Monday, 18 May 2009

Pangkalan Data: Antara Tanda-Tanda

Pangkalan data (Database) adalah satu istilah yang sudah biasa benar didengar. Apatah lagi bagi seorang hamba Allah yang terkecimpung di dalam bidang komputer sains ini melebihi dua dekad. Secara am, pangkalan data ialah satu konsep tempat terhimpun data-data tertentu untuk diselenggarakan (dibina, ditambah, dipadam, dikemaskinikan, disusun,diproses,dicapai) agar dapat memberikan maklumat atau laporan tentang sesuatu perkara apabila diperlukan. Secara tradisional, pangkalan data wujud dalam bentuk fail-fail yang mengandungi fail dan rekod tertentu berbentuk kertas. Hari ini, fail dan rekod di dalam pangkalan data boleh wujud dalam bentuk digital. Contoh pangkalan data ialah pangkalan data pelajar (yang menempatkan himpunan data-data tertentu tentang pelajar-pelajar tertentu, contoh: nama, no IC, tarikh lahir, keputusan setiap peperiksaan)dan pangkalan data pekerja (yang menempatkan himpunan data-data tertentu tentang pekerja-pekerja tertentu, contoh: nama, no IC, tarikh lahir, jantina, jawatan, tangga gaji, senarai kelulusan).

Sepanjang minggu lepas, istilah pangkalan data muncul dan muncul lagi. Ada pelajar latihan praktik yang telah membentangkan sistem-sistem mereka untuk kegunaan pelbagai sektor. Ada pelajar sarjana dan doktor falsafah yang membentangkan kerja-kerja yang terkandung pangkalan data. Banyak sungguh istilah pangkalan data yang datang bersimpang siur di dalam hidup ini, berlalu ... tanpa rasa.

Cuma, sesekali saya mengenangkan keberkesanan penggunaan pangkalan data ketika di UK. Contohnya, setiap kali kami pindah ke rumah baru, dalam masa kurang dari seminggu datanglah surat peringatan untuk membayar lesen tv (dalam hati berkata.. amboi! Mereka tahu saja kita dah berpindah..). Sama juga dengan kes cukai jalan. Cukai jalan untuk kereta buruk kami terpaksa diadakan kerana risau disekat di tengah jalan apabila berselisih dengan polis. Terkenang pula kes Gem 7 (ketika berusia setahun setengah), secara tidak sengaja menekan nombor 999. Kurang daripada lima minit, rumah kami diketuk oleh polis. Kata mereka, "Kami telah dihubungi oleh seseorang daripada rumah ini tanpa suara. Kami ingin mengesahkan siapa penghuni rumah ini". Lalu, saya ditanya dengan pelbagai soalan... siapa nama, siapa nama suami, berapa bilangan anak, belajar di mana, bila tarikh masuk ke rumah sewa tersebut, apa nombor plat kereta... Setiap kali saya menjawab, mereka menyampaikan maklumat kepada seseorang yang bertanggungjawab memastikan ketepatan apa yang saya kata dengan yang terkandung di dalam pangkalan data mereka. Apabila mereka pasti data yang diperolehi tepat, merekapun beredar. Sejak dari itu, kami sentiasa berjaga-jaga. Tidak mahu lagi terlibat dengan apa-apa kes kerana takut kes tersebut akan tercatit di dalam pangkalan data mereka yang efektif (dalam hati berkata.. ohh.. rupanya perihal kita diawasi!).

Pada minggu lepas, ketika baru sempat duduk di dalam pejabat, mata saya tertumpu pada keratan ayat dari surah Yasin (yang bertulis tangan) pada papan kenyataan kecil di hadapan meja saya. Dalam hati saya berkata.. alahai.. sibuk benar pada minggu-minggu ini sehinggakan niat saya untuk menulis satu ayat Quran sehari tidak dipenuhi. Niat itu terkantul pada ayat 12, surah Yasin. Saya merenung kembali apa maksud ayat tersebut...

Ayat 12, Surah Yasin
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Lohmahfuz).

Terjojol mata saya sambil berkata AllahuAkbar... AllahuAkbar... AllahuAkbar... Ayat ini menceritakan tentang pangkalan data milik Allah! Dalam kitab Al Quran .. ada keterangan tentang konsep pangkalan data.. MasyaAllah.. Kalau kita terkial-kial baru ingin pangkalan data yang gabungan mempunyai teks dan imej, Allah telah sedia ada memiliki pangkalan data yang Maha Kompleks. Allah menyimpan data tentang segala sesuatu.. Cubalah bayangkan apa jenis data yang ada dalam pangkalan data Allah tentang kita.. datang dalam segala bentuk: segala perbuatan kita, percakapan kita, niat kita, mimpi-mimpi kita, pendengaran kita, penglihatan kita, yang tersirat di hati, yang terlintas difikiran, segala sangkaan kita... semuanya dikategorikan pula: yang halal, yang haram, yang wajib, yang makruh, yang sunat, yang sengaja, yang tidak sengaja, yang fardu Ain, yang fardu kifayah. Kesemuanya tersimpul kepada perkiraan terperinci - dosa atau pahala. Pangkalan data Allah merangkumi semua pihak yang terlibat. Allah menyimpan data meliputi akaun individu yang tampak kompleks dan berselirat: contoh.. yang dirasuah vs yang merasuah, yang menipu vs yang ditipu, yang mengajar vs yang di ajar, anak vs ibu dan bapa, yang minum arak vs yang-jual yang-buat yang-hidang yang-hantar... AllahuAkbar.. Maha terperincinya pangkalan data milik Allah, iaitu TUHANku dan TUHANmu!! Gerunnya.... gerunnya... Takut.. rekod-rekod yang dicatit itu tidak mendatangkan kebaikan bila dihitung di Padang Mashyar.

Pada minggu lepas, ketika aku dihujani dengan konsep pangkalan data, aku temui pangkalan data milik Tuhanku.. Pada konsep pangkalan data... ada tanda-tanda kekuasaan Allah. Ya Allah, tetapkanlah rasa gerun terhadap catitanMU kekal di dalam hati-hati kami selamanya. Awas!!! Kita sedang diawasi.. rekod kita sentiasa tercatat di dalam Pangkalan Data milik Allah, Tuhan yang satu.. Tuhanku dan Tuhanmu....

Wednesday, 13 May 2009

Sekalung Tahniah untuk Pelajar-Pelajar FYP (CSC699) Sessi Dis-Apr 2009

Sekalung tahniah untuk semua pelajar yang terlibat dalam 'Final Year Project' untuk Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer. Sepanjang semester, anda telah meletakkan segala daya usaha, doa dan pengharapan. Bermula dengan tajuk yang biasa-biasa, akhirnya siapa sangka, hasilan anda berselit ciri-ciri luar biasa. Sebagai koordinator, di mata kami, anda telah berjaya. Barangkali e-mail berikut dari Dr. S dapat menggambarkan perasaan itu:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya dan Dr. N ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih diatas kerjasama kesemua pelajar CS230 di dalam menjayakan pameran FYP pada 12 dan 13May 2009 yang lalu.

Kami sangat berbesar hati dan gembira dengan komitmen yang telah anda tunjukkan pada sepanjang pameran tersebut. Kami juga kagum kerana ramai dikalangan anda telah berjaya menghasilkan projek yang sangat innovatif dan mempunyai potensi untuk lebih maju lagi. Pujian yang sama juga telah diberikan oleh ramai panel-panel penilai yang menilai projek anda. Tahniah kami ucapkan.

Kepada yang tidak berjaya, kami juga ingin mengucapkan tahniah diatas kesabaran dan kekuatan semangat anda. Dan juga kesudian anda untuk berada sepanjang hari bersama pelajar-pelajar lain. Kami percaya dan berdoa semoga berkat kesabaran tersebut anda akan lebih berjaya pada semester hadapan.

Akhir kata, sebagai guru kami mengharapkan kesemua anda berjaya menjadi modal insan yang cemerlang dan menjadi produk universiti yang boleh dibanggakan.

Wassalam

Dr.S dan Dr. N
Koordinator FYP


Selepas ini, yang pastinya anda semua akan terbang bebas. Bebas memilih jalan-jalan yang berselirat. Saya berdoa semoga anda semua memilih jalan yang lurus sehingga ke akhir hayat. Selamat membina dan mengutip mimpi-mimpi kerana ramai yang percaya kehidupan hari-hari muka adalah mimpi-mimpi hari ini.

Thursday, 7 May 2009

Cikgu Siti dan Cikgu Ali

Minggu lepas, ketika kami menghantar Gem 7 ke tadikanya, cikgunya iaitu cikgu Siti telah berlari-lari anak mendapatkan kami. Katanya "Saya nak minta maaf" dan kemudian terhenti untuk menarik nafas.. Dalam kepala saya.. "apalah pulak yang Gem 7 dah buat nih". Cikgu Siti meneruskan penerangan.. katanya itu minggu terakhirnya di situ. Beliau akan menamatkan perkhidmatannya di tadika mulai bulan Mei. Gem 7 suka betul dengan cikgu Siti. Itulah satu-satunya cikgu yang 'berjaya memikat hati' Gem 7 di hari-hari permulaan di tadikanya beberapa bulan dulu. Pada mula-mula dulu, Gem 7 pasti akan berkata "I want teacher Siti only!". Apa rahsia cikgu Siti 'menjinakkan' Gem 7 dengan tadikanya, tidaklah diketahui. Tetapi kesannya, kini Gem 7 akan selalu membaca Al Fatihah dengan nada dan gaya yang unik. Bacanya tidak kira bertempat. Ketika bangun, ketika bermain, ketika makan, ketika berada di dalam kereta.. di mana-mana. Gayanya, secara santai seolah-olah mengajak kami bersama-sama dengannya membaca surah itu. Tanpa disedari ianya menjadi satu rutin untuk satu keluarga... al Fatihah di mana-mana. Cikgu Siti tidak tahu akan hal ini... namun untunglah cikgu Siti, hari-hari dalam diam,.. pasti tertulis di Luh Mahfuznya .. catatan kebaikan untuknya hasil amalan ini. Cikgu Siti cikgu pertama Gem 7 dan saya ingin sekali beliau mengenangnya untuk selama-lamanya sebagaimana saya sentiasa mengenangi guru pertama saya, cikgu Ali.

Cikgu Ali merupakan seorang guru yang istimewa di hati kerana dia guru pertama di dalam hidup saya. Guru darjah satu ini telah menerima saya yang hanya pandai mengira 1-5 sahaja! Saya tidak mengenal angka dan huruf. Cikgu Ali mengajar kami menulis di atas tanah... terbongkok-bongkok melakar huruf dan angka... terkial-kial mencecah jari telunjuk ke tanah. Dalam kelas yang panas dan gelap, Cikgu Ali membakar semangat kami untuk memiliki kehidupan yang lebih cerah. Jasamu telah tertulis di Luh Mahfuz.

Untuk semua cikgu, yang dulu, kini dan akan datang.. semoga semuanya diberi Allah jalan terpantas ke Syurga Firdaus.

Tuesday, 5 May 2009

Apa Yang Kita Mahu...

