Thursday, 28 February 2013

Lambaian Kaabah: Keinginan

Setelah yakin ada yang akan menguruskan hal anak-anak, maka kamipun mengambil keputusan untuk menempah tempat. Tempahan dilakukan agak awal, sebaik musim haji berlalu. Maka, kami boleh memilih tarikh yang sesuai. Sesuai atau tidak, sebenarnya tiada pilihan. Ia mesti dilakukan ketika pelajar-pelajar bercuti. Itu hukum organisasi yang perlu dipenuhi. Ketika membuat tempahan, semuanya belum pasti, terutamanya tentang pangangkutan dan penginapan. Apapun perubahan mesti diterima dengan hati yang terbuka. 

Setelah menempah, hatipun berbunga-bunga dengan perancangan. Harapan kami semoga kedatangan kami nanti hanya semata-mata keranaNya. Dalam bait-bait doa, disisipkan keinginan bahawa kami ingin menjadi tetamuNya yang istimewa. 

Ketika bersedia, tips pun dicari dan dibaca. Antara tips yang ada, saya suka membaca tips yang diberi oleh Prof. Kamil. Kenapa? Kerana ia cerita orang biasa-biasa yang ingin menjadi luar biasa di sisi Tuhan. Keinginan di hati sangat tinggi. Sehingga menyusun tentang perkara-perkara halus seperti pukul berapa perlu bangun untuk mencapai jam maksimum di masjid. Perancangan sentiasa bermain di fikiran. Ia membentuk objektif-objektif kukuh yang ingin dicapai.

Kami sering juga dihubungi oleh syarikat yang dipilih. Salah satu perkara yang dimaklumkan ialah hotel penginapan yang dipilih tidak dapat dipenuhi. Bilik biasa sudah penuh. Jika kami inginkan juga hotel berkenaan, bayaran sebanyak X perlu ditambah. Istimewanya ialah bilik yang akan diberi dapat melihat Masjidil Haram. Kata pihak syarikat lagi, jika kami tambah bayaran sebanyak 3X, kami akan mendapat bilik yang lebih istimewa iaitu dapat melihat Kaabah. Setelah difikir-fikirkan, kami hanya mampu untuk menambah perbelanjaan sebanyak X untuk setiap seorang. Cukuplah sebanyak itu untuk merebut hotel yang sangat hampir dengan perkarangan Masjidil Haram. Mudah-mudahan, dengan hotel yang hampir, kami dapat berlama-lama di masjid. Itu objektif utama.

Pun begitu, ketika menyatakan keputusan terakhir kepada pihak syarikat, saya sempat juga berkata-kata kepada Gem 1,"Walaupun kita bayar untuk bilik berhadapan dengan Masjidil Haram sahaja, saya masih berharap ketika kita sampai di sana, tidak kira atas alasan apa, kita diberi bilik yang berhadapan dengan Kaabah". Kata saya lagi, "Saya mengharapkan keajaiban berlaku dengan izin Allah". Dan doa dititip berterusan. "Ya Allah jemputlah kami ke RumahMu dan kami sangat ingin menjadi tetamuMu yang istimewa".

Lambaian Kaabah: Mencari Calon X

Panggilan Kaabah melambai-lambai tidak tersambut. Tahun demi tahun terhalang atas alasan yang sama iaitu mencari calon X untuk menjaga anak-anak ketika di sana. Ketika anak-anak kecil, calon X tidak dijumpai. Kriteria pencarian agak ketat kerana kebanyakan anak-anak mengalami alahan yang tidak diketahui puncanya. Kerapkali mereka terpaksa dimasukkan ke hospital tanpa mengira waktu. Maka, calon X yang mampu mengendalikannya sukar ditemui.


Tahun terus berlalu, pencarian calon X masih diteruskan. Ia tentang mencari calon penjaga yang sudi dan mampu. Ada yang mampu tetapi tidak sudi. Ada yang sudi tetapi tidak mampu. Contohnya, Mak. Mak sangat-sangat sudi ingin membantu. Tutur katanya amat ceria ketika menyatakan kesanggupannya. Tetapi, hakikatnya sudah diketahui, Mak tidak mampu. Mak hilang sepenuhnya sebelah penglihatan dan hanya mempunyai 10% penglihatan pada sebelah mata yang tinggal. Mak juga perlu dipapah untuk ke sana-sini. Namun, kesudiannya sudah cukup membuktikan, kasih seorang ibu berpanjangan sehingga ke anak cucu. Tidak ada kasih seumpamanya yang boleh dicari.

Dalam mencari-cari calon X, ada beberapa insiden yang ingin dikenang selamanya. Contohnya, seorang rakan sekerja yang berkali-kali menyatakan hasratnya yang sudi untuk menguruskan hal-hal persekolahan anak-anak. Tetapi, hakikatnya, beliau tinggal di perumahan yang berbeza dan mempunyai anak-anak yang perlu dihantar ke destinasi yang berbeza. Maka, kesudiannya akan tersisip di dalam ingatan. Ada pula rakan lama yang menyatakan kesudiannya untuk meminjamkan pembantu rumahnya yang setia selama yang diperlukan. Hakikatnya, beliau juga kesempitan dalam menguruskan anak-anaknya berseorangan. Namun, kesudian itu juga ingin dikenang.

Akhirnya, kami menemui calon X, yang sudi dan mampu. Terima kasih calon X. Kami mendoakan anda juga akan dimudahkan urusan untuk ke sana sebagaimana anda telah memudahkan urusan hidup kami!

Setelah sekian lama ternanti-nanti... akhirnya, kami mampu menyahut lambaian Kaabah itu.