Wednesday, 21 March 2012

Debaran Keputusan SPM

Semalam, tanggal 21/03/2012 ialah hari keputusan SPM 2011 diumumkan. Tarikh yang sangat mendebarkan seolah-olah ia seperti menunggu keputusan untuk diri sendiri. Maka semalam, secara brutal saya bertekad untuk menghadirkan diri ke Sekolah Perempuan St. Goerge di Penang. Kenapa perlu secara brutal, tidak bolehkah berhemah?  Kerana pertama kali saya berhemah, ia dibalas dengan satu rekod buruk yang telah disimpan untuk sepanjang tempoh perkhidmatan. Maka, hanya seseorang yang gila akan membuat permohonan sebegitu untuk kali kedua.

Seawal pukul 4 pagi - saya, Gem 1 dan Gem 7 (yang lain ditinggalkan untuk diurus oleh babysitter istimewa kami - Ajun), kami meredah kepekatan pagi menuju ke Universiti Teknologi Petronas. Perjalanan ke UTP diganggu dengan kereta kami yang secara tiba-tiba melanggar satu bumper kereta yang terjatuh dan tersadai di tengah jalan. Pelanggaran yang kuat menyebab sedikit kerosakan kecil dan beberapa kali perjalanan perlu dihentikan. Akhirnya, Gem 3 selamat bersama kami untuk menuju ke destinasi. Perut rasa seperti berkeroncong, tapi masa tidak mengizinkan. Kami perlu berada di sana pukul 10 pagi. Jangkaan masa tiba pada alat GPS telah melampaui pukul 10 pagi.

Sepanjang perjalanan hanya sesekali kami berkata-kata. Dan kadang-kadang tersenyum-senyum pada pelbagai telatah pemanggil di Sinar FM yang berkisar tentang tajuk "Pengalaman Semasa SPM". Sambil membilang-bilang kilometer yang perlu di lalui lagi, fikiran saya asyik melayang pada rentetan peristiwa yang berlaku sebelum dan semasa Gem 3 menjalani peperiksaan SPM itu. Ia satu perjalanan yang diuji berulang kali.

Isu pertama, kira-kira sebulan dua sebelum peperiksaan SPM, ketika jam sudah melewati pukul 12 tengah malam, tiba-tiba telefon berdering nyaring. Saya cepat-cepat menjawab dengan hati yang sangat berdebar. Di hujung talian terdengar tangisan Gem 3 yang bersungguh-sungguh sambil berkata-kata yang saya tidak dapat menangkap butir percakapannya. Berderau darah dibuatnya. Di fikiran saya sudah tergambar yang buruk-buruk - sakitkah, dianiayakah, kemalangankah? Selepas beberapa ketika dapatlah mendengar percakapan Gem 3 yang agak jelas "I don't want to stay here anymore... I don't like here". "Where are you now?", tanya saya cemas. "I'm at surau". "With whom?", tanya saya lagi. "Alone", jawab Gem 3 masih menangis. "Hah! Alone at Surau? Ohhh... it's really dangerous... go back to your room first, nowwww!", kata saya hampir menjerit. Kerana saya terbayang jarak surau yang sudah jauh dari biliknya, keseorangan di situ pada waktu lewat tengah malam?????? Dan isu yang berkait kisah itu berterusan ...

Isu kedua, isu Gem 3 sakit di hari pertama SPM. Ia umpama kaki terkehel di dalam perlumbaan lari yang baru ditiup wisel untuk dimulakan. Kisahnya tercatat di dalam entri Redha! Kami bergegas ke penang menghantar ubat di tengah malam buta, meredah hujan yang amat lebat.

Isu ketiga, Gem 3 menalipon selepas mengambil subjek ICT, subjek yang diharapkan sangat untuk cemerlang. Tapi yang tersurat ketika menjawab itu tidak begitu. Dengan nada yang sedih dia memberitahu dia mampu untuk menjawab soalan yang susah, tapi tidak yang mudah!

Isu keempat, cerita tentang subjek Sejarah. Lain yang dibaca dan dilatih, lain pula yang keluarnya yang selari dengan nada 1Malaysia.

Isu kelima, subjek Kimia dan Fizik yang sememangnya selalu menyesakkan fikiran. Jika tidak di dalam kategori gagal, ia di dalam kategori nyawa-nyawa ikan. Selepas peperiksaan, jika ditanya "How's your exams for Chem and Physics?". Ia dijawab dengan mimik muka kecewa.

Jadi, apakah harapan yang tinggal? Ia bukan cerita untuk kejayaan yang gilang-gemilang. Penyudahan bagi usaha yang gigih masih kabur dan kelam. Lalu, kami pasrah mengharap belas kasihan Tuhan.

