Kita hidup di dunia hanya sekali. Itulah yang wajib dipercaya sebagai seorang Muslim. Susah, senang, sedih atau gembira akan bercampur baur semasa kita merentasi satu-satunya garis masa yang kita ada.
Pernahkah kita ingin mendakap masa supaya ia tidak terlepas kerana pada ketika itu kita sangat bahagia? Tapi detik itu akan pergi jua. Terasa amat pantas.
Pernahkah kita ingin menendang masa supaya ia cepat berlalu kerana pada ketika itu kita dirundung sedih dan kesukaran? Tapi detik itu tidak dapat diputar laju. Terasa amat perlahan.
Semalam, genap 9 bulan pemergian Mak ke Rahmatullah. Lalu, saya merenung kembali masa-masa yang telah berlalu bersamanya. Terasa benar, jika ada keupayaan ingin memutar kembali masa. Agar dapat menjadi seorang anak yang lebih baik. Dapat menyantuni Mak di saat-saat dia sangat memerlukan sebagaimana dia telah menyantuni saya yang melebihi jiwa raganya. Ketika akur bahawa kita tidak ada upaya untuk memutar kembali masa, maka kesedaran paling dalam pun timbul... sesungguhnya kita hanya ada satu kitaran masa yang hanya akan bergerak pantas menuju jalan penamat. Beruntunglah sesiapa yang sentiasa memesan diri bahawa hidup kita dan hidup semua insan di sekitar hanya ada sekali. Mudah-mudahan kita sentiasa ingin jadi terbaik untuk setiap detik yang terlintas. Kita hanya ada satu talian hayat untuk disempurnakan.
2 comments:
hu..hu...semakin hampir ke garisan penamat...semakin terasa sedikitnya bekalan yang nk dibawak pulang....
Farah
Sentiasa rasa kurang...
Post a Comment