Saturday 1 January 2011

Mencari Keajaiban

Masih ku ingat, sewaktu kecil-kecil dahulu, aku amat menggemari cerita-cerita dongeng. Paling suka, cerita Aladdin. Kenapa? Kerana Aladdin mempunyai lampu ajaib, yang perlu digosok-gosok, maka beliau boleh meminta apa saja, lalu permintaan itu menjadi nyata (kononnya!). Ada ketikanya aku seakan berdoa pada Tuhan, Ya Allah.. kurniakanlah aku sebuah lampu seperti Aladdin ... Mudah-mudahan keinginanku yang banyak itu menjadi kenyataan!

Atau aku juga pernah menginginkan aku di sapa oleh seorang bidadari dan bertanyakan kepadaku 3 permintaan yang akan ditunaikan serta merta. Lalu, aku mencari-cari 3 hajat tertinggi ku ketika itu sebagai persediaan jika aku bertemu bidadari tersebut. Apa 3 permintaan ku ketika itu? Selalunya berkisar tentang permainan atau makanan atau pakaian. Otak anak kecil, begitulah hajatnya. Masa berlalu dan aku terus menerus kecewa kerana sesungguhnya keajaiban untuk memiliki lampu seperti Aladdin atau berjumpa dengan bidadari cuma satu dongeng yang tidak mungkin terjadi! Keajaiban seperti itu cuma muncul di dalam buku-buku.

Kini, setelah usia meningkat ke beberapa dekad, akupun hampir lupa tentang dua perkara ajaib yang ingin aku miliki. Cuma, sebulan dua lepas, aku sempat mengikuti siri Tanyalah Ustaz. Ketika itu ustaz yang dijemput bercerita tentang keajaiban air zam-zam, seolah air dari syurga. Kata ustaz, satu sifat unik air zam-zam ialah dengan kuasa Allah, ia seakan mendengar permintaan si peminumnya. Maka, banyakkanlah berdoa ketika meminumnya. Antara saripati doa yang digalakkan ialah "Ya Allah, tambahkanlah untukku ilmu yang berguna, luaskanlah rezekiku dan sembuhkanlah semua penyakitku". Dan ketika itu, aku barulah seakan tersedar... dan berkata "Ya Allah... dulu aku puas berdoa-doa untuk memiliki keajaiban seperti Aladdin.. rupanya Engkau telah kurniakan untuk setiap seorang muslim sejak tangis pertama mereka sehingga nafas terakhir dengan dua perkara ajaib: doa dan air zam-zam! Sungguh! Aku termasuk di dalam golongan yang alpa dan tidak berfikir. Aku tidak perlu menggosok-gosok lampu. Aku tidak perlu menanti-nanti seorang bidadari. Aku boleh meminta pada Tuhanku apa sahaja, setiap waktu di mana-mana sahaja!

Lalu, ketika di ambang tahun baru ini ... aku meneropong ke hari-hari hadapan. Terserlah betapa banyaknya mimpi-mimpi dan keinginan yang ingin dimiliki, baik untukku, untuk suamiku, untuk ibuku, untuk anak-anakku, untuk kaum kerabat, untuk jiran tetangga, untuk sahabat handai (realiti atau maya), untuk pelajar-pelajar, untuk organisasi, untuk kampung, untuk negeri, untuk negara, untuk agamaku... senarainya panjang berjela!

Untuk hajat yang sejuta,
Jika dengan kudrat dan usaha sahaja.. maka sungguh sukar untuk kami menggapai sebutir bintang,
Maka.. Ya Allah.. pada KudratMu yang Maha kuasa, kami akan terus minta-minta..
Moga-moga bintang-bintang dan bulan jatuh ke riba...
Di tangan kami telah Engkau kurnia, dua benda ajaib: doa dan air dari syurga
Bersamanya kami akan pohon padaMu, keajaiban demi keajaiban.
Ya Allah.. pada hari-hari yang mendatang, iringilah kami dengan keajaiban. Amin.

p/s: Nurazzah8 sedang diduga dengan anak kesayangannya ditimpa kemalangan. Ya Allah.. kurniakan kepada beliau seisi keluarga satu keajaiban, mudah-mudahan anaknya sihat seperti sedia kala.