Monday, 19 January 2009

Menyambut Kepulangan dan Nostalgia

Hari Khamis yang lepas kami sekeluarga menyambut kepulangan keluarga Mus dan Laily di KLIA. Sejak menerima sms Laily yang menyatakan mereka sekeluarga akan bermalam di rumah kami sementara menunggu penerbangan ke Senai, hidup kami tiba-tiba menjadi begitu 'aktif'. Mana tidaknya, rumah kami masih bersepah walaupun hampir empat bulan telah kembali ke tanahair. Dapur baru sahaja siap dua hari sebelum kedatangan mereka sekeluarga. Seperti biasa, semua ahli keluarga dikerah untuk bergotong-royong. Sekurang-kurangnya, dapatlah sekeluarga mereka 'menjejak kaki di lantai' nanti. Seawal pagi hingga ke lewat malam, Gem 1 tidak habis-habis menyebut... kemas! kemas! kemas! Akhirnya, sasaran untuk menyediakan bilik untuk keluarga Mus dan Laily tercapai juga, ketika jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sebaik saya ingin memadamkan lampu, sms Laily pun diterima, "Akak, kami dah bertolak ke London". Selepas itu, entah bila saya tertidur, tidak pula sempat melihat jam.. tapi rasanya agak lama.. kerana tiba-tiba saya bernostalgia sendiri detik-detik kami mengalami peristiwa 'keberangkatan pulang' sebagaimana yang mereka lalui sekarang.
Kami berangkat pulang pada hari Jumaat, 19/09/2008, iaitu pada bulan Ramadhan, sekitar sepuluh hari lagi umat Islam akan berhari raya. Sebaik mengambil keputusan untuk pulang, kami sekeluarga diusik pelbagai perasaan. Yang pasti anak-anak kesedihan. Gem 3 bertanya "Can you get visa for me to stay here longer?". Gem 6 mempersoal "Why can't you born me like Gem 7, and I can stay here forever?". Saya tiada kata-kata, kecuali mengatakan yang pahit... :We have to go back because we are Malaysian. We have relatives there". Anak-anak kami tidak ke sekolah sejak sekolah dibuka semula pada awal bulan Disember. Takut-takut kalau mereka akan menjadi bertambah sedih. Tetapi saya membawa Gem 4 bertemu kawan-kawannya di Djanogly. Gem 3 pula meminta ingin ke sekolah pada hari sepatutnya kami bertolak. Beliau bangun pagi-pagi lagi dan bersiap ke sekolah buat kali terakhir.
Pagi hari Jumaat, kami sungguh sibuk. Mencuci di sana-sini (itupun masih banyak sampah yang tinggal) dan asyik mengeluarkan dan memasukkan baju dan barang ke dalam beg-beg. Sahabat-sahabat telah mula datang seorang atau berkeluarga. Saya mundar mandir menyapa tetamu dan berlari ke sana ke sini. Mata melirik sekeliling. Kekadang mencari kalau-kalau ada barang yang tinggal, dan selebihnya hanya ingin menatap segalanya buat kali terakhir. Anak-anak ke hulu kehilir dengan kamera di tangan. Kata mereka, kami ingin mengabadikan semua lokasi di dalam rumah untuk kenangan, termasuk 'toilet'! Sebak juga saya mendengarnya. Tapi saya lebih risau Gem 7. Beliau tidak suka berada di luar rumah kami pada waktu yang lama. Ketika bercutipun, beliau sering mengajak pulang. Baginya, rumah 'White House' (sebab cat putih!), syurga dan dunianya. Lalu, kami sering mengingatkan beliau "We will go far far away.. no more white house..OK".
Masa berlalu pantas. Sedar tak sedar, kenderaan yang disewa telah terpacak di depan rumah. Hati menjadi semakin sayu. Saya melihat mata anak-anak sudah mula merah. Apabila barang telah dimasukkan ke kereta, tibalah masanya kami semua keluar untuk memasuki kereta. Ketika itu, acara salam dan berpelukan pun bermula. Tiada kata yang terkeluar kecuali air mata. Ketika di dalam van, kami semua memandang ke belakang. Mulut masing-masing tidak henti menyebut 'bye' dan tangan pun melambai-lambai. Barangkali kerana van bercermin hitam, sahabat yang hadir tidak nampak lambaian kami. Tapi kami melambai tanpa henti. Kami terus memandang ke belakang, sehinggalah van bergerak ke simpang Gregory Road. Saya tidak berkata apa-apa lagi, hanya penuh linangan air mata. Anak-anak masih bersuara... "bye-bye Djanogly, bye-bye Claremont, bye-bye Asda, bye-bye Marry Potter....". Sehinggakan van sudah bergerak di motorway M1, anak-anak yang keletihan masih tidak tertidur seperti selalunya. Mereka meluaskan mata memandang segalanya.. rumput-rumput di tepi jalan, biri-biri, kuda .... Saya dan Gem 1 masing-masing berpesan pada anak-anak "Study hard, you'll come again".
Demikianlah, masa berlalu pantas. Empat bulan dulu, kami diringi pulang dan disambut. Hari ini, kami diberi peluang untuk menyambut pula sebuah kepulangan. Semenjak diberitahu, Liayana dan Ahmad akan datang, anak-anak terutama Gem 4, Gem 6 dan Gem 7, sungguh gembira. Ukhwah yang terjalin melewati batas saudara. Tambahan pula, kami berasa benar-benar dihargai apababila Mus dan Laily sudi bermalam di rumah kami, sedangkan mereka juga disambut oleh adik-adik Laily.
Kami bertolak awal ke KLIA. Kami ingin memastikan kami berada di pintu keluar sebaik saja mereka muncul. Oleh kerana terlalu 'excited', kami tiba agak awal. Sempat pula bergambar sambil memerhati kapal terbang naik dan turun. Kekadang terasa seperti kami pula yang akan berangkat!