Setiba di sana, acara pengumuman baru hendak dimulakan. Gem 3 tidak termasuk di antara nama-nama yang dipanggil. Acara seterusnya ialah pelajar-pelajar beratur mengadap guru kelas. Gem 3 agak terkebelakang. Terasa sungguh lambat untuk tiba ke gilirannya. Saya dan Gem 1 antara takut-takut menghampiri ke lokasi mereka. Kami cuma berdiam diri, yang berjalan liar cuma pandangan. Dan saya tidak tahu apa yang hendak diharap, melainkan bersedia untuk redha dengan ketentuanNya. Dan tiba-tiba, anak rakan sekerja yang berada selang beberapa pelajar di depan Gem 3 sudah berlari mendapatkan ibu bapanya dengan kegirangan. Pasti keputusannya mengembirakan. Gem 3 pula bagaimana? ?????

Apabila tiba giliran Gem 3, Cikgu terus mengucap tahniah. Saya berlari ke belakang gurunya sambil kalut bertanya kenapa. Lalu, gurunya berkata,"Dia cuma satu saja B+, yang lain semua A"? Betulkah .. betulkah? berkali-kali saya bertanya. Tiba-tiba, Gem 3 berkata,"Ini bukan result saya!". Ya Allah, saya sudah tidak tahu berkata apa-apa. Rupa-rupanya keputusan Gem 3 memang begitu. Tapi biarpun bilangan A nya 9, tapi ia bercampur-campur antara A+, A dan A-. Ya Allah... menggigil kami semua dibuatnya. Sambil menyebut Ya Allah.. saya terus memeluk dan mencium gurunya bertalu-talu. Masing-masing berlinangan air mata. Lalu, saya mendapatkan rakan sekerja. Rupa-rupanya anak-anak kami mendapat bilangan A yang serupa dan bilangan B+ yang serupa. Cuma Gem 3, apa B+ nya...... = BM! Ketika itu tidak kisah lagi apa simbol di hadapan A. Ianya sudah bertukar menjadi keajaiban, rahmat besar dari Tuhan untuk hamba-hambanya yang serba kekurangan. Apa yang terjadi selepas itu umpama mimpi. Keadaan tenggelam timbul antara tidak percaya dan kegembiraan!

Untuk Gem 3,
Ingatlah.... ini nikmat Tuhan yang jangan didustakan dengan mungkar dan engkar. Barangkali rahmat selepas melepasi satu demi satu ujian yang bertimpa.

Alhamdullillah.. akhirnya.. kesudahan yang kelam itu rupa-rupanya ada sinar pelangi!


Sunday, 18 March 2012

Ha! - Sempadan Derhaka Ibu Bapa

Ha! Satu perkataan yang sangat mudah disebut. Pun, begitu ia tercatit di dalam Al-Quran untuk dingati.

Surah Al-Isra
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (23) 
 
Maka, apa lagi jika berani untuk membebel-bebel pada kedua orang tua. Tidak takutkah kita pada azab Tuhan?

Atau,

Seorang anak tidak langsung ambil peduli makan minum atau sakit demam ibu bapanya. Bagaimana? Aduhai.. sesekali ditemukan Tuhan dengan cerita-cerita kehidupan, alangkah sedihnya apabila seorang tua berkata-kata dalam sendu,"Jika aku mengharapkan anak-anak lelakiku, maka aku akan mati kebuluran!" Barangkali, perasaannya sangat kecewa. Anak-anak yang ditatang ketika kecil dan remaja, apabila dewasa dan tua, menjadi tidak berguna.

Takutlah azab Tuhan. Sesungguhnya hidup ini seperti roda.

Tuesday, 6 March 2012

Ke Melaka

Pada 2/3/2012 hingga 4/3/2012 ada urusan di Melaka. Kesempatan ini digunakan untuk bersantai-santai sebelum kelas bermula. Sempat ke Menara Taming Sari, cruise di Sungai Melaka dan melawat zoo. Lama benar tidak ke sana. Sangat memuaskan dengan tempat dan suasana.



Malam terakhir, teringin untuk menziarah Cahaya dan Izan. Tapi, ketika menghubungi Laily untuk mendapatkan nombor talipon mereka, Laily baru pulang daripada hospital dengan diduga sakit yang mengejut dan kritikal. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk ke Johor pula untuk menziarah Laily sekeluarga. Sebelum perjalanan, kami telah menghadkan akan berada di sana sejam sahaja. Bila sampai, lain pula jadinya. Bersembang seakan tidak mahu berhenti. Tambah pula, Izanpun ada di sana. Alahai.. sahabat lama, mesranya tidak hilang!

Untuk sahabat-sahabat yang sedang diuji,
Moga Allah memudahkan semua urusan.