Tuesday, 26 October 2010

Peperiksaan

Sekarang minggu peperiksaan. Istilah peperiksaan seperti sebati dengan perjalanan hidup ini. Sudahlah dari kecil meniti peperiksaan demi peperiksaan, setelah bekerjapun masih diulit peperiksaan yang datang silih berganti. Aduhai peperiksaan... istilah keramat yang tersimpul seribu nostalgia.

Pernahkah membilang berapa peperiksaan penting yang telah dilalui? Bermula dengan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, Sijil Rendah Pelajaran (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Setiap Hujung Semester (Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana) dan kemudian Viva (PhD). Itu baru yang besar-besar, tidak lagi termasuk peperiksaan percubaan, ujian Bahasa Inggeris TOEFL dan IELTS, ujian bulanan, kuiz... bla... bla... Sungguh! hidup di dunia ini penuh dengan hambatan peperiksaan demi peperiksaan yang mengancam hidup dan masa depan ... huruf-huruf 'A', 'B', 'C', 'D', 'E' dan 'F' telah mengikat satu kasta ... yang dihujungnya ada implikasi sosial dan nilaian Ringgit Malaysia.

Peperiksaan yang silih berganti itu ada musim dan kala. Tanya azam dan kemahuan, bersiap sedialah seadanya. Putih hitam keputusan, ada di tangan sendiri. Tidak sama nasib si berusaha dengan nasib si alpa. Pun begitu, sudah fitrah dunia, status gagal atau berjaya, bukanlah kekal abadi. Ia boleh diulang dan diubah. Maka, implikasi sosial dan Ringgit Malaysia yang datang bersamanya, bukan hukuman atau balasan hakiki yang kekal untuk selamanya.

Namun, seseorang Muslim percaya bahawa ada lagi pembalasan gagal atau berjaya yang kekal abadi. Ia datang bersama perkiraan dosa dan pahala .. dihujungnya ada kasta Syurga atau Neraka dan ianya untuk selamanya. Untuk meraih kasta tersebut, peperiksaannya tiada format dan jangkaan. Itulah yang dinamakan dugaan atau ujian hidup. Berjayakah kita di sisi Tuhan?

Untuk kita yang sedang dan bakal menduduki peperiksaan / dugaan / ujian, didoakan semoga kejayaan di sisi Tuhan menanti kita. Mudah-mudahan kejayaan itu mencakupi segalanya yang baik - kasta sosial, Ringgit Malaysia dan kasta Syurga tertinggi. Amin.

Saturday, 23 October 2010

Gem 7 dan Rambutan

Gem 7 amat suka buah Rambutan. Baginya, buah Rambutan akan sentiasa ada dijual di pasar atau di tepi-tepi jalan. Apabila beliau teringin memakan Rambutan.. beliau hanya perlu berkata,"Mummy, I want Rambutan", maka sangkanya buah Rambutan akan terhidang di depan mata! Sudah berkali-kali diberitahu padanya, buah Rambutan buah bermusim, cuma sekali setahun. Cuma, jika ada rezeki, buah Rambutan dijual dalam jangka waktu yang agak panjang kerana masaknya tidak serentak di antara negeri-negeri. Tidak pasti, Gem 7 faham atau pura-pura tidak faham. Beliau akan meminta pada bila-bila masa beliau suka!

Pernah sekali, kami mencuba Gem 7 dengan buah Rambutan di dalam tin. Harapan kami, senanglah nanti apabila beliau merengek-rengek, buah Rambutan di dalam tin mudah didapati. Tapi, siang-siang lagi beliau berkata,"Mummy, when you want to buy Rambutan, please buy the fresh Rambutans, not the rambutans in tin". Aduhai.... tidak berjayalah nampaknya.

Meminta buah Rambutan ketika musimnya adalah permintaan biasa. Yang luar biasa, ialah apabila permintaan itu tidak bermasa dan bermusim! Maka, jika permintaan itu tidak bermasa dan bermusim, kami tidak ada daya upaya melainkan mengajarnya berdoa. "How?", tanya beliau. Kata kami,"Just say.. Oh Allah, please give me Rambutans. Amin". Dan beliaupun berdoa dengan penuh kusyuk. Sebentar kemudian, beliau akan berkata lagi,"Mummy, I want Rambutannnnnnn.."! Dan, setiap kali itu juga, ahli keluarganya akan berkata,"Pray to Allah". Sungguh! Doa anak kecil tidak berhijab dengan dosa. Allah ada di mana-mana untuk Mendengar permohonan hambaNya. Sehingga hari ini, setiap kali permintaan Gem 7 (yang tidak bermasa dan bermusim) untuk makan buah Rambutan telah dikabulkan Allah dengan cara yang tidak disangka-sangka akan tempat dan masanya. Dan, Gem 7, akan berkata,"Thank Allah.. Thank you Allah, You heard my wish! Alhamdullillah".

