Friday 11 March 2011

Baca

Entri kali ini tentang perkataan baca. Perkataan ini begitu mulia kerana datangnya dari Tuhan. Pun begitu, sejak kecil, saya hanya menghafal satu fakta - Iqra' ertinya bacalah, ianya adalah perkataan pertama yang diwahyukan pada nabi akhir zaman, Muhammad SAW. Fakta itu penting pada ketika itu, buat bersedia jika ditanya guru. Tidak lebih dari itu. Dalam fikiran cuma berkata-kata, pentingnya membaca ya. Darinya datang ilmu. Dan itulah ilmu yang ada tentang baca.

Takdir Tuhan menemukan saya dengan Prof Colin. Sesuatu yang tidak pernah dirancang. Ketika saat-saat akhir saya memaklumkan menerusi e-mel tarikh pendaftaran pada Dr Colin (penyelia pertama saya), beliau membalas e-mel tersebut dengan berkata,"Saya akan menunggu anda dan akan memperkenalkan anda dengan seseorang yang berpengaruh di dalam bidangnya". Lalu, pada hari yang ditetapkan, kamipun bertemu. Dr Colin berkata,"Anda ada dua pilihan, sama ada meneruskan penyelidikan dengan tajuk yang anda cadangkan, dalam bidang yang sudah ramai penyelidiknya ATAU anda memilih untuk bekerja dengan Prof Colin dan meneroka bidang baru. Prof Colin adalah Bekas Presiden Persatuan Literasi United Kingdom" - satu persatuan yang berprestij di sana. Tanpa berfikir panjang, sayapun menjawab, "Saya ingin meneroka bidang baru dan bersedia menjadi pelajar anda". Maka, bermulalah satu perjalanan baru. Meneroka bidang yang saya sangkakan tiada kena mengena dengan bidang sains dan komputer. Pada hari itu, Prof Colin membekalkan saya dengan selonggok bahan bacaan. Dia bekalkan juga buku-buku hasil penulisannya tentang teori baca. Aduhai... sukarnya membaca hasil penulisan dari bidang sastera ini. Gaya bahasanya berada di paras tinggi. Terkial-kial untuk menghabiskan helai demi helai. Dan yang dibaca itupun tidak tahu hujung dan pangkalnya!

Hari demi hari, ruang ilmu nampak terbuka. Ya Allah.. rupa-rupanya membaca ini satu proses yang kompleks. Ia melibatkan gerak mata, kuasa kognitif otak, latar belakang, ilmu yag tersemat, kemahiran membaca, budaya dan ada lagi beberapa perkara. Sehingga kini teori tentang baca masih dicari, dibaiki dan dikembang buat mengintai misteri proses dan hasil membaca. Tahukah anda setiap tahun persidangan paling besar tentang baca ini diadakan di Amerika, kata Prof Colin, ianya selalu dihadiri oleh peserta melebihi 22 ribu orang! Pernah Prof Colin membentangkan hasil kerja kami di sana, dan beliau diberikan dewan yang muat untuk 3 ribu orang. Siapakah peserta teramai di sana? Yang pasti bukan golongan orang Muslim. 

Kini, dalam dunia digital, proses membaca dan memahami menjadi lebih kompleks. Ia bukan memerlukan kemahiran membaca sahaja, malah kemahiran menggunakan komputer dan mencari maklumat secara online. Dalam dunia hari ini, bahan bacaan ilmiah lebih mudah diperolehi secara digital. Ramai antara kita yang hanya membaca buku tradisional apabila membaca buku cerita! Lalu, apakah mekanisma untuk mengukur tahap pemahaman seseorang ketika membaca secara online? Ujian kefahaman secara multi pilihan A,B,C,D yang dibuat sesudah membaca keratan bahan di atas kertas sudah tidak relevan lagi dalam dunia digital. Ia amalan tradisional yang sudah diamalkan lebih 100 tahun. Tapi, bagaimana untuk berubah? Bolehkah keupayaan teknologi komputer diguna pakai untuk menghasilkan mekanisma pengukuran kefahaman yang lebih relevan di zaman serba digital ini? Itulah tajuk penyelidikan PhD saya, ia melibatkan 3 domain penyelidikan: teknologi Web, kejuteraan perisian serta bidang pembacaan. Lalu, saya melalui fasa penyelidikan yang caca merba. Untuk merintis jalanpun sukar, apatah lagi untuk menulis thesisnya.

Ketika saya diberitahu bahawa saya perlu menulis semula keseluruhan thesis termasuk tajuk-tajuknya pada hari viva, hati luluh dan hancur berderai. Keinginan untuk menempah tiket pulang terus padam. Ketika air mata jatuh berjurai di depan Prof Colin, matanya juga berkaca. Dengan nada suara yang bergetar, dia berkali-kali meminta maaf pada saya kerana mengheret saya meneroka alam penyelidikan tentang baca bersama-samanya. Lalu, dengan suara yag tersekat-sekat saya berkata, saya tidak pernah menyesal kerana terjerumus di dalam penyelidikan di bidang ini. Kerana, kata saya, sebagai seorang muslim, saya wajib percaya bahawa baca ialah ayat pertama yang diturunkan Tuhan. Oleh itu, sepatutnya sayalah yang perlu meneroka ilmu ini dan menjadi seperti Prof. Terima kasih, kata saya kepadanya, kerana memberi peluang meneroka misteri perintah Tuhan itu.

Sungguh, ketika ini saya menyaksikan bahawa perintah Allah untuk kita membaca itu mustahak. Ia bukan setakat satu proses untuk menimba ilmu-ilmu yang bertaburan, kini membaca adalah senjata. Kita kini sedang menyaksikan keruntuhan pemerintah-pemerintah di dunia Arab jatuh satu per satu, kerana rakyatnya membaca dan menyebarkan maklumat secara digital melalui blog, facebook, twitter dan pelbagai media sosial digital yang ada. Hari ini hunusan keris tiada makna untuk melawan musuh kerana musuhnya sudah menjadi maya. Hari ini jika anda mahir membaca dan menyebarkan maklumat ke seramai mungkin penerimanya, anda ada kuasa - andalah pahlawan digital.

Pun begitu, kita sebagai seorang muslim sentiasa wajib ingat, baca dan sebar boleh juga membawa dosa jika berita yag disebar itu ada unsur pembohongan atau fitnah. Maka, untuk selamat di dunia dan akhirat, ingatlah firman Allah, "BACALAH.. DENGAN NAMA TUHANMU".

2 comments:

Penjejak Mimpi said...

as-salam..

entri yg agak berat isinye.. :)
tak terjangkau pikiran sy ni nk mentafsir sejauh dan sedalam spt yg cube kak nas sampaikan.
pe pon, sy stuju juge dgn isi entri ni.
budaya membace bahan ilmiah agak kurang di kalangan kite. walau sbnr nye peluang utk membace tu ade dan banyak skali. cume antare mahu dengan tidak saje.dgn membace ilmu kite bertambah. cume kene pandai pilih bahan utk bacaan.. :)

Anonymous said...

Penjejak mimpi,

Hari minggu ni awal pulak melawat blog ni.. Terima kasih kerana sudi melawat!

K.Nas