Wednesday, 29 June 2011

Anak Lelaki

Selepas kematian Lion Head (arnab kecil yang telah dilarikan oleh seekor kucing ganas), kami berbincang untuk membeli seekor lagi Lion Head sebagai pengganti. Lalu, saya tanyakan kepada anak-anak, siapa yang ingin 'sponsor' untuk pembelian kali ini. Gem 5 terus menjawab dengan pantas,"I'll do, I'll give all my money - RM20.00". Anak lelakiku hanya memiliki RM20.00! Itulah simpanan yang dimilikinya. Katanya,"I don't like keeping money.. It's too hard!". Selama ini jika beliau mempunyai wang, beliau sentiasa akan cuba membayar dengan menggunakan semua wang yang ada. Tahulah kami kini, apa yang mendorongnya berbuat begitu... sukar untuk kira-mengira tentang wang.

Dan sketsa tentang wang itu masih bermain-main difikiran. Sudah tentu kami gembira memiliki ahli keluarga yang tidak berkira. Tapi apa akan jadi padanya di masa hadapan. Aduhai... anak lelaki mempunyai tanggungjawab bukan untuk anak-isterinya sahaja di masa hadapan. Anak lelaki WAJIB juga menjaga kebajikan ibu bapanya sehingga dia mati atau ibu bapanya mati. Maka, kemahiran mengurus wang adalah satu keperluan utama untuk menanggung tugas hakiki itu.

Cerita-cerita di celah-celah kehidupan berlambak di depan kita. Betapa segelintir anak-anak lelaki yang lupa tugas mereka. Entah atas alasan apa. Bertanya khabarpun segan, apatah lagi mengurus kebajikannya. Tidak sudi bertanya, apakah ibu yang tua apa keperluannya untuk hari ini, esok atau lusa? Apakah cukup makannya, apakah cukup minumnya, apakah terlangsai bil-bilnya, apakah selesa hidupnya di hari-hari tua?

Tadi Gem 7 datang manja di ribaan. Lalu, dia dirangkul dan dicium mesra. Tiba-tiba hati menjadi sayu mengenangkan perasaan ibu-ibu tua di celah-celah kehidupan. Barangkali mereka dulu mendakap mesra anak-anak lelaki mereka dengan kasih yang melimpah ruah. Kini, kasih itu tidak berbalas. Aduhai anak-anak, lupakah mereka pada roda hidup yang berputar. Sesungguhnya, balasan Tuhan amat dekat.

Friday, 24 June 2011

Selamat Hari Lahir Gem 7

Selamat hari lahir Gem 7.  Semoga Gem 7 menjadi hamba Allah  yang soleh sepanjang hayat.

We LOVE YOU so muchhhhhhhhh.

Tuesday, 14 June 2011

Sob! Sob! Sob! untuk Lion Head

Semalam, sekitar pukul 6.30 petang, Lion dan Dutch dibebaskan dari kandang mereka. Sekejap saja sempat bermain dengan mereka, saya telah masuk ke rumah. Tiba-tiba Gem 7 menjerit,"Mummyyyyy...cattttt took Lionnnnnn!". Saya pun sempat bersama menjerit pada kelibat kucing besar yang sedang menggonggong Lion. Arghhhhhhh...... kami sekeluarga cuba mengejar, tapi larian kucing tua itu lebih pantas. Selamat tinggal Lion, maafkan kecuaian kami. Semoga engkau berbahagia di alam yang kekal abadi. Sob!Sob!Sob!

Monday, 13 June 2011

USA Dalam Ingatan: John Babcock

Banyak gambar-gambar lama tersadai di rumah Tok dalam jangka waktu yang amat panjang.  Hampir 100% gambar-gambar tersebut adalah diambil dengan menggunakan kamera tua - dicuci daripada gelungan filem dan gelungan filem tersebut sudah hilang dibuang. Lalu, ketika gambar-gambar itu diambil semula daripada rumah Tok, Gem 1 'scan' semua gambar-gambar tersebut untuk disimpan di dalam bentuk digital. Kini, gambar-gambar lama dapat ditenung semula dan ianya adalah seribu kenangan.

Kali ini akan diceritakan tentang John Babcock, seorang warga USA, pelajar sarjana di fakulti Sains Komputer dan Kejuruteraan di Binghamton University. Sebelum kami  datang ke situ, John memang rapat dengan pelajar Malaysia dan seterusnya dia juga menjadi kawan kami. John anak yatim piatu. Ibu bapanya telah meninggal dunia dan meninggalkan cuma dua harta: kereta dan sebuah rumah. John memilih kereta sahaja dan memberikan rumah orang tuanya kepada kakaknya yang telah berkeluarga. Dan kereta pusaka John itulah yang berjasa kepada kami.