Kisah Gem 7 adalah kisah harian yang remeh. Pun begitu, ia mengetuk pintu hati, bahawa doa anak kecil tidak berhijab.. dibayar tunai di depan mata! Ya.. Allah hampirnya Engkau dengan hambamu sehingga Engkau Amat Mendengar keinginan yang tersurat dan tersirat. Ampunilah dosa-dosa kami. Mudah-mudahan, antara kami dan Engkau, tiada hijab dosa yang menghalang kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin.

Ulang Tahun Gem 6

Pada malam 20.10.2010, kami semua 'berusaha' untuk menyempurnakan hajat Gem 6. Beliau inginkan hari lahirnya disambut dengan taburan belon-belon. Lalu, semua ahli keluarga termasuklah tetamu tunggal (abang Ajun) menunjukkan sedikit kreativiti! Apa-apapun, semangat kerjasama menjadikan persiapan selepas Mahgrib dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat. Syabas semua....

Gem 5 diserahkan tugas tampal menampal
... dibantu oleh Gem 1
Gem 7 dengan bangganya menampal hasil karyanya
Gem 6 tersenyum melihat hasil karya adik-beradiknya (kecuali Gem 3 yang di asrama!)
Kek untuk 'Princess' pada 20.10.2010
Gem 4 dan Gem 6 sedang menghidang juadah ringkas. Ada dua kek, satu dari kedai, satu lagi dari 'dapuraulad.blogspot.com'!
Sketsa hidangan
Gem 6, si Puteri Kecil
Satu keluarga
Keempat-empat Gem

p/s: Auwwwwwww Ajunnnnnnnn......... silap haribulan!!!!!! bukan 10.10.10, 20.10.2010!!!!! Huwa.... huwa.... sudah suratan........

Tuesday, 19 October 2010

20.10.2010

Hari ini hari yang istimewa untuk Gem 6. Katanya,"Today.. please treat me as a princess!" Gem 6 memang selalu menganggap dirinya sebagai Little Princess. Agaknya, kerana kedudukannya di dalam keluarga sebagai puteri terkecil kami!

Selamat menyambut ulang tahun kelahiranmu, Puteri Kecil. Hari lahir yang ke 10 pada 20.10.2010. Angka yang istimewa untuk seseorang yang istimewa. Semoga di panjangkan usia dan diselamatkan dari segala bahaya, bala dan wabak. Semoga membesar sebagai anak yang solehah dan tergolong di kalangan manusia yang mendapat kebaikan dan kelebihan darjat di dunia dan di akhirat. Amin.

We LOVEEEEEEE YOU SOOOOOOOOOOOOOOOOOOO MUCH!

Monday, 11 October 2010

Tudung

Memakai tudung bukan satu perkara baru. Memakai tudung ialah hukum Allah, bukan hukum ciptaan manusia, WAJIB ke atas kaum Hawa (baligh) yang berugama Islam. Istilah tudung mengingatkan tentang cerita lampau - sekitar 27 tahun yang lalu. Ketika itu mungkin berusia sekitar 15 - 16 tahun. Fenomena remaja memakai tudung ke sekolah adalah fenomena luar biasa. Hanya terlalu segelintir pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran untuk menyempurnakan perintah Allah itu. Ketika pelbagai fesyen muncul, gadis remaja mula dibaluti, ditutup! Lalu, perlakuan mereka yang memakai tudung ketika itu dilihat sebagai songsang, melawan arus kemodenan. Ada kalanya dilabel sebagai pelampau atau terlebih alim.

Tidak berapa lama kemudian, memakai tudung mula menjadi ikutan. Ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Ada yang tidak senang, lalu menimbulkan cerita-cerita. Cerita yang paling popular ketika itu ialah tentang hantu yang bertudung, yang kononnya berkeliaran di sana-sini, iaitu hantu Kom-Kom. Ha..ha... hantupun teringin bertudung! Entah tujuan apa, untuk menghina mereka yang bertudung atau untuk menakut-nakutkan, tidaklah diketahui akan asal usulnya. Apabila ramai pelajar semakin insaf dan memilih untuk memakai tudung, ada pihak yang tidak suka lalu menimbulkan isu. Maka, memakai tudungpun perlu mengikut undang-undang - contohnya perlu mendapat tanda tangan persetujuan si Polan dan si Polan. Dulu, isu ini dilihat remeh.. jika tanda tangan diperlukan, maka tanda tanganpun di ambil sebagai tanda kebenaran untuk menurut perintah Tuhan. Hari ini, jika dimbas kembali... Ya Allah.. rupa-rupanya tidak perlu hidup di zaman Firaun, kerana Firaun ada di mana-mana. Seorang manusia meminta kebenaran daripada seorang manusia untuk mengikut kehendak Allah! Alahai.. bongkaknya yang bernama manusia ini!

