Pagi-pagi lagi telah menerima panggilan dari anak saudara, Lily. Tanyanya, "Dah tahu ke berita kematian...... , anak dia kawan anak Mak Su". Bila cuba diingat nama yang dikhabar, tidak pula pasti arwah itu bapa kepada rakan anak yang mana. Setelah dijelaskan, maka tahulah.. bapa kepada kawan karib Gem 4 telah meninggal dunia. Jenazahnya akan disembahyangkan selepas Zohor di masjid Negeri.
Hampir waktu Zohor, saya dan Gem1 berangkat ke masjid Negeri. Agak ramai orang di situ. Banyak pula van TV Al Hijrah di parkir. Rupa-rupanya barulah jelas bahawa rupanya rakan karib Gem 4 ialah anak kepada CEO TV Al-Hijrah yang baru meninggal dunia pada pagi ini.
Dua hari lepas Gem 4 sibuk berbalas-balas panggilan dengan kami kerana disyaki demam campak. Demam campak ketika baru peperiksaan SPM bermula? Ya Allah.. rasanya seperti dugaan yang besar. Tiba-tiba hari ini rakannya yang juga sedang menduduki peperiksaan SPM diduga lebih hebat. Kematian bapa tercinta ketika perjuangan menghadapi peperiksaan baru bermula! Ketika memeluknya erat tadi, dia menangis teresak-esak. Tidak tahu apa yang perlu saya katakan ketika itu, melainkan tabah ya Shahida... Allah sedang menguji.. Semoga Allah meringankan bebanan yang ditanggung oleh anak ini...
No comments:
Post a Comment