Monday 28 March 2016

Kali Kedua: Mencari Kekuatan

Selepas melalui sesi kali pertama dulu, ada beberapa kelemahan telah dikenalpasti. Contohnya, sesi ceramah itu sangat mirip dengan rutin syarahan setiap hari. Ia hanya mendatar tanpa intonasi. Ia hanya berkisar dalam fakta di dalam slaid, tidak pandai berceloteh lebih dari itu. Tapi.. saya bisikkan pada diri sendiri.. itu kali pertama, bercerita sesuatu dari sisi agama, dalam bahasa Inggeris, yang tidak pernah saya terfikir untuk lakukan pada masa lampau. Maka, sesi yang hanya dihadiri dengan bilangan kurang dari 20 hadirin itu hanya sebagai pemula.

Pada awal bulan ini, saya disapa oleh rakan sekerja dengan pertanyaan.. "mahukah saya memberi ceramah yang sama untuk sesi Santapan Rohani pada pelajar baru.. sekitar 500 orang?". Tanpa berfikir, terus saya katakan 'ya' sebagai jawapannya. Fikir saya ini peluang yang sesuai. Peluang kedua untuk menerokai alam baru dengan ilmu yang sangat sedikit. Saya cuma seorang saintis komputer biasa.. yang punya keinginan besar untuk berkongsi dengan sesiapa yang sudi mendengar.. bahawa untungnya kita hidup di akhir zaman ini. Di zaman teknologi digital ini, telah menjadikan perkara yang pelik dan luar biasa pada zaman dahulu, dapat dilihat semula dengan perspektif berbeza sambil menyaksikan Kehebatan Allah yang tampak di mana-mana. Apabila dunia digital yang sekular ingin dibincangkan dengan kaitan keugamaan, maka ia sangat mencabar. Kerana yang ingin berbicara itu kurang segalanya... bukan seorang ustazah atau al-hafizah. Bukan seorang pendebat atau pemidato hebat. Ya... ia kerja sukar.

Pun begitu, peluang kedua itu diambil. Slot yang diberi ialah slot terakhir di hari terakhir. Ia satu cabaran untuk bercerita di saat perut berkeroncong dan selepas dua sesi ceramah lain di slot yang terdahulu. Alhamdullillah... melihat sekitar gambar-gambar yang dikirim... ia berjaya. Dari sesi ini saya sudah bersedia untuk sesi-sesi seterusnya... jika ada yang sudi untuk menjemput. Jauh di sudut hati saya ingin sekali ke satu tempat itu untuk bercakap-cakap tentang ini. Tidak tahu bilakah ia akan dikabulkan. Entah setahun, dua tahun, tiga tahun atau bertahun-tahun. Ia doa tersirat... Mudah-mudahan ia jadi nyata.







Thursday 17 March 2016

Rindu Seekor Kucing

Pada hari Ahad yang lepas, dalam perjalanan pulang dari kampung, kami singgah sebentar menziarahi anak saudara ipar yang baru kehilangan ayah seminggu yang lalu. Pemergian arwah ayahnya agak pantas. Bermula dengan seperti satu lecur kecil di kaki sehingga melarat ke pembedahan pertama dan kedua. Dalam masa seminggu. Khabarnya, melihatkan sakitnya, tidak disangka oleh ahli keluarga bahawa mereka akan kehilangannya. Penyakit yang kelihatan biasa-biasa, rupanya luar biasa.

Ketika kami menjejak kaki ke rumahnya, terdengar bunyi kucing mengiau. Bunyinya sedikit pelik.. sekali dengar pula seperti meraung sayu. Kata anak buah, sudah beberapa hari kucing itu tidak lalu makan. Asyik meraung ke hulu ke hilir. Semasa kami bersembang-sembang, si kucing ini datang bermanja-manja. Sesekali ia berbunyi juga. Sayu. Kata anak buah, selalunya setiap lepas Subuh, kucing ini akan menunggu arwah ayahnya pulang dari masjid. Arwah ayahnya akan menyediakan makanan dengan resepi istimewa. Ketika diceritakan begitu... sebak juga melihat ibu kucing yang meraung itu. Tidak pernah seumur hidup hampir mengalir air mata untuk seekor kucing yang kehilangan seorang manusia yang rapat dengannya!

Alahai.. rindu seekor kucing.. siapalah yang tahu. Semoga dengan kesedihan kucing itu bertukar menjadi rahmat yang melimpah untuk si arwah. Bukti kasih sayang sesama makhluk di hadapan Allah. Bukankah cerita sejarah pernah didengar bahawa ada seorang wanita dihadiahkan syurga kerana menjamu minuman untuk seekor anjing yang kehausan? Sungguh.. Allah SWT sahajalah yang Maha Tahu.

Tuesday 1 March 2016

Empayar Kita

Perkataan empayar seperti sangat jauh dari kita. Seperti jauhnya langit dari bumi. Dulu-dulu terpaksa belajar mata pelajaran sejarah... maka ketika itu perlu mempelajari empayar-empayar yang terdahulu seperti empayar kesultanan Melaka. Sudah tentu, bagi saya, empayar itu umpama cerita-cerita sejarah yang tidak wujud pada hari ini.

Malangnya, kewujudan empayar sentiasa silih berganti sehingga ke hari ini. Lihatlah bagaimana Mark Zuckerberg membina empayarnya melalui 'Facebook'. Bill Gates dengan 'Window' nya, Steve dengan 'Apple' nya. Empayar mereka menakluki sepelusuk dunia. Kadang-kadang, keinginan untuk menjadi seperti mereka ada... cuma keupayaan saja yang tiada.

Pun begitu, sebagai seorang Muslim, kita tidak dapat lari dari membina empayar sendiri. Di alam abadi nanti, hanya kita dan empayar kita yang berdiri untuk diadili. Penghujungnya hanya ada dua pilihan, antara syurga yang hidupnya bersenang-lenang atau neraka yang hidupnya sentiasa terseksa.

Siapakah yang berada di dalam empayar kita untuk di alam sana? Seluruh keturunan di atas kita dan di bawah kita. Rekod anak, cucu, cicit, mak, ayah, datuk, nenek moyang dan yang seumpamanya saling berkait dalam perkiraan dosa dan pahala.

Sungguh... sekiranya kita membayangkan empayar yang abadi itu.. sudah tentu kita sangat berkira tentang agama, asal dan keturunan, perilaku dan tata susila. Segala-galanya tentang ahli keluarga yang kita ada. Sempurnakah solat kita dan mereka? Sempurnakah puasa kita dan mereka? Hati wajib tertanya-tanya di manakah tahap keimanan dan keislaman kita dan mereka. Sesungguhnya.. kita dan mereka adalah di dalam empayar yang sama di alam sana yang kekal abadi.