Sunday 30 September 2012

Jika itu yang Tersurat

Ketika bermalas-malasan hari ini, tiba-tiba Gem 1 menunjukkan satu SMS yang diterimanya. Biarpun kandungan SMS itu membawa khabar negatif, tidak mengapalah.  Kerana kita hanya merancang. Dan Allah adalah Perancang yang Muktamad. Pasti ada hikmah yang tersurat. Tahun depan usaha lagi!

Dulu-dulu, ketika menginginkan sesuatu, pasti keinginan itu dinyatakan secara spesifik. Contohnya, "Ya Allah, makbulkanlah doaku untuk bercuti ke tempat X". Bila tiba masanya doa dimakbulkan Tuhan, tetapi demam pula. Sudah tentu ia bukan percutian yang terbaik. Kerana terlalu inginkan sesuatu, kita sering lupa bahawa sesuatu keadaan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain yang kita terlepas pandang. Sedangkan faktor-faktor tersebut penyumbang kepada sesuatu kegembiraan yang hakiki.

Sekarang, doa lebih kepada keinginan kepada sesuatu yang berkeadaan terbaik. Contohnya, "Ya Allah, mudahkanlah  kami untuk ke destinasi X, dan pilihlah kami untuk menyertai perjalanan yang terbaik". Maka, jika keinginan tidak terlaksana, hati mudah menjadi redha. Kenapa? Kerana mungkin perjalanan kali ini tidak sesuai untuk kami. Dan Allah lebih mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi perjalanan yang dinanti. Faktor-faktor yang memungkinkan kami tidak menjadi antara yang terpilih dan terbaik!

Lalu, hati menjadi tenang. Jika itu yang tersurat, redha!

Wednesday 26 September 2012

Meniti Alaf digital

Hari-hari, meniti kehidupan di Alaf Digital, apakah kita bersyukur? Banyak perkara di dalam kehidupan harian yang berorientasikan teknologi komputer, komunikasi dan maklumat telah meletakkan umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman seperti kita, berada di posisi yang lebih mengerti tentang rahsia-rahsia kejadian Tuhan.

Contohnya, perjalanan Nabi Muhammad ketika Israk dan Mikraj, nampak sangat ghaib dan ajaib yang tidak ada sandaran logik, jika dilihat dari perspektif kehidupan di Zaman Batu. Hanya orang yang benar-benar beriman kepada setiap patah kata Nabi dan Allah sahaja yang akan menerimanya. Bagi yang lain, pasti memikirkan alasan logik bersandarkan akal, yang akhirnya akan berkata semua cerita itu dusta belaka.

Sedangkan, bagi kita yang berada di Alaf Digital, yang mampu menyaksikan segala jenis kenderaan, dari kereta yang menjalar di jalan raya sehingga ke roket yang membelah angkasa, maka kejadian Israk dan Mikraj dapat disandar kepada hujah logik. Jika manusia yang lemah akal dan kekuatan, dapat menghasilkan roket ke angkasa, apatah lagi Allah yang Maha Berkuasa. Tentu Dia Maha Mampu melakukan segala jenis perjalanan, sekalipun sehingga langit yang ke tujuh.

Satu analogi, jika seekor semut memberitahu seekor semut yang lain, bahawa dia sudah sampai ke London. Maka, apakah semut yang lain itu akan percaya? Dalam dunia semut, mana mungkin seekor semut dapat merentas negara, lautan dan benua. mati hidup balikpun tidak percaya. Tetapi, jika dilihat dari perspektif manusia, kisah semut ke London, bukan pelik. Sang semut ke London kerana tersesat di dalam sebuah beg tangan seorang manusia yang bertolak ke London dengan kapal terbang. Seekor semut mampu ke sana sambil merentasi negara, lautan dan benua. Begitulah dengan perjalanan Israk dan Mikraj, ia ada alasan logiknya jika dianalisa di luar kepompong kemampuan manusia.