Dari kiri, Gem 2, Nazihah dan John Babcock

Dengan kereta John, kami dapat menghabiskan tugasan komputer sehingga larut malam tanpa rasa bimbang. Kami tidak perlu menaiki bas ketika jam menunjukkan pukul 2-3 pagi yang pasti dinaiki oleh pelajar-pelajar mabuk. John dengan setia menjadi supir menghantar kami pulang. Atau ketika keadaan manjadi terlalu sibuk, makan dan minum entah ke mana.. John datang dengan bungkusan makanan dari Long John Silver. Sambil tersenyum, dia akan berkata.. makanlah... seperti seorang ayah menghulurkan makanan untuk anak-anaknya.

Kadang-kadang John keputusan wang. Jika tidak kami menjamunya nasi berlaukkan sambal sotong dan sayur brocolli (makanan asasi di sana!), saya dan Nazihah akan membuat operasi bantuan - kami akan mengutip tin-tin minuman dari bilik kuliah ke bilik kuliah (ketika pelajar-pelajar sudah pulang) dan menyerahkan pada John untuk membolehkan beliau membeli makanannya pada hari itu.

Pada tahun-tahun itu, Internet baru bermula. Internet hanya boleh dilayari dengan menggunakan baris-baris arahan sahaja, tiada Internet Explorer atau Mozilla. John sentiasa berangan-angan menjadi jutawan dengan menggunakan Internet! Di manakah John? Apakah beliau sudah menjadi jutawan Internet selepas 22 tahun berlalu? Hanya Allahlah yang mengetahui. Walau di mana dia berada, ingin disampaikan ucapan terima kasih ini di atas segala pertolongan beliau sehingga kami dapat meredah ranjau dan duri di perantauan. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya.

Sunday, 5 June 2011

Cuti-Cuti Sekolah

Lama tidak kemaskini blog. Masa berjalan pantas, dah sebulan tiada entri baru. Alahai.. beginilah apabila semester sedang berjalan. Banyak kerja-kerja yang dilambakkan dengan label URGENT.. SEGERA.. DUE DATE TOMORROW, SIAP SEBELUM TARIKH XXXX... Datangnya pulak bersekali dan bertindan. Setelah seminggu cuti sekolah berlalu, barulah boleh menarik nafas lega sedikit untuk beberapa ketika ini.

Apa yang dilakukan di dalam cuti sekolah ini? Bila cuti sekolah, Family7 cukup ahlinya. Jika tidak cukup ahli, rasa tidak sempurna untuk menjalankan aktiviti di luar rutin. Aktiviti pertama, kami membeli 2 ekor arnab yang diberi nama Dutch dan Lion (mengikut spesies asal mereka). Kadang-kadan mereka dikurung, kadang-kadang dikeluarkan dari kandang dan dilepaskan bebas. Ohhh... sungguh comel apabila melihat Lion yang suka berdiri dengan dua belah kakinya sahaja!
Dutch (putih-coklat)dan Lion (hitam)

Kemudian, kami ke pusat membeli-belah untuk membeli sedikit keperluan bagi 4 gem yang akan menghadiri kursus motivasi Superkid. Kemudian, makan-makan!





 Kesokan harinya, pagi-pagi lagi kami sudah bersedia memulakan perjalanan ke Lenggeng untuk menghantar Gem3, Gem 4, Gem 5 dan Gem 6 di Excel Training and Resort. Masing-masing berdebar-debar bagaimana agaknya kursus kali ini. Ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sana. Untuk sessi kali ini dianggarkan sekitar 270 pelajar hadir. Yang menarik, ibu bapa juga dikehendaki hadir ke satu sessi bersama dengan Datok Fadzillah Kamsah. Sessi yang berlangsung hampir 3 jam setengah sungguh bermanfaat. Kata Datok, tidak guna anak-anak dihantar untuk berubah, jika ibu bapa tidak berubah! Mudah-mudahan, ilmu ini dapat dimannfaatkan sebaiknya.

 Datok Fadzillah Kamsah dari jauh...

Selesai sesi tersebut, tinggallah Gem 7, terkonteng-konteng... tanpa abang dan kakak untuk memeriahkan setiap suasana. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Bunnyland. Adalah beberapa jenis binatang untuk didekati.
 Gem 7 dan Aishah  dengan anak-anak kuda

 Gem 7 dengan monyet-monyet


 Gem 1 di atas buaian ... muka selepas menghadiri sesi 'brain wash' Datok Fadzillah Kamsah

 Gem 2 bergambar dengan kambing yang begitu mesra!

 Gem 7 dan Zofir

 Setelah penat bermain, Gem 7 senang hati untuk pulang ke rumah...

Malangnya.... kami tidak pulang ke rumah.. Di tengah jalan, kami tukar fikiran untuk ke Kuala Pilah menziarahi Keluarga Shatri dan Miza secara mengejut. Kami dijamu dengan dua ekor ikan Patin yang besar-besarrrr (dimasak lemakkan). Uhhh... sungguh lazat. Akhirnya, kami sampai ke rumah ketika jam menunjukkan pukul 1 pagi!