Menuju ke Anjung View .. konon-kononnya nak menyaksikan kapalterbang dari London mendarat

Di Anjung View... sambil makan jagung.. tapi anak-anak masih kelaparan (sebab baru balik dari sekolah).. beredar ke kedai makan..

Sedar-sedar.. kapal terbang dah mendarat.. bergegas ke balai ketibaan.. hah... terpacak betul-betul di depan pintu keluar..

Pelukan erat sahabat

Meriah...

Berposing dengan baju yang liyana bagi....

Berborak-borak... Iris kepanasan...
Dari KLIA, kami bertolak terus ke rumah. Di rumah, sibuk pula siapkan makan malam. Kami juga dikunjungi oleh keluarga Yuhanis dan Raza. Riuh-rendah jadinya. Anak-anak lupa makan. Seperti biasa, mereka meluru ke atas dengan agenda sendiri. Kaum ibu dan bapa berborak-borak. Pelbagai pertanyaan terpaksa dijawab dek Laily.. "Apa khabar si polan", "Apa khabar si polan"... banyak betul soalan. Kekadang, Mus tersilap menjawab.. "kami di sini.."... ye lah Mus... Di sini bukan Nottingham... di sini bumi Malaysia! Masing-masing terlerai ketawa. Bersyukur Allah menemukan kita... insan-insan biasa yang saling menerima seadanya. Asal hanya sahabat, tapi kasih melewati saudara.
Keesokannya, mereka bertolak ke KL untuk ke rumah adik Laily. Pulang ke Shah Alam hampir pukul 8.00 malam. Flight pukul 9.05 minit! Aduss.... bagai hali lintar... makan..kemudian pecut ke KLIA. Tiba di KLIA, malangnya..gate closed!!!! Penerbangan seterusnya, pukul 10 pagi esok. Apabila dikhabarkan kepada keluarga Mus yang sedang menanti di lapangan terbang Senai, ayah Mus berkata "Tunggu di situ, Ayah akan ambil". Fuhh.... sanggup seorang ayah meredah malam dan jarak untuk ke KLIA. Akhirnya, Mus sekeluarga terpaksa pulang ke Johor dengan limo!!!! Kesian Mus dan Laily.... kesian jugak kami... keh..keh..keh... kena saman parking! Apapun, terhibur rasanya bersama Mus sekeluarga. kami merindukan Nottingham dan kehidupan di sana. Cukuplah sekadar menghidu aromanya yang mereka sekeluarga bawa. Terima kasih.

