Monday 18 May 2009

Pangkalan Data: Antara Tanda-Tanda

Pangkalan data (Database) adalah satu istilah yang sudah biasa benar didengar. Apatah lagi bagi seorang hamba Allah yang terkecimpung di dalam bidang komputer sains ini melebihi dua dekad. Secara am, pangkalan data ialah satu konsep tempat terhimpun data-data tertentu untuk diselenggarakan (dibina, ditambah, dipadam, dikemaskinikan, disusun,diproses,dicapai) agar dapat memberikan maklumat atau laporan tentang sesuatu perkara apabila diperlukan. Secara tradisional, pangkalan data wujud dalam bentuk fail-fail yang mengandungi fail dan rekod tertentu berbentuk kertas. Hari ini, fail dan rekod di dalam pangkalan data boleh wujud dalam bentuk digital. Contoh pangkalan data ialah pangkalan data pelajar (yang menempatkan himpunan data-data tertentu tentang pelajar-pelajar tertentu, contoh: nama, no IC, tarikh lahir, keputusan setiap peperiksaan)dan pangkalan data pekerja (yang menempatkan himpunan data-data tertentu tentang pekerja-pekerja tertentu, contoh: nama, no IC, tarikh lahir, jantina, jawatan, tangga gaji, senarai kelulusan).

Sepanjang minggu lepas, istilah pangkalan data muncul dan muncul lagi. Ada pelajar latihan praktik yang telah membentangkan sistem-sistem mereka untuk kegunaan pelbagai sektor. Ada pelajar sarjana dan doktor falsafah yang membentangkan kerja-kerja yang terkandung pangkalan data. Banyak sungguh istilah pangkalan data yang datang bersimpang siur di dalam hidup ini, berlalu ... tanpa rasa.

Cuma, sesekali saya mengenangkan keberkesanan penggunaan pangkalan data ketika di UK. Contohnya, setiap kali kami pindah ke rumah baru, dalam masa kurang dari seminggu datanglah surat peringatan untuk membayar lesen tv (dalam hati berkata.. amboi! Mereka tahu saja kita dah berpindah..). Sama juga dengan kes cukai jalan. Cukai jalan untuk kereta buruk kami terpaksa diadakan kerana risau disekat di tengah jalan apabila berselisih dengan polis. Terkenang pula kes Gem 7 (ketika berusia setahun setengah), secara tidak sengaja menekan nombor 999. Kurang daripada lima minit, rumah kami diketuk oleh polis. Kata mereka, "Kami telah dihubungi oleh seseorang daripada rumah ini tanpa suara. Kami ingin mengesahkan siapa penghuni rumah ini". Lalu, saya ditanya dengan pelbagai soalan... siapa nama, siapa nama suami, berapa bilangan anak, belajar di mana, bila tarikh masuk ke rumah sewa tersebut, apa nombor plat kereta... Setiap kali saya menjawab, mereka menyampaikan maklumat kepada seseorang yang bertanggungjawab memastikan ketepatan apa yang saya kata dengan yang terkandung di dalam pangkalan data mereka. Apabila mereka pasti data yang diperolehi tepat, merekapun beredar. Sejak dari itu, kami sentiasa berjaga-jaga. Tidak mahu lagi terlibat dengan apa-apa kes kerana takut kes tersebut akan tercatit di dalam pangkalan data mereka yang efektif (dalam hati berkata.. ohh.. rupanya perihal kita diawasi!).

Pada minggu lepas, ketika baru sempat duduk di dalam pejabat, mata saya tertumpu pada keratan ayat dari surah Yasin (yang bertulis tangan) pada papan kenyataan kecil di hadapan meja saya. Dalam hati saya berkata.. alahai.. sibuk benar pada minggu-minggu ini sehinggakan niat saya untuk menulis satu ayat Quran sehari tidak dipenuhi. Niat itu terkantul pada ayat 12, surah Yasin. Saya merenung kembali apa maksud ayat tersebut...

Ayat 12, Surah Yasin
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Lohmahfuz).

Terjojol mata saya sambil berkata AllahuAkbar... AllahuAkbar... AllahuAkbar... Ayat ini menceritakan tentang pangkalan data milik Allah! Dalam kitab Al Quran .. ada keterangan tentang konsep pangkalan data.. MasyaAllah.. Kalau kita terkial-kial baru ingin pangkalan data yang gabungan mempunyai teks dan imej, Allah telah sedia ada memiliki pangkalan data yang Maha Kompleks. Allah menyimpan data tentang segala sesuatu.. Cubalah bayangkan apa jenis data yang ada dalam pangkalan data Allah tentang kita.. datang dalam segala bentuk: segala perbuatan kita, percakapan kita, niat kita, mimpi-mimpi kita, pendengaran kita, penglihatan kita, yang tersirat di hati, yang terlintas difikiran, segala sangkaan kita... semuanya dikategorikan pula: yang halal, yang haram, yang wajib, yang makruh, yang sunat, yang sengaja, yang tidak sengaja, yang fardu Ain, yang fardu kifayah. Kesemuanya tersimpul kepada perkiraan terperinci - dosa atau pahala. Pangkalan data Allah merangkumi semua pihak yang terlibat. Allah menyimpan data meliputi akaun individu yang tampak kompleks dan berselirat: contoh.. yang dirasuah vs yang merasuah, yang menipu vs yang ditipu, yang mengajar vs yang di ajar, anak vs ibu dan bapa, yang minum arak vs yang-jual yang-buat yang-hidang yang-hantar... AllahuAkbar.. Maha terperincinya pangkalan data milik Allah, iaitu TUHANku dan TUHANmu!! Gerunnya.... gerunnya... Takut.. rekod-rekod yang dicatit itu tidak mendatangkan kebaikan bila dihitung di Padang Mashyar.

Pada minggu lepas, ketika aku dihujani dengan konsep pangkalan data, aku temui pangkalan data milik Tuhanku.. Pada konsep pangkalan data... ada tanda-tanda kekuasaan Allah. Ya Allah, tetapkanlah rasa gerun terhadap catitanMU kekal di dalam hati-hati kami selamanya. Awas!!! Kita sedang diawasi.. rekod kita sentiasa tercatat di dalam Pangkalan Data milik Allah, Tuhan yang satu.. Tuhanku dan Tuhanmu....

No comments: