Tuesday, 22 May 2012

23 Tahun Lalu

23 tahun lalu saya menghadiri temuduga peringkat kedua untuk menjawat jawatan sekarang. Seingat saya, ianya satu sesi temuduga bersama 5-6 orang panel. Dalam sesi sekitar 30 minit itu, banyak soalan yang ditanya. Satu soalan yang masih kekal dalam kotak ingatan ialah soalan cepumas daripada Dekan fakulti ketika ini. Apa soalannya? Katanya, cuba anda terangkan apakah kaitan bidang sains komputer dengan ketuhanan atau Islam. Tersentak sungguh saya ketika itu. Tidak pernah terlintas soalan seperti itu akan ditanya. Badan terasa berpeluh-peluh biarpun penghawa dingin sangat menyejukkan. Apa yang saya akan perkata? Saya tiada hujah. Habislah saya kali ini, keluh saya di dalam hati.

Saat itu seperti mengulang semula sejarah silam ketika saya memilih untuk ke New York, menyambung pelajaran di dalam bidang sains komputer. Kebetulan, rakan sekampung yang paling karib akan bertolak pada waktu yang sama ke Morocco untuk menyambung pengajian Bahasa Arab. Beza bidang antara dua sahabat karib ini bagai langit dengan bumi. Ketika itu, pilihan saya seperti mendapat bisikan sinis dari orang keliling. Pilihan saya nampak sangat tentang keduniaan dan sekular. Apatah lagi, bumi Amerika bukanlah menjadi idola. Namun, ketika bisikan-bisikan itu datang, saya tetap diam walaupun hati meyimpan pelbagai rasa, kerana saya tiada hujah untuk membalas. Apa ada kena mengena sains komputer dan agama?

Berbalik ke sesi temuduga tadi, ketika tercungap-cungap mencari kata, akhirnya, saya teringat satu kisah ketika di semester kedua pengajian. Yang mana, saya perlu menyudahkan tugasan bahasa Pascal, iaitu bahasa untuk memberi arahan kepada sistem komputer. Ketika semua rakan sekuliah berjaya menyudahkan tugasan tersebut, tugasan saya masih tersangkut. Minta pertolongan kepada kawan, kawan-kawanpun tidak mampu menolong. Minta bantuan pensyarah, pensyarah-pensyarahpun tidak mampu menolong. Ini sangat menimbulkan kehairanan. Sehingga, pensyarah terpaksa pula menghubungi bantuan pakar dari Singapore (pembekal sistem komputer tersebut). Dua hari kemudian, pakar memberi maklum balas, tugasan saya 'tiada satu titik dihujung satu ayat'! Lalu,saya katakan kepada Dekan di dalam sesi temuduga tersebut, bahawa peristiwa itu membuat saya berfikir, barangkali ada doa-doa saya yang tidak dimakbulkan dari hari ke bulan, bulan ke tahun, mungkin kerana ada titik-titik dosa yang menghalang. Saya lihat, Dekan mengangguk-ngangguk. Entahlah, saya tidak pasti betul atau tidak dengan soalan yang ditanya. Yang pasti, saya sudah berjaya menjawat jawatan yang dipohon tersebut.

Biarpun soalan Dekan itu nampak kecil, ia bagai pesanan yang terngiang-ngiang di telinga. Dalam dunia kerja saya yang kelihatan sekular ini, saya perlu mencari hubungannya dengan ketuhanan. Ia tidak mudah, kerana ia sangat halus. Dan, pencarian unsur-unsur ketuhanan itupun bermula sejak itu.

Kini, selepas 23 tahun berlalu, apabila buku 'A Priceless Princess' berada di pasaran, saya ingin membelinya sendiri. Buku yang satu itu, saya akan hadiahkan pada Dekan tersebut sebagai tanda penghargaan kerana mengingatkan saya yang alpa dan tidak peka. Unsur-unsur yang saya temui sepanjang jalan kerjaya ini, saya bukukan dalam bentuk pernyataan pesanan untuk seorang anak perempuan di alaf dunia digital. Sungguh, bahawa biar apapun bidang yang diceburi, lihatlah dengan mata hati, kita akan menyaksikan kehebatan Allah, iaitu Tuhanku dan Tuhanmu.

No comments: