Wednesday, 14 April 2010

Fasa Baru: Tujuh Kurang Satu

Pada 12/04 yang lepas kami telah ke utara semenanjung untuk menghantar Gem 3 ke sekolah berasrama. Maka, sekaligus, bermulalah satu fasa baru dalam kehidupan keluarga kami iaitu fasa kekurangan seorang ahli keluarga: 7 -1!

Gem 3 bak burung yang sudah mampu terbang sendiri dan bebas menentukan arah tuju untuk kehidupannya sendiri. Mudah-mudahan hijrah beliau diberkati Allah dan menjadi sebahagian daripada usahanya untuk menghampiri mimpi-mimpi beliau untuk kehidupannya di masa hadapan.

Kata Gem 7, "When we will go to fetch Kak Long?".

Sesekali bisik Gem 7, " I miss Kak Long!"

Kadang-kadang tidak semena-mena Gem 7 akan melaung seolah-olah Kak Long berada di tingkat atas, "Kak Longgggg... where are youuuuu?... I love you".

Adakalanya, Gem 7 akan bertanya, "Who will protect Kak Long?" Kata kami, "Allah".

Dari jauh kami berdoa moga Gem 3 beramal di atas jalan yang lurus berteraskan iman dan takwa.

Dari jauh kami berdoa semoga Allah melindungi Gem 3 daripada segala mara bahaya, bala dan wabak, dari sifat malas dan lemah, dari sifat bakhil dan sombong, dari ditindas dan menindas.

Kami berdoa moga, Gem 3 dirahmati Allah selalu dengan belas kasihan dan kasih sayang.

We love you Kak Long!!!!!!

Tuesday, 13 April 2010

Selamat Hari Jadi...

Selamat Hari Jadi...

Happy birthday mummy....

Happy Birthday...

= sudah berlalu umur setahun lagi ...

= nikmat Tuhanku manakah yang telah aku dustakan?

= apakah data tentangku yang tersimpan di dalam pangkalan data yang Maha Canggih milik Tuhanku?

= apakah data kebaikan > data keburukan?

Ya Allah.. hapuskanlah data keburukan.. tambahkanlah data kebaikan... jadikanlah kami dari golongan manusia yang beruntung di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan manusia yang ditambah nikmat umur .... amin.

Wednesday, 7 April 2010

Kembang dan Kempis

Dua hari lepas saya begitu asyik menggeledah pustaka Google Scholar untuk mencari maklumat tentang dua kad pintar yang popular yang digunakan di Malaysia. Lalu, saya berjumpa dengan satu artikel yang ditulis oleh seorang Australia. Dalam tulisannya, beliau menceritakan tentang bila dan kenapa wujudnya MyKad. Kata beliau, Malaysia adalah negara pertama seumpamanya di dunia yang rakyatnya memiliki kad pintar dengan kos 290+ Juta Ringgit Malaysia. Melihat kecanggihan MyKad seperti yang digambarkan serta mengenangkan kedudukan negara yang menjadi negara pertama berjaya mengadakan kad-kad pintar itu untuk rakyatnya, mengalah negara-negara termaju di dunia yang kaya raya, lalu saya berasa amat bangga. Negaraku berprestij... 'posh'! Tiba-tiba hidungpun terasa mancung dan kembang.... bangga.

Namun, ketika keasyikan melayan hidung yang terasa kembang dan mancung itu.. saya menerima satu panggilan talipon dari suami tercinta. Katanya, usaha terakhir kami untuk merayu mendapatkan tempat untuk Gem 3 ke asrama penuh nampaknya telah gagal. Saya akur benar... rayuan rakyat biasa.. begitulah selalunya = mengikut prosedur = GAGAL! Nampaknya masalah yang bersimpang siur di kepala akan masih berada di situ lagi. Sebagai pilihan alternatif, Gem 4 ditawar ke sebuah sekolah berprestasi tinggi.. nun.. jauh di utara. Jauh tidak menjadi satu masalah.. tapi apabila sekolah mewajibkan pelajar-pelajarnya pulang ke rumah untuk setiap dua minggu.. itulah yang menjadi satu persoalan. Alasannya, peruntukan untuk sekolah telah dikurangkan. Lalu, untuk menjimatkan perbelanjaan, anak-anak perlu pulang. Lalu, saya mengira-ngira... bajet 4 pinggan nasi (untuk hari Sabtu dan Ahad) yang ingin dijimatkan = satu tiket bas express dua hala utara-selatan = satu tiket dua hala Firefly = dua hari masa perjalanan yang panjang = bajet tambahan untuk sebuah keluarga biasa!

Pulang dari pejabat, rupa-rupanya ada beberapa tetamu yang akan berkunjung selepas waktu Maghrib. Maka terus, tangan pun perlu menari-nari dengan rancak dan pantas. Ketika melihat bawang hampir kekuningan di dalam kuali.. tiba-tiba datang Gem 3 menuju ke dapur (baru pulang sekolah).. dengan wajah mencuka.."Do you know mummy.. I've been practising drama for two weeks for nothing!". "Kenapa?", tanya saya. Katanya.. "Oh.. the teacher said all co-curriculum activities have been frozen .. no money!". Ahghhh.... minyak yang panas di dalam kuali = perasaan saya yang membara. Tiba-tiba hidung yang kembang dan mancung menggambarkan kebanggaan di pagi hari tadi terasa mengecil dan pesek!

Lalu, saya memandang ke langit yang semakin gelap... ingin sekali menjadi burung, terbang bebas mencari padang dengan rumputnya yang lebih hijau.. biarlah hanya berhujan batu di situ. Apalah ada pada hujan emas.. jika rumputnya semakin gersang...
Hidung yang kembang terus kempis!

Thursday, 1 April 2010

Apa Ada pada Laman Sosial?

Pada 17 dan 18 Mac yang lepas, fakulti kami telah mengendalikan satu konferen antarabangsa bertemakan capaian maklumat dan pegurusan pengetahuan. Selain membentang kertas kerja, saya juga terlibat sebagai AJK kecil-kecilan. Jika melihat secara kasar, ia bukan bidang saya dan pastinya kerana itu, saya tidak tertunggu-tunggu untuk mendengar ceramah-ceramah utamanya. Pun begitu, Allah Maha Mengerti dan menempatkan juga saya di celah-celah dewan itu.

Selesai sessi ucaptama, maka mengertilah saya kenapa saya harus berada di situ. Satu perkara yang dilihat tidak ada kena mengena, sebenarnya amat relevan dalam hidup kita. Siapakah yang mempunyai akaun di laman sosial (cth: Facebook)? Saya? Anda? Rangkaian sosial ini bak pengail yang menyediakan umpan-umpat lazat.. melambai-lambai untuk dikerumuni. Kitalah pula ikan-ikannya yang rasa begitu teruja dan melahap umpan-umpan tersebut! Ketika kita meraikan keenakan umpan, tanpa disedari, kita terlontar ke dalam sebuah akuarium yang kecil.. semua perilaku kita boleh diperhati, dianalisa, diekori.. oleh si pengail .. tanpa had masa dan sempadan.

Liciknya 'mereka' yang menyediakan satu lapangan untuk mengutip data daripada seluruh dunia! Ucaptama Prof. Shalini daripada Universiti Mysore, India, telah mengesahkan bahawa data-data daripada laman-laman sosial ini boleh diambil dan dianalisa. Malah, beliau menunjukkan bagaimana kerjasama beliau dengan universiti di USA dapat mengesan rangkaian jenayah melampau dengan menggunakan rangkaian sosial.

Lalu, apa ada pada laman sosial? Jawabnya... data-data digital percuma..bagai pedang dua mata.. data untuk kita = data untuk musuh-musuh kita. Hati kecil saya masih tertanya-tanya ... 1 facebook = 1Malaysia = data satu negara = milik siapa? AUWWWW! Pedihnya cubitan fakta... lihatlah dengan mata hati!