Tuesday 26 March 2013

Di Lost World of Tambun

Pada Sabtu lepas kami sekeluarga ke Lost World of Tambun. Menziarah Gem 3 sambil menemukan kesemua anak-anak sempena musim cuti sekolah. Bertolak dari Shah Alam sekitar pukul 4 pagi dan sampai ke Tronoh sekitar 7.30 pagi. Selepas bersarapan, terus menuju ke Lost World of Tambun. Biasalah.. cuti sekolah, ramailah pelawat. Tapi tidaklah sesesak di Bukit Gambang dahulu. Berkumpullah kami sekeluarga sambil beriadah.

 Beraksi sebagai pelombong bijih timah
 Gem 5 bersama Pak Cik yang mesra
 Lima sekawan di atas gajah
Praktikal melombong bijih
 Hasil bijih yang diperolehi
 Tinggi lompatan Leap of Faith (20 meter dari atas tanah) dan Gem 3 bersama Gem 5 berani mencuba sebanyak dua kali seorang.
Aksi Gem 3 sebelum melompat ke bawah!

Gem 4 dan Gem 6 tidak berani mencuba Leap of Faith tetapi berani mencuba Flying Fox yang merentasi tasik. Kesimpulannya... anak-anak lebih berani mencuba sesuatu yang mencabar. Ibu bapa melangut di bawah sekadar memberi sokongan moral!

Selepas kepenatan, kami bertolak ke Hotel Syuen. Menarik hotel ini kerana ada Wifi percuma sehingga ke setiap bilik!

Esoknya, kamipun beransur pulang. Hantar Gem 3 ke UTP dan kami bertolak ikut jalan tanpa tol. Bersantai-santai bersama kesesakan jalan.. akhirnya sampai di rumah sekitar pukul 9.30 malam! Penatnya......

Bertemu Semula

Sudah hampir 5 tahun berlalu, hari ini dapat bertemu semula Penyelia PhD yang utama. Beliau dan keluarga di dalam perjalanan ke Australia dan singgah sebentar di Kuala Lumpur kerana mereka menyukai syurga makanan di Malaysia. Tambahan pula di UK sekarang musim bunga yang sejuk. Mereka menyukai kepanasan yang kita cuba melarikan diri!

Lima bulan lalu merancang untuk bertemu. Hari ini dilalui dengan penuh debaran. Rasa seperti masa dulu-dulu ketika hendak bertemu dengannya pada setiap kali temu janji. 

Akhirnya, kami bertemu - Colin + Sue + Katy Jane. Katy Jane sudah besar panjang rupanya. Sedar tak sedar kami berbual sudah dua jam setengah. Banyak perkara yang dibualkan - bual biasa, bual kertas kerja yang terbengkalai hampir 3 tahun dan yang terakhir ialah ajakan Colin untuk satu kerjasama! Sungguh... ia suatu hajat yang terpendam tapi malu untuk menyatakan kepadanya. Rasa masih tidak layak untuk duduk semeja dengannya sebagai rakan sekerja. Kali ini Colin dan isterinya sama-sama mengajak.. Allahuakbar... ia seperti bulan jatuh ke riba. Mudah-mudahan misi mereka ke Australia berjaya... mudah-mudahan.. dengan izin Allah.

Pertemuan anak murid dan penyelianya

Thursday 21 March 2013

Secret-Eye di IIDEX2013

Secret-Eye telah siap dibina pada tahun 2011. Sudah diterbitkan di conference dan journal. Cuma pada tahun ini berkesempatan untuk dipertandingkan. Masuk pertandingan dengan semangat setiakawan yang tinggi biarpun persiapan ala kadar jika dibandingkan dengan pihak-pihak lain yang turut serta. Pun begitu, 3-4 hari terpaksa balik dari pejabat ketika bulan mengambang. Penat sungguh rupanya. Ini kali pertama memasukinya.

Agak malang bagi Secret-Eye kerana mendapat kedua-dua hakim yang tidak suka media sosial moden. Salah seorangnya berkata saya tidak faham kenapa ada manusia yang suka mencurah segalanya dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan seumpamanya. Seorang lagi pula dengan selamba menganggap online forum seperti Forum Perdana. Aduhai... lemah semangat. Hampir sejam membuat penerangan akhirnya Sang Hakim berkata,"Ohhhh Secret-Eye is a powerful tool". Agaknya kalimah itulah yang melayakkan akhirnya Secret-Eye berjaya juga dapat pingat walaupun setakat pingat perak sahaja.


Minggu Ke 3

Hari ini tamat minggu ke 3 semester baru bermula. Tidak sempat membilang hari, sedar-sedar sudah jumpa hari Jumaat semula.. Entah macam mana semester ini menjadi tersangat sibuk. Di pagi yang mulia ini perlu berada di tiga tempat berbeza dengan tiga tugas berbeza. Macam mana????? Pengalaman mengajar jangan stress! Buatlah sekadar mampu....

Sunday 3 March 2013

Lambaian Kaabah: Istimewa

Pada 16 Feb - 26 Feb 2013, dengan izin Allah, kamipun mendarat di bumi yang dirindui itu. Berlepas sebagai penumpang kumpulan pertama pesawat komersial Air Asia ke sana. Bermula dengan penerbangan istimewa yang diraikan, sehingga tiba ke Madinah juga di dalam keadaan istimewa. Di Madinah, kami diberi bilik pada paras khas dengan beberapa lif yang hanya berkhidmat untuk paras itu sahaja. Sepatutnya, kata mereka paras itu bukan dijadualkan untuk kami. Tapi, sudah tersurat untuk kami sebagai rezeki, Alhamdullillah.  Tiba di Mekah juga begitu. Bilik yang ditempah hanyalah sekadar untuk menatap bangunan Masjidil Haram. Itu saja yang mampu. Tetapi, sebaik tiba, bilik yang diminta ditukar kepada bilik yang memiliki pemandangan Kaabah, tepat memandang ke rukun Yamani. Entah atas alasan teknikal apa, keinginan berpeluang menginap di bilik sebegitu dimakbulkan Tuhan tanpa kos tambahan. Maka, secara keseluruhan, perjalanan dan penginapan ke sana sangat istimewa. Seperti yang didoakan. Maha Suci Allah yang memakbulkan doa-doa.

Ketika airmata berjurai-jurai sujud bersyukur atas keinginan yang dimakbulkan, hati memahat  azam semoga keistimewaan yang direzekikan Tuhan itu tidak disia-siakan. Akan digunakan dengan sepenuhnya untuk mengabdikan diri hanya semata-mata beribadat kepada Allah. Mudah-mudahan ia bukan sekadar menjadi tetamu yang istimewa di bumi yang barakah itu, tetapi juga ia mendorong untuk menjadi hamba yang istimewa di sisi Tuhan. Itulah tujuan yang hakiki. Seperti yang angan-angankan.

Tetapi di sebalik keistimewaan yang diberikan Allah itu, apakah ianya telah digunakan dengan sebaik-baiknya? Apakah prestasinya? Prestasinya sekadar lulus gred C! Tidak ada yang istimewa, cuma sekadar biasa-biasa. Sedih. Dan kesedihan itu terbawa-bawa pulang  Cuma kesedihan sedikit reda apabila Gem 1 berkata, kita rancang semula untuk tahun hadapan. Ya Allah.. Jemputlah kami semula. Ya Allah.. Jemputlah kami semula. Kali ini dengan berbekalkan objektif yang sama,  semoga terungkai kecewa setelah sasaran prestasi tidak mengena. Untuk menenangkan jiwa, maka berkali-kali disebut semula - kita hanya merancang. Tapi jauh di sudut hati tidak dapat melupakan  plan A yang akhirnya bertukar entah menjadi plan yang ke berapa. I should stick to Plan A. I should stick to Plan A! Tetapi, jika ditenung semula dari perspektif yang berbeza... ia ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya slogan "Istanbul aku datang" yang diisytiharkan awal tahun ini sudah berganti menjadi "Labbaikallah... Labbaikalllah". InsyaAllah.




 Hotel As-Safwah dalam kenangan