Monday, 12 January 2009

Di Sebalik Tabir PhD

Alhamdullillah, hari ini terungkailah segala bebanan dan sangkaan apabila menerima e-mail berikut daripada School of Computer Science, University of Nottingham, UK.

Date: Mon, 12 Jan 2009 15:43:23 -0000
From: Christine Fletcher <Christine.Fletcher@nottingham.ac.uk>
Cc: Subject: [compsci] Congratulations to Nasiroh Omar
Congratulations to Nasiroh Omar who has passed her viva (title of thesis: Immediate Feedback as a supporting tool in an internet research support system).

Well Done

Christine Fletcher

Telah terlalu lama rasanya menanti keputusan rasmi ini, segalanya kerana gara-gara mempunyai seorang pemeriksa luaran yang terlalu sibuk, terbang ke sana ke mari di pelusuk dunia. Sudahlah untuk menanti tarikh viva selama 3 bulan, menanti beliau membaca untuk pembetulan pula, berbulan-bulan kemudian. Apabila beliau puas hati dengan thesis (saya menerima berita ini bulan Oktober lepas dan dijanjikan semua proses akan berjalan lancar untuk membolehkan saya menghadiri majlis konvo pada bulan Disember lepas). Tetapi malangnya, nanti punya nanti, surat rasmi masih tidak kunjung tiba, sedangkan rakan lain yang menghadiri majlis konvo yang sama telah pergi ke Nottingham dan sudah pun kembali semula. Perasaan risau makin menjadi-jadi. Apakah gerangan halangan kali ini. Saya sibuk menghubungi semua yang terlibat, supervisor (3 orang), registry (Carol Moore) dan kali ini saya menghubungi juga pemeriksa dalaman walaupun ianya dikira melanggar peraturan (pelajar tidak dibenarkan menghubungi para pemeriksa secara terus - mesti melalui supervisor). Saya tidak boleh bersabar lagi dengan segala kerenah pemeriksa luaran ini. Rupa-rupanya barulah saya tahu, surat keputusan rasmi dari pemeriksa luaran ke pemeriksa dalaman telah hilang di tengah jalan. Untuk mendapatkan surat yang baru pula, terpaksa menunggu tiga minggu kerana pemeriksa luaran berseminar di Australia selama tiga minggu (tanda tangan beliau diperlukannnn!). Dan... saya tunggulah lagi .... huh... letih! Ada ketikanya, saya sendiri tidak pasti, "luluskah aku ni? Kalau lulus, di mana buktinya?" Sedangkan di fakulti, gelaran Dr. di bawa ke sana ke sini.... gelaran yang diheret walaupun berkali-kali diberitahu, keputusan rasmi belum diterima....
Mengenang kembali susur hidup menuju ke PhD... kami sekeluarga sentiasa diduga. Jika orang lain diduga dengan kesempitan hidup, kesihatan atau kesukaran pelajaran, kami diduga dengan penantian. Memang benarlah "Penantian satu penyiksaan" - tajuk lagu yang lupa nama penyanyinya. Namun, saya akur... barangkali itulah seberat-berat bebanan yang mampu ditanggung oleh seorang hamba seperti saya. Allah jualah yang Maha Mengetahui...
Hari ini saya ingin melompat, menjerit dan memeluk seluruh keluarga, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang telah membantu saya secara terus atau tersirat... Terima kasih... Saya tidak mampu membalasnya.. Saya memohon agar anda semua dipermudahkan segala urusan, dilonggarkan segala kesempitan dan sentiasa di dalam lindungan rahmat Ilahi.... Saya amat berharap anda semua diberi rasa gembira melebihi apa yang saya rasa hari ini. Amin.
Untuk yang masih berjuang, teruslah... di sebalik terowong gelap di hadapan, pasti ada cahaya yang bersinar. Mintalah dan mengadulah segala kesedihan pada Allah setiap masa, hanya Allah lah sahaja penentu Qada dan Qadar.... dan hanya doa yang boleh mengubah Qadar, dengan izinNya.

