Thursday, 12 September 2019

Panggilan Haji: Seperti Masih Bermimpi

Sepuluh tahun menunggu untuk dijemput Ilahi menjadi salah seorang tetamuNya bukanlah singkat masanya.

Hanya Allah yang tahu rintihan hati hambanya yang telah lama menanti.

Jika di tahun-tahun lepas, hati akan kemurungan kerana tidak dipanggil-panggil, tahun ini tetiba saya menjadi sangat redha. Kata saya kepada rakan sekerja.. barangkali aku tidak layak lagi untuk menduduki ujian paling tinggi dalam keislaman aku. Ya.. barangkali aku tidak layak. Bukankah seorang guru akan tahu jika seseorang anak muridnya tidak layak mengambil sesuatu peperiksaan? Sudah tentu Allah Maha Tahu keupayaan aku. Barangkali, jika aku diuji dalam ujian hajiku.. aku akan gagal. Maka, saat ini aku redha jika disisi Allah.. aku tidak layak. Tahun depan aku akan mohon lagi untuk kali ke 11.

Sungguh.. sekali-kali tidak disangka. Ketika saya dan suami menikmati jamuan Aidil Fitri pada hari Syawal terakhir, tetiba Gem 1 menerima panggilan. Dia bergegas meninggalkan meja makan untuk menjawab panggilan itu. Perginya agak lama sehingga saya mula berperasangka..apakah gerangan berita yang sedang diterimanya. Ketika dia kembali ke meja.. mukanya sudah berubah. Saya tanya kenapa? Dia menjawab ringkas.. makanlah. Sudah tentu hati tidak tenang.. siapa pula yang sakit.. siapa pula yang mati?

Tidak berapa lama.. Gem 1 berkata, "Kita dapat pergi haji tahun ini". Allahuakbar! Hanya linangan air mata yang menyambut berita itu. Sukarnya untuk percaya. Ia seperti mimpi!

Sunday, 7 April 2019

Kerana Pernah Bermimpi.. Dengan Izin Allah.. Ia menjadi

Cerita 6/4/2019

Saya dijemput oleh pengurus  Dakwah Corner Publisher untuk meraikan sesi bersama pembeli di Pesta Buku Antarabangsa KL yang berlangsung pada tahun ini. Kali pertama pergi ketika buku 'Seek the Signs of Allah' baru dilancarkan di sana. Dua tahun lepas. Beza masa yang sangat jauh bagi seorang penulis yang tidak sabar seperti saya. Pun begitu, setiap yang berlaku.. pasti ada rahmahNya yang tersirat. Apapun penantian dan kegelisahan yang dialami, ia tetap berbaloi dengan kalimah 'best selling author' untuk buku 'Seek the Signs of Allah'.

Ketika hadir untuk sesi kali ini... rasa sebak menusuk ke kalbu. Angan-angan untuk menulis buku lebih 20 tahun yang lalu, kini menjadi nyata, dengan izin Allah, dalam situasi yang tidak disangka-sangka. Idea menulis yang 'poyo' suatu masa dahulu.. diterima dan dihargai. Malah, tetiba blog yang hampir mati ini dikunjungi dengan meriah ... lalu 'memaksa' saya untuk menghidupkan kembali blog mainan ini. Besar jasa blog biasa-biasa ini. Di sinilah tempat saya mengasah minda untuk menulis dan bercerita. Ada ramai yang bertanya.. bakat datang dari mana? Sudah tentu ilham datang dari Tuhan. Cuma untuk menulis tidak perlu bakat seni di dalam darah. Bakat boleh dicerna dan diasah.

Ketika hendak pulang... saya sempat menjeling ke arah pembeli memakai skirt pendek. Saya kira dia berbangsa asing. Allahuakbar... mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada beliau dan menjadikan buku 'Seek the Signs of Allah' sebagai asbab untuk dia mengenal Tuhan. Alangkah indahnya jika ia jadi nyata. Si kerdil ini memohon doa untuk si dia.

Simpan di sini saat-saat meraikan...



 Pembeli ini datang selepas sesi bersama penulis.. Pengurus menghantar gambar ini kerana katanya 'They said they know you'... Maafkan saya yang amat pelupa.


Tak sangka .. jumpa penulis yang rupa-rupanya dari kawasan kejiranan!