Monday 29 April 2013

Demam Pilihanraya

Sekarang waktu kemuncak. Demam pilahanraya. Bendera pelbagai warna berkibar-kibaran. Meriah. Agaknya kerana itu isu pilihanraya juga masuk ke rumah. Sibuk Gem 7 bertanya, kita sokong bendera mana. Pada beliau, bendera-bendera itu seperti bendera pasukan bola. Mesti pilih satu sebagai tanda sokongan. Apabila disebut tentang pilihan raya, maka banyak lagi soalan yang bertimpa-timpa. Sukar juga untuk memahamkan anak-anak yang berbeza usia - 8 tahun, 13 tahun dan 14 tahun ... tentang apa itu pilihanraya.

Lalu, dikatakan kepada mereka, bahawa pilihanraya ialah masa untuk memilih barisan pemimpin negara. Mereka datang secara pasukan. Setiap bendera melambangkan pasukan yang berbeza. Ada pasukan yang bergabung. Ada yang bersendirian. Masing-masing mengimpikan tampuk pemerintahan negara. Memilih pemimpin bukan seperti memilih pasukan bola. Pasukan bola yang menang tidak memberi kesan apa-apa kesan kepada kita. Hadiah mereka bukan kita punya!

Memilih pemimpin sangat-sangat memberi kesan kepada kita. Kenapa? Tanya mereka. Lalu dikatakan kepada mereka, bahawa barisan pemimpin yang kita pilih akan membuat dasar. Seperti dasar pendidikan mata pelajaran sains dan matematik. Dahulu bahasa pengantarnya bahasa Melayu, bertukar menjadi Inggeris. Ia bertukar semula ke bahasa Melayu pula. Anak-anak keliru dan tidak setuju. Tapi terpaksa juga menerima. Diberi lagi contoh yang hampir dengan mereka agar mereka lebih mengerti... contohnya seperti pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR, naik harga minyak kereta atau harga tol. Semua dasar boleh digubal oleh barisan pemimpin yang memerintah negara. Atau mereka boleh saja mengeluarkan arahan seperti "Setiap hari Rabu adalah cuti sekolah!" Segalanya berkemungkinan. Apa yang mereka putuskan, ada kena mengena dengan kehidupan seharian kita.

Anak-anak bertanya lagi... Kalau begitu siapa yang kita perlu pilih? Orang itukah? Atau orang ini? Itulah yang ditanya apabila melihat tampalan poster yang berselerak.

Lalu dikatakan kepada mereka, hidup kita dan Islam tidak terpisah. Ia cara hidup yang dianut dan diturut. Islam tidak hanya menggariskan dasar tentang cara berpakaian - tidak singkat, sendat, jarang atau terbuka aurat. Islam tidak hanya menggariskan panduan makan dan minum - seperti haram memakan babi dan meminum arak. Tetapi Islam juga mengajar kita memilih pemimpin. Pilihlah pemimpin yang paling hampir meniru ciri-ciri yang ada pada Nabi. Pemimpin mesti bertaqwa - takut pada Allah. Kerana dengan hanya takut pada Allah, pemimpin akan memikul amanah dan adil. Yang paling penting, kita perlu memilih pemimpin yang akan membawa kita kepada jalan Allah. 

Memilih pemimpin seperti memilih kawan. Pemimpin yang bertaqwa seperti minyak wangi. Jika tidak terpalitpun, bau harumnya dapat dihidu.

Pada hari pilihanraya, sesiapa yang layak mengundi akan mengundi dengan memangkah pemimpin yang dipilihnya. Ingatlah anak-anakku... bahawa setiap apa yang kita lakukan ada perkiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Biarpun, hanya menulis sekecil-kecil simbol pangkah!

Kematian rakan sekerja yang sangat hampir dalam waktu yang singkat seperti memberi ingat. Hidup di dunia hanya sebentar. Hidup di alam akhirat adalah kekal abadi. Bahagia atau sengsara hidup kita di sana berpandukan pada kutipan pahala dan dosa di alam ini. Takutlah Allah di dalam semua urusan duniamu. Semoga setiap amal, ada harga disisiNya!

Selamat Mengundi! Oppssss bukan ditujukan untuk anak-anak... ditujukan untuk semua rakan maya....