Wednesday, 7 January 2009

Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung

Berhijrah ke alam persekolahan di Malaysia, itulah agenda awal tahun 2009 buat kelima-lima anak kami. Bermula dengan Gem 4 menghadiri orientasi pada hari Ahad lepas, diikuti dengan hari persekolahan pada keesokan harinya untuk Gem 3, Gem 4, Gem 5 dan Gem 6. Setelah hampir 5 tahun mengharungi suasasana persekolahan yang penuh riang ria, pasti persekolahan di sini tampak beza bagai langit dan bumi. Beza yang ketara - sekolahnya, gurunya, kawan-kawannya. Melihat raut wajah anak-anak, kami dapat merasa betapa kalau mereka ada kuasa dan pilihan, mereka tidak akan berdiri di situ. Hari ini kami menyaksikan semula satu sistem persekolahan tanpa rasa 'kasih sayang'. Segalanya bagaikan terpaksa dan tergesa-gesa. Suasasana berserabut dengan hiruk pikuk antara murid-murid dan guru yang memberi ucapan. Murid dan guru berselisih ke sana sini dengan agenda tersendiri. Kami melihat wajah anak-anak yang murung (bukan anak-anak kami sahaja). sebaik dipanggil berbaris. Masing-masing menunjukkan wajah suram dan bosan. Berbeza dengan wajah anak-anak Claremont atau Djanogly yang dipenuhi dengan tawa dan ceria, namun mereka cerdik dan berilmu juga. Hati masih terus bertanya, yang di atas sana, tidak adakah mata dan hati-hati terasa, sistem persekolahan kita amat membelenggukan dan 'memberatkan' bahu-bahu yang memikul.

Hari ini Gem 7 pula ke tadika buat pertama kalinya - Nuh's Ark Islamic Montessori. Agak sukar memilih tadika yang sesuai. Otak dan fikiran masih terbayang bagaimana Gem 6 ditatang guru-guru 'nursery'nya. Mana mungkin dapat dicari di sini... itulah yang saya fikirkan. Tiba-tiba terbaca tulisan nurazzah8 di dalam blognya tentang Nuh's Ark Islamic Montessori. Tadika ini dimiliki oleh seorang muslim Australia dan bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantarnya. Atas faktor tersebut, tadika ini lain dari yang lain - letaknya bukan di rumah biasa seperti kebiasaannya dan 'suasana'nya juga berbeza (ada iras-iras tadika di UK). Jadi, kamipun daftarkan lah Gem 7 - alahai... kos sebulan..! Gem 7 nampak gembira. Guru-gurunya pun ceria. Di sana ada sistem persekolahan 'kasih sayang'.


Debar Gem 3 dan Gem 5 bersiap ke sekolah

Selepas bersarapan dan menyiapkan 'pack lunch'. 'Pack lunch' - satu tradisi bersekolah di UK yang ingin dipraktiskan. Gem 5 berkata "There're millions of people queuing for food at cafe"


Wajah-wajah lesu Gem 4 dan Gem 6 selepas kembali dari sekolah sessi petang. Gem 6 menangis kesedihan... barangkali kecewa dengan suasana persekolahan..

Gem 7 bersemangat hendak ke sekolah pada hari pertamanya... "I like my yellow school!"

Anak - anak... apapun di sini bumi di pijak, di sinilah langit dijunjung.. Namun saya pasti.. sekiranya di beri pilihan "hujan batu di negara sendiri, hujan emas di negara orang", mereka tentu mahu memilih... hujan emas di negara orang...

