Panggilan Kaabah melambai-lambai tidak tersambut. Tahun demi tahun terhalang atas alasan yang sama iaitu mencari calon X untuk menjaga anak-anak ketika di sana. Ketika anak-anak kecil, calon X tidak dijumpai. Kriteria pencarian agak ketat kerana kebanyakan anak-anak mengalami alahan yang tidak diketahui puncanya. Kerapkali mereka terpaksa dimasukkan ke hospital tanpa mengira waktu. Maka, calon X yang mampu mengendalikannya sukar ditemui.
Tahun terus berlalu, pencarian calon X masih diteruskan. Ia tentang mencari calon penjaga yang sudi dan mampu. Ada yang mampu tetapi tidak sudi. Ada yang sudi tetapi tidak mampu. Contohnya, Mak. Mak sangat-sangat sudi ingin membantu. Tutur katanya amat ceria ketika menyatakan kesanggupannya. Tetapi, hakikatnya sudah diketahui, Mak tidak mampu. Mak hilang sepenuhnya sebelah penglihatan dan hanya mempunyai 10% penglihatan pada sebelah mata yang tinggal. Mak juga perlu dipapah untuk ke sana-sini. Namun, kesudiannya sudah cukup membuktikan, kasih seorang ibu berpanjangan sehingga ke anak cucu. Tidak ada kasih seumpamanya yang boleh dicari.
Dalam mencari-cari calon X, ada beberapa insiden yang ingin dikenang selamanya. Contohnya, seorang rakan sekerja yang berkali-kali menyatakan hasratnya yang sudi untuk menguruskan hal-hal persekolahan anak-anak. Tetapi, hakikatnya, beliau tinggal di perumahan yang berbeza dan mempunyai anak-anak yang perlu dihantar ke destinasi yang berbeza. Maka, kesudiannya akan tersisip di dalam ingatan. Ada pula rakan lama yang menyatakan kesudiannya untuk meminjamkan pembantu rumahnya yang setia selama yang diperlukan. Hakikatnya, beliau juga kesempitan dalam menguruskan anak-anaknya berseorangan. Namun, kesudian itu juga ingin dikenang.
Akhirnya, kami menemui calon X, yang sudi dan mampu. Terima kasih calon X. Kami mendoakan anda juga akan dimudahkan urusan untuk ke sana sebagaimana anda telah memudahkan urusan hidup kami!
Setelah sekian lama ternanti-nanti... akhirnya, kami mampu menyahut lambaian Kaabah itu.
No comments:
Post a Comment