Dua minggu lepas dimulai dengan berita kematian. Awal-awal pagi Isnin, berita kematian pertama diterima, suami rakan sekerja meninggal dalam usia yang muda. Melihat raut wajah rakan sekerja yang masih muda dengan anak-anak yang masih kecil, sangat memilukan. Tidak puas si anak bermanja dengan si ayah. Tidak puas si ayah memanjakan anak, bila tiba ketikanya, semuanya berpisah jua. Sedia atau tidak, rela atau tidak. Ia tetap dan pasti berlaku.
Selepas menziarahi kematian pertama, terima pula berita adik ipar Mak Som sedang sakit tenat. Mak Som sekeluarga sangat dekat di hati. Mak Som merupakan pengasuh setia keempat-empat anak kami. Maka sesiapa yang ada kena-mengena dengan Mak Som, kami anggap jua seperti saudara mara sendiri. Ketika berkira-kira untuk menziarah pada petang hari Selasa, petang itu juga diterima berita kematiannya. Ketika menziarah ke rumahnya, jenazah baru tiba dari hospital. Lalu, Gem 1 memberi isyarat untuk tunggu sehingga jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, selepas Isyak. Ketika itu baru sekitar pukul 4.30 petang. Saya masuk ke rumah, tanpa mengenali sesiapa yang lain. Mengambil tempat di sudut rumah yang hujung. Saya kira anak-anaknya sudah besar belaka. Tetiba, saya melihat kelibat seorang budak lelaki kecil di sisi jenazah. Tingginya, keletahnya, saiz tubuhnya seperti Gem 7. Sesekali air matanya mengalir laju. Sesekali tangannya mengusap-usap kaki arwah ibunya. Dari perbualan sekelililing... anak bungsu arwah ini sangat manja dengan ibunya. Tidurpun masih dipeluk ibu.
Tanpa disedari, air mata saya mengalir sangat laju. Teresak-esak di sudut rumah itu. Kali ini saya seperti mencipta senario baru. Seolah-olah sayalah yang mati ketika itu. Aduh... apakah saya sudah melakukan semua kewajipan?. apakah saya sempat mengucap kalimah shahadah? Apakah yang saya rasa ketika itu.. adakah saya sedang meminta-minta ihsan Allah supaya diberi nafas barang seketika untuk menyebut SubhanAllah.. kerana ketika itu saya sudah nampak balasannya yang tidak terkira banyak? Atau adakah saya ketika itu memohon ihsan untuk dihidupkan semula.. untuk menghargai apa sahaja yang ada di depan mata? Apakah saya juga sedang meminta-minta untuk hidup barang seketika, mencium sepuas-puas hati anak yang sedang mengusap kaki ketika itu?
Lalu, saya melihat pula telatah anak yang baru yatim itu. Apakah yang dirasanya? Barangkali beliau akan sanggup dileteri sepanjang hidup asalkan ibunya hidup kembali. Atau mungkin sanggup mengerjakan apa sahaja suruhan ibu selamanya.. jika ibu dapat hidup semula.
Dari jauh saya memerhati di sebalik deraian air mata. Sesekali, saya terlihat anak sulungnya memandang ke arah saya dengan kehairanan. Siapa saya? Bukan kerabat atau sedara mara. Bukan sahabat atau rakan sekerja. Tetapi air mata yang gugur sama sepertinya ... anak sulung arwah si mati. Dia tidak mungkin akan tahu yang ketika itu saya meletak diri saya sebagai jenazah ibunya. Yang sedang diulik oleh anak-anak-anak sendiri.
Ekor mata saya sentiasa menuruti kelibat anak bungsu arwah si mati. Melihat dia bertafakur di sisi si mati. Melihat dia diajak untuk melihat ibunya dimandikan. Melihat dia diajak menyembahyang jenazah ibunya. Melihat dia ke van jenazah mengiringi ibunya untuk kali terakhir. Esakan saya semakin tinggi.. sehingga kelibatnya hilang di dalam kepekatan malam.
Ketika masing-masing beredar... saya seperti terjaga dari mimpi dan rasa amat bersyukur kerana saat ini saya masih punya nyawa. Satu pemberian Allah yang sangat berharga dan semakin menuju ke saat akhir. Ayuh... kerana kita masih punya nyawa... kita masih punya kesempatan untuk mengumpul dana hidup di alam sana.
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (79)", Al-Isra', Ayat 79.
Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.
Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.
No comments:
Post a Comment