Saturday 31 December 2011

01.01.2012 - Pada Hajat yang Sejuta

Dulu-dulu bukan tidak pernah melalui tarikh 1 Januari. Ia tarikh wajib untuk saban tahun yang lepas, kini dan akan datang. Dalam sejarah hidupku, ia dilalui dengan sedikit azam yang berkobar dan kobarnya mati di tengah jalan. Hasilnya, tidak pernah ditanya semula, apakah menjadi atau hanya mimpi.  Dan ketika itu aku tidak banyak membilang cita-cita. Kenapa? Kerana aku rasa cita-cita itu mimpi. Tidak mungkin akan bertukar menjadi realiti. Kenapa? Kerana cita-cita dan keinginan ketika itu tidak juga menjadi kenyataan. Akhirnya, aku masih aku juga yang serba ketinggalan.

Ketika usia meningkat tua, aku toleh ke kiri dan kanan, depan dan belakang, maka aku tersingkap, rupa-rupanya banyak mimpi-mimpi semalam yang sudahpun menjadi kenyataan. Kadang kala ia dikabulkan Tuhan sangat segera, jika tidak, dalam kiraan hari, jika tidak, ia berbulan, dan jika tidak, ia bertahun. Lambat laun, ia menjadi juga. Tahun 2011 yang lepas begitu menjadi sejarah kerana Allah makbulkan impianku yang yang segera, yang berbulan, yang bertahun dan berpuluh tahun itu!

Maka, hari ini, pada tarikh yang comel, aku tidak lagi tersipu dan gusar untuk meminta-minta pada Tuhan, kerana dari sudut hati yang terdalam, aku menjadi sangat yakin bahawa Allah itu ADA, padaNya  aku nyatakan segala rahsia. Dia tempat MEMINTA. MilikNya segala yang ada. Aku menjadi sangat yakin dengan Kudrat KUN FA YA KUN Tuhanku.


Untuk kesekian kalinya, padaMu Tuhan, aku menghadapkan hajat yang sejuta,
Jika dengan kudrat dan usaha sahaja..
maka sungguh sukar untuk kami menggapai sebutir bintang,
Maka.. Ya Allah.. pada KudratMu yang Maha kuasa,
kami akan terus minta-minta..
Moga-moga bintang-bintang dan bulan jatuh ke riba...
Di tangan kami telah Engkau kurnia,
dua benda ajaib: doa dan air dari syurga
Bersamanya kami akan pohon padaMu,
keajaiban demi keajaiban.
Ya Allah.. pada hari-hari yang mendatang,
iringilah kami dengan keajaiban.
Amin.

2 comments:

Penjejak Mimpi said...

Amin..

Anonymous said...

Salam Penjejak Mimpi,

Terima kasih kerana sudi meng'amin kan. Mudah-mudahan doa anda juga termasuk dalam Hajat yang sejuta itu.

sevendrops