapun sangat cepat berjalan. Ketika gurunya mula mengumumkan, prestasi sekolah .. masih lagi tenang. Tapi apabila gurunya berkata,"Sekarang akan diumumkan keputusan untuk kelas Terbilang. Semua pelajarnya mendapat 8A KECUALI seorang, DALAM BAHASA MALAYSIA. Aduiiii... ketika itu, mula rasa tidak senang. Kerana Gem 4 selalu mendapat markah A 'nyawa-nyawa ikan' dalam dalam subjek Bahasa Melayu! Satu demi satu nama dipanggil. Ikut urusan huruf dan jantina. Bagai nak luruh jantung. Akhirnya, nama Gem 4 dipanggil.... Alhamdullillah. Syukur pada Tuhan yang banyak mengabulkan antara sejuta hajat yang dibisikkan pada permulaan tahun.

Satu lagi keputusan akan ditunggu. Mudah-mudahan ianya seperti di dalam mimpi-mimpi. Amin.

Tuesday 6 December 2011

Secara Rasmi...

Hari ini secara rasminya pihak penerbit, Greenbirdsbook Publisher telah memulakan promosi buku sulungku. Antaranya berbunyi:

Welcome our New Author - Dr Nasiroh Omar

We are delighted to announce our collaboration with Dr Nasiroh with her forthcoming title,
'The Priceless Princess.' For all mothers who have ever written love notes to their children this book is a tribute for you guys. I often observe and collect little notes on life and general lessons I can pass onto my children, with the hope that when wisdom sets in, my ramblings begin to make sense!

 Dr Nasiroh has perfected her  notes and  presented them in a beautiful memoir fashion, to her
daughters by way of this book. Entitled, 'The Priceless Princess' this book will reach out to all those mothers facing the obstacles of raising Muslim daughters today in the West.

"It is a light-hearted, warm and embracing read which I will be using  in my own parenting expeditions! " - kata penerbitnya...

The Priceless Princess, set to be Published in May 2012.

Alhamdullillah... Alhamdullillah.... bersemangat untuk meneruskan buku seterusnya....