Wednesday, 23 April 2014

PhD - Perjalanan yang Sukar

Dulu-dulu tidak ramai yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Malah ia sangat menakutkan. Tidak hairanlah ia disangkutkan dengan bermacam-macam stigma negatif. Ada pula yang mendakwa individu yang menyambung pelajaran ke peringkat PhD boleh terjebak dengan penyakit mental dan perasaan hasad dengki. Entah kenapa jadi begitu. 

11 tahun dulu kebosanan menghadapi rutin kerja yang sama menghambat saya menyambung pengajian ke peringkat itu. Sudah tentu ia satu perjalanan yang menakutkan. Apatah lagi ketika mengambil keputusan untuk ke luar negara. Kereta dijual. Rumah dikosongkan. Seluruh keluarga dibawa bersama berhijrah dan berdepan dengan seribu kemungkinan. Yang ada cuma kecekalan dan semangat untuk sedia  berdepan.Tiba di sana, saya kira penyakit mental dan dengki cuma omongan sahaja. Saya lah yang paling tua di dalam bilik penyelidikan itu. Pelajar tempatan muda-muda belaka. Ada yang hanya berusia 23 tahun! Mereka tidak pula gila. Tidak pula hidup dalam kedengkian.

Kini, perspektif negatif terhadap pengajian PhD berkurangan. Ramai sudah anak-anak muda dan golongan tua berlumba-lumba untuk turut serta. Ramai yang berjaya. Ramai juga yang kecundang. Dari pemerhatian saya, untuk berjaya ... yang perlu ada ialah semangat dan usaha yang tidak luntur. Yang paling PENTING perlu belajar bekerja SECARA SERENTAK. Menulis dan menyelidik adalah aktiviti harian... BUKAN mingguan, BUKAN bulanan, BUKAN ikut selera dan kesukaan. Maka berkali-kali dingatkan ... Lakukan kerja serentak. Jika sehingga bertahun-tahun tidak boleh mengubah cara hidup, maka tidak tahulah apa yang akan dicapai nanti. Sungguh, perjalanan PhD adalah perjalanan yang sukar. Ia menuntut keupayaan mental dan daya usaha yang tinggi. Ia tidak boleh tamat jika sekadar suka-suka!

Pun begitu, dihujung kejayaan tidak ada gemilau emas dan intan permata. CUMA, satu perkara yang saya sangat hargai ialah hadirnya keupayaan untuk memerhatikan kehebatan alam, berfikir, bertafakur dan sekaligus menyaksikan Kebesaran Tuhan. Sungguh... ia sangat berbaloi selepas merentas segala penat jerih. Cubalah!

Wednesday, 16 April 2014

Aku vs. Grace

Sekitar sebulan lepas, saya dan rakan-rakan berkesempatan bertemu dengan Grace, seorang gadis yang baru memeluk Islam. Sudah beberapa lama saya selalu mengimpikan diberi kesempatan untuk bertemu di kalangan muallaf. Seperti berpuluh tahun dulu saya dan rakan-rakan berkesempatan menemu bual beberapa muallaf sekitar komuniti kecil di Binghamton, USA. Ia satu kenangan yang manis. Entah kenapa saya suka. Barangkali saya melihat kehebatan mereka memilih untuk berada di jalan yang benar. Satu pilihan yang berisiko tinggi. Kenapa? Kerana pilihan itu bererti mereka sanggup berubah. Perubahan yang sangat besar dalam rutin kehidupan dan kepercayaan.

Setiap kali apabila diberi kesempatan.. keinginan bagai meluap-luap untuk bertanya setiap detik yang mereka lalui sehingga mereka berhijrah. Apa yang dirasa? Apa yang terdetik? Kenapa? Kerana mereka bukan kita. Kita sudah tersurat berada di jalan yang lurus. Tidak perlu berjuang kepercayaan. Ia sudah ditanam dan sebati. Sehingga kadang-kadang kita hampir lupa tentang nikmatnya untuk memiliki setitis iman atau menghitung paras iman yang tinggal. 

Maka saya merenung semula saat keislaman seorang aku. Ya aku. Aku sudah Islam hampir separuh abad. Satu jangka waktu yang sangat panjang. Sepanjang itu aku wajib percaya 6 perkara. Percaya bahawa ada 6 rukun iman:  Percaya Allah ada;  Percaya Malaikat ada; Percaya nabi dan rasul ada; Percaya kitab-kitab  ada;  Percaya Hari Kiamat ada. Percaya Qada dan Qadar ada. Sepanjang itu juga aku wajib  melakukan 5 perkara:  Ucap syahadah sepanjang masa; Sembahyang sehari 5 kali; Puasa Ramadhan setahun sekali; Keluarkan zakat setahun sekali danTunaikan haji sekali seumur hidup. Selagi aku dikandung hayat itulah 6 perkara yang akan aku percaya dan itulah 5 perkara yang aku akan aku lakukan. Tapi bila ia bermula? Apa yang aku rasa?

Lalu.. aku merenung jauh ke belakang. Bila aku mula bersembahyang? Aku mula bersembahyang kerana disuruh. Lama baru aku mengenal Tuhan. Sembahyangpun ikut yang mana suka. Pernah aku digelar "Lebai Maghrib". Kerana sembahyang Maghrib sahaja yang dibuat. Waktu itu sahaja Mak dan Ayah perlu dihadap dalam samar lampu pelita. Isyak? Sudah lena keletihan. Sembahyang menjadi rutin perlakuan. Ia selalu benar tidak berkait dengan ketinggian iman. Puasa pula yang sangat dititikberatkan. Itupun kerana ada ugutan... tidak puasa, tiada raya. Waktu berbuka akan dipinggirkan. Itu hukuman berat. Kerana sepanjang tahun juadah puasa adalah istimewa dari hari-hari biasa. Lama ia menjadi sebati merentas tahun demi tahun. Jangan cerita tentang tudung dan aurat. Sehingga tingkatan 3, satu sekolah hanya ada sekitar 5 orang sahaja yang bertudung. Itupun dikira sangat pelik, luar biasa.

Lalu... bila aku mencari Tuhanku? Ahh.... hidup zaman dulu lebih banyak bermimpi. Realiti di depan mata tidak senang dan sempurna. Ketika itu aku sibuk meminta-minta. Aku meminta pada Allah.  Dan Allah mengabulkan bisikan - bisikan rahsia. Aku makin cinta dan bergantung harap padaNya. Aku kira begitulah ...  Tidak ada batas yang jelas. Rutin kehidupan bercampur baur antara dosa dan pahala. Tidakpun berhenti sejenak dan berkira. Asas Islamku dari suruhan. Suruhan menjadi rutin. Rutin menjadi kaku. Kadang ada rasa ... kadang menjadi sangat lesu. Aku ingin sekali seluruh keturunanku tidak begini. Mewarisi Islam yang disuruh. Aku ingin melihat Islam mereka lahir dari hati nurani sendiri. Islam seperti Grace bukan seperti aku.

Aku vs. Grace? Seperti langit dengan bumi... dan mampukah aku mencuci dosa-dosa yang berlalu menjadi sesuci dia!




Monday, 14 April 2014

14/4/14

Tidak perasan.. yang hari ini tarikhnya cantik. Sehinggalah ketika melangkah ke pejabat, rakan sekerja Ifa datang memeluk seraya mengucapkan selamat hari lahir serta diikuti dengan doa-doa yang diaminkan. "Cantik tarikh ni kak!", kata Ifa. "Apa yang cantik?", tanya saya seperti kepelikan. 14/04/14!!! Ahhh... cantiknya ya. Tarikh hari lahir yang secantik ini akan berlaku sekali seumur hidup. Lalu saya mengambil kesempatan ini untuk mengabadikan sebelum ia pantas berlari dan meninggalkan.