Meniti kehidupan di Alaf Digital, kita dapat membuat analisa kelemahan ciptaan manusia berbanding Kehebatan Ciptaan Allah. Maklumat ada dihujung jari untuk meneroka tanda-tanda Kebesaran Allah. Sesuatu yang tidak mungkin dinikmati oleh umat di zaman-zaman yang terdahulu. Nikmat Tuhan manakah yang telah kita dustakan?


Monday 24 September 2012

Tersentuh

Entri ini berkisar tentang buku "A Priceless Princess". Objektif asal penulisan ialah keinginan untuk memecah kelemahan sendiri, iaitu menulis. Menulis bukan mudah untuk sesetengah orang. Dan saya termasuk di dalam golongan itu. Barangkali bosan menjadi murid tercorot, menulis menjadi impian yang terpendam. Lama ia terpendam. Tidak nampak jalan.

Barangkali, hikmah terbesar terpaksa menulis semula satu thesis PhD untuk dilihat dari sudut yang berbeza, telah membawa saya ke satu dimensi baru. Ia satu pengalaman yang sepatutnya sangat pedih, tapi dilalui dengan semangat "bahawa aku perlu lulus, jika tidak seumur hidup aku akan corot". Dan Dr. Boriana dari Bolivia mengajar saya erti sabar dan menulis satu persatu. Betapa intensif sesi saya bersamanya, hanya Tuhan yang tahu. Bergandingan dari bahu ke bahu menatap skrin komputer yang satu. Ia satu pengalaman yang tidak akan dilupakan selagi hayat masih ada.

Dari situ, keinginan untuk menulis berterusan. Lalu, dalam diam-diam, saya mulakan dengan menulis blog. Blog pertama hanya ada susunan gambar. Diselangi sebaris dua ayat yang menceritakan kenangan gambar-gambar itu. Ia satu entri yang saya rasakan sangat buruk. Terus blog itu dipadam.

Selang beberapa minggu. menulis lagi. Kali ini, agak lebih tersusun. Dua tiga hari kemudian, saya mendapat komen dari pembaca maya nun jauh di Jepun. Katanya, saya tertarik dengan cara penceritaan anda. Dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu, bahawa kata-katanya yang seringkas itu telah menaikkan tahap keyakinan - "ya saya boleh menulis". Dan bermulalah penulisan entri-entri seterusnya. Terhegeh-hegeh menulis. Sukarnya apabila lemah berbahasa.

Kini, "A Priceless Princess telah 3 bulan di pasaran". Saya hanya ada beberapa salinan terhad atas ihsan kiriman Nurazian, rakan sekerja yang berada di Glasgow. Lalu, salinan yang ada itu saya berikan kepada ketiga-tiga anak perempuan saya. Itulah objektif yang pertama. Satu koleksi nota cinta dari seorang ibu yang akan mengekori anak-anaknya ke mana-mana.

Apakah objektif kedua? Objektif kedua muncul selepas membaca di dalam satu ruangan soal jawab agama. Tanya seorang pemuda yang lebih kurang begini bunyinya "Jika Al-Quran dikatakan sesuai untuk sepanjang zaman, kenapa tidak ada disebut gajet-gajet terkini di dalamnya? Bagaimana saya ingin berhujah bahawa al-Quran sesuai untuk semua zaman kepada rakan-rakan bukan beragama Islam?". Tiba-tiba saya terkenang satu entri spontan Pangkalan Data: Antara Tanda-Tanda. Ia bagaikan satu entri yang memanggil-manggil bahawa saya harus menulis tentangnya. Ia sesuai dengan generasi yang lebih mengenali komputer dan alatan eletronik daripada organ badan sendiri! Maka, "A Priceless Princess" adalah langkah permulaan ke arah menjawab persoalan generasi Alaf Digital tentang al-Quran dan kehebatan Tuhannya. Mampukah? Ilham milik Tuhan. Mudah-mudahan ada jalan dan kemudahan.

Apakah objektif ketiga? Objektif ketiga ialah ingin sangat menyentuh hati-hati. Lalu, satu salinan "A Priceless Princes" saya tawarkan pada yang hampir untuk digilir membacanya. Itupun pada yang sudi. Pembaca pertama, berusia 65 tahun. Ketika ingin memulangkan buku itu kembali, tanyanya mengharap, bolehkah dia dapatkan untuk diberi pada anak-anak perempuannya? Katanya, buku kecil itu seperti berbicara dengannya dan menyentuh di hati. Pembaca kedua, baru sekitar 8 atau 9 tahun. Kata ibunya, anaknya suka dengan buku itu dan ingin memilikinya. Pada saat itu, hati saya sangat tersentuh. Ya Allah, jika buku kecil itu tidak mampu menyentuh hati beribu manusia, ia sudah cukup jika dapat menyentuh beberapa hati. Untuk manusia seperti saya yang tidak pandai berbahasa, ia satu pencapaian objektif yang tidak diduga. Alhamdullillah.

Untuk rakan maya di luar sana, jika ada sejuta  impian, impikanlah hari ini. Tidak tahu bilakah Tuhan akan makbulkan, mungkin bertahun, berbulan, berminggu, berhari, berjam, berminit atau bersaat. Allah Maha Mendengar!



Sunday 23 September 2012

Siri Kenangan: Sehari di Safari Birmingham

Masih berkisar album lama. Dulu tidak sempat merakamkan.











Meraikan Rakan Notts

Hari ini tidak dirancang pertemuan dengan beberapa keluarga Notts. Tapi meriahnya. Anak-anak bersukaria. Ibu-ibu bersila, bersimpuh dan bercerita. Bapa-bapapun riuh juga. Suasana mesra yang tak pudar biarpun persahabatan ditelan masa.

Terima kasih kerana sudi bertandang. Entah bila kita akan berjumpa lagi seperti begini.

Friday 21 September 2012

Hujan yang Turun

Semalam, sekitar jam menghampiri pukul 12 tengah malam, hujan turun dengan lebatnya. Barangkali sehingga terlena hujan lebat begitu. Seronoknya... Syukur pada Allah ketika sesekali dapat menikmati hujan lebat seperti itu. Selalunya, ketika hujan lebat tidak dapat dinikmati kerana bekerja.

Hari ini, hujan masih berterusan. Gem 7 ke sekolah kerana ada sukaneka. Gem 5 ke sekolah kerana ada perlawanan memanah. Gem 6 akan ke kelas tambahan untuk Peperiksaan Sekolah Agama pulak. Kata Gem 6, dia masih belum merdeka walaupun UPSR sudah lama berlalu. 

Kerana hujan semalam, hari ini suasana sangat nyaman, redup dan sejuk. Hari ini tidak perlu menyusun jadual hingga ke malam untuk memenuhi jemputan raya yang tidak selesai. Setelah sebulan menghadapi setiap hari minggu yang sangat sibuk, leganya rasa.....

Tekad hari ini untuk menyudahkan projek ke 3. Walaupun ia sangat mustahil. Mudah-mudahan, ilham datang bersama hujan yang turun.

Friday 14 September 2012

Siri Kenangan Lalu: Perkhemahan Pertama di Stratford-Upon-Avon

Biarpun kata orang "barang lepas jangan dikenang", tapi apabila membelek-belek koleksi gambar yang tidak seberapa, kata itu tidak dapat dituruti. Banyak rasa yang muncul apabila membelek album lama. Antaranya ada tiga rasa yang kerap melanda. 

Pertama: menyesal - kerana tidak mengambil gambar banyak-banyak. Sedar-sedar masa sudah berlalu dan anak-anak sudah membesar. Gambarpun tidak banyak yang tersimpan. 

Kedua: tidak sempat meraikan mereka ketika mereka masih kecil kerana sibuk. Satu alasan yang paling sadis. Juga sedar-sedar masa sudah berlalu dan anak-anak sudah membesar. Masa riuh-rendah dahulupun berlalu dan tidak akan kembali. 

