Wednesday 15 October 2014

Berlalunya PT3

Barangkali, hari ini Gem 5 sangat gembira kerana peperiksaan PT3 untuk pelajar tingkatan 3 telah berakhir. Betapa sistem pendidikan dan peperiksaan negara kita telah berubah. Dari peperiksaan SRP yang dilalui, merentasi peperiksaan PMR untuk Gem 3 dan Gem 4, kini PT3 untuk Gem 5 pula. Apakah sistem peperiksaan semakin maju merentas zaman, ataukah ia makin mundur ditelan zaman.

Bagi seorang ibu... peperiksaan PT3 tahun ini yang kali pertama diadakan ialah merupakan SATU MALA PETAKA di dalam sistem pendidikan. Ia seperti satu rancangan mega yang dibuat secara suka-suka. Tetapi, akibatnya merupakan satu lara bagi guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang menjadi mangsa. Tidak terkata apa yang perlu dilontar. Ia seperti berada di dalam sistem pendidikan dunia keempat. Tidak tahu, apakah anggota yang digunakan untuk memikir dan merancang satu sistem pendidikan yang perlu dilalui oleh anak-anak ini. Dengan otak? Lutut? Tangan? Atau mulut? Kasarkah bahasa? Ia cuma menggambarkan satu kemarahan seorang ibu yang terpendam lama.

Bayangkan... ketika di tingkatan satu dan dua, anak-anak dihebohkan tidak perlu gusar tentang semua sukatannya. Ia tidak akan ditanya ketika di dalam PT3. Hujung bulan Julai tahun ini, ibu bapa dipanggil taklimat ... katanya SEMUA PELAJARAN dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 akan masuk periksa!!! Terlopong para ibu bapa. Masing-masing membayangkan keadaan anak sendiri. Akan upayakah mereka bertungkus lumus menelaah mata pelajaran yang lepas? Di dalam masa yang sangat singkat! Bulan Oktober peperiksaan diadakan... Allahuakbar. Sungguh, jika yang merancang dan mengilham sesuatu sistem tidak memikirkan yang semua perkara akan dilihat Allah, dan tanpa rasa berdosa menzalimi, inilah hasilnya...

For me.... PT3 is a total disaster! 

Kesian anak-anak dan guru-guru yang menjalani hidup sukar bagi merealisasikan satu impian yang lintang-pukang dan tersasar.

Monday 13 October 2014

Seperti Tidak Cukup Masa

Tadi saya berfikir-fikir sejenak betapa kita seperti tidak cukup masa untuk menghampiri Al-Quran dan menanamnya dalam hati. Kenapa? Kerana saya seperti anak-anak yang sangat leka seharian bermain-main di padang sehingga tidak sedar hari sudah hampir malam dan perlu pulang ke rumah. Betapa, ketika usia muda remaja, seluruh tenaga terhabis demi mengejar sekarung cita-cita. Maka, cita-cita sangat penting. Tidak boleh tidak perlu dikejar. Bersengkang mata. Memburu. Akhirnya, masa muda remaja hilang. Sebahagian karung cita-cita tercapai. Tetapi bekalan untuk alam yang kekal abadi sangat sedikit.

Mujurlah, perjalanan belum tamat. Walaupun menghampiri tua, tapi masih punya upaya. Syukur, badan masih sihat. Hajat hati ingin berlari sambil mengutip deretan pahala yang telah lama tercicir.

Ya Allah.. Panjangkanlah usia kami dan sihatkanlah kami untuk ke arah itu.