Tuesday 26 January 2016

Liaw 35 @ Saloma Bistro

Adakah perkataan 'liaw" dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak tahu. Yang pasti, itulah perkataan yang digunakan oleh budak-budak MRSM Kulim satu ketika dulu. Istilah yang menggambarkan keluar secara 'haram' dari maktab. Lama saya telah melupakan kehidupan di MRSM Kulim dulu. Tidak banyak perkara untuk dikenang selain dari belajar, makan dan tidur. Sangat tidak aktif ketika itu. Atau tidak pandai menjalani aktiviti sosial.

Setelah beberapa kali tidak ambil peduli kenangan lama, akhirnya saya terpanggil untuk pertemuan semula dengan rakan seangkatan batch 81-85 atau dikenali dengan nama Kulima. Akhirnya kami bertemu di Saloma Bistro yang pemiliknya rupa-rupanya merupakan rakan sekelas. Alahai... bertemu semula selepas mengikat persahabatan tersirat menjangkau jangka 35 tahun! Ramai benar yang saya tidak kenali lagi. Masing-masing ada yang kembang ke depan, kiri atau kanan. Atau ada yang sudah luruh rambut atau rambut sudah keputihan. Saya kira ramai di antara mereka  yang sudah menginjak tahap jutawan. Memiliki perniagaan yang maju atau menerajui organisasi yang hebat. Pun begitu, definisi kejayaan sudah tentu berbeza. Kerana kita masing-masing dihujani dengan ujian yang berbeza oleh yang Maha Pencipta. Lalu, nilai kejayaan kita berbeza dalam konteks yang berbeza.

Pada malam itu paling lucu.. semuanya bersikap keanak-anakan. Benarlah kata seseorang yang didengari sayup-sayup... "Malam ini kita telah melupakan angka usia kita". Ya.. riuh rendah dengan usikan dan ketawa. Si Nakal zaman itu bangun memohon ampun dan maaf. Malah kedengaran pertanyaan dari yang menjadi mangsa "kenapa hang kata aku...". Jawab Si Nakal... "Mana aku tahu... sudah 35 tahun berlalu!" Aduhai... kesakitan dan kepayahan masa lampau bertukar menjadi manis di saat usia sudah menginjak tua.

Tidak habis di situ, semua rakan-rakan perempuan diajak bermalam di rumah salah seorang dari peserta. Aduh! Hebatnya kondo mewah dia. Terpacak di tengah-tengah kota raya, berlatarbelakangkan bangunan KLCC yang sangat cantik melatari panorama malam. Kata Gem 1, nilainya melebihi 6 Juta... Bertuahlah badan si pemiliknya. Siapa tahu.. tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia terselindung di sebalik takdir. Sepanjang malam itu, kami menongkat mata  untuk tidak lena. Berceloteh sehingga menjelang dinihari. Agaknya masing-masing hanya tidur sekitar sejam sahaja. Kami menyambung semula celoteh sehingga pukul 10 pagi dan pulang bersama cenderahati yang menarik.

Anehnya kehidupan masa lalu. Persahabatan yang diikat tetap semarak dan tidak rapuh ditelan zaman. Semoga persahabatan ini berterusan di bawah lindungan Ilahi. Pun begitu... di sebalik riuh rendah.. saya merenung wajah-wajah di depan mata mata satu per satu. Siapa sangka.. siapa sangka nasib kita ketika ini jika berbanding dengan masa silam yang suram? Sesungguhnya Allah Pemilik semua yang ada... Hanya DIA yang mampu Memberi kepada sesiapa yang disukaiNya. Jadilah hamba yang Disuka... 

Tuesday 19 January 2016

Sudah Setahun Berlalu

Rupa-rupanya sudah setahun Mak berada di alam lain. Tidak sangka pula semalam bermimpi bersama-sama Mak  dalam mimpi yang panjang.

Al-Fatihah untuk Mak tersayang.. damailah Mak di sana.

