Wednesday, 29 August 2012

Pengumuman Tentang "A Priceless Princess"

Hari ini mendapat berita sedih. Buku "A Priceless Princess" tidak akan berada di pasaran tempatan. Baru-baru ini satu rundingan telah diadakan dengan sebuah syarikat tempatan X. Malangnya, urusan itu melibatkan kadar pertukaran wang antarabangsa, maka ia menjadi mahal untuk diterbitkan semula dalam bentuk terjemahan. Maka, dengan itu urusan tempahan saudara mara dan rakan-rakan sekerja yang telah diterima DIBATALKAN.

"A Priceless Princess" hanya dapat dibeli melalui Amazon.co.uk dan Amazon.com.

Terima kasih di atas kesudian menempah.


Monday, 27 August 2012

Raya... Raya...

Raya kali ini meriah dengan cara yang tersendiri. Paling meriah untuk Gem 7 yang merayakan puasanya yang lengkap buat pertama kali.

Selesai sembahyang raya, yang lelaki pulang ke rumah dengan segera. Gem 7 paling sibuk melayan kanak-kanak yang datang berkunjung. Kali ini bilangannya agak ramai melebihi kebiasaan. Gem 7 seperti biasa menunggu di depan pintu melelong-lelong kuih raya untuk menarik perhatian kanak-kanak yang lalu-lalang. Dia juga membantu Tok mengedarkan duit raya. Itulah dunianya sehingga kepenatan.

Sebaik pulang dari surau, kami berkunjung ke rumah Mak Long, rakan karib Tok yang telah tua. Kebiasaanya pada hari raya, Mak Long akan keseorangan ditemani lauk pauk, tanpa anak-menantu di sisi. Lalu, kami memeriahkan pagi raya Mak Long sementara menanti anak dan menantunya pulang.

Kemudian, terus pulang ke rumah dan melayani tetamu  yang datang dan pergi. Nampaknya strategi raya kali ini menjadi. Juadah yang disedia sesuai sehingga ke malam. Tahun depan boleh meneruskan lagi!

Pada lewat petangnya kami ke satu destinasi - mengintai bakal keluarga. Hari raya pertama berlalu tanpa ziarah raya seperti tahun-tahun dulu kerana hari sudah senja dan malamnya pula bersama ahli keluarga yang baru pulang.

Hari raya kedua di kediaman Gem 1 bersama keluarga ipar dan biras. Sudah tentu kali ini kali pertama raya tanpa Pak Long. Pada hari berkumpul itulah kami beramai-ramai masak seperti sebuah kenduri dan mengadakan tahlil ringkas. Pekerja-pekerja sangat cekap dan tekun. Masakan terhidang dan sangat menyelerakan.

Acara yang dinanti ialah saling memberi duit raya. Aduhh... gawat apabila saling menanti giliran untuk menghulurkan dan menerima. Setahun sekali berhimpun ia cukup terpahat diingatan.

Akhirnya, kami pulang ke sini semula pada pukul 6.30 petang hari Rabu. Dalam perjalanan yang berensot-ensot, kami berjaya menghantar Gem 3 di UTP sambil makan dan menghilangkan lelah di masjidnya. Tiba di rumah sekitar pukul 6 pagi hari yang berikutnya.

Hari Jumaat mula bekerja dengan keadaan yang sangat lengang. Tiada rakan di pejabat dan tiada bekalan eletrik dan penyaman udara. Tiada bantuan teknikal, akhirnya pulang ke rumah dan menghabiskan sisa-sisa kerja.

Raya diteruskan untuk hari-hari seterusnya. Tapi, ketika pulang tadi tiba-tiba hati berkata, "Ah.. rindunya pada Ramadhan". Kali pertama terasa merinduinya begitu..... dalam saat meriah Syawal baru bermula.

Seperti biasa perkara yang sukar ialah mendapatkan gambar raya yang memuaskan hati dan cantik. Selalu tidak menjadi. Maka inilah sahaja yang ada untuk kenang-kenangan.









Wednesday, 15 August 2012

Maaf Zahir dan Batin

Untuk semua yang sudi mengunjung blog Sevendrops,

SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN

Semoga Hari Raya kali ini menjadi insan lebih bertaqwa daripada Raya tahun lepas.

Sevendrops

Sunday, 12 August 2012

Kadar Menziarah Ibu Bapa

Hari Sabtu lepas sempat bersama dengan Ustaz di Surau Ar-Rayyan untuk Tazkirah Muslimat. Dalam tazkirah tersebut Ustaz ada menyelit tentang kadar kekerapan seseorang anak perlu menziarah ibu bapanya sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Jika tidak disempurnakan, takut-takut tergolong di dalam golongan anak derhaka.

Ziarah Setiap Hari
Sekiranya kediaman kita termasuk di dalam 40 rumah kejiranan (duduk satu bandar / kampung / taman) dengan ibu bapa, kita perlu menziarah ibu bapa SETIAP HARI.

Ziarah Seminggu Sekali
Sekiranya kediaman kita termasuk SEMUKIM (se daerah) dengan ibu bapa, kita perlu menziarah ibu bapa SEMINGGU SEKALI.

Ziarah Sebulan Sekali
Sekiranya kediaman kita termasuk di dalam kawasan KURANG DARI DUA MARHALAH (tidak boleh sembahyang Jamak dan Qasar) dengan kediaman ibu bapa, kita perlu menziarah ibu bapa SEBULAN SEKALI.

Ziarah Setahun 3 kali 
Sekiranya kediaman kita termasuk di dalam kawasan LEBIH DARI DUA MARHALAH (boleh sembahyang Jamak dan Qasar) dengan kediaman ibu bapa, kita perlu menziarah ibu bapa SETAHUN 3 KALI.

Barangkali ia sangat sesuai dikongsi sebagai peringatan tentang tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Tuhan suatu ketika nanti.