Friday, 7 October 2011

Hidup dan Peperiksaan

Barangkali hidup dan peperiksaan tidak dapat dipisahkan. Sejak kecil sehingga tua, perkataan peperiksaan saban muncul. Bezanya, dulu diri sendiri yang menghadapi, hari ini menyaksikan giliran anak-anak pula.Tiap kali menjelang peperiksaan, terasa perit mental, fizikal dan emosi. Kadang kala timbul rasa benci, kerana ada peperiksaan yang gagal atau berjayanya memberi kesan sepanjang hayat. Ia penentu sesuatu peluang tertutup atau terbuka di masa hadapan, dan kadang kala ia menjadi pembahagi kasta sosial. Beruntunglah pada yang berjaya. Berdukalah pada yang gagal. Bilanglah... berapa banyak peperiksaan yang telah dilalui. Itu tidak termasuk ujian dan kuiz. Dan... sebanyak itu kita telah terdera!

Di antara peperiksaan yang datang dan pergi, bagi saya peperiksaan SPM lah merupakan peperiksaan yang berhantu. Ia telah menghantui kehidupan saya di masa lalu, dan kadang-kadang ketakutan dulu masih datang dalam mimpi-mimpi. Apabila terjaga, saya sering berkata,"Syukurlah ia sudah lama berlalu".  Aduhai SPM oh SPM, ketahuilah... keputusan SPM seperti cap mohor yang tercatat di dahi untuk sepanjang hayat. Apabila memohon pekerjaan, SPM masih dinilai walaupun sudah mempunyai PhD!

Kerap kali, saya merasakan peperiksaan itu adalah satu cabang kekejaman. Itulah persepsi yang ada. Terasa, jika ada kuasa, saya akan menghapuskan segala jenis peperiksaan yang ada.

Cuma, sejak Gem 4 mengharungi UPSR dan Gem 5 sedang mengharungi PMR, tiba-tiba persepsi saya terhadap peperiksaan telah berubah. Kerana kegentaran terhadap peperiksaan itu, anak-anak mula mendekati Allah pada kadar yang luar biasa. Bacaan surah Yasin sering terdengar di telinga. Malah rajin pulak solat hajatnya. Pada ketika-ketika waktu mustajab doa, mereka terkumat kamit menyuarakan impian dan pengharapan. Sebelum peperiksaan bermula pula, di sana-sini, ada majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat. Ia dianjurkan oleh pelbagai pihak: individu, komuniti, sekolah, dan ada juga di peringkat negeri. Dan ketika peperiksaan PMR sedang berjalan, pihak sekolah pula mengadakan majlis bacaan Yasin, Solat Dhuha dan Hajat di surau sekolah pada setiap hari peperiksaan. Ia dihadiri oleh guru-guru dan ibu bapa. Suasananya bukan sahaja syahdu, malah ia membawa rasa kehambaan bahawa selepas berusaha, maka hanya Allah lah tempat meminta segala bentuk kejayaan. Dialah pemilik mutlaknya. Dia berkuasa memberi kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya. Maka, padaNya lah, masing-masing berdoa penuh sendu, merintih dan meminta-minta.

Dan ketika ini, persepsi saya terhadap kezaliman peperiksaan sudah berubah. Apabila dikenang pada ranjau sepanjang jalan, maka saya patut bersyukur pada semua jenis peperiksaan yang telah menjadi sejarah. Kerana, dengan adanya semua jenis peperiksaan itu, saya masih ingat kesyahduan merayu-rayu dan meminta-minta kejayaan demi kejayaan pada Allah. Pada ketika diri terasa terlalu daif dan lemah, tidak berupaya mengingat dan berfikir, saya akan bersungguh-sungguh memujaNya. Secara tidak disedari, setiap langkah ke kelas menjadi hitungan tasbih, setiap sedar dan jaga, mulut terkumat-kamit berdoa. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini, yang sering terleka setelah diberi kejayaan yang diminta. Ya Allah, nikmatMu yang manakah, yang telah aku dustakan?

Akhirnya, saya bertanya kepada diri sendiri,"Apakah aku akan memuja Tuhanku seperti itu jika aku tidak menghadapi peperiksaan yang berkala itu?" Barangkali, jika direkod dan digrafkan, pada ketika menghadapi saat-saat peperiksaan itu, kadar pemujaan aku kepada Allah meningkat tinggi. Dan kadar itu menurun bersama lenyapnya musim peperiksaan. Sungguh, aku termasuk di dalam golongan yang sombong dan lalai.

Kini, persepsiku terhadap peperiksaan mula berubah. Dari satu sudut peperiksaan memang  dilihat kejam. Di sudut yang lain pula, ia membuka seluas peluang untuk pendekatan hubungan di antara seorang hamba dengan Tuhannya!

2 comments:

N N said...

sangat memberi inspirasi
Alhamdullilah :)

Anonymous said...

NN,
Terima kasih.....