Thursday 26 January 2012

MRSM Pengkalan Chepa?????

Pada hari Khamis yang lepas, kami berdebar-debar untuk menerima keputusan permohonan Gem 4 ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan MRSM. Ketika kawan-kawannya sibuk bertanya khabar, kami masih tidak merujuk ke laman Web berkenaan - suspense!

Keesokan harinya, saya pula terpaksa menjadi pengawas peperiksaan. Komputer tidak dapat dibuka. Ketika berkesempatan, saya sms Gem 1, "Kakak dapat ke SBP?". Gem 1 membalasnya,"Tak!" Saya sudah menduga jawapan itu dari mula. Malah ketika mengisi borang permohonannya, saya sentiasa berkata-kata bahawa jika Gem 4 mendapat tempat di sekolah  berasrama, maka ianya satu keajaiban. Yang membawa maksud, itu pemberian istimewa Tuhan pada hambanya yang serba daif. Kenapa? Kerana, pertama, kediaman di bandaraya - peluang tidak secerah di kampung. Kedua, persaingan sangat hebat, 34000 yang layak dengan peluang yang sedikit. Ketiga, kerana Gem 4 cuma ahli biasa - tidak ada jawatan atau penyertaan yang luar biasa! Melihatkan keinginannya yang bersungguh-sungguh untuk ke sekolah asrama, maka berkali-kali saya katakan padanya - "MINTA PADA TUHAN KAK, MINTA PADA TUHAN. SOLAT HAJAT, SOLAT MALAM, BACA YASIN". Saya juga katakan padanya berkali-kali, peluangnya amat tipis. Tapi percayalah pada Kuasa Tuhan - Kun Fa Kun - Jadi Maka Jadilah. Ia akan mengatasi segala logik akal yang ada.

Dan ketika menerima keputusan yang gagal itu, hatipun menjadi sayu. Saya pula tidak mengharapkan pada permohonan ke MRSM. Jika ke sekolah asramapun gagal, apatah lagi ke MRSM. Tapi, ketika mata mengawas gerak-geri pelajar, saya sempat berdoa,"Ya Allah, aku tahu doa ini terlalu terlambat. Keputusan ke MRSM sudah terawang-awang untuk dikeluarkan esok harinya seperti yang dijadualkan. Tapi, aku ingin juga meminta padaMu, mohon Engkau kabulkan impian anakku".

Ketika kami sibuk mengambil anak pulang ke sekolah, tiba-tiba Gem 1 menerima sms - Tahniah, permohonan anda ke MRSM berjaya bla...bla .. bla... Gem 1 pun berkata,"Apa sms ni? Tadi kata gagal (merujuk kepada kegagalan untuk ke SBP)". Dia membaca lagi. Kali  dia berkata,"Laa... untuk MRSM rupa-rupanya". Saya tidak berkata apa-apa. Terkenang sesi doa di dalam dewan tadi yang digenangi air mata. Ya Allah, Engkau ada di mana-mana. Tuhan itu ada untuk mendengar permintaan hambanya.

MRSM Pengkalan Chepa????? Ia di luar pilihan permintaan. Yang diminta, ke Kuala Kubu Baru atau Melaka atau Kulim. Semuanya atas alasan mudah untuk dikunjungi atau ada saudara mara hampir jika berlaku apa-apa kecemasan. Kami tidak ada saudara yang hampir di sana. Bagaimana? Tapi, Gem 4 tersangat gembira. Kerana Allah bukan sahaja memberinya peluang ke asrama, tetapi ke MRSM yang berprestij di antara MRSM yang ada! Alhamdullillah.

Yang pasti, beberapa hari lagi saya akan kehilangan editor dan rakan sekerja untuk satu tempoh yang lama. Buku kedua masih merangkak-rangkak mencari bahan dan haluan. Barangkali, saya perlu mengcungkil bakat Gem 5 yang seakan terpendam... Siapa tahu.

Tuesday 17 January 2012

Gem 3 Ke Universiti Teknologi Petronas

Hari ini dalam keadaan serba salah untuk meninggal kerja yang datang bertindan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti. Cuti khas untuk menghantar anak sulung ke dunia baru - dunia universiti. Biarlah hari ini setimbun kerja ditinggalkan untuk tempoh sehari. Kerja akan datang dan datang lagi. Tapi hari pertama ini akan berlalu tanpa diganti. Cukuplah dulu ibu bapa tidak mampu mengiringi. Dan kesedihan bersendirian menguruskan itu dan ini ingin dihalang untuk berlaku pada anak sendiri.

