Thursday, 18 August 2011

Penyelia

Dulu-dulu tidak pernah terfikir untuk menjadi penyelia PhD. Setakat menjadi penyelia projekpun sudah terasa sukarnya. Namun, masa telah berubah dan merubah persekitaran yang ada.

Hari Ahad lepas, hampir pukul 1 tengahari, tiba-tiba talipon berbunyi dengan nyaring. Rupa-rupanya, panggilan dari Azlina. Katanya,"Kak, saya dah rasmi jadi student Phd akak". Lapan tahun lepas, ketika saya begitu sibuk menyiapkan itu dan ini untuk berhijrah menyambung pelajaran, Azlina selalu datang ke bilik untuk bertanya khabar. Sesekali, beliau akan berkata, "Kak, belajar sampai dapat PhD. Bila akak berjaya, saya akan jadi student akak". Kini, kata-katanya sudah tersurat menjadi takdir. Rakan sekerja yang juga menjadi rakan karib sudah bergelar pelajar sendiri. Pasti saya teruja dengan ketentuan Tuhan ini. Dengan pendaftarannya, saya sudah menutup kouta pelajar yang ingin diselia. Cukuplah dengan enam pelajar PhD yang ada - satu akan  ke semester 4, 1 ke semester 3, 2 ke semester 2 dan 2 ke semester 1.  Saya ingin menumpukan pada kumpulan pelajar yang ada ini.

Cara menyelia pelajar PhD sudah pasti tidak sama, bukan sahaja antara penyelia yang ada, bahkan antara tempat, universiti dan negara. Lain padang, lain belalang - agaknya itulah ungkapan yang sesuai. Secara kasarnya, seseorang penyelia akan mengikut jejak langkah dan gaya penyelianya juga.

Saya dulu diselia oleh Prof Colin dan Dr. Colin. Mereka datang dari berlainan latar belakang dan fakulti. Yang satu berkecimpung dalam bidang literasi dan merupakan penyelidik yang aktif. Memiliki grant penyelidikan yang berjuta-juta. Yang satu pula lebih muda. Tapi pernah menyertai pasukan yang membina software yang telah dijual ke berpuluh-puluh universiti - iaitu software untuk 'marking' tugasan pelajar sains komputer. Beliau juga mempunyai grant yang tersendiri. Ringkasnya, semasa saya menjalankan penyelidikan bersama mereka, soal duit tidak menjadi masalah untuk diminta. Saya diberi kebebasan untuk ke mana sahaja dengan perbelanjaan mereka.

Kali pertama berjumpa mereka, saya cuma diberi 2 pilihan - pilih antara dua projek:
  • Projek pertama - lebih mirip kepada proposal penyelidikan saya. Tapi kata mereka, ia satu penyelidikan yang sudah stabil. Untungnya, saya akan mudah mendapatkan pelbagai rujukan. Ruginya, saya akan bekerja keras untuk bersaing dengan penyelidikan yang sedang berjalan.
  • Projek kedua - saya akan meneroka satu bidang baru. Setakat waktu itu, tiada lagi yang seumpamanya. Kata mereka, untungnya, apa-apa yang saya hasilkan ialah penemuan baru. Ruginya, saya akan mengalami kesukaran mencari bahan bacaan.
Entah datang dari mana kekuatan dan keberanian, saya memilih pilihan yang kedua - yang penuh berisiko.

Sepanjang menjadi pelajar mereka, mereka TIDAK PERNAH bertanya:
  1. Apa tajuk PhD saya nanti.
  2. Apa objektif penyelidikan.
  3. Apa signifikannya.
  4. Apa reserch framework.
  5. Apa methodology yang diguna pakai.
Sepanjang menjadi pelajar mereka, mereka berkata, BACA.BACA.BACA.

Setiap kali berjumpa, kami akan duduk berbincang sambil minum kopi yang dibancuh oleh Prof Colin. Agenda pertama, saya perlu bercerita apa yang saya temui sepanjang proses membaca. Agenda kedua, mereka akan memberi komen untuk hala tuju seterusnya. Jika perlu, saya akan dirujuk kepada pakar-pakar lain dari USA atau negara Eropah. Semua perhubungan dengan pakar-pakar tersebut hanya melalui balas-membalas e-mel yang berkesan. Agenda seterusnya, menetapkan tarikh pertemuan seterusnya. Setiap kali pertemuan, ia berjalan dengan harmoni. Minda rasa terbuka dan semangatpun berkobar. Mudah-mudahan, di pertemuan seterusnya, saya ada sesuatu yang baru lagi untuk dibincangkan. Sungguh, pengalaman menyelidik bersama mereka sungguh menyeronokkan. Penyelidikannya terbuka dan luas. Tiada sekatan minda dengan protokol atau terma-terma.

Sudah tentu saya tidak suka keadaan penyelidikan yang disekat dengan perkataan. Yang ini terlebih, yang ini tidak boleh. Syukurlah, saya ditemukan dengan rakan sekerja yang mempunyai corak bekerja yang sama. Maka, untuk pelajar-pelajar yang kami selia, inilah kaedah yang digunapakai. Nampaknya, setakat ini pelajar-pelajar yang ada rasa selesa dengan cara yang ada. Alhamdullillah.

Di bulan yang kudus ini,
Kami mohon doa ya Allah,
Kurniakanlah kejayaan bagi semua pelajar-pelajar kami.
Terimalah jihad kami bersama.
Mudahkanlah yang sukar.
Cepatkanlah yang lambat.
Tinggikanlah yang rendah.
Ya Rahman, Ya Rahim,
Penuhkan jiwa kami dengan hikmah.
Ya Rahman, Ya Rahim,
KepadaMu kami berserah.

2 comments:

mulan said...

Sevendrops,

I am proud of your achievement!!.Happy to read on how you handle your students. Adakah Azlina itu...azlina yg juga ku kenal?.. Kalau org yang sama, smpaikan salam untuk dia....

SevenDrops said...

Mulan,

Ha .. Azlina tu la... Nanti you balik akan bawa segala pengalaman sekarang.. Dah tak dak orang nak ajar.. kena pandai-pandai sendiri.
Timba pengalaman yang sangat berguna.

Selamat berjaya.. mudah-mudahan, di bulan yang baik ini, doa dimakbulkan.

Sevendrops