Setakat ini, seumur hidup belum pernah perlu mendapatkan khidmat seorang peguambela. Syukurlah... Alhamdullillah. Kerana, jika kita perlukan khidmat peguambela, ertinya kita telah melakukan sesuatu kesalahan yang besar. Harap-harap, kita tidak akan melakukan kesalahan besar sehingga ke akhir hayat. Mendapatkan khidmat peguambela melecehkan serta perlu berbayar.
Pun begitu, jika kita tidak melakukan salah besar di sisi undang-undang manusia, kita sentiasa hidup dalam dosa. Setiap saat ada saja hukum Allah yang kita langgar. Hukum kecil atau besar akan membawa kepada timbunan dosa yang akan didakwa oleh Allah pada Hari Kiamat. Tidak sempat ke Padang Masyharpun, kita akan terlebih dahulu didakwa di dalam kubur. Di saat itu apa lagi yang tinggal dan boleh diharap? Semua anggota badan kita sendiri akan menjadi peguam dakwa di atas semua kesalahan kita. Mata, telinga, mulut, otak, kaki, tangan, badan.... semuanya akan menuduh-nuduh kita! Setiap tuduhan ada hukuman. Bertimbun-timbun. Malaikat, ular, kala jengkeng ... sudah sedia untuk menyakitkan kita sampai bila-bila. Siapa yang akan membela kita? Siapa yang akan membela kita? Siapa yang akan membela kita????
Di saat itu, akan ada satu surah di dalam Al-Quran iaitu Surah Al-Mulk yang mampu menjadi peguambela kita di alam akhirat. Tanyalah ustaz! Peguambela yang tidak perlu diupah. Hanya perlu dibaca! Subhanallah!
Jom! Ramai-ramai kita membaca Al-Mulk setiap malam.... melabur masa untuk melamar Peguambela di Alam Barzah untuk berdepan dengan setiap titik dosa yang akan dipertuduhkan.