Sunday, 26 December 2010

Antara Tanda-tanda

Masihkah ingat tentang peristiwa Tsunami? Banyak cerita-cerita tentangnya yang menimbulkan keinsafan bagi yang mahu berfikir. Antaranya ialah cerita tentang sebuah masjid di Acheh yang masih utuh biarpun dilanda Tsunami. Syukur, Alhamdullillah... untungnya hidup di zaman digital. Zaman yang memungkinkan peristiwa aneh itu direkod dan disebarkan untuk dikongsi bersama secara global.


Gambar Masjid di Lampuk (yang diambil sejurus selepas Tsunami) - sumber Internet

Mengikut logik akal, ia memang luar biasa. Sebuah masjid masih kukuh berdiri biarpun dihempas badai Tsunami. Peristiwa pada 26 Disember 2004 itu memusnahkan ribuan bangunan lain serta mengorbankan sekitar seratus ribu (100,000) manusia! Lalu, hatipun berkata .. Ya Allah.. Engkaulah yang mampu melakukan segala-galanya dengan hanya berfirman "Jadi", maka jadilah ia. Pun begitu, ragam manusia antara zaman, sama sahaja. Ada yang tunduk, takut. Ada yang masih berkata-kata sangsi seperti "masjid itu tampak begitu kerana stuktur bangunannya lebih kukuh berbanding dengan bangunan-bangunan lain... maklumlah rata-rata penduduknya daif, bangunan yang dibina pasti ala kadar sahaja!". Aduhai.. jika kepercayaan tidak kukuh.. pasti ada yang berkata,"Mungkin juga ada kebenarannya ya..".

Pada bulan Ramadhan yang lepas, sempat juga menonton satu siri tentang Islam di Jepun. Lalu diceritakan tentang Masjid Pertama di Jepun yang dibina di Kobe pada tahun Oktober 1935. Ia dibina dengan bantuan derma masyarakat Islam di sana. Rupa-rupanya, Masjid Kobe juga menerima nasib yang serupa seperti masjid di Acheh. Pada 17 Januari 1995, Kobe dilanda oleh satu gempa bumi yang dahsyat selama sekitar 20 saat. Pun begitu, sebanyak dua ratus ribu (200,000!) bangunannya tersungkur ke bumi. Tapi, masjid Kobe teguh berdiri. Masjid yang sama juga terselamat di dalam pengeboman Perang Dunia ke II!


Masjid Kobe selepas pengeboman dalam Perang Dunia Kedua

Apakah Jepun daif? Semua bangunan di Jepun pasti dilengkapi dengan daya tahan terhadap gempa bumi. Tapi Allah Maha Berkuasa, daif atau gagah.. sama sahaja. Yang ranap, akan ranap jua, yang gagah akan terus gagah dengan izinnya.

Sungguh! Kedua-dua masjid ini menjadi tanda-tanda bahawa Allah lah yang Berkuasa. Jika, kebinasaan Firaun yang ditenggelamkan di tengah lautan atau umat manusia di zaman Nabi Nuh ditenggelamkan di dalam banjir, sukar untuk dibayang... bayangkanlah dengan kemusnahan yang ada pada hari ini. Apakah kita masih tidak nampak dan bongkak?

Berikut ialah satu masjid di Turki yang terselamat dari gempa bumi.


Masjid di Turki

Tuesday, 14 December 2010

Genting 2010

Bercuti ke Genting? Serba salah untuk membuat keputusan. Kerana nama lokasi tersebut sinonim dengan judi, satu perlakuan antara dosa-dosa besar yang dimurkai Allah. Pun begitu, hati bagai tercuit hendak melangkah pergi... pertama.. kerana seumur hidup tidak pernah menjejak kaki, kedua... ia juga bumi milik Tuhan! Lalu, kamipun menempah bilik dan tiket lebih awal. Kata rakan, "Kenapa pergi di bulan Disember? Cuaca selalu buruk. Kemungkinan besar, percutian akan menjadi muram". Hati menjadi gusar. Apakah sudah tersilap? Perlukah dibatalkan? Jika batal, bila lagi masa untuk bercuti? Hari-hari, hidup dilanda sibuk. Justeru, masing-masing mula memanjat doa, mudah-mudahan ketika kami di sana, cuaca terang benderang.

Bila tiba hari dan waktu untuk berangkat, langit mendung dan hujan kadang kala gerimis. Hatipun menjadi sayu kerana cuaca yang terang benderang tidak menjelma. Barangkali, benarlah kata rakan bahawa cuaca yang begitu mengundang cuti yang suram! Apapun, kami meneruskan juga perjalanan sambil amat-amat berharap cuaca akan bertukar, yang suram menjadi cerah dan berdoa .. antaranya.."Ya Allah, jadikanlah perjalanan kami ini lebih baik daripada yang kami harapkan..."

Untuk sampai ke puncak, kami terpaksa meredah awan. Semua menjadi begitu teruja apabila melihat awan-awan berterbangan. Cantik! Sampai di sana, jam baru menunjukkan pukul 11 pagi. Mengikut peraturan, bilik hanya boleh diduduki pada pukul 3 petang! Mengikut komen-komen di laman web, hotel ini sering lambat ketika check-in. Aduhai ... lamalah lagi nampaknya kami perlu berlegar-legar! Ketika membuka pintu kereta, kami disapa dengan awan-awan berterbangan dan angin sepoi-sepoi bahasa. Semua menjadi teruja ... antara kami ada yang berkata "I smell Nottingham! I smell Burford Road!" dan suasana menjadi begitu nostalgik. Agaknya, jika ada yang memerhati, pasti kehairanan melihat sekumpulan manusia yang begitu teruja dengan alam sekitar.

Saya cuba mendaftar ke bilik sebaik sampai ke hotel. Tidak sangka pula kami dibenarkan masuk ketika itu, iaitu empat jam lebih awal. Sekilas lalu, saya seakan terasa .. Ya Allah.. Engkau telah menjadikan keadaan ini lebih baik daripada yang kami harapkan. Kami cuma berharap kami dapat masuk tepat pada masanya iaitu pukul 3 petang. Allah memberi yang lebih baik = pukul 11 pagi!

Percutian penamat bagi 2010

Ketika kami sampai ke bilik, pemandangan sungguh indah. Kata Gem 7, "Look.. we are above the cloud! Later, we can fly!". Ia cuma fenomena alam yang biasa. Bukankah setiap hari awan berarak lalu? Tapi, memandang awan ketika berada di posisi begini, dalam suasana yang suram dan muram, menimbulkan satu kesyahduan... alangkah indahnya ciptaan Tuhan.

Awan mendung yang menutupi
Kami menaiki kabel merentasi kepulan awan
Mula-mula rasa gayat... bila dah lama .. rasa suka
Terasa ianya satu pengalaman yang berbaloi
Suka awan!

Pada hari yang berikutnya, cuaca adalah cerah dan terang benderang. Tiba-tiba mulut berkata, "Suasana semalam lebih baik daripada hari ini... ia menimbulkan susana lampau yang begitu dirindui!". Tapi, bukankah cuaca sebaik hari ini yang kerap didoakan! Sepatutnya, saya bergembira kerana doa sudah dikabulkan. Dan ketika itu saya teringat kembali keratan ayat Al Quran yang membawa maksud ada kalanya apa yang kita doakan bukanlah yang terbaik bagi kita. Sesungguhnya Allah lah yang lebih mengetahui segalanya. DIA lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Lalu, saya menyesal kerana merasa sedih semasa memulakan perjalanan yang telah diiringi dengan hujan gerimis dan langit yang kelam. Rupa-rupanya, di puncak ini, itulah suasana yang nostalgik, buat pengubat rindu pada kenangan silam.

Esoknya.. mula berkeliaran di taman tema
Kami antara yang terawal... "semua bagai ana yang punya!"
Di Dinasour Land
Gem 7 yang sibuk dengan Big wheel
Entah berapa kali menaiki roller coaster - dari 8 pagi sehingga 1 pagi hari yang berikutnya!
Ke lima-lima Gem

Di tingkat 9, suara azan jelas berkumandang dari masjid yang berdekatan. Hati bagai berkata-kata... alangkah indahnya jika Genting menjadi milik kita!

Wednesday, 1 December 2010

Si Tanggang

Pernahkah anda mendengar cerita tentang Si Tanggang? Ia sebuah cerita lama yang diulang-ulang. Seingat saya, mak pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil dan tidak tahu membaca. Siapakah Si Tanggang? Masyhur benar namanya sejak zaman berzaman. Al kisah, Si Tanggang ialah seorang anak muda miskin yang pergi merantau meninggalkan kampung halaman dan ibunya yang tua. Beliau ditakdirkan menjadi kaya. Biasalah cerita lama, yang kaya dapat pula menjadi menantu raja. Namun, beliau lupa daratan. Apabila kaya, beliau malu untuk mengaku si ibu yang miskin itu adalah ibunya. Maka sedih dan hiba hati si ibu. Seketika, hujan turun dengan lebat dan kilat sambar menyambar. Tetiba, Si Tanggang bertukar menjadi batu. Begitulah sedikit sebanyak tentang cerita Si Tanggang yang popular. Pun begitu, ia bukan idola. Si Tanggang adalah ikon anak derhaka!

Kenapa cerita Si Tanggang masih diulang-ulang? Masihkah relevan ceritanya di zaman sains dan teknologi ini? Ketika di luar waktu sibuk dan sempat menerawang di celah-celah kehidupan, rupa-rupanya Si Tanggang bukan termasuk di dalam spesies 'dinasour' yang sudah pupus. Dia ada di zaman dahulu kala dan masih ada di zaman yang serba digital ini...

