Monday, 14 November 2011

Redha!

Semalam hari pertama Gem 3 menghadapi peperiksaan SPM. Bukan Gem 3 sahaja yang berdebar barangkali, kami sekeluarga serta Tok juga berdebar-debar. Jika boleh, ingin bercuti dan berada di rumah. Malangnya, keperluan kerja tidak membenarkan cuti diambil sewenang-wenangnya ketika semester sedang berjalan. Tindakan tegas akan diambil! Maka, jauh di sudut hati sentiasa berdoa, moga Allah mudahkan kehidupan Gem 3.

Ketika waktu tengahari, Gem 3 dihubungi. Tanya saya, "How's your exam". Jawab Gem 3 ringkas,"Alien". Meniru kelakuan Gem 7 apabila ditanya soalan tentang persekolahannya! 

Ketika saya berkira-kira untuk pulang, tiba-tiba Gem 3 membuat panggilan dengan suara tenggelam timbul. Sambil memasang telinga untuk mendengar butir kata, saya cuma dapat menangkap perkataan seperti .."I could not concentrate ... windy ... vomit ... paper 2 BM". Suaranya sebak dan tersekat-sekat. Lalu, jawab saya, "I'll call you later. I'm driving". Berita yang didengar itu amat-amat mengganggu. Saya dapat rasakan kekecewaan Gem 3 setelah berhempas pulas bersedia, tiba-tiba datang musibah sakit yang tidak diduga pada waktu yang paling kritikal dalam hidupnya. Bisikan jahat mula meracuni fikiran saya ketika itu . .. lalu .. bertanya-tanya seperti "Kenapa sekarang???!" atau "Jikalah diketahui lebih awal.... bolehlah diikhtiarkan ubatnya". Lalu, cepat-cepat saya katakan pada hati yang hampir diracuni, "Redha! Redhalah dengan ketentuan Tuhan".

Ketika hati mula tenang, saya menghubungi semula Gem 3. Saya katakan padanya,"Forget about the past. Think about the future. Don't be sad!". Tapi saya juga sebenarnya bersedih! Jika berkuasa, saya ingin mengulang semula masa. Tiba-tiba terlintas kata-kata pujukan di fikiran, kenapa perlu bersedih, berprasangka baiklah pada Tuhan. Barangkali jawapan Gem 3 semasa sakit lebih baik dari ketika sihat. Saya memujuk hati. dan hati menjadi tenang. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya berkata-kata,"Redhalah".

Sesampai di rumah, saya ceritakan pada Gem 1. Kami berfikir-fikir beberapa alternatif. Perlukah kami meminta jasa baik keluarga terdekat untuk membawa Gem 3 ke klinik? Atau kamikah yang perlu bergegas ke sana? Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk pergi sendiri. Kami singgah sebentar ke Klinik Al-Hikmah. Apabila nama Gem 3 dipanggil, kami berdua yang masuk. Lalu, kami ceritakan masalahnya kepada Dr Syed. Ayat pertama yang keluar dari mulut doktor itu ialah,"Berdoalah banyak-banyak, mungkin jawapan dia ketika sakit itu lebih baik". Bukankah itu juga yang saya fikirkan tadi?

Selesai di klinik, jam sudah menunjukkan 6.40 petang. Maghrib sudah hampir benar. Awan-awan berkumpul gelap. Nampaknya hari akan hujan sebentar lagi. Hujan lebat di lebuh raya bukan sesuatu yang mudah. Memandangkan kami perlu tiba sebelum Gem 3 masuk tidur, kami meneruskan juga perjalanan. Sebaik tiba di Rawang, hujan turun dengan lebatnya. Dan hujan di Sungkai menjadi amat lebat. Beberapa kali saya meminta Gem 1 berhenti saja di perhentian yang hampir. Perjalanan amat merisaukan. "Ya Allah, selamatkan lah kami", kata saya tidak henti-henti. Sesekali datang pertanyaan, apakah hikmahnya Allah membawa kami ke sini pada waktu yang tragis ini - musafir di lebuh raya di tengah-tengah hujan yang amat lebat! Tiba-tiba saya tersedar ada dua perkataan di situ - musafir dan hujan lebat. Bukankah kedua-duanya adalah waktu mustajab untuk berdoa? Ketika itu, sambil mulut terkumat-kamit, saya bertanya pada diri sendiri - "Hey.. pernahkah saya bersyukur kerana bermastautin di bahagian bumi yang bernama Khatulistiwa??? Bukankah Allah sering merahmati kita dengan hujan-hujan yang lebat, waktu mujarab untuk meminta-minta doa?" Sungguh... aku termasuk di dalam golongan manusia yang alpa!

Sesampai di sana, kami menghampiri pintu pagar. Ketika Gem 1 keluar untuk meminta izin untuk ke perkarangan asrama, ada sebuah kereta lain juga berhenti di beakang kereta kami. Sebaik saya berkata, " Ha.. tengok tu.. ada juga ibu bapa yang serupa kita - melawat anak di tengah malam buta", kami disapa oleh Adi, anak saudara yang menetap di Penang. Dalam perjalanan beliau menguruskan kerja, beliau terlihat libasan kereta kami dan terus beliau mengejar kami untuk mengesahkan. Beliau terus mengajak kami ke rumah beliau dan menjamu pula. Ya Allah... ini bukan satu kebetulan. Allah telah mengatur perancangan yang sebegitu rupa.  Dalam ramai-ramai manusia di Penang, pada waktu malam buta, kehadiran kami disambut oleh keluarga sendiri dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Agenda seterusnya berjalan lancar sehingga kami pulang semula ke Shah Alam pada malam yang sama. Satu pengajaran yang amat bernilai yang dapat dirasai ialah REDHA dengan ujian Tuhan yang tidak terduga. Dengan REDHA, Allah memberi jalan keluar di luar jangkaan minda!

6 comments:

Anonymous said...

salam,
kak semua dugaan dilihat indah dan ditempuhi dengan sabar jika diri sentiasa redha dan sedar semuanya perancangan Allah...

Semoga GEM 3 berjaya..amin

Farah Sharif

Anonymous said...

Farah,

Terima kasih.

Sevendrops

zafwah said...

insyaallah success utk kak long..

Anonymous said...

Farah Zafwah,

Thank you...

sevendrops

kak cahaya said...

benar....mungkin yg kita tak suka adalah lebih baik utk kita...sesungguhnya Allah lebih mengetahui...
moga memperoleh kejayaan..aminn

Anonymous said...

Cahaya,

Terima kasih...

sevendrops