Friday, 10 February 2012

Ke Kota Bharu

Akhirnya kami sampai ke Kota Bharu pada 7/2/2012 setelah paling akhir menjejak kaki ke situ 20 tahun lalu. Ketika kami berkira-kira untuk di mana kami akan menginap di sana, kami teringat pula kediaman Adam dan Azlina. Kerana janji beberapa tahun lalu untuk singgah ke rumah mereka jika ke sana, maka itulah destinasinya. Betullah hidup itu umpama roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Dulu, kami menjadi host mereka sekeluarga di Nottingham. Hari ini kami pula memerlukan bantuan. Kami disambut meriah. Mereka bercuti dan melayan kami dengan mesra bersama emak, nenek dan adik. Terima kasih yang tidak terhingga.

Hari pendaftaran adalah sejarah buat Gem 4. Kali pertama dia tidak boleh berkepit untuk menguruskan itu dan ini. Dia perlu melakukan pendaftaran seorang diri. Lalu, dia ke hulu ke hilir, kami hanya memerhati. Selepas pendaftaran, sesi taklimat bersama pengetua. Hanya saya dan Gem 4 yang dibenarkan masuk. Melangkah ke dewan besar adalah nostalgia buat saya - pentasnya, lagunya. Ia menggamit kenangan silam 27 tahun yang lampau. Tempat saya memburu mimpi untuk diungkai satu persatu. Dan hari ini Gem 4 mendengar dengan tekun dan ceria. Entah apa mimpinya, semoga semuanya menjadi nyata. Hadiah paling istimewa yang dikhabarkan oleh pengetua ketika itu ialah pada tahun ini MRSM Pengkalan Chepa menjadi MRSM Mini Ulul Albab. Apa ertinya? Pelajar yang ada dikehendaki menghafal empat surah panjang - Yasin, As-Sajadah, Al-Mulk, dan Al-Insan untuk sepanjang pengajian mereka di sana. Ia bagaikan bulan jatuh ke riba. Mudah-mudahan Gem 4 akan menghafal lebih dari itu. Dengan izin Allah. Kata pengetuanya, harapan MARA, pelajar-pelajar ini menjadi professional yang takut pada Allah dalam segala tindak tanduk mereka.

Selepas sesi taklimat, kami berjumpa pula dengan Penasihat Gem 4. Kerika itu, Gem 4 diminta mengisi borang peribadi. Sekali kerling, saya dapat melihat - cita-citanya yang ditulis ialah 'journalist'.

Kemudian, kami dibawa Adam dan Azlina makan di kedai Nasi Ulam. Sedap. Masa selebihnya, kami membeli barang-barang Gem 4 yang tertinggal.

Ketika menghantar pulang ke asrama, kami bersalam-salaman. Lalu, sempat saya bisikkan pada Gem 4, "Selamat belajar dan berjaya Al-Hafizah". Moga dimakbulkan Tuhan.

Barangkali saya perlu ingatkan lagi untuk Gem 4,
Menjadi journalist umpama memegang pisau yang tajam,
Jika digunakan dengan betul ke arah kebaikan, ianya satu jihad,
Jika digunakan untuk menulis berita palsu, ia umpama membunuh,
Maka, tulislah yang benar itu benar,
Yang salah itu salah,
Kerana pembacamu ada mata untuk melihat
Ada telinga untuk mendengar
Ada otak untuk berfikir dengan OTAK yang TIDAK TERLETAK DI LUTUT!

Sehari di Kota Bharu yang beritanya di dada akhbar tiada yang indah,
Rupanya ia tidak begitu.....



No comments: