Sunday, 23 March 2014

Tahniah Gem 4!

Pada 20/3/2014 kami bertiga bertolak ke Kota Baru dengan penerbangan paling awal dan pulang dengan penerbangan paling akhir. Tujuannya cuma satu, untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM Gem 4.

Kami tiba ketika masih pagi. Sempat bersantai-santai sarapan pagi dengan Serati. Kemudian, menghala ke masjid yang berdekatan kerana masih awal untuk ke sekolah. Ketika jam menunjukkan pukul 9.00 pagi, kami beredar ke MRSM Pengkalan Chepa. Di situ, kami menunggu agak lama.

Setelah menunggu, tiba-tiba mendapat signal untuk mengambil keputusan. Majlisnya sangat ringkas. Pelajar-pelajar terus beratur mengambil keputusan dan pulang. Tiada majlis penyampaian pelajar-pelajar cemerlang atau yang seumpamanya. 

Untuk SPM kali ini, debaran tidaklah terasa sangat. Kerana Gem 4 sudahpun memulakan pengajiannya berdasarkan keputusan peperiksaan percubaaan. Setelah berbaris agak lama, akhirnya Gem 4 diberi slip keputusan.  Alhamdullillah. Ia di luar jangkaan, apatah lagi pada hari-hari permulaan peperiksaan SPM, Gem 4 disyaki demam campak. Menghadapi peperiksaan di dalam keadaan tidak selesa.  Namun, di sebalik kesukaran, Allah memberi kejayaan dan kesenangan. Satu pengajaran yang amat berguna, mintalah pada Allah sebanyak-banyaknya. Sungguh, dia Maha Pemberi.

Thursday, 13 March 2014

Kemarau, Jerebu dan MH370

Ini kali pertama menghadapi kemarau yang panjang di bandaraya ini. Ia luar biasa kerana kedudukannya di garis Khatulistiwa tidak mempunyai ciri-ciri itu. Kebiasaannya, biarpun musim panas, pasti akan juga hujan biarpun hanya sekali seminggu. Tapi, kali ini seperti hujan tidak sudi turun. Inilah kali pertama menyertai Solat Istisqa' untuk memohon dari Tuhan yang Mencipta. Sekitar 1000 orang meyertainya untuk kali petama. Berkumpul di bawah mentari terik dan berbaris di atas jalan raya. Ramai yang teresak-esak mendengar khutbahnya. Barangkali, masing-masing sebak memikirkan dosa-dosa yang menahan dari Rahmat Tuhan. Hari ini masih kemarau. Dua hari yang lepas terkena catuan air. Bilakah ia akan berakhir? Tidak tahu. Awanpun kadang-kadang tidak kelihatan lagi, menjadikan ia satu objek yang dirindu.

Tidak habis dengan kemarau, jerebu pula melanda. Pandangan kabur. Sana-sini ada kebakaran. Kadang-kala ia sangat hampir.

Tidak habis jerebu, kapal terbang pula hilang. Tidak tahu di mana dan kenapa. Heboh serata dunia melihat kekecohan kita menangani krisis yang datang tiba-tiba. Banyak pandangan yang bercanggah. Ramai yang ingin menjadi pakar penyiasat dan ingin pula meramal itu dan ini. Ia datang dari pelbagai peringkat. Ada kala pandangan menampakkan kebijaksaan si pembicara. Ada kalanya kelihatan seperti si pembicara memiliki kebodohan yang sangat ketara. Gusar melihatkan segalanya. Akurlah.. bahawa kita lemah dalam pelbagai perkara. Seperti kurang benar bijak pandai untuk mengurus negara yang sepatutnya kaya raya dan maju jaya. Benarkah begitu? Lihatlah dengan mata hati dan pemikiran yang terbuka. 

Jauh disudut hati seolah-olah membayangkan saat kiamat yang digambarkan... asap yang berkepol-kepol dan fitnah yang berleluasa. Tidak tahu yang mana satu maklumat benar atau palsu. Semuanya tersebar tanpa sekatan dan kita dibelenggu dengan perkiraan benar atau palsu. Perkara syirik dan khurafat dipertontonkan secara besar-besaran dan menguji keimanan.

Ya Allah bantulah kami dengan RahmatMu. Kuatkan iman kami ketika kami semua diuji.

Tuesday, 4 March 2014

Kadang-kadang Kita Lupa

Kadang-kadang kita lupa
Bahawa kita bekerja ada upahnya
Upahnya pada tanggungjawabnya
Sudahkah dipenuhi?
Satu per satu
Atau selalu saja mencari alasan untuk ambil yang mudah dan tinggalkan yang susah
Kerana kita boleh memilih