Sketsa Pertama:
Seorang ibu yang sudah lanjut usia hidup sebatang kara. Sudahlah tidak mempunyai ramai anak, anak yang ada tidak sudi pulang ke rumah. Sejak berkahwin, anak lelaki kesayangannya berubah. Si anak menjadi jauh dan bersikap acuh tidak acuh. Si anak merasa tidak perlu bertegur sapa atau pulang menjenguk ibunya. Hidupkah si ibu? Sakitkah si ibu? Dia apa peduli. Si ibu tunduk sayu. Dalam suara yang bergetar si ibu menutur satu per satu,"Mak Cik sudah tidak berair mata.. Mak Cik cuma ingin membahagiakan hari tua ini dengan melupakan dan membuang jauh-jauh harapan dan kenangan tentang dia".

Sketsa Kedua:
Ketika si anak lelaki ini membesar di depan mata, dialah jadi pujaan kedua ibu bapa. Taat, bersopan dan menurut perintah. Si anak inilah yang ringan tulang membantu itu dan ini... si anak inilah yang manja, menjadi buah hati pengarang jantung... di tatang bagai permata. Masa berlalu, si anak sudah dewasa. Dari seorang kanak-kanak berhingus.. membesarlah dia menjadi gagah perkasa. Berjaya pula ke menara gading dan seterusnya menjawat pekerjaan yang mulia. Pun begitu, langit tidak selalu cerah. Harapan kedua ibu bapa yang dipertaruhkan kepada si anak di kala mereka tua, terhempas dan jatuh berkecai. Sebaik mendirikan rumah tangga, si anak sudah berubah. Si isteri menjadi raja di hati, lalu ibu bapa tersisih ke tepi. Pernah ibu bapa menangis hiba, "Apakah anak kami ingin menjadi anak derhaka? Takutkah pada isteri lalu menjadi dayus? Tahukah dia apa itu dayus? Lelaki dayus tidak mencium bau syurga, apatah lagi untuk masuk ke dalamnya?" Aduhai... menitis air mata satu persatu... Kejamnya si anak ini. Ibu bapanya tidak meminta emas atau permata. Ibu bapanya hanya menagih kasih dan hormat anak yang tidak seberapa. Kini, ibu bapa ini bukan sahaja 'kehilangan' anak kesayangan, menantupun tidak sudi untuk bersua muka dan usahlah bermimpi untuk merangkul sayang si cucu, kerana wajah si cucu hanya muncul di facebook!

Sketsa Ketiga:
Si anak lelaki lupa akan wujudnya si ibu yang sudah tua. Ketika susah, si anak datang meminta-minta. Jika, senang.. lupa dunia. Untuk ibu, segalanya serba sukar. Yang dekat menjadi jauh. Yang cepat, menjadi lambat. Si anak boleh bebas ke sana ke mari, berkelah, bercuti, berkenduri, berkelana .. cuma tidak boleh menjenguk si ibu yang tua lagi uzur; dan tidak pula ada masa untuk sekadar bertanya khabar. Sakitkah si ibu? Cukupkah nafkah si ibu? Si ibu diam memendam rasa... aduhai.. mempunyai anak ramai pun sunyi juga di kala tua.

Sketsa Keempat:
Dulu... kecil-kecil si anak sering kotor, comot dan berhingus. Pun begitu, rumah ibu bapanya adalah syurga dunia.... bahagia. Kini, ketika berkerjaya hebat dan bergaji tinggi, tiba-tiba rumah ibu bapa bertukar menjadi busuk, sempit, buruk dan kotor. Sesekali ada rasa untuk menjenguk ibu bapanya, bagaikan tetamu jauh yang tergesa-gesa untuk pulang. Tidak lagi sudi untuk bermalam di rumah ibu bapa atas serba alasan, lalu menyewa hotel berbintang-bintang. Si ibu melambai sayu anak, menantu dan cucu. Hiba... anak sendiri tidak lagi sudi untuk bermalam bersamanya. Tertanya-tanya juga pada sikap si anak. Jika rumah ibu bapa busuk, wangikanlah. Jika rumah ibu bapa sempit, luaskanlah. Jika buruk, cantikkanlah. Bukankah dia sudah berjaya dan kaya raya?


Entri ini aku tujukan khas untuk anak-anak lelakiku dan untuk pelajar-pelajar lelakiku.

Wahai anak-anak lelaki,
Ketahuilah olehmu bahawa kewajipanmu menjaga ibu bapa bukan seketika
Allah telah mewajibkan ke atasmu tanggungjawab itu sehingga engkau tidak bernafas lagi.. mati!
Ingatlah.. roda hidup sentiasa berputar..
Renunglah ke dalam dirimu, apakah ada calitan Si Tanggang pada sikapmu
Jika begitu.. apakah engkau mahu.. calitan yang serupa ada pada anak-anakmu?
Apakah engkau akan tersenyum bahagia kerana mempunyai anak-anak yang serupa denganmu?
Sungguh, amaran Allah Maha Benar .. bahawa biarpun bintang berjuta yang kau gapai
Syurgamu masih terperosok di telapak kaki yang hina milik ibu bapamu!!