Tuesday 28 February 2012

Pak Long Dalam Kenangan

Tanggal 27 Februari 2012 akan termaktub menjadi satu lipatan kenangan - tarikh Pak Long (abang sulung Gem 1) kembali ke Rahmatullah.

Pak Long sudah lama sakit - dari diabetis kemudian meleret-leret ke satu demi satu penyakit yang lain. Kemudian, Pak Long makin kritikal sejak awal puasa tahun lalu. Setiap kali diberitahu Pak Long kritikal, kami akan segera pulang. Tapi, untuk kali terakhir, atas beberapa sebab kami menangguhkan ke waktu petang. Rancangan kami, selepas anak-anak pulang dari sekolah dan menyelesaikan beberapa perkara di pejabat yang perlu diuruskan segera, kami akan pulang. Belum tiba waktu bertolak, kami diberitahu Pak Long sudah tiada. Secepat yang mungkin kami memecut pulang. Sebaik tiba, Pak Long sedang dimandikan buat kali terakhir.

Sudah tentu kehilangan Pak Long dirasai. Pak Long kaya dengan kasih-sayang. Sikap ambil beratnya tidak ada tandingan. Malah, ketika beliau dalam keadaan kritikal, beliau masih bertanya khabar dengan ceria setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Beliau pusat berita - tentang siapa mendapat apa di dalam keluarga. Beliau juga akan menyediakan habuan untuk setiap yang berjaya. Tetapi, ketika keputusan PMR diumumkan baru-baru ini, Pak Long makin lemah. Lalu, saya katakan pada Gem 4, nampaknya Pak Long sudah uzur benar untuk sama-sama meraikan kejayaannya. "Yes, I know", kata Gem 4 dengan perlahan. Bukan sedih sebab tidak dapat hadiah dari Pak Long, tapi akur bahawa masa bersama Pak Long makin menjadi singkat.

Semalam, ketika melangkah pulang dari rumah Pak Long, saya sempat melirik potret kami sekeluarga yang masih tergantung di satu sudut rumahnya. Potret yang digantung Pak Long untuk mengingati kami semasa kami jauh di perantauan dulu. Mungkin ia cuma potret tua, tapi untuk kami, ia menggambarkan kasih sayang yang tidak terucap Pak Long pada kami sehingga ke akhir hayatnya. Ia sangat menyentuh rasa.

Selamatlah Pak Long menempuh alam barzah. Moga alam baru Pak Long sentiasa bercahaya dengan ilmu, amal dan anak-anak yang ditinggalkan. Kami sayang Pak Long. Al-Fatihah.

Tuesday 14 February 2012

Sekolah

Apabila Gem 7 bersekolah, suasana menjadi agak kalut. Barangkali Gem 7 tidak pandai menyembunyikan homework nya! Saban hari termasuk cuti sekolah, banyak betul homework yang dibekalkan. Kadang-kadang bilangannya tidak logik akal. Aduhai..... banyak kali sungguh saya mengeluh. Isu homework banyak dan isu beg berat. Kadang-kadang belas kasihan melihat tubuh kecil anak mengendong beg boleh mengalirkan air mata. Sudahlah berat, terpaksa pulak memanjat tangga-tangga. Agaknya, anak-anak kita akan menjadi  segagah Jackie Chan suatu hari nanti kerana telah berlatih mengusung beg berat bertahun-tahun lamanya. Isu beg berat isu yang tidak selesai. Isu bebanan homework berlebihan, juga isu yang tidak selesai. Ia bukan penyelesaian dari bawah. Ia perlu bermula di atas - yang mempunyai kuasa membentuk polisi.

Ahh.... lalu kenangan lama muncul lagi. Betapa saya sangat menghargai setiap detik ketika dapat melarikan anak-anak selama 5 tahun dari sistem persekolahan yang membebankan ini. Ia bukan cerita dongeng - anak-anak menangis untuk ke sekolah walaupun cuti hanya hujung minggu! Apatah lagi jika bercuti panjang, puas dipujuk dan dibawa berjalan-jalan. Kuasa magnet sekolah menarik anak-anak dengan kuat. Maka proses pembelajaran menjadi bukan terpaksa. Ia dilalui dengan rasa ceria dan bermakna. Otak tidak payah diterjah dengan tekanan peperiksaan. Badan tidak payah menanggung bebanan buku-buku yang ikut jadual atau tidak mengikut jadual - beratnya begitu! Ibu bapa tidak payah memikirkan untuk membeli buku atau alatan persekolahan - semuanya percuma. Ia bukan cerita  dongeng. Anak-anak seusia 5 tahun sudah boleh menulis karangan pendek. Tumpuan utama pembelajaran adalah untuk membaca dan mengira. Maka dalam membaca anak-anak didedahkan dengan pelbagai perkara dan isu semasa.

Tentang guru? Usah ditanya. Mesra. Kadang-kadang otak selalu berfikir bagaimana mereka dapat melakukannya. Apa pendapat Gem 7 tentang guru-gurunya? Apabila ditanya,"Do you like your teachers? Jawapannya - diam. Atau 'my teacher - garanggggggg! Pernah kami bertanya pernahkah Gem 7 didenda guru. Gem 7 dalam keadaan kurang sedarpun bercerita... "Ohhhh... my teacher pinched my butt or nose or arm!". Baru sebulan ke sekolah - itulah kenangannya... Jika ditanya,"Do you like your school?". Jawapannya - diam atau bercerita tentang topik lain. 

Uhhhhhh.... right now I really missed the time when my children really love their schoolsssssssssss.......

Sunday 12 February 2012

Kapsul Masa

Sekembali kami dari menghantar Gem 3 dan Gem 4 ke destinasi seterusnya dalam pengajian mereka, rumahpun menjadi sunyi. Riuh rendah dan hiruk pikuk seakan hilang. Sesekali suasana itu mendamaikan telinga dan mata. Tetapi, sesekali juga saya seperti menyesali kerana hanya mempunyai blog ketika usia anak-anak semakin dewasa. Ah... alangkah indahnya jika saya dapat melakar telatah anak-anak sejak mereka kecil -  seperti blog-blog Nihlah Insyirah, Zafwah dan Mama Hani. Biarpun terlewat, di dalam kesunyian ini saya akan merenung semula satu persatu entri lama di blog ini. Sungguh... setiap entri merupakan satu kapsul masa yang tidak akan berulang.  Ia adalah kenangan suka duka yang tercatat.

Salahkah berblog? Kadangkala ada yang bertanya. Pada saya, blog ialah cerita-cerita syok sendiri, ia milik peribadi yang ingin dikongsi dengan sesiapa yang sudi. Blog bagai sahabat karib yang mendengar serba rintihan. Blog bagai rakan karib yang berkongsi kabahagiaan. Tataplah siapa yang sudi - tidak ada paksaan. 

Pun begitu, saya percaya, untuk diri yang kerdil ini, blog membolehkan saya kadangkala berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran sesama rakan maya dan taulan. Ia sudah tentu lebih baik dari berpesan-pesan di hati. Ia selemah-lemah iman. Dan saya tidak mampu memberi ceramah atau syarahan - kerana tidak suka ke depan.

Menulis blog bagi saya memberi makna yang besar. Ia mengajar saya menulis dan berbahasa. Dari blog, saya belajar menyusun ayat dan buah fikiran. Ia menghasilkan satu keupayaan untuk menulis buku yang dulunya tidak pernah terlintas di fikiran untuk mampu melakukannya.

Salahkah berblog? Entahlah... Tapi saya akan terus menulisnya - satu entrinya ia satu kapsul masa yang sangat berharga di masa hadapan.

Friday 10 February 2012

Ke Kota Bharu

Akhirnya kami sampai ke Kota Bharu pada 7/2/2012 setelah paling akhir menjejak kaki ke situ 20 tahun lalu. Ketika kami berkira-kira untuk di mana kami akan menginap di sana, kami teringat pula kediaman Adam dan Azlina. Kerana janji beberapa tahun lalu untuk singgah ke rumah mereka jika ke sana, maka itulah destinasinya. Betullah hidup itu umpama roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Dulu, kami menjadi host mereka sekeluarga di Nottingham. Hari ini kami pula memerlukan bantuan. Kami disambut meriah. Mereka bercuti dan melayan kami dengan mesra bersama emak, nenek dan adik. Terima kasih yang tidak terhingga.

Hari pendaftaran adalah sejarah buat Gem 4. Kali pertama dia tidak boleh berkepit untuk menguruskan itu dan ini. Dia perlu melakukan pendaftaran seorang diri. Lalu, dia ke hulu ke hilir, kami hanya memerhati. Selepas pendaftaran, sesi taklimat bersama pengetua. Hanya saya dan Gem 4 yang dibenarkan masuk. Melangkah ke dewan besar adalah nostalgia buat saya - pentasnya, lagunya. Ia menggamit kenangan silam 27 tahun yang lampau. Tempat saya memburu mimpi untuk diungkai satu persatu. Dan hari ini Gem 4 mendengar dengan tekun dan ceria. Entah apa mimpinya, semoga semuanya menjadi nyata. Hadiah paling istimewa yang dikhabarkan oleh pengetua ketika itu ialah pada tahun ini MRSM Pengkalan Chepa menjadi MRSM Mini Ulul Albab. Apa ertinya? Pelajar yang ada dikehendaki menghafal empat surah panjang - Yasin, As-Sajadah, Al-Mulk, dan Al-Insan untuk sepanjang pengajian mereka di sana. Ia bagaikan bulan jatuh ke riba. Mudah-mudahan Gem 4 akan menghafal lebih dari itu. Dengan izin Allah. Kata pengetuanya, harapan MARA, pelajar-pelajar ini menjadi professional yang takut pada Allah dalam segala tindak tanduk mereka.

Selepas sesi taklimat, kami berjumpa pula dengan Penasihat Gem 4. Kerika itu, Gem 4 diminta mengisi borang peribadi. Sekali kerling, saya dapat melihat - cita-citanya yang ditulis ialah 'journalist'.

Kemudian, kami dibawa Adam dan Azlina makan di kedai Nasi Ulam. Sedap. Masa selebihnya, kami membeli barang-barang Gem 4 yang tertinggal.

Ketika menghantar pulang ke asrama, kami bersalam-salaman. Lalu, sempat saya bisikkan pada Gem 4, "Selamat belajar dan berjaya Al-Hafizah". Moga dimakbulkan Tuhan.

Barangkali saya perlu ingatkan lagi untuk Gem 4,
Menjadi journalist umpama memegang pisau yang tajam,
Jika digunakan dengan betul ke arah kebaikan, ianya satu jihad,
Jika digunakan untuk menulis berita palsu, ia umpama membunuh,
Maka, tulislah yang benar itu benar,
Yang salah itu salah,
Kerana pembacamu ada mata untuk melihat
Ada telinga untuk mendengar
Ada otak untuk berfikir dengan OTAK yang TIDAK TERLETAK DI LUTUT!

Sehari di Kota Bharu yang beritanya di dada akhbar tiada yang indah,
Rupanya ia tidak begitu.....