Sunday 17 January 2016

Syukur.. Kita Masih Punya Nyawa

Dua minggu lepas dimulai dengan berita kematian. Awal-awal pagi Isnin, berita kematian pertama diterima, suami rakan sekerja meninggal dalam usia yang muda. Melihat raut wajah rakan sekerja yang masih muda dengan anak-anak yang masih kecil, sangat memilukan. Tidak puas si anak bermanja dengan si ayah. Tidak puas si ayah memanjakan anak, bila tiba ketikanya, semuanya berpisah jua. Sedia atau tidak, rela atau tidak. Ia tetap dan pasti berlaku.

Selepas menziarahi kematian pertama, terima pula berita adik ipar Mak Som sedang sakit tenat. Mak Som sekeluarga sangat dekat di hati. Mak Som merupakan pengasuh setia keempat-empat anak kami. Maka sesiapa yang ada kena-mengena dengan Mak Som, kami anggap jua seperti saudara mara sendiri. Ketika berkira-kira untuk menziarah pada petang hari Selasa, petang itu juga diterima berita kematiannya. Ketika menziarah ke rumahnya, jenazah baru tiba dari hospital.  Lalu, Gem 1 memberi isyarat untuk tunggu sehingga jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, selepas Isyak. Ketika itu baru sekitar pukul 4.30 petang. Saya masuk ke rumah, tanpa mengenali sesiapa yang lain. Mengambil tempat di sudut rumah yang hujung. Saya kira anak-anaknya sudah besar belaka. Tetiba, saya melihat kelibat seorang budak lelaki kecil di sisi jenazah. Tingginya, keletahnya, saiz tubuhnya seperti Gem 7. Sesekali air matanya mengalir laju. Sesekali tangannya mengusap-usap kaki arwah ibunya. Dari perbualan sekelililing... anak bungsu arwah ini sangat manja dengan ibunya. Tidurpun masih dipeluk ibu. 

Tanpa disedari, air mata saya mengalir sangat laju. Teresak-esak di sudut rumah itu. Kali ini saya seperti mencipta senario baru. Seolah-olah sayalah yang mati ketika itu. Aduh... apakah saya sudah melakukan semua kewajipan?. apakah saya sempat mengucap kalimah shahadah? Apakah yang saya rasa ketika itu.. adakah saya sedang meminta-minta ihsan Allah supaya diberi nafas barang seketika untuk menyebut SubhanAllah.. kerana ketika itu saya sudah nampak balasannya yang tidak terkira banyak? Atau adakah saya ketika itu memohon ihsan untuk dihidupkan semula.. untuk menghargai apa sahaja yang ada di depan mata? Apakah saya juga sedang meminta-minta untuk hidup barang seketika, mencium sepuas-puas hati anak yang sedang mengusap kaki ketika itu?

Lalu, saya melihat pula telatah anak yang baru yatim itu. Apakah yang dirasanya? Barangkali beliau akan sanggup dileteri sepanjang hidup asalkan ibunya hidup kembali. Atau mungkin sanggup mengerjakan apa sahaja suruhan ibu selamanya.. jika ibu dapat hidup semula.

Dari jauh saya memerhati di sebalik deraian air mata. Sesekali, saya terlihat anak sulungnya memandang ke arah saya dengan kehairanan. Siapa saya? Bukan kerabat atau sedara mara. Bukan sahabat atau rakan sekerja. Tetapi air mata yang gugur sama sepertinya ... anak sulung arwah si mati. Dia tidak mungkin akan tahu yang ketika itu saya meletak diri saya sebagai jenazah ibunya. Yang sedang diulik oleh anak-anak-anak sendiri.

Ekor mata saya sentiasa menuruti kelibat anak bungsu arwah si mati. Melihat dia bertafakur di sisi si mati. Melihat dia diajak untuk melihat ibunya dimandikan. Melihat dia diajak menyembahyang jenazah ibunya. Melihat dia ke van jenazah mengiringi ibunya untuk kali terakhir. Esakan saya semakin tinggi.. sehingga kelibatnya hilang di dalam kepekatan malam.

Ketika masing-masing beredar... saya seperti terjaga dari mimpi dan rasa amat bersyukur kerana saat ini saya masih punya nyawa. Satu pemberian Allah yang sangat berharga dan semakin menuju ke saat akhir. Ayuh... kerana kita masih punya nyawa... kita masih punya kesempatan untuk mengumpul dana hidup di alam sana.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (79)", Al-Isra', Ayat 79.

Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.