Tuesday, 31 March 2009

Di Penghujung Jalan... Yang Aku Temui...

Hari ini tiba-tiba rasa ingin bergurindam.. bakat yang bukan terpendam tapi memang padam. Barangkali ada kaitannya dengan sekeping surat yang kuterima dari jauh. Sebaik aku membuka surat yang mengandungi sehelai kertas tebal A4 yang ber cap 'mohor' dan bertandatangan 'senat', akupun tiba-tiba rasa ingin mencoret sedikit gurindam...
Dalam hijrah yang panjang
Ku telah tempuhi lorong gelap yang berliku
Kerap benar aku tersadong batu-batu
dan aku sering ber 'adoiiii!' sendiri
Kerap benar aku disekat oleh tembok-tembok buntu
dan akupun merintih, merayu-rayu dan menyebut-nyebut nama Tuhanku..
Kerap benar aku hampiri putus asa
pabila yang dicari tidak ku jumpa-jumpa..
Kerap benar aku diduga dan hampir hilang upaya
Lalu dengan keperitan itu aku selalu bayangkan
Pabila nanti aku di puncak sana aku akan memiliki segalanya .. tidur yang lena.. rasa teruja
pasti puas darjah teratas..
Hari ini.. aku membelek kertas A4 yang kuterima
penanda dugaan bersilih menjadi hanya kenangan silam
Hari ini aku tanya aku.. apakah yang aku rasa
Jawab aku pada aku.. aku cuma terasa kerdil..
sekerdil 'setitis air di lautan' (A Drop of Water in the Sea)
Pada kertas A4 yang tertera sijil paras tertinggi
rupa-rupanya tidak membuatkan aku gagah, terbilang dan gemilang
Sebaliknya telah membawa aku jatuh di kaki langit dan menyaksikan lautan-lautan mega
ilmu milik Tuhanku
Pada kerta A4 yang tertera sijil paras tertinggi
rupa-rupanya membawa aku menghampiri Tuhanku....

Monday, 30 March 2009

TV Di Sini vs. TV Di Sana

Hidup tanpa melanggan Astro, menjadikan kami terdedah kepada siaran-siaran TV percuma.. TV1.. TV2..TV3..TV7..TV8..TV9. Malam Ahad lepas, dalam kebosanan, kami mencari-cari siaran yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga. Buka TV3 = "Konsert Jom-Heboh Secara Langsung", buka TV1 = Zoom@TV1 - rancangan bersama penyanyi jemputan (beralis mata warna hijau!!), ubah lagi siaran... drama cinta .. asyik menangis... dan meleleh air mata.. tukar lagi dan lagi... akhirnya.. arghhh.. rindunya kami pada "siaran TV di sana", biarpun hanya siaran-siaran percuma.. ada maksud-maksud tersirat untuk minda...

Dalam pelbagai musim yang silih berganti.. pasti akan ada masa, kami membentang 'duvet' bersaiz 'king', kami berhimpit-himpit dan menyaksikan:
Siri Master Chef
Mengisahkan orang-orang biasa bertanding dengan mempertaruhkan kepakaran memasak dan menghias untuk bergelar juara.
Siri Dragon's Den
Mengisahkan lima orang jutawan menjadi panel untuk menilai idea-idea perniagaan ilham orang-orang biasa. Jika idea diterima, salah seorang jutawan tersebut akan menawarkan modal dan peserta perlu bersetuju untuk berkongsi keuntungan. Lalu berbondong-bondonglah si kecil, si tua tidak mengira usia berlumba-lumba.
Siri Raven
Siri lasak untuk peserta kanak-kanak. Setiap minggu, seorang peserta akan disingkirkan. Yang tinggal akan dinobatkan sebagai juara.
Siri Gok's Fashion Show
Siri yang dikendalikan oleh pereka fesyen Gok. Beliau akan membiarkan lima pereka fesyen ternama memilih satu persalinan serba lengkap dan kemudian beliau akan menggubah sendiri lima set yang lain dari koleksi pakaian-pakaian murah. Hasil terakhir akan diadili oleh penonton. Penonton akan mengundi untuk memilih set yang manakah yang menambat hati penonton. Selalunya, Gok akan menang.. pakaian nampak cantik dengan harga yang jauh lebih murah.
Siri Anthea's Good Housekeeping
Siri dikendalikan oleh Anthea, di rumahnya sendiri. Dua pesertaa dari rumah yang kotor dan tidak terurus akan menginap di rumah Anthea selama beberapa hari. Anthea akan mengajar cara-cara mengemas dan membersihkan rumah. Kedua perserta ini diberi masa seminggu(? - he heh dah lupa) untuk membersih dan mencantikkan rumah.. yang paling bersih dan cantik, akan bergelar juara.
Siri Honey You're Killing Your Kid
Siri bagaimana sebuah keluarga yang mempunyai masalah gemuk dan pemakanan akan dipilih untuk dianalisa cara makan dan hidup. Mereka diajar untuk memakan cara yang betul dan bersenam.. di akhir rancangan keluarga ini dapat membetulkan cara makan dan hidup dan kelihatan lebih sihat dan gembira.
Siri Tiny Tears Away
Siri dikendalikan oleh dua pakar kanak-kanak. Sekumpulan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bermasalah (memberontak, tidak mahu makan, mengangis, degil...) akan dijemput ke sebuah rumah khas. Di sini, kelakuan mereka sekeluarga akan dirakamkan, dianalisa dan diperbetulkan. Di akhir siri, si anak yang bermasalah akan bertambah baik dan ceria.
Siri How Dirty is Your Home
Siri ini dikendalikan oleh dua orang wanita. Mereka akan memilih seorang peserta yang memiliki rumah yang amat kotor.. beliau akan diajar bagaimana untuk membersihkan rumah dan hidup dengan lebih selesa.
Siri Megastructure
Siri yang menampilkan pembinaan struktur-struktur mega yang terdapat di dunia.. contohnya Hotel Buruj di Dubai, Stadium Olimpik di Beijing dan akan memaparkan kisah-kisah sukar para pereka, jurutera dan sebagainya bertungkus lumus menghadapi pelbagai cabaran untuk menyiapkan binaan dalam masa yang ditetapkan.
Siri 60 Minutes Makeover
Siri yang memaparkan sebuah rumah akan dipilih untuk diubahsuai dalam masa 60 minit.
Siri Secret Millionaire
Siri yang paling digemari... menjadi sumber inspirasi. Setiap siri akan mengisahkan seorang jutawan akan menyamar sebagai orang biasa dan masuk ke satu kawasan kediaman yang miskin... mereka akan mencari organisasi atau individu yang memerlukan pertolongan dalam bentuk wang ringgit dan mereka akan dermakan. Di akhir rancangan, mereka akan memaklumkan yang mereka adalah jutawan yang ingin berbakti kepada masyarakat sebagai tanda 'syukur' kerana mereka hidup kaya raya. Siri ini mengingatkan kami tentang kisah Saidina Umar yang menyamar... Di tengah-tengah negera yang menolak Islam, di sana ditonjolkan kehadiran beberapa 'Saidina Umar'!
Ohhhh... kami benar-benar merindui siaran TV di sana.. yang mengajak minda bersama. TV di sini? Kita tidak perlu risau tentang masalah sosial dan ekonomi, yang perlu .. kita perlu jadi penyanyi/pelakon... jadi mereka = kaya.. jadi mereka = glamour.. jadi mereka= idola .. jadi mereka = berita.
Kalau dulu ada pantun "Buai laju-laju, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab!"
Sekarang .... "Buai laju-laju, buai tinggi-tinggi, belum tumbuh gigi, dah boleh jadi penyanyi!"

Wednesday, 25 March 2009

Jangan Bersedih... La Tahzan (Buat sahabat-sahabat yang sedang diuji..)

Entri ini khas ditujukan buat sahabat-sahabat yang sedang diuji .. dengan kesakitan, kematian dan kesusahan. Kandungan entri ini dipetik dari buku La Tahzan, karangan Dr. 'Ayidh bin Abdullah Al-Qarni, dan diterjemah oleh Noraine Abu (Cetakan kelima 2008):
Jangan Bersedih, Wahai Manusia
Sesungguhnya kesempitan yang anda rasakan akan ada jalan keluarnya...
Dalam musibah yang anda hadapi, ada perkara yang akan menyelamatkan anda dari musibah itu sendiri...
Justeru, dalam hal-hal yang tidak anda sukai itu, ada kenikmatan dan kebaikan...
Wahai orang yang harinya ditimpa kesedihan..
Melangkahlah dengan perlahan..
Di ufuk sana, telah tersedia jalan keluar yang akan memberikan keringanan..
Tenanglah.. kerana anda sedang berurusan dengan Dzat yang Berkuasa atas Urusannya,
Yang Maha Bijaksana atas hamba-hambaNya,
Yang Maha Pengasih terhadap makhluk-makhlukNya,
Dan Yang Maha Indah dalam segala PengaturanNya...
Ayat Ath-Thalaq: 1:
.... kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu satu hal yang baru.
Untukmu sahabat-sahabat.. moga diberi kekuatan dan diringankan bebanan. Amin.

Thursday, 19 March 2009

Tersirat Di Sebalik Teknologi GRID

Pada 18 dan 19 Mac 2009, segerombolan rakan sekerja telah menghadirkan diri ke Forum Pertama KnowledgeGRID Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Forum bertemakan 'GRID FOR ALL' adalah langkah permulaan untuk mengajak para akademik, penyelidik dan swasta mengenali teknologi GRID dan menggunakannya untuk faedah bersama. Malaysia tidak jauh ketinggalan sebenarnya kerana beberapa bulan dulu, saya juga telah mengikuti forum dan seminar yang serupa di University of Nottingham.

Apakah teknologi GRID? Bagaimana dan kenapa kita perlu menggunakannya? Itulah yang cuba ditonjolkan di dalam Forum Pertama ini. Dalam banyak-banyak ceramah, saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Prof. Rosni. Prof. Rosni ialah ketua Jabatan Sains Komputer di USM dan antara pelopor utama dalam teknologi GRID di Malaysia. Apa kata Prof Rosni tentang GRID? Kata beliau, teknologi GRID ialah satu teknologi untuk menggabungkan keupayaan komputer yang ada di dalam setiap organisasi (sama ada lokal atau global) untuk membentuk sistem-sistem 'supercomputer'. Kalau dulu, hanya negara yang kaya raya sahaja mampu untuk memiliki supercomputer. Tapi kini, tidak lagi. Teknologi GRID memberi peluang individu biasa menggunakan teknologi supercomputer semudah menggunakan kemudahan eletrik. Di Malaysia, kemudahan ini digelar kemudahan uitiliti ke lima. Kata Prof lagi, setiap organisasi pasti mempunyai kelengkapan ICT nya tersendiri. Kita tidak mempunyai masalah besar untuk menggabungkan kesemua kelengkapan ini untuk membentuk komputer GRID. Tapi, masalah yang besarnya yang menghalang teknologi GRID dari berkembang ialah sikap dan budaya kita yang terlalu sukar untuk 'berkongsi' dan bekerjasama! Kata beliau lagi, teknologi GRID menghimpunkan manusia dan organisasi yang ingin bersatu dan saling membantu. Jika tidak mempunyai elemen-elemen tersebut, teknologi GRID bukan untuk kita.


Seperti biasa, saya sempat merenung jauh. Dulu-dulu, komputer-komputer yang hendak disambungkan untuk membentuk satu rangkaian komputer, mestilah sama jenisnya. Sehinggakan perkara ini terbawa-bawa dalam kehidupan.. nak berkawanpun, kita mencari hanya segelintir kawan yang 'sama'. Jika 'lain', banyak buruknya. Malah dalam kehidupan seharian, kita lebih suka dan tersangat suka untuk mencari segajah kelemahan si Anu, si Polan, si Pendek, si Panjang, si Putih, si Hitam... berjela senarai kelemahan-kelemahan orang lain, yang sukar sekali disimpan. Senarai ini ingin saja diceritakan kepada semua, biarlah orang semua tahu. Lantas, kekuatan dan kebaikan si Anu, si Polan, si Pendek, si Panjang, si Putih, si Hitam... hanya tampak sebesar kuman. Dan kerana saiznya hanya sekuman, biarlah.. sesiapa pun tidak perlu tahu.. tak perlu ambil peduli. Tapi bukankah, sekuman kebaikan itu jika kita dengan rendah hati bergabung, kita akan menjadi gagah? Hah... kalau dalam konteks GRID, bukankah kita telah mengGRIDkan kekuatan kita, membentuk satu kekuatan yang luar biasa, yang sama taraf dengan 'supercomputer' iaitu kita = 'super manusia'? Pasti gentarlah segala musuh walau di mana jua mereka berada. Bukankah itu perintah Allah? Hai manusia yang beriman .. berkenal-kenallah dari pelbagai bangsa dan bersatu-satulah??? Allah Maha Mengetahui kekuatan setiap individu dan bangsa.. dan jika bersatu dan bekerjasama, fitrahnya adalah satu kekuatan yang luar biasa. Bukankah segalanya jika diperhati dengan mata hati, terdapat tanda-tanda Kebesaran Allah. Jari jemari di tangan sendiri, bukankah berbeza bentuk, saiz, rupa dan panjangnya. Apakah sama rasanya jika kita mempunyai semua jari yang sama bentuk, saiz, rupa dan panjangnya:
Mampukah kita menjemput 'cokodok'
meramas pisang,
menyuap nasi,
memicit kepala,
mengurut kaki,
membasuh muka dan bla..bla... jika semua jari sama bentuk,
saiz, rupa dan panjangnya? Dan bolehkah kita melakukan kesemuanya jika setiap jari jemari tidak mahu 'bekerjasama'?

Komputer Saintis baru saja bertemu dengan konsep dan implementasi GRID. Allah sudahpun menerangkan konsep GRID di dalam Al Quran beribu tahun lalu!!!! Hari ini saya ingin memulakan satu azam baru... ingin melihat insan lain dan mencari kebaikannya yang sekuman itu, lalu ingin mengumpulkannya membentuk satu GRID insan, yang bersatu dan bekerjasama untuk membentuk kekuatan yang luar biasa. Amin.

Thursday, 12 March 2009

"Pernah di Dalam Mimpi-Mimpi"

Pada 3 & 4 Mac yang lalu saya telah menghadiri kursus "Postgraduate Supervision and Thesis Evaluation Course". Penceramah pertama, Prof. Mohd Nasir Taib, memulakan bicara dengan berbincang tentang visi UiTM. Katanya, biarpun tampak sukar untuk dicapai, tapi kita perlu memulakan langkah untuk berjaya dengan adanya visi. Sambung beliau "Pernahkah anda semua terfikir, anda pernah bermimpi untuk menjadi anda seperti 'anda' pada hari ini? Tentang kerjaya anda.. tentang suami atau isteri pilihan anda.. tentang anak-anak anda.. tentang pangkat dan harta anda....". Katanya "Saya dulu pernah bercita-cita ingin menjadi jurutera. Dan saya juga ingin menjadi guru. Akhirnya Allah kabulkan kedua-dua hajat saya ..dan kini saya menjadi pensyarah kejuruteraan.. bukankah saya memiliki kedua-dua pekerjaan tersebut!" Jadi.. sedarlah .. apa yang kita ada hari ini adalah mimpi-mimpi kita dahulu".

Sekilas masa, saya sempat bertafakur, merenung jauh dan mengaku ... benar..benar..benar.. Inilah kehidupan yang saya impikan dulu dalam mimpi-mimpi, dalam angan-angan, dalam cita-cita yang saya sering anggapkan sebagai 'doa-doa yang tersirat'. Oh.. Allah .. Maha Suci Engkau yang Memakbulkan mimpi-mimpi kami.
Ketika mata mencatit nota yang terpampang di depan, ketika telinga mendengar kata-kat Prof Nasir, ketika itu saya menerawang semula apakah mimpi-mimpi silam yang telah dimakbulkan...
Saya masih ingat ketika berusia lebih kurang 7 tahun, ketika kakak dan abang bercerita tentang bumi itu bulat, apabila bumi yang sebelah siang, yang satu lagi akan malam.. lalu saya ingin benar mempastikan betulkah fakta itu.. bagaimana ya.. kena korek bumi lah. Korek betul-betul sehingga tembus ke sebelah sana, dan mungkin saya boleh pastikan fakta itu benar. Lama keinginan itu tersimpan di hati. Lalu, Allah makbulkan keinginan itu kira-kira 11 tahun kemudian, iaitu saya diterima belajar di New York, satu tempat yang benar-benar mempunyai beza waktu 12 jam. Ketika di Kedah 12 jam tengahari, saya di Binghamton senang lena diulik mimpi pada pukul 12 tengah malam! Oh.. Nikmat Tuhan yang manakah yang telah aku dustakan?
Ingatan masih kukuh ketika anak-anak (Gem 3 berusia 8 tahun dan Gem 4 berusia 6 tahun) kepanasan di Arau pada musim kemarau. Lalu, kami bercerita tentang dingin salji. Anak-anak ini kepingin benar merasai sendiri dingin dan putih salji. Lalu, kami jadikan sebagai impian dan doa. Bukankah Allah makbulkan permintaan mereka dua tahun kemudian!
Mereka sendiri tidak terduga, mimpi-mimpi mereka akan dikabulkan 3 minggu dari gambar ini diambil

Ingatkah.. ketika Gem 1 memasang impian ingin berkunjung ke bumi Sepanyol, melewati sejarah Al Hambra, menyusuri gemilang silam masjid Cordoba dan menakluki puncak Jabal Tariq (Gibraltar)? Lalu.. Allah makbulkan jua lewat 30 tahun kemudian!

Bersama desiran air yang mengalir di Al Hambra

Di sudut peninggalan sejarah Islam di masjid Cordoba yang kini menjadi gereja

Di puncak Jabal Tariq (Gibraltar)

Keluargaku, ingatkah.. ketika kita kesejukan sehingga kulit masing-masing kebiruan di tengah-tengah salji lebat di puncak Sierra Nevada dan Gem 5 berkata "I wish I can play snow in the warm weather.." Kita pun ketawakan impian beliau dan menyatakan ianya amat mustahil. Tapi Tuhan Maha berkuasa, memakbulkan impian beliau kesokan harinya!!!!!

Sejukkk... di puncak Sierra Nevada, Sepanyol

Esoknya, kembali lagi ke puncak yang sama, Allah makbulkan 'mimpi' anak-anak ini.. dan mereka bermain salji di tengah panas... Gem 7 hanya bersinglet!

Aneh.. tapi itulah kuasa Tuhan.. anak-anak ini tidak kesejukan... Inilah kenangan 'sejuk' yang paling 'manis'. Terasa benar Allah berada di mana-mana mendengar segala keinginan hambanya

Dan berderet-deret terbayang 'mimpi-mimpi' yang telah Allah tukarkan menjadi kenyataan demi kenyataan. Kalau adapun mimpi-mimpi yang hanya tinggal mimpi, saat ini sudah tersuluh hikmahnya kenapa mimpi-mimpi tersebut tidak perlu menjadi kenyataan. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui yang mana lebih baik untuk hambaNya.

Apabila tersedar dari menyusuri mimpi-mimpi, tumpuan tertumpu kepada kata-kata Prof Nasir pada ketika itu... katanya .. kitalah yang perlu membina 'mimpi-mimpi' untuk kita sendiri dan organisasi kita. Jika tidak kita, siapa pula yang sudi ber'mimpi' untuk kita?

Lalu semalam, di 'surau kecil' (ruang keluarga tingkat atas yang Gem 7 panggil surau), kami duduk membentuk bulatan. Di sini, kami menyatakan 'mimpi-mimpi' baru. Kali ini mimpi-mimpi ini melepasi batas dunia. Kami memohon moga Allah kabulkan dan menjadikan kebaikan hidup dan mati kami di masa hadapan adalah lakaran mimpi-mimpi hari ini. Amin.

Sunday, 1 March 2009

Tetamu dari Jauh

Tetamu dari jauh, keluarga Zul dan Farah, telah bertandang ke rumah kami pada lewat petang hampir dua minggu lepas. Barangkali terkejut besar Gem 7 apabila mendapati kawan yang dirinduinya terpacak di depan mata. Agak lama beliau 'terkejut', malu hendak menyapa. Apa ya yang difikirkannya.. mungkin seperti mimpi.. Haziq from far far away come to our house!! Biar pun tak lama, dapatlah Gem 7 melepaskan rindunya. Apabila keluarga Zul dan Farah ingin berangkat pulang, kami terpaksa menerangkan yang Haziq akan pergi semula 'far far away' to our white house. Gem 7 nampak sedih tapi seperti menerima hakikat bahawa beliau tidak mungkin dapat mengikut Haziq pulang. Tapi Gem 6 seakan marah sungguh.. It's not fair!! Why can they go back and we can not??? I want to go.. I want to go..

Suka sungguh Gem 7 berjumpa dengan kawan lamanya

Ke atas dan ke bawah, ke depan dan ke belakang, berdua-duaan

Kami pun rasa macam mimpi... rasa macam di 71, Burford Road lagi..

Sejak kehadiran tetamu dari jauh itu, Gem 7 tidak sudah-sudah bercerita tentang 'white house' kami. Agaknya beliau semakin pasti yang 'white house' dan kehidupannya di sana bukan satu mimpi. Rupa-rupanya banyak perkara yang beliau masih ingat. Tentang bajunya.. kasutnya.. siri-siri kegemarannya.. minuman dan makanan. Kalaulah..white house itu dekat lokasinya, mampulah kami membuai ingatan Gem 7 atau melayani keinginan Gem 6.