Banyak gambar-gambar lama tersadai di rumah Tok dalam jangka waktu yang amat panjang. Hampir 100% gambar-gambar tersebut adalah diambil dengan menggunakan kamera tua - dicuci daripada gelungan filem dan gelungan filem tersebut sudah hilang dibuang. Lalu, ketika gambar-gambar itu diambil semula daripada rumah Tok, Gem 1 'scan' semua gambar-gambar tersebut untuk disimpan di dalam bentuk digital. Kini, gambar-gambar lama dapat ditenung semula dan ianya adalah seribu kenangan.
Kali ini akan diceritakan tentang John Babcock, seorang warga USA, pelajar sarjana di fakulti Sains Komputer dan Kejuruteraan di Binghamton University. Sebelum kami datang ke situ, John memang rapat dengan pelajar Malaysia dan seterusnya dia juga menjadi kawan kami. John anak yatim piatu. Ibu bapanya telah meninggal dunia dan meninggalkan cuma dua harta: kereta dan sebuah rumah. John memilih kereta sahaja dan memberikan rumah orang tuanya kepada kakaknya yang telah berkeluarga. Dan kereta pusaka John itulah yang berjasa kepada kami.
Dari kiri, Gem 2, Nazihah dan John Babcock
Dengan kereta John, kami dapat menghabiskan tugasan komputer sehingga larut malam tanpa rasa bimbang. Kami tidak perlu menaiki bas ketika jam menunjukkan pukul 2-3 pagi yang pasti dinaiki oleh pelajar-pelajar mabuk. John dengan setia menjadi supir menghantar kami pulang. Atau ketika keadaan manjadi terlalu sibuk, makan dan minum entah ke mana.. John datang dengan bungkusan makanan dari Long John Silver. Sambil tersenyum, dia akan berkata.. makanlah... seperti seorang ayah menghulurkan makanan untuk anak-anaknya.
Kadang-kadang John keputusan wang. Jika tidak kami menjamunya nasi berlaukkan sambal sotong dan sayur brocolli (makanan asasi di sana!), saya dan Nazihah akan membuat operasi bantuan - kami akan mengutip tin-tin minuman dari bilik kuliah ke bilik kuliah (ketika pelajar-pelajar sudah pulang) dan menyerahkan pada John untuk membolehkan beliau membeli makanannya pada hari itu.
Pada tahun-tahun itu, Internet baru bermula. Internet hanya boleh dilayari dengan menggunakan baris-baris arahan sahaja, tiada Internet Explorer atau Mozilla. John sentiasa berangan-angan menjadi jutawan dengan menggunakan Internet! Di manakah John? Apakah beliau sudah menjadi jutawan Internet selepas 22 tahun berlalu? Hanya Allahlah yang mengetahui. Walau di mana dia berada, ingin disampaikan ucapan terima kasih ini di atas segala pertolongan beliau sehingga kami dapat meredah ranjau dan duri di perantauan. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya.
5 comments:
Mungkin kawan kak Nas tu da jadi jutawan agaknye.. :) Buat baik dibalas baik..
p/s Kak Nas tak cube cari die ke thru emel ke? Saje nak merapatkan persahabatan.. :)
Penjejak mimpi,
Dah cuba.. cuba dengan facebook, cuba dengan google.. entahkan hidup atau mati. Agak-agak umurnya dah 50 lebih!
Sevendrops
salam Dr. N.
entry tulisan dr sentiasa memberi inspirasi pada saya.
:)
Hello N-N,
Sudah bekerjakah? Jika sudah, Alhamdullillah, datanglah singgah ke blog ni sekali-ekali. Blog ni umpama rumah maya... tapi biasalah kadang-kadang ia bersawang tidak diurus!
Terima kasih,
Sevendrops
salam Dr.N.
Alhamdullilah, sudah bekerja genap 5 bulan. hehe
Ya, I always read this blog! :)
Post a Comment