Ketiga: Rasa syukur yang tidak terucap. Sesungguhnya banyak pertolongan Allah yang datang semasa dalam proses menamatkan pengajian. Tidak tahu bagaimana seorang ibu beranak empat belajar, bekerja dan menambahkan lagi bilangan anak sambil bertarung mengejar masa. Rakan-rakan berbangsa Inggeris sering menggeleng-gelengkan kepala, kehairanan. Tidak ada jawapan yang jelas, barangkali kerana suka melakukan. Kata rakan sekerja kepada pelajar-pelajar PhD di bawah seliaannya,"Jika mahu melihat contoh orang yang bergembira semasa membuat PhD, tanya dia", katanya sambil menuding saya. Syukur Allah pada nikmat itu. Syukur yang tidak terhingga.

Kali ini koleksi gambar ketika pertama kali menyertai perkhemahan musim panas di Stratford Upon Avon - bandar yang ada kaitan dengan Shakespear.  Bandarnya cantik dan mendamaikan.













Monday 10 September 2012

Ucap Selamat UPSR

Hari ini hari pertama UPSR untuk Gem 6.

Segala Pujian bagi Allah, Tuhan Empunya semua jenis kejayaan,
Dengan Kudrat Kun Fa Kun Mu,
Kami mohon doa semoga Allah
memberinya kemudahan,
memberinya kesenangan,
memberinya ketenangan,
memberinya daya ingatan yang kuat, tidak lupa,
memberinya cerdas akal mengira,
memberikan ilham menulis dan memaham,
memberi kejayaan yang terbaik buatnya,
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarga serta sahabat Baginda.

Amiin.

Sunday 9 September 2012

Semester Baru

Hari ini bermulanya semester baru. Salah satu keseronokan menjadikan pengajar sebagai profession ialah perjalanan kerja ada tempo. Bila semester bermula bererti 14 minggu dengan dunia mengajar. Sudah tentu ia berselang seli sedikit dengan penyelidikan dan penulisan.

Kemudian, minggu peperiksaan. Kemudian cuti yang panjang. Cuti bukan bererti tidak bekerja, tapi seluruh masa ditumpukan kepada penyelidikan, penulisan dan pelajar-pelajar PhD. 

Cuti semester yang berlalu ini sangat tidak produktif. Bukan disebabkan bulan puasa. Tetapi, aircond rosak bermula di musim peperiksaan sehingga hari ini. Apa yang dapat difikirkan apabila bilik bertukar menjadi sauna! Berbulan sudah sengsara. Dari minggu ke minggu menanti. Akhirnya, ada pihak berjanji akan diselesaikan hari ini. Bolehkah janji ditepati? Tungguuuuuu.

Walaubagaimanapun, sempena semester baru ini, kebanyakan pelajar PhD sudah masuk semester 3 dan ke atas. Semester yang memerlukan sepenuh tumpuan dan jiwa raga. Bagi saya yang melaluinya, semester 3 tidak ada istilah bersuka-ria. Semester untuk melaksanakan apa yang dirancang untuk dilaksanakan sebelumnya. Jika kereta, semester ini = gear 5 = pecutan sudah bermula.

Untuk Suzana yang akan berangkat ke UK dan Suraya yang akan berangkat ke Australia, syabas di atas ketekunan anda semua untuk merebut peluang yang datang. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjalanan dan urusan sepanjang tempoh tinggal di sana.

Untuk yang tinggal, mudah-mudahan Allah membuka pintu-pintu rahmatNya untuk ke garisan penamat. Selamat berjuang. Selamat berjuang. Hidup ada liku, tapi usaha tidak berhenti di situ.

Tuesday 4 September 2012

Rindu Pada Waktu Itu: Mengutip Strawberry

Biarpun bertahun sudah berlalu, rindunya pada waktu-waktu itu.  

Hampir 5 tahun dianugerahkan Tuhan menikmati kehidupan yang sangat santai walaupun penuh berliku. Yang berliku adalah ujian, yang santai kekal diingatan.

Hari ini gambar-gambar lama ditatap satu persatu. 

Sangat-sangat teringin memutar waktu untuk kembali ke saat itu!