Friday, 24 July 2015

Seperti Bulan dan Matahari

Tanpa kita sedari, kehidupan kita seperti bulan dan matahari. Biar bulan cemburu pada cahaya mentari yang mampu menyuluh bumi terang benderang. Atau mentari cemburu pada bulan yang dirindu pungguk. Tidak mungkin matahari akan menjadi bulan. Tidak mungkin bulan akan jadi matahari. Masing-masing punya orbit kitaran yang berbeza. Bulan beredar di atas landasannya. Matahari beredar di atas landasannya. Begitulah kita dan kehidupan. Masing-masing ada jalan dan takdir yang tersendiri.

Salah satu tazkirah Ramadhan yang lepas mengingatkan para jemaah tentang hakikat ini. Kita punya landasan hidup yang berbeza. Tidak wajar membanding-bandingkan diri dengan sesiapa. Perbandingan itu akan hanya mewujudkan tekanan perasaan semata-mata. Ia tidak ke mana. Pun begitu, itulah yang kita sering lakukan. Terutama ketika kita sedang diuji, kita akan memandang orang sekeliling dan mula membanding-banding. Selalunya, kita hanya membanding kepada yang lebih sahaja. Dari mula membanding-banding ini, kita akan mengajukan perbagai persoalan. Kalau terus dilayan, mungkin juga kita akan mempersoalkan takdir Tuhan. Yang miskin akan bertanya-tanya, kenapa si polan A itu kaya-raya. Kenapa aku asyik miskin saja? Atau yang sakit akan bertanya-tanya, kenapa si polan B sihat-sihat saja. Kenapa aku asyik sakit saja? Atau yang tiada zuriat akan bertanya-tanya, kenapa si polan C ada anak yang bilanganya sepasukan bola? Kenapa aku satupun tiada? Akhirnya, hati akan menjadi sakit dan longlai. Putus harap. Maka kerana itu, kita perlu memujuk hati bahawa masing-masing kita punya landasan hidup tersendiri. Seperti bulan dan matahari. Tidak mungkin, kita akan bertukar menjadi si polan A. Atau esok bertukar menjadi si polan B. Atau lusa, kita bertukar menjadi si polan C. Tidak mungkin itu terjadi. Ingatlah, kita ada landasan hidup kita yang tersendiri. Pahit, manis, sedih, gembira .... kita berjalan di atas hanya satu laluan yang unik. Mohonlah pada Allah banyak-banyak, semoga di landasan yang kita lalui ini ada RahmatNya di hadapan sebagaimana yang Dia telah anugerahkan pada si polan - si polan yang kita cemburui. Hidup lebih tenang begitu. Iman masih teguh jika kita mampu memujuk hati dengan itu.....

2 comments:

Anonymous said...

Salam kak,

Kesedaran itu seiring dengan usia dan ilmu.....makin tua makin faham kenapa kita disini...makin kurang rasa nak membanding...cukuplah dengan alhamdulillah dan menyedari hidup ini untuk memberi....lupakan apa yang tak dapat, gunakan apa yang dapat sebaik baiknya....inshaAllah...

Farah Sharif

Anonymous said...

Thank you Farah...