Apa yang kita mahu untuk menjadikan sekolah satu destinasi yang menjadi tumpuan anak-anak? Rata-rata tentu setuju kita mahukan satu rasa kecintaan dan kegembiraan bila berada di sana. Rasa itu untuk semua .. untuk anak-anak.. untuk guru-guru.. untuk pentadbir.. untuk ibu-bapa. Ini bukan soal merendah-rendah sistem pembelajaran kita. Ini soal bagaimana mahu menjadikan sekolah itu destinasi pilihan...yang dirindu, yang dicinta.. Bukankah tunggak Islam itu ilmu? Kita wajib cintakan ilmu. Lalu bagaimana untuk kita semua ke arah itu..

Saya baru mendengar keluhan ini pada musim cuti sekolah yang lalu, keluhan beberapa orang guru..mereka berkata "Ahhhh... tension nya nak ke sekolah!!". Saya menyampuk.."Aik... cikgu pun tension juga ke??". Mereka menjawab seakan serentak... "Bukan kami saja.. cikgu-cikgu Panatia pun tension juga!".
Kita harus memikirkan bersama... bagaimana.. bagaimana.. kerana kita tahu, untuk menuntut ilmu itu bukan semestinya hidup dalam tertekan ... "Learning must be happy and fun.. for all"! Kenapakah di negara orang boleh wujudkan suasana 'gembira' ini? Apa resepinya? Bagaimana untuk mengadaptasikannya dalam konteks dan budaya kita? Bagaimana? Bagaimana? Jom kita pakat-pakat selidik... dan cadang..

Monday, 4 May 2009

Apa Sudah Jadi...

Apa sudah jadi.. Itulah pertanyaan yang silih berganti di dalam kepala apabila anak-anak tidak suka ke sekolah. Sudah menjadi seakan satu fenomena, hari Jumaat adalah hari paling ceria bagi mereka dan hari Ahad merupakan hari yang suram. Kenapa? Sebabnya, hari Jumaat adalah petanda hari-hari cuti bakal tiba. Hari Ahad petanda hari-hari sekolahpun akan bermula. Malah, cuti sekolah yang akan bermula bulan Jun pun, sudah diraikan ketibaannya. Apa sudah jadi.. dulu di Claremont dan Djanogly, mereka tidak begini..
Semalam Gem 6 tidak habis-habis mengekori saya.. ke atas, ke bawah, ke depan dan ke belakang. Naik rimas dibuatnya. Misinya cuma satu, hari ini beliau ingin ponteng sekolah! Saya tanya dia kenapa. Gem 6 jawab dengan selamba.. "I don't like school!". Saya kata, "kan ke dah banyak ponteng". Dia jawab "I only absent 4 days.. do you know how many my friends did?.. 10 times..11 times... So you see, I'm not that many!" Saya menggeleng-geleng kepala. Tidak hadir ke sekolah bagi anak-anak ini kini menjadi satu perayaan. Kalau dulu, saya merayu-rayu mereka untuk ponteng sekolah kerana menyambut perayaan Aidil Fitri untuk satu hari. Hari ini dunia sudah terbalik... mereka pulak merayu-rayu untuk ponteng. Kalau dulu, cuti sekolah pun minta dihantar ke sekolah.. Hari ini, hari sekolah pun minta dicutikan. Apakah ianya fenomena untuk anak-anak kami sahaja? Kalau anak-anak kami sahaja, kenapa anak-anak orang lainpun ponteng lebih daripada anak-anak kami?
Saya merenung jauh.. kita sudah gawat dengan masalah sosial yang satu ini. Anak-anak lebih suka melencong ke lain daripada berkejar-kejar ke sekolah.. patutlah macam-macam ada di luar sana.. yang rempit, yang ragut, yang lepak... Pasti ada sesuatu yang tidak kena sehingga rasa cinta untuk ke sekolah makin layu dipupuk masa.. Apa sudah jadi.. Apa yang tidak kena. Masalah ini nampak remeh, tapi implikasinya amat besar. Anak - anak hilang kecintaan pada tempat yang menyuburkan ilmu. Apa sudah jadi??? Bolehkah soalan ini dijawab oleh pak menteri???