Adakah perkataan 'liaw" dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak tahu. Yang pasti, itulah perkataan yang digunakan oleh budak-budak MRSM Kulim satu ketika dulu. Istilah yang menggambarkan keluar secara 'haram' dari maktab. Lama saya telah melupakan kehidupan di MRSM Kulim dulu. Tidak banyak perkara untuk dikenang selain dari belajar, makan dan tidur. Sangat tidak aktif ketika itu. Atau tidak pandai menjalani aktiviti sosial.
Setelah beberapa kali tidak ambil peduli kenangan lama, akhirnya saya terpanggil untuk pertemuan semula dengan rakan seangkatan batch 81-85 atau dikenali dengan nama Kulima. Akhirnya kami bertemu di Saloma Bistro yang pemiliknya rupa-rupanya merupakan rakan sekelas. Alahai... bertemu semula selepas mengikat persahabatan tersirat menjangkau jangka 35 tahun! Ramai benar yang saya tidak kenali lagi. Masing-masing ada yang kembang ke depan, kiri atau kanan. Atau ada yang sudah luruh rambut atau rambut sudah keputihan. Saya kira ramai di antara mereka yang sudah menginjak tahap jutawan. Memiliki perniagaan yang maju atau menerajui organisasi yang hebat. Pun begitu, definisi kejayaan sudah tentu berbeza. Kerana kita masing-masing dihujani dengan ujian yang berbeza oleh yang Maha Pencipta. Lalu, nilai kejayaan kita berbeza dalam konteks yang berbeza.
Pada malam itu paling lucu.. semuanya bersikap keanak-anakan. Benarlah kata seseorang yang didengari sayup-sayup... "Malam ini kita telah melupakan angka usia kita". Ya.. riuh rendah dengan usikan dan ketawa. Si Nakal zaman itu bangun memohon ampun dan maaf. Malah kedengaran pertanyaan dari yang menjadi mangsa "kenapa hang kata aku...". Jawab Si Nakal... "Mana aku tahu... sudah 35 tahun berlalu!" Aduhai... kesakitan dan kepayahan masa lampau bertukar menjadi manis di saat usia sudah menginjak tua.
Tidak habis di situ, semua rakan-rakan perempuan diajak bermalam di rumah salah seorang dari peserta. Aduh! Hebatnya kondo mewah dia. Terpacak di tengah-tengah kota raya, berlatarbelakangkan bangunan KLCC yang sangat cantik melatari panorama malam. Kata Gem 1, nilainya melebihi 6 Juta... Bertuahlah badan si pemiliknya. Siapa tahu.. tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia terselindung di sebalik takdir. Sepanjang malam itu, kami menongkat mata untuk tidak lena. Berceloteh sehingga menjelang dinihari. Agaknya masing-masing hanya tidur sekitar sejam sahaja. Kami menyambung semula celoteh sehingga pukul 10 pagi dan pulang bersama cenderahati yang menarik.
Anehnya kehidupan masa lalu. Persahabatan yang diikat tetap semarak dan tidak rapuh ditelan zaman. Semoga persahabatan ini berterusan di bawah lindungan Ilahi. Pun begitu... di sebalik riuh rendah.. saya merenung wajah-wajah di depan mata mata satu per satu. Siapa sangka.. siapa sangka nasib kita ketika ini jika berbanding dengan masa silam yang suram? Sesungguhnya Allah Pemilik semua yang ada... Hanya DIA yang mampu Memberi kepada sesiapa yang disukaiNya. Jadilah hamba yang Disuka...