Tuesday, 29 May 2018

Malaysia Baharu - Pernah Di Dalam Mimpi-Mimpi

Lama tidak menulis. Mood untuk menulis agak hilang atas beberapa perkara. Barangkali bosan dengan penantian buku kedua yang akan diterbit tetapi tidak muncul-muncul. Atau ketika hampir pilihan raya... bosan dengan kerenah dari pelbagai susuk parti. Seperti sudah tidak tahu pada siapakah yang harus diberi amanah. Maka, banyak faktor sekeliling menternak kemalasan untuk menulis.

Pun begitu, ketika endah tak endah esok adalah hari pilihanraya, sempat juga memasang youtube sambil memeriksa kertas-kertas tugasan yang wajib ditanda. Kadang-kadang, menjenguk ceramah-ceramah 'live' di Facebook. Sebelum tidur, sempat juga mengambil wuduk dan solat hajat sambil berdoa sunguh-sungguh... Ya Allah.. kurniakanlah kepada kami pemimpin yang dapat mengendali negara ini dengan betul. Hapuskanlah kezaliman yang ada sekiranya ia zalim dan leka. Tidak pernah rasanya saya berdoa dengan sungguh-sungguh untuk negara seperti begitu. Tidak pernah. Barangkali kerana sangat gundah dengan situasi semasa.

Keesokannya, saya bersemangat untuk menjadi antara yang terawal untuk mengundi. Sudah berkali-kali mengundi. Tidak pernah saya melihat ramainya orang keluar mengundi. Berjela-jela barisan sehingga perlu menunggu sekitar 3 setengah jam. Proses sangat perlahan. Seperti tidak menggunakan logik langsung untuk mempercepatkan urusan. Tabah. Akhirnya, jari terpalit tanda sudah mengundi.

Bila keputusan mula dipertontonkan, saya tidak ambil kisah langsung. Terbayang, keputusan pilihanraya yang lepas.. antara di yang dipapar di TV tidak sama dengan yang dipapar di laman-laman digital. Saya cuba pekakkan telinga, tidak mahu membayangkan. Tapi ia tidak bertahan lama apabila menerima whasapp bertalu-talu dari pelbagai kumpulan yang ada. Masing-masing sangat teruja dengan keputusan semasa. Maka, proses tunggu dan tunggu dan tunggu untuk tahu keputusan akhir yang tidak muncul. Jam di dinding sudah melepasi angka 3 pagi. Ketika yakin Malaysia Baharu akan wujud, barulah matapun mula mengantuk. Pun begitu, tidak pernah.. ya tidak pernah rasanya takut untuk masuk tidur. Kerana takut apa keputusan yang didapati akan hilang seperti mimpi pada keesokan harinya!

Akhirnya, Malaysia Baharu telah muncul. Ia cuma dengan secalit pangkah. Telah berkali-kali pangkah sebelum ini .. dan berkali-kali kalah. Kemenangan itu selalu ada di dalam mimpi-mimpi bertahun-tahun lamanya. Dengan Rahmat Allah ia jadi nyata. Semoga negara ini dapat diselamatkan dari bencana tangan-tangan haloba yang mengaut hasil untuk kantung sendiri. Ketika rakyat mengira-ngira duit syiling yang ada, mereka ada ratusan juta di pelusuk rumah. Pun begitu, ada rakyat yang masih buta..... terkeliru di sebalik kerenah pura-pura suci.

Alhamdullilah. Terima kasih ya Allah kerana memakbulkan wujudnya Malaysia Baharu yang selalu ada di dalam mimpi-mimpi....

Thursday, 12 April 2018

Kita Wajib Memilih

Lama tidak menulis rupa-rupanya.... sudah empat bulan dalam tahun 2018. Barangkali banyak betul perkara demi perkara yang perlu disudahkan dalam tugasan harian. Atau.. kerana fokus dalam penulisan buku baru yang entah bila akan siap.

Tapi di ketika ini topik popular ialah raya... bukan raya biasa. Raya pilihanraya. Maka, inilah masa kita perlu memilih. Memilih peminpin untuk membawa negara dan rakyat menuju kehidupan yang terurus dan lebih baik.

Maka, di ketika ini.. kita wajib bertanya ... apakah kita suka pada yang sedia ada? Atau .. tidak sukakah kita? Ketika usia 2 hari lagi menjangkau separuh abad .. maka saya sangat risau tentang pilih memilih ini. Jangan buat tidak peduli. Kerana tidak peduli kita akan melibatkan masa depan anak cucu kita.

Kita wajib bersama 'berperang' pangkah. Kerana itulah perang zaman ini. Kerana itu kita wajib memilih. Hanya ada dua pilihan ... yang sekarang atau alternatif.

Pilihlah dengan iman dan takwa. Dengan akal yang terbuka dan penuh analisa. Sesungguhnya pada secalit pangkah itu, ada kuasa.