Monday, 5 January 2009

Menutup Tirai 2008

Tahun 2008 amat signifikan dalam hidup kami sekeluarga. Selepas dikejutkan dengan keputusan viva saya, kami sekeluarga terpaksa melalui halangan dan kesukaran yang mencabar mental dan fizikal. Sukar sungguh untuk membuat keputusan untuk terus tinggal di bumi Nottingham bila tiada gaji dan biasiswa. Apatah lagi simpanan yang tinggal makin mengecil. Kami tidak putus-putus berdoa. Seluruh anggota keluarga diajak sama-sama berdoa dan bersembahyang hajat semoga Allah memudahkan urusan hidup dan mencukupi rezeki kami. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, mintalah padaNya, pasti Dia Mendengar. Jika dihitung dan ditulis satu persatu, pasti kami tidak mempunyai wang cukup untuk meneruskan perjuangan. Tapi kami dicukupkan dan diberi kemudahan sehingga menyelesaikan satu urusan yang sukar.
Alhamdullillah.

Selepas bertungkus lumus selama beberapa bulan, akhirnya sesuatu yang sukar dan memenatkan dapat jua diselesaikan. Sambil-sambil menunggu keputusan, kami sempat bersantai ke sana ke mari. Sehingga tiba lah surat 'jemputan' untuk pulang ke Malaysia. Bayangkan dalam masa dua minggu kami memerah tenaga untuk berkemas dan berangkat pulang. Kami memohon kekuatan dan kemudahan menguruskan segalanya secara tergesa-gesa. Akhirnya, mendaratlah kami kembali di bumi Malaysia. Alhamdullillah.

Sekembali ke sini, hidup semakin huru-hara. Raya makin hampir. Rumah tidak siap. Tapi Allah jua yang Memudahkan segalanya. Kami ditumpangkan rumah, diberi pinjam kenderaan, dan ditemu dengan kontraktor yang agak mudah untuk berurusan. Sebaik tirai 2008 ditutup, keadaan hidup yang huru-hara semakin reda.

Detik-detik yang memenatkan.... 1. Menilai pelajar master (he..he.. sekarang kita pula jadi taraf examiner...) 2. Menilai projek dan report pelajar degree 3. Mengendalikan majlis forum 4. Menghadiri bengkel 5. Menghadiri kursus PTK yang lebih penat daripada belajar PhD!..... aduih... banyak sungguh rentetan peristiwa di bulan Disember. Tapi akhirnya, ada juga sedikit masa untuk bergembira. Cik Pah dan abang Bakar (kakak dan abang ipar - terima kasih!!!) telah menaja percutian tiga hari dua malam di Penang. Mereka telah menyewa tiga buah apartment tiga bilik untuk empat keluarga termasuk Tok. Meriah sungguh! Satu apartment, untuk masak dan makan-makan. Tok pilih untuk duduk di apartment ini, katanya "mudah nak makan". Dua apartment lagi, untuk tidur sahaja. Memandangkan kesemua apartment di aras yang sama, anak-anak keluar masuk ke sana-sini sesuka hati. Paling seronok, ada kolam renang yang tidak perlu protokol. Pakailah apa sahaja. Tapi di papan kenyataannya terpapar "swim at your own risk"! Kami berenang dari tengahari sampai petang. Kekadang, ada ahli keluarga yang membawa makanan untuk anak-anak yang kelaparan tapi sayang nak tinggalkan kolam renang.

Setiap pagi (dua pagi aje!), kami yang dewasa berjogging di tepi pantai, sekitar dua kilometer. Fuh! seronok sungguh.... hilang segala kekusutan dan kerunsingan sebelum memulakan semester baru dan anak-anak pula memulakan musim persekolahan setelah bercuti sejak bulan Julai 2008!


Pemandangan Penang dari atas Feri. Cantik juga Penang ye!... rasa macam berada di Monaco! Sebelum naik feri, Gem 7 bertanya "How can a car go on a boat"? Terkejut kami mendengar pertanyaan spontan dari mulut kecilnya. Lalu kami menjawab, "We'll see later"? Selepas berada di dalam feri, kami meminta Gem 7 menceritakan semula proses kereta naik feri. Anak kecil ini berfikir tentang logik rupa-rupanya....

Ada juga 'yatch' berlabuh....


Menunggu kunci apartment



Memulakan sessi berendam


Yang tua dan yang muda


Mengambil angin petang di pantai


Anak-anak kena tolong timbus pasir


Main air dan pasir