Pada masa itu, tudung tidak dijual di kedai-kedai seperti jualnya selendang. Lantas, kami akan menjalankan projek bersama: membeli kain dan menjahit tudung. Tepi tudung hanya mampu dibakar! Tidak ada sulam-sulaman atau batu permata. Jika ada kreativiti, lilin digunakan untuk membentuk kerawang-kerawang. Manisnya kenangan itu.

Kini, tudung bukan isu luar biasa. Ia datang bersama fesyen yang silih berganti. Tudung dijual bersepah di kedai..dibutik.. di pasar malam ..di bazar, 'online' pun ada! Tanyalah pada kewangan sendiri: mahu yang murah atau mahal, yang biasa atau berjenama. Tanyalah pada iman sendiri: mahu yang labuh atau yang singkat, yang jarang atau yang tebal, yang tutup penuh atau separuh.

Ada juga yang berkata... kenapa perlu bertudung? Tidak bertudungpun, hati masih baik! Soal tudung dan soal hati tidak ada kena mengena. Tudung hukum Tuhan, yang tidak boleh dinafikan. Lihatlah dengan mata hati... Lihat contoh ini: jika anda ingin membeli coklat yang berjenama dan mahal, apakah anda akan memilih yang pembalutnya terkoyak? Bukankah dikatakan tadi, isi tiada kaitan dengan kulit? Lihatlah di pasaraya, semakin mahal barang, semakin cantik ia dibalut! Sungguh, Allah telah menjenamakan kaum Hawa Muslim dengan balutan yang indah!

Pun begitu, oleh kerana tudung kini bukan isu ganjil, ianya sering diremehkan pula. Bertudung di atas, terbuka di lengan. Bertudung di atas, terbelah di kaki. Barangkali, sesekali perlu bertanya pada diri sendiri: Apakah ertinya aku memakai tudung ini? Apakah sekadar ikut-ikutan? Apakah sekadar memenuhi paksaan? Apakah sekadar mengikuti fesyen? Apakah kerana aku takut pada hukum Tuhan... yang padanya ada dosa dan pahala.. yang padanya ada kesudahan Syurga atau Neraka?



Ini tambahan daripada rakan maya, nurrazzah8, untuk dikongsi bersama:

Sekarang pulak dah keluar tudung yang berbonjol tinggi....yang tak berambut panjang pun ada dikhaskan sejenis "siput" yg diperbuat daripada kain apabila dipakai akan kelihatan seperti siput tinggi...

Ya Allah...mungkin mereka ini tidak pernah atau tidak tahu mengenai satu hadis nabi itu,

“ akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”- hadith riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

Rasulullah s.a.w bersabda:

dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” –hadith riwayat Muslim. Hadith no 212

NOTA:

Entri ini khas ditujukan untuk anak-anak perempuanku dan anak-anak lelakiku (yang bakal memiliki isteri dan anak-anak perempuan!) dan untuk pelajar-pelajarku lelaki dan perempuan. Ia mungkin isu peribadi. Apa perlu aku peduli kerana kuburku adalah kuburku dan kuburmu adalah kuburmu? Namun, di dalam buku catitan milik Allah, ia tidak begitu. Bukankah DIA Pemilik buku catitan yang Maha Kompleks? Buku akaunku di sisiNYA, ada kaitan denganmu yang saling berkait antara si ibu dan si anak dan si pengajar dan pelajar. Maka, aku sudah menyampaikan, apa yang perlu disampaikan. Mudah-mudahan ianya bernilai di sisi Allah, Tuhanku dan Tuhanmu.

Saturday, 9 October 2010

Beraya

Kami masih beraya biarpun Syawal sudah pergi! Semalam, masih menerima jemputan meraikan Raya - pada tanggal 1 Zulkaedah. Hari ini ada jemputan lagi... tapi tidak pasti untuk raya atau haji. Jemputan datang sambung menyambung. Dihujung minggu jalan-jalan masih 'jam' dan meriah. Nikmat raya di bandaraya, bagai sebulan tidak mencukupi! Alhamdullillah.. Allah masih memberi kita rahmat dan rezeki.