Sebenarnya sudah beberapa lama saya sudah tidak mengendahkan kedatangan hari lahir. Kegembiraan menyambut hari lahir sudah tidak seghairah masa muda terutamanya ketika belasan tahun. Hari ini kegembiraan bukan untuk sekarang. Hari ini lebih tertarik memikirkan semula kenangan masa lampau. Ketika harapan sangat tinggi pada hari-hari muka. Indahnya hidup masa lalu yang diulit mimpi. Kata Mak... berlarilah mengejar bintang-bintang. Agar awan kelam ketika itu berlalu demi masa. Kata Mak... dakilah gunung-gunung... agar hidup di puncak berkilau-kilauan.

Hari ni.. setelah beberapa dekad hidup.. aku sudah berada di persada gunung. Pun.. aku masih mencari-cari.. apa bezanya dulu dan sekarang? Di mana kilauannya? Di mana bintangnya? Usia kian bertambah... lesu untuk melangkah. Apakah akan ada lagi cita indah yang tidak sudah?

Thursday, 10 April 2014

Hari-hari Semakin Gawat

Hari demi hari persekitaran hidup seperti bertambah gawat. Ia benar-benar membuatkan terbayang kekalutan hidup akhir zaman seperti yang alim ulama gambarkan. Kemarau berpanjangan... jerebu yang menyesakkan nafas... fitnah yang berleluasa.

Akhir-akhir ini fitnah menjadi-jadi. Ia mudah berlaku semudah satu klik di jari. Media untuk memaparkan dan menyebarkan pula percuma. Ia perkara biasa-biasa. Sedangkan di sisi Allah, bahaya fitnah melepasi dosa seorang pembunuh. Jika dibunuh, ia mati dan dikuburkan. Jika difitnah, kaum kerabat, sanak saudara dan rakan taulan akan terasa tempiasnya. Aib fitnah tidak terbendung. Ia melonjak tersebar bersama keghairahan manusia yang menyokongnya. Dosa membuat fitnah atau membantu menyebarkannya tidak akan tertanggung di alam sana. Takutlah.

Mudah saja untuk mengelak diri dari turut serta. Jika datang kepada kita seseorang yang membawa fitnah, minta di bawa bersama saksi-saksinya. Seorang saksi perlu dilihat sebagai Muslim sejati. Jika fasik atau munafik, persaksiannya ditolak selama-lamanya. JIKA TIDAK DAPAT MEMBAWA SAKSI, si pembawa berita perlu dihukum mengikut hukum Tuhan. Jika perkara yang difitnah melibatkan sebatan, maka si pembawa berita yang tidak mempunyai saksi perlu dihukum dengan sebatan tertentu. TIDAK takutkah???

Ahh... gelagat manusia di akhir-akhir ini... otak dan kecerdikan tenggelam bersama kegelapan zaman.

Monday, 7 April 2014

Hidup Dalam Catuan Air

Sudah sebulan lebih hidup di dalam catuan air. Jika mengikut bilangan, kali ini ialah kali ke 6. Tidak pernah seumur hidup mengalami kekurangan air yang sebegini. Jika dulu-dulu, fenomena kemarau ini hanya dirasai oleh sesetengah negeri. Kali ini, ia menjangkau ke seluruh negara. Malah, bandar Taiping yang terkenal dengan kawasan paling basah di Malaysia, juga menjadi kering dan bercatu airnya.

Jika dulu, berkali-kali menatap terjemahan Al-Quran tentang isu awan dan kejadian hujan, ia tidak berapa menyentuh hati. Kali ini, ayat-ayat itu benar-benar mengajar bahawa air hujan adalah Rahmat dari Tuhan. Dialah Allah yang menjadikan awan berkepol-kepol terbang terapung tanpa sokongan. Dialah Allah, Tuhan yang Satu, yang Berkuasa mengarahkan awan-awan itu untuk berhenti dan menjadi hujan. Di mana? Di mana-mana yang Allah suka. Kenapa kita ketiadaan air? Mungkinkah Allah tidak suka untuk menurunkan hujan di sini? Barangkali kita antara makhluk yang membuat dosa sehingga Allah murka!

Betulkah begitu? Ya Allah .. ampunkanlah kami. Semoga kami tidak terpisah dari Rahmat-RahmatMu.