Maka hari ini kami bertolak pagi. Seawal pukul 4 pagi sudah mula bersiap-siap. Kami bertolak pukul 5.20 pagi. Sesudah berfikir-fikir, kami pasrah menghantar Gem 3 ke kursus foundation ICT di situ. Sudah tentu ianya beralasan. Biarpun ianya merupakan pilihan alternatif bagi Gem 3.  Ia dimulakan dahulu  berdasarkan tawaran selepas sesi temuduga tempohari. Lagipun, ia dapat menjimatkan masa belajar sementara menunggu keputusan sebenar. Pilihan utama Gem 3 ialah ke Australia. Dalam kewangan yang kurang dan persaingan yang sengit, pilihan ini memerlukan sentuhan keajaiban Tuhan untuk memakbulkan  impian  Gem 3. Kami akan tidak putus berdoa. Jika tidak ke Australia, Gem 3 redha di UTP. Kenapa?

Hari ini saya merasai alasannya. Ini kali pertama memasuki UTP selepas ia siap sepenuhnya. Kami disambut dengan bangunan yang kukuh tersergam indah. Kata Gem 7,"Mummy, you said we're going to send kak long to her school.. why do we come here at the AIRPORT?" Barangkali, tidak perlu berkata-kata bangunannya bertaraf dunia, ia sudah tergambar. Bangunannya menerima sentuhan perekabentuk yang sama merekabentuk Djanogly City Academy di Nottingham. Gem 3 sangat teruja kerana nostalgia sekolah silam yang amat dirinduinya. Sesekali, saya juga teruja kerana seolah-olah berada di Jubilee Campus. Apabila melangut ke bilik atas, seolah-olah terbayang bilik Colin dan Colin, kedua-dua penyelia yang telah banyak mengubah persepsi saya! Dan kamipun berjalan-jalan menikmati rasa nostalgia. Anak-anak yang lain tidak habis-habis mengajak masuk ke perpustakaan yang menggoda. Ia rekabentuk ringkas tapi bijak. Deretan buku bertingkat-tingkat telus dilihat dari luar. Anak-anak seakan tidak mahu melangkah keluar! Secara ringkasnya, bagus bangunan di sini. Beruntunglah pekerja-pekerja di sini. Tidak perlu merasa gusar apabila hujan lebat untuk berada di pejabat yang tidak memiliki sijil layak!

Masjidnya juga menarik. Ia bagaikan terapung di atas kolam yang dipenuhi ikan-ikan gemuk. Ada pula makanan ikan yang boleh dibeli berbentuk sedekah, untuk ditaburkan. Masjidnya mempunyai penyaman udara biarpun di kawasan yang tidak tertutup. Tempat mengambil wuduknya mempunyai kerusi yang ergonomik, moden dan banyak. 

Jika ditanya kenapa saya benarkan Gem 3 mengambil ICT? Bukankah di dada akhbar, sering terpapar ramai yang menganggur? Maka jawab saya, ICT asas hidup dunia hari ini. Ia mencengkam semua bidang. Dapatkan keputusan yang cemerlang, maka kerja berbaris di depan.

Jika ada yang bertanya, kenapa perlu ke UTP, tidak di fakulti sendiri? Maka saya akan berkata cukuplah saya saja yang hidup dalam dunia 'keluarga besar". Jikalah dengan sumber pendapatan yang sama, manakah taraf kehidupan yang lebih baik? Mempunyai bilangan ahli keluarga yang sedikit atau besar? Saya sudah penat hidup dalam dunia catuan atas alasan kurang sumber kewangan. Biarlah anak saya merasai dunia yang lebih sempurna - sebesar-sebesar kampus untuk hanya menampung 7000 pelajar! 

Selamat Menempuh Alam Baru Gem 3! Moga Allah permudahkan segalanya.


Sunday 8 January 2012

Jejak Jiran

Dua hari yang lepas, ketika memotong kaki ketam dengan menggunakan gunting, tiba-tiba teringat untuk bertanya pada Gem 1, "Gunting merah ni pemberian Kak Nor ka?". Gem 1 mengangguk tanda setuju. Lalu saya berkata,"Ya Allah.. dah 20 tahun  usia gunting ni!". Gunting merah yang sentiasa di dapur bersama kami itu rupa-rupanya sudahpun berusia 20 tahun! Ia banyak berjasa. Kami membawanya berhijrah ke merata-rata, hatta ke Nottingham pun kami bawa. Ia sangat sentimental. Pertama, kerana ia hadiah perpisahan dari jiran kami (Kak Nor dan Abang Zainal) di Bangi ketika kami ingin berpindah ke Shah Alam pada tahun 1992. Kedua, kerana Kak Nor sudah menjadi arwah 6 tahun lalu - menggunakan gunting itu merupakan punca pahala buat Kak Nor.

