Tuesday, 22 January 2013

Sehalus Tulang Ikan

Ketika makan malam pada 21/1/2013, tiba-tiba terasa tulang kecil tertusuk di sempadan anak tekak. Terus terasa tidak selesa. Hendak diluah, tidak keluar. Hendak ditelan, tersangkut. Jika dimasukkan jari, jari dapat merasa tulang itu tertanam di atas. Ditolak, tidak berganjak. Ditarikpun, ia masih di situ. Aduhai...

Lalu, bermacam-macam cara dilakukan. Telan air bersama ketulan nasi. Makan kurma yang tidak dikunyah. Minum air biasa. Minum air Zam-Zam. Ia masih degil tertusuk di situ.

Akhirnya, tulang itu dibawa tidur. Dengan harapan, ia akan hilang ketika bangun nanti. Jika tidak, saya membayangkan perlu ke klinik atau jika tidak ke klinik mungkin ia masih terlekat di situ dan bernanah. Bermacam-macam yang datang difikiran.

Ketika bangun di waktu dinihari, tulang itu masih di situ. Lalu, terdetik di hati untuk berdoa ketika waktu yang diwartakan mustajab doa. Sebaik doa dilafazkan, tulang itupun hilang. Sekelip mata.

Alhamdullillah.

Ia sangat-sangat mengajar untuk diri sendiri yang selalu terlupa bahawa biarpun sekecil-kecil musibah seperti ditusuk oleh tulang yang halus, diri yang lemah sentiasa memerlukan pertolongan Tuhan.

Fenomena Bulan

Semalam (22/1/2013), ketika bersantai-santai, tiba-tiba Gem 5 meluru ke luar rumah. Kemudian, beliau masuk semula sambil berkata, "Look at the moon... look at the moon" dengan kalut sambil berlari ke sana ke mari. Kamipun terpinga-pinga. Apa kena dengan Gem 5 nih! Lalu kami semua keluar rumah dan memandang ke langit. Apa yang kami lihat? Inilah gambarnya (ihsan Google). Tetapi yang realiti, di sekeliling bulan, ia begitu terang benderang sekali. Bulan itu pula ditemani oleh hanya sebutir bintang yang berkelip-kelip.


Subhanallah! Rasa sangat beruntung dapat menikmati fenomena itu dengan mata kasar. Tapi, kata Gem 1, beliau pernah melihatnya suatu masa dulu. Bila? Tidak tahu! Tapi, bagi ahli keluarga yang lain, itulah kali pertama. Dan ia meremangkan bulu roma.

Tuesday, 1 January 2013

1.1.2013

Janggal menulis tarikh ini. Kerana 2013 baru bermula. Seperti tahun-tahun lepas, ia seperti entri wajib yang perlu dilakarkan. Kerana sorotan hari-hari semalam telah membuktikan, biar ia hanya sebuah angan atau mimpi atau lintasan hati atau keinginan atau impian atau cita-cita atau harapan, ia pasti didengari Allah. Tidak tahu bila ia akan dimakbulkan sebagai suatu kenyataan. Tapi amat rugi jika tidak dipohon.

Ya Allah,
Limpahilah RahmatMu pada kami,
Berilah Kejayaan pada kami di dunia dan di akhirat.
Ampunilah dosa-dosa kami,
Jauhkan kami dari segala mara bahaya.

Ya Allah,
Pada keinginan yang sejuta,
Kami mohon ia jadi nyata.

Amin.

Untuk rakan maya, ada yang dikenali dan ada yang tidak, ada yang baru dan ada yang lama,
Terima kasih kerana sudi singgah.

Selamat Tahun Baru,
Semoga semua mimpi menjadi nyata.

Sevendrops