Thursday, 3 March 2011

Ingin di Abadikan...

Dua hari lepas aku menghadiri satu sesi. Dijadualkan pada pukul 9.00 pagi. Dan aku mengharap-harap benar agar giliranku diakhirkan. Entah atas apa alasan.. mungkin untuk melihat dahulu bagaimana corak ujian atau mungkin berharap mudah-mudahan atas alasan kekangan masa, maka masa untukku dipendekkan. Giliran aku memang di akhir-akhir sesi. Rupa-rupanya, giliran di akhir itu amat menyiksakan kerana perlu menanti dan menanti dengan degupan jantung yang laju... tidak sesuai sekali untuk golongan yang berensot usia ini!

Bila tiba giliranku, saat ini, aku tidak mahu mengingat lagi apa yang ditanya dan apa yang kujawab. Kerana jawapan yang kuberi terasa serba tak kena. Biarlah, hasilnya Tuhan yang menentukan. Tapi, ada satu babak yang ingin ku catitkan di dalam coretan ini, untuk ku abadikan dan ku semat di dalam ingatan.. buat pengubat di kala lara. Babak terakhir: ketika aku bangun untuk keluar, tiba-tiba seorang panel berkata,"Saya tidak pernah bersemuka dengan anda sebelum ini". Balas aku,"Kita pernah berjumpa.. ketika di dalam sesi temuduga untuk ke luar negara dulu!". Balas beliau,"Oh.. saya tidak ingat.. jika begitu saya berpendapat kami telah membuat pilihan yang betul menghantar anda ke sana!".  Akupun berlalu dan mendapatkan rakan-rakan yang sudi menunggu.  Aku tidak mahu tahu kenapa panel berkata begitu dan atas alasan apa... aku ingin mencatatkan sahaja bahawa panel itu mengesahkan penyelidikan PhDku itu bukan sesuatu yang sia-sia. Jika tidak, apakah berbaloi menghabiskan biasiswa yang menghampiri setengah juta.

Kenapa aku terasa amat gembira? Kerana itulah bagiku kata-kata semangat untuk aku meneruskan apa-apa penyelidikan yang aku suka. Sebelum ini ada kalanya hati begitu terluka apabila mendengar komen-komen seperti begini: " You buat tajuk senang sebab tu senang berjaya, I buat tajuk susah.. itu yang susah ni!". aduhai.. terkebil-kebil mataku memandang yang berkata. Tidakkah mereka tahu penyeliaku mengambil masa 6 tahun untuk mendapatkan penyelidik pertama yang mahu meneroka ilham dan teorinya... dan akulah yang menerima cabaran itu. Kata penyelia kepada ku,"Apa-apa yang anda hasilkan ialah satu penemuan.. carilah jalan untuk ke situ". Dan akupun puas meraba-raba di dalam gelap gelita. Perjalananku tidak mudah, banyak onak dan duri.. tapi itu semua tidak ku endah, kerana penyelia-penyeliaku mengajar aku bagaimana untuk bekerja dan pada masa yang sama bergembira dengan dunia penyelidikan. Kerana itu aku melalui susah dalam senyum!

Kadangkala pula, aku ditanya dengan nada sedikit sindir," Your research tentang apa ye.. nampak ke sana dan ke sini.. tidak jelas bidangnya!" Dan aku malas untuk membalas.. kerana jika itu nada soalnya, seperti merasakan apa-apa hasil kerja orang lain rendah nilai dari kerjanya. Dan dua hari lepas aku ceritakan kepada panel-panel apa yang ingin aku ceritakan... tentang nilai-nilai yang ada di dalam penyelidikan seolah-olah di kepalaku aku menjawab sindiran sinis yang aku terima dulu! Maka, aku puas. Bukan kerana aku berjaya di dalam sesi itu, tapi aku berjaya mencurahkan apa yang tersimpul di kepala.

Hari ini, aku yakin aku berada di landasan penyelidikan yang lurus. Biarlah ada bisikan-bisikan atau sindiran-sindiran.. apa aku perlu peduli. Apa yang aku pasti.. benarlah kata Prof. Normah di dalam satu sesi.. bahawa memiliki ijazah tertinggi tidak dihujani dengan intan permata, darjat dan wang ringgit. Ia cuma membawa kita ke satu puncak yang tinggi untuk melihat sesaujana mata memandang lautan luas ilmu milik Allah, iaitu Tuhanku dan Tuhanmu. Maka dengan itu, perlulah kita merasa kerdil di bumi tuhan kerana sesungguhnya ilmu yang ada di dada terlalu kerdil, sekerdil setitis air di lautan! UNTUKMU PENYELIDIKANMU, UNTUKKU PENYELIDIKANKU!

3 comments:

kak cahaya said...

sokong akak...org yg meremehkan org lain adalah org yg merasakan diri mereka sudah hebat..dan jika org ini gagal pon dia tetap merasakan dia hebat sbb dia merasakan dia membuat sesuatu yg lebih susah dari orang lain...jadi kita jgn hirau org2 yang camni..sbb dia sentiasa memandang lebih pada diri sendiri.
kita sepatutnya sentiasa hormat dengan setiap apa yg org lain buat sbb masing2 ada kepentingan masing2

Penjejak Mimpi said...

salam ziarah..

beselah.. manusie.. pade sy manusie itu unik. ade yang suke memandang rendah pade orang lain dan ade yang sebaliknye.

tp walau ape pon, sy harap kak nas tidak berputus ase. sorang memandang rendah usahe kak nas tapi 10 orang yang akan sentiase menyokong dan mendoakan kejayaan kak nas..

chill.. :)

Anonymous said...

Cahaya dan penjejak mimpi,

Terima kasih.. bagi sokongan moral. Pengajarannya.. buat saja jangan dengar cakap orang. InsyaAllah Allah memberi petunjuk untuk lebih maju.

K.Nas