Semalam,kami ke Bangi menjejak jiran-jiran yang telah lama kami tinggalkan. Saya terkedu apabila jiran-jiran masih mengingat nama setelah berpisah 20 tahun!

Thursday 5 January 2012

Tersentuh

Petang semalam ketika asyik melayan pertanyaan pelajar, tidak disedari ada beberapa sms diterima. Apabila keadaan menjadi reda, sayapun membaca satu demi satu sms itu. Rupa-rupanya ianya dari seorang ibu yang anaknya di dalam kelas yang sama di tadika Gem 7 dulu. Kelihatan permintaannya sangat tergesa. Anaknya rindukan Gem 7 sehinggakan tidak mahu ke sekolah jika Gem 7 tiada. Si ibu meminta untuk dapat mempertemukan anaknya dengan Gem 7 supaya Gem 7 dapat menperjelaskan sendiri kepada anaknya kenapa Gem 7 tidak lagi ke tadika yang sama.

Selepas berbalas-balas sms dengan si ibu, akhirnya saya cadangkan agar mereka bertemu secara online sekitar pukul 8.30 malam. Maka ketika waktu berkenaan, dapatlah mereka bertemu secara online. Hari ini kami membawa Gem 7  semula ke tadika lama. Entah apalah yang akan diperkatakan antara mereka. Yang pasti, semalam, Gem 7 ada berkata kepada kawannya, "Later, when you grow up like me, you'll also go to the 'BIG SCHOOL!".

Ketika menamatkan pertemuan mereka secara online semalam, si ibu berkata kepada Gem 7,"You can come to our house anytime you want, we'll pick you up". Ahh... nilai sebuah persahabatan, saya cukup tersentuh!

Wednesday 4 January 2012

Idola Kecil

Setiap kali melihat iklan untuk rancangan Idola Kecil, saya akan menukar saluran tv cepat-cepat. Jika ada anak-anak yang terlihat juga, saya katakan biar mereka mendengar,"Kesian bebudak itu.. bagaimana masa depan mereka". Dan simpati itu berterusan. Barangkali perasaan itu timbul kerana terbawa-bawa dengan perihal "The Priceless Princess", buku sulungku yang masih di dalam proses penerbitan - buku yang berkisar tentang koleksi pesanan seorang ibu untuk anak perempuannya - the priceless princess.

Ahh... barangkali kita alpa. Bahawa hidup ini cuma sebentar di dunia, tetapi tidak berkesudahan di akhirat. Harta yang paling paling berharga untuk kehidupan yang abadi itu ialah harta yang bernama anak. Bukan duit sejuta atau seketul jongkong emas. Walaupun duit dan emas amat berguna untuk menyara kehidupan hingga ke akhir hayat, hubungan kita dan keduanya sangat terhad hingga sekadar di pinggiran liang lahat. Yang berguna di hujung kehidupan ini sehingga ke hari kiamat, ialah anak yang soleh/solehah.

Duhai anak-anakku dan pelajar-pelajarku,
Aku titipkan pesanan ini untukmu,
Bahawa.. sehingga akhir hayatmu, mohon hindarkan dari dunia hiburan,
Kerana aku sangat takut,
Mungkin engkau terlalai urusan dengan TuhanMu,
Apatah lagi jika keranamu,
Mereka berpesta sehingga terlupa,
Maghrib, Isyak, terbarai entah di mana
Aurat bersama baju yang sendat,
Apakah engkau sanggup memikul dosamu dan dosa mereka???????
Dan akupun akan terpalit sama,
Kerana di sisi rekod Tuhan, rekodku dan rekodmu ada rangkaian yang tidak akan terlerai...


Tuesday 3 January 2012

Hari Pertama

Hari ini dua anak bujang memulakan persekolahan. Selamat menuntut ilmu untuk kebaikan dunia dan akhirat. Moga menjadi orang-orang alim yang professional.

 Gem 7 (Darjah 1) dan Gem 5 (Tingkatan 1)
Si Kecil dan Si Tinggi - Dua Sahabat